Palestin, Apa Yang Mampu Kita Lakukan?



Tepat pukul tiga pagi, ketika semua orang sudah pulas tidur ada seorang kakak yang kurang siuman membakar rumah keluarganya sendiri. Rumah menghitam diratah api. Nasib baik, semua ahli keluarga sempat keluar termasuk si pembakar.

Bomba dihubungi. Berkejaran tergesa-gesa, bomba sebaliknya menyembur rakus rumah-rumah jiran yang bersebelahan rumah yang terbakar. Rumah yang belum terbakar lenjun, barulah rumah yang terbakar itu pula disembur.

Mungkin anda sudah mengesan motif saya.

Seterusnya, saya bertanya, "Kenapa rumah yang belum terbakar itu disembur air bukan yang sedang terbakar?"

Jawab ahli bomba yang komited itu, "Rumah yang belum terbakar di sebelahnya lebih kami utamakan, supaya tidak turut terbakar oleh api yang melarat-larat."

Mungkin anda sudah mengesan motif saya. Apa kaitannya dengan isu Palestin?

Saya menulis memberitahu perkara yang sudah diketahui. Umumnya ada di kepala. Tetapi saya cuma menyusunnya di dalam bentuk kata supaya barangkali terkait dengannya pada konteks baru.

Saya ingin membawa anda keluar.

Tuhan yang sedang bersemayam di Arasy, di luar batasan Qada dan Qadar telah menciptakan semua manusia. Jadilah ia Muslim, Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu, atau atheis. Agama Nafsu ada pada semua.

Tuhan itu Tuhan yang satu dan sama menerapkan Qada bagi Qadar yang sama. Samada entiti berQadar itu diuli oleh tangan manusia yang menyembahNya, atau menyembah selainNya.

Tuhan yang sama menegaskan bahawa telah dipergilirkan sepanjang sejarah manusia jatuh bangun sesuatu kaum bagi menjadi pengajaran kepada ummat manusia yang dikasihi. Semua ada di dalam KitabNya. Semua ada di artifak-artifak arkeologi andai anda tidak mempercayai KitabNya.

Bertanya pensyarah saya kepada seorang rakan palestin di UK, "Brother, what can we do for you to help?"

"The only thing you can do is, you yourself to become a better muslim."

Manusia yang bangun sehingga tepu akan lalai sehingga kembali jatuh ke dasar. Manusia yang ditakdir bermula di dasar kerana perbuatan tangan nenek moyang mereka yang tolol akan mencanak otaknya berfikir sehingga ia kembali menguasai dunia. Mereka rakus meratah-ratah manusia yang sedang lalai, yang terlebih dahulu meratah nenek moyang mereka, pada fikiran mereka begitu.

Berkata seseorang, "Man does best under greatest pressure."

Manusia-manusia itu seperti molekul-molekul udara, semakin terhimpit, semakin besar kuasanya. Apabila mengembang, layu ia ditiup angin.

Apabila kelayuan, tidak ada apa-apa yang boleh menghalangnya daripada ditiup angin. Tidak ada apa-apa. Berilah quota di IPTA, berilah 'ketuanan', berilah klaus istimewa 'perlembagaan', berilah apa saja, semakin hari mereka akan semakin terhimpit dan terhimpit. Kerana yang lalai pastinya dungu.

Sehingga suatu masa mereka akan diratah satu persatu menyedarkan si anak dari lena. Setelah itu baru ada yang mula tidak mahu menjadi dungu seperti nenek moyangnya.

Saat itu mereka akan bangkit. Sayangnya, menyorot sejarah, kebangkitan itu selalunya dibayar dengan harga yang begitu mahal. Dan kita, insyaAllah, berkesempatan melihat bagaimana ummat Islam membayar harga itu sedikit masa lagi.

Salahudin Al-Ayyubi 2 takkan lahir di antara 1.8 bilion buih-buih, tetapi di antara 1000 orang yang paling tegar tinggal liat lehernya untuk disembelih.

Mungkin sebentar lagi, kali ini, bukan lagi tampang persis Salahuddin Al-Ayyubi. Mungkin Nabi Isa Alaihissalam di hujung penantian. Kerja Tuhan sentiasa rahsia.

Mereka bukan mempertahankan tanah air semata. Mereka mempertahankan agama. Agama yang ada di Eropah. Yang ada di Indonesia. Yang ada di mana-mana, bahkan di Malaysia. Agama yang ada di tangan kita yang sedang layu.

Manusia yang layu tidak mungkin terjaga oleh 'ketuanan', keistimewaan, sistem quota, sabsisi, atau sebagainya. Tetapi dengan jiwa yang sedar dan bangkit. Pasti tidak, sehingga kepala menyaksikan harga yang dibayar oleh bapak-bapak dan ibu-ibu mereka. Sejarah menceritakan, kebangkitan itu selalunya dibayar dengan harga yang cukup mahal.

Di dalam marah usah sedih tetapi bersemangat. Bersemangat bukan di mulut, tetapi di hati, di jiwa, dan di saat sepi dan gelap malam di hadapan Pencipta.

Mengapa sedih untuk saudara yang syahid? Apa tidak cukup syahid itu untuk mereka?

Tidak pula sedih melihat anak-anak muda sendiri yang 'syahid' di litar yang salah? Di jarum yang salah? Anak-anak muda yang 'syahid' di pusat-pusat serenti? Anak-anak gadis yang 'syahid' kegadisannya dibelasah setan nafsu? Badut-badut agama seperti aku pula bersembang merata-rata tangan mengabaikan apa saja. Mereka-mereka ini akan disembelih sedikit masa lagi.

Tanpa sedar barangkali, bangun sang badut-badut itu bermohon berdoa kadang-kadang sampai menangis kepada Tuhannya.

Berdoalah ia sedang Al-Quran jarang dijamahnya. Berdoalah ia sedang Sunnah Rasul entah ke mana. Berdoalah ia sedang jiran-jiran semuslim masih belum dikenalinya. Berdoalah ia sedang selepas itu berjalan ia mencaci-caci saudara, mengumpat dan membiarkan si tua berdiri di dalam kubus komuter. Berdoalah ia kadang-kadang ia sendiri tidak pasti kepada siapa ditujukan doanya itu.

Sehingga dosa-dosa ini membuat aku malu untuk berdoa. Aku malu yang teramat malu untuk berdoa.

'Syahid' melayu, bangsaku, lebih aku tangisi berbanding syahid Palestin di Gaza. Kebodohan yang ada di kepala saat ini lebih aku tangisi berbanding apa yang ada di sana.

Umat ini umat yang layu. Umat yang bakal disembelih lehernya oleh musuh agama.

Untuk menyelamatkan Palestin, selamatkanlah apa yang semakin pudar di jiwa kita. Selamatkan. Selamatkan.

Allah Tuhan semua manusia, samada manusia itu mengakui atau mengingkari, bahkan yang membenci. Sifat RahmanNya ada untuk kita, juga untuk Yahudi laknat.

Semoga dipercepatkan keruntuhan ini, supaya aku dapat melihat kebangkitannya. InsyaAllah.
Astaghfirullahal'azim. Pohon ampun semua dosa. "

src : http://www.webkl.net/article3439.html

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

THE MEANING OF SUCCESS AND FAILURE

Soal Jawab : Ghibah