4ayesha

Daripada ABU HURAIRAH r.a, RasuluLLah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang menyeru (manusia) kepada hidayah, maka baginya pahala sebanyak pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka." Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab al-'Ilm (2674), Imam Malik dalam Muattha'(2674), Ahmad (9171), Abu Dawud (4609), Turmudzi (2674), ad-Darimi (513), ibnu Majah (206), ibnu Hibban (112), al-Bagahwi (109)

Followers


sambungan...

Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah

7. Saya juga mestilah beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak mutlak Allah s.w.t. Tidak harus sama sekali manusia mendahului atau membelangkanginya. Apa yang dibolehkan ialah ilmuan Muslim atau para ulama' berijtihad mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas Syari'at dalam batas-batas yang diizinkan. Firman Allah s.w.t:

Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa juaperkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).
(Surah Al-Syura 42: Ayat 10)

8. Saya mestilah berusaha mengetahui nama-nama dan sifat-sifat Allah yang layak bagi kemuliaanNya. Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Allah s.w.t mempunyai sembilan puluh sembilan nama, kurang satu seratus.Sesiapa yang menghafaznya akan memasuki syurga. Allah itu ganjil (tunggal) dan menyukai (bilangan) yang ganjil."
(Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

9. Saya mestilah berfikir merenungi kehebatan kejadian-kejadian Allah,bukan memikirkan tentang ZatNya sebagai mengikuti dan mentaati perintah Rasulullah s.a.w:

"Berfikirlah kamu tentang makhluk ciptaan Allah dan janganlah kamu memikirkan tentang ZatNya kerana kamu tidaklah mengetahui keadaan sebenarnya."
(Hadis diriwayatkan oleh Abu Nu'aim di dalam Al-Halyah dan Al-Asbahani meriwayatkannya di dalam Al-Taghrib wa Al-Tarhib)

10. Berhubung dengan sifat-sifat Allah s.w.t terdapat banyak ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim yang membuktikan kesempurnaan ketuhanan (UluhiyyahNya). Kita dapati beberapa ayat Al-Quran membuktikan kewujudan Allah, sifat baqa' (kekal), sifat qadim (sedia ada), sifat Ia berlainan dengan segala makhluk, tidak mempunyai anak, tidak ada yang menandingiNya. Kita juga menemui ayat-ayat yang menunjukkan Tuhan itu wujud dengan sendirinya, Maha Kaya dari segala makhlukNya dan makhluk berhajat berhajat kepada kebesaranNya. Demikian juga kita menemui ayat-ayat yang menunjukkan keEsaan Allah pada ZatNya, sifat-sifatNya dan perbuatanNya, kekuasaanNya, keagunganNya dan keluasan ilmuNya ke atas sesuatu. Kita temui lagi ayat-ayat yang menunjukkan iradah Allah mengatasi segala iradah yang lain dan Allah itu bersifat hidup yang penuh dengan kesempurnaan.

Selain dari sifat-sifat yang disebut tadi, masih banyak lagi ayat-ayat yang menerangkan sifat-sifat kesempurnaan lain bagi Allah s.w.t yang tidak tercapai oleh daya pemikiran manusia yang terbatas, tentang hakikat sebenarnya. Maha Suci Allah, kita tidaklah dapat membataskan pujian kita terhadapNya sebagaimana memuji dirinya sendiri.

11. Saya mesti meyakini bahawa pendapat dan pandangan para salaf adalah lebih utama untuk diikuti supaya dapat menyelesaikan perbahasan tentang penta'wilan dan pentha'thilan sesetengah ayat suci Al-Quran, yakni membiarkan sebahagian dari sifat-sifat Allah di dalam Al-Quran dengan menyerahkan hakikat sebenar mengenai maknanya kepada Allah s.w.t.

Saya juga mesti meyakini bahawa berbagai bentuk penta'wilan sesetengah ayat-ayat tertentu oleh golongan khalaf (terkemudian) tidak wajar dijadikan sebab kepada perselisihan yang berlarutan dan jangan sampai timbul kembali perbalahan di antara golongan khalaf di masa lampau mahupun masa kini.

12. Saya juga mesti mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata tidak menyekutukan dengan yang lain. Ini saya lakukan kerana menyahut seruan Allah dan RasulNya yang menyeru manusia supaya mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata dan tidak tunduk kepada sesuatu selain Allah. Amaran ini jelas dalam firman Allah s.w.t:

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)

13. Saya juga mestilah takut hanya kepadaNya dan tidak takut kepada yang lain. Perasaan takut tersebut seharusnya menyebabkan saya menjauhi kemurkaan Allah dan larangan-laranganNya.

Allah s.w.t menjelaskan:
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.
(Surah Al-nur 24: Ayat 52)

Firman Allah s.w.t seterusnya:

Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.
(Surah Al-Mulk 67: Ayat 12)

14. Saya mesti sentiasa mengingati Allah dan berzikir menyebut namaNya untuk menjadikan diam saya itu adalah dalam keadaan berfikir dan apabila bercakap adalah kerana berzikir. Ini paling mujarab untuk jiwa dan senjata paling ampuh untuk menghadapi serangan-serangan zaman ini, pancaroba kehidupan serta asam garamnya. Inilah penawar yang sangat diperlukan oleh manusia zaman ini. Sungguh benar peringatan Allah yang menyatakan:

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
(
Surah Al-Ra'ad 13: Ayat 28)

FirmanNya lagi:

Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.
(Surah Al-Zukhruf 43: Ayat 36-37).

Dr. Briel sendiri mengakui kenyataan ini dengan menegaskan

"sesungguhnya orang-orang yang berpegang teguh dengan agama, ia tidak akan dihinggapi penyakit jiwa. Manakala seorang pakar jiwa Dr. Riel Karienji menyatakan: "Sebenarnya para doktor penyakit jiwa menyedari bahawa keimanan yang kukuh dan pegangan yang teguh terhadap ajaran agama oleh seseorang adalah satu jaminan untuk menyembuhkan mereka darri penyakit gelisah, tegang perasaan, penyakit saraf dan lain-lain.

15. Saya juga wajib menyintai Allah dengan sebenar-benar cinta. Cinta yang menjadikan hati saya sentiasa merasa rindu dan terikat denganNya. Kecintaan itu juga mendorong saya menambah amalan-amalan kebaikan, berkorban dan berjihad di jalannya di sepanjang masa. Sekalipun hidup dalam kemewahan dan keseronokan dunia serta kecintaan terhadap kaum kerabat, semuanya tidak sepatutnya menghalang saya dari mencintai Allah. Ini adalah sejajar dengan seruan Allah yang mengingatkan:

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka).
(Surah Al-Taubah 9: Ayat 24)

Pengorbanan demikian saya lakukan adalah untuk dapat merasai kelazatan dan kemanisan iman seperti yang disyaratkan oleh Rasul yang mulia s.a.w:

"Barang siapa yang ada padanya tiga syarat ini, ia dapat merasai kemanisan iman:

a. Jika ia mencintai Allah dan rasulNya mengatasi kasihnya kepada yang lain.
b. Jika ia menyintai seseorang, tidaklah ia cintai melainkan kerana Allah.
c. Jika ia benci untuk kembali ke dalam kekufuran sebagaimana ia benci untuk memasuki api neraka.

16. Saya mesti bertawakal sepenuhnya kepada Allah dalam setiap keadaan dan menyandarkan setiap urusan kepadanya. Sifat tawakal inilah yang membangkitkan kekuatan zahir dan batin di dalam jiwa dan diri saya yang menyebabkan segala kepayahan dapat dihadapi dengan mudah.

Sifat ini menepati seruan Allah s.w.t:

"....sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).
(Surah Al-Talaq 65: Ayat 3)

Lihat betapa indahnya pesanan Rasulullah s.a.w untuk kita, di dalam sebuah hadisnya:

"Peliharatitah perintah Allah nescaya ia akan memelihara engkau (sepanjang masa), peliharalah larangan Allah nescaya engkau dapati ia selalu di hadapanmu. Apabila kamu meminta, hendaklah kamu meminta kepada Allah dan apabila kamu engkau memohon hendaklah engkau memohon pertolongan dari Allah. Ketahuilah, seandainya umat manusia sepakat untuk memberi sesuatu manfaat untukmu, mereka tidak dapat memberinya melainkan mengikut apa yang telah Allah tetapkan untukmu dan sekiranya mereka sepakat untuk menimpakan engkau dengan sesuatu keburukan tidaklah mereka dapat melakukannya melainkan dengaan sesuatu yang Allah Taala telah tentukan ke atas dirimu, kerana telah terangkat pena dan telah kering kertas (telah ditentukan kesemuanya)."
(Hadith diriwayatkan oleh At-Tirmizi berkata: Ini hadith Hasan Sahih)

17. Saya mestilah mensyukuri nikmat-nikmatnya ke atas diri saya yang merupakan kurniaan dan rahmat yang tidak terhitung jumlahnya. Bersyukur itu adalah satu dari tanda kemuliaan adab seseorang penerima terhadap pemberi dan pengurnia.

Allah berfirman:

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.
(Surah Al-Nahl 16:Ayat 78)

Seterusnya Allah berfirman:

Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan ia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan. 34- Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya beberapa mata air, 35- Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?.
(Surah Yasin 36: Ayat 33-35)

Sebenarnya Allah s.w.t telahpun menambahkan kurnianya kepada orang-orang yang bersyukur dan mengugut akan menambah kerugian terhadap golongan yang ingkar. Firman Allah:

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.
(Surah Ibrahim 14: Ayat 7)

18. Saya mestilah sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah, istighfar itu dapat membersihkan diri dari dosa di samping memperbaharui taubat dan iman. Istighfar juga dapat memberikan kerehatan dan keheningan kepada jiwa.

Allah berfirman:

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Al-Nisa' 4: Ayat 110)

Firman Allah seterusnya:

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
(Surah Ali-'Imran 3: ayat: 135)

19. Akhir sekali saya juga mestilah sentiasa bermuraqabah (merasai berada di bawah pengawasan) dengan Allah s.w.t dalam keadaan terang mahupun tersembunyi kerana mengingatkan.

irman Allah:

Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dialah yang keenamnya dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Dia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Dia akan memberitahu kepada mereka pada hari kiamat, apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
(Surah Al-Mujadalah 58: 7)

bersambung...

wallahu'Alam...

src : Taman2Syurga at yahoogroups dot com


Assalamualaikum..salam jumaat

Apa Ertinya Saya Menganut Islam
oleh:Fathi Yakan

Penggabungan diri dengan agama Islam bukanlah secara warisan, bukan secara hobi malah ia juga bukan penggabungan secara zahir sahaja. Sebenarnya penggabungan yang dimaksudkan ialah penggabungan dengan ajaran Islam itu sendiri dengan cara berpegang teguh dengan seluruh ajaran Islam serta
menyesuaikan diri dengan Islam di segenap bidang kehidupan dengan penuh
kerelaan.

Islam dari segi bahasa bermaksud selamat, sejahtera. Islam dari segi istilah bermaksud "penyerahan", atau penyerahan diri sepenuhnya kepada ALLAH swt.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala:

"Dia menamakan kamu: Orang-orang Islam semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)."
(Surah Al-Hajj 22: Ayat 78).

1. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah.
2. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Ibadat.
3. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akhlak.
4. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Berkeluarga.
5. Saya Mestilah Mampu Mengawal Diri.
6. Saya Mestilah Yakin Bahawa Masa Depan Di Tangan Islam.

Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah

Berpegang dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidupnya. Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung
di dalam Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w.

1. Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapapun. Buktinya jelas pada kejadian alam ini yang penuh dengan keindahan, kerapian dan keseimbangan, saling perlu memerlukan di antara juzuk dengan juzuk yang lain. Adalah mustahil semua kejadian ini akan kekal dan berterusan sekiranya tidak berada di bawah penjagaan Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Kuasa.

Firman Allah s.w.t:

"Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan."
(Surah Al-Anbiya' 21: Ayat 22)

2. Saya mestilah beriman bahawa Tuhan yang Maha Mulia tidaklah mencipta segala kejadian alam secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan. Kerana mustahil bagi Allah yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan itu mencipta sesuatu secara sia-sia. Adalah mustahil seseorang itu dapat memahami maksud tujuan Allah menjadikan sesuatu secara terperinci melainkan melalui penjelasan Rasulullah s.a.w dan wahyu dari Allah s.w.t sendiri.

Firman Allah s.w.t:

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu
(dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu?
Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka
(dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam,
lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai
Arasy yang mulia."
(Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116)

3. Saya mestilah beriman bahawasanya Allah s.w.t telah mengutuskan Rasul-rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya mengenali Allah dan memahami matlamat kejadian mereka, mengetahui asal-usul mereka dan ke mana mereka akan kembali. Saya juga beriman bahawa Rasul terakhir dari kalangan Rasul-rasul yang mulia itu ialah Nabi Muhammad s.a.w yang Allah kurniakan kepadanya Al-Quran Al-Karim sebagai satu mukjizat yang berkekalan.

Firman Allah s.w.t:

"Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima
seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayat petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang
berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian
lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya."
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)

4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan ialah mengenali Allah 'Azzawajalla seperti mana yang Allah s.w.t sendiri menjelaskannya, memberi penuh ketaatan kepadaNya dan mengabdikan diri kepadaNya. Firman Allah s.w.t:

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang
rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka
memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi
rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai
Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya."
(Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)

5. Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat kepada Allah ialah syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi derhaka ialah api neraka.

Allah menjelaskan:


"....sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk Neraka."

(Surah Al-Syura 42:Ayat 7)

6. Saya mestilah beriman bahawa sekalian manusia melakukan kebaikan dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Namun demikian kebaikan yang dilakukan itu tidaklah berlaku, melainkan dengan taufik dan 'inayah dari Allah. Manakala amalan jahat pula tidaklah merupakan paksaan dari Allah tetapi ianya termasuk dalam batasan keizinan dan kehendakNya.

Firman Allah s.w.t:

"Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)."
(Surah al-Syams 91: Ayat 7-10)

Dan firman Allah s.w.t;

"Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat)
yang dikerjakannya."
(Surah Al-Muddathir 74: Ayat 38).


bersambung...
wallahu'Alam...

src : Taman2Syurga at yahoogroups dot com


Buat tatapan bersama semuga memberi kebaikan buat kita bersama.....

www.iLuvislam.com
santapanrohani

editor : almusafirq8

Saat itu, Dhuha, hari terakhir aku di Masjid Nabawi untuk menuju Mekah.Aku bertanya pada Ibu. "Ibu, ada cerita apa yang menarik dari Umrah...?" Maklumlah, ini pertama kali aku berumrah. Dan Ibu, memberikan Tausyiahnya. Ibu adalah pemilik Maknah Tour Travel dimana saya menunaikan untuk Umrah di bulan Julai 2007 yang lalu. Kebetulan umrahku dimulai di Madinah dulu selama 4 hari, baru ke Mekah. Tujuannya adalah mendapatkan saat Malam Jumat di depan Kabah. Jadi aku mempunyai kesempatan untuk bertanya tentang Umrah. Ibu berkata, "Luqman, Allah hanya memanggil kita 3 kali saja seumur hidup..." Keningku berkerut. "Sedikitnya Allah memanggil kita...? "Ibu tersenyum. "Iya, tahu tidak apa 3 panggilan itu..?" Saya menggelengkan kepala.

"Panggilan pertama adalah Azan",
ujar Ibu. "Itu adalah panggilan Allah yang pertama. Panggilan ini sangat jelas terdengar di telinga kita, sangat kuat terdengar. Ketika kita solat, sesungguhnya kita menjawab panggilan Allah. Tetapi Allah masih tenang, Allah tidak "cepat marah" akan sikap kita. Kadang kita terlambat, bahkan tidak solat sama sekali kerana malas. Allah tidak marah seketika. Dia masih memberikan rahmatNya, masih memberikan kebahagiaan bagi hambaNya, baik hambaNya itu menjawab panggilan azan-Nya atau tidak. Allah hanya akan membalas hambaNya ketika hari Kiamat nanti". Saya terpaku,mata saya berkaca-kaca. Terbayang saya masih melambatkan solat kerana meetinglah, sibuk berurusan dengan rakan sepejabatlah, dan lain lain. Astaghfirullah...

Ibu menyambung,
"Luqman, panggilan yang kedua adalah panggilan Umrah/Haji. Panggilan ini bersifat halus. Allah memanggil hamba-hambaNya dengan panggilan yang halus dan sifatnya "bergiliran" . Seorang hambaNya mendapatkan kesempatan yang berbeza dengan hamba yang lain. Jalannya bermacam-macam. Yang tidak punya wang menjadi punya wang, yang tidak merancang pula akan pergi, ada yang memang merancang dan terkabul. Ketika kita mengambil niat Haji / Umrah, berpakaian Ihram dan melafazkan "Labaik Allahuma Labbaik", sesungguhnya kita saat itu menjawab panggilan Allah yang kedua. Saat itu kita merasa bahagia, kerana panggilan Allah sudah kita jawab, meskipun panggilan itu halus sekali. Allah berkata, laksanakan Haji / Umrah bagi yang mampu". Mata saya semakin berkaca-kaca. Subhanallah. Saya datang menjawab panggilan Allah lebih cepat dari yang saya rancangkan. Alhamdulillah...

"Dan panggilan ke-3", lanjut Ibu, "adalah KEMATIAN. Panggilan yang kita jawab dengan amal kita. Pada kebiasaan, Allah tidak memberikan tanda-tanda secara langsung, dan kita tidak mampu menjawab dengan lisan dan gerakan. Kita hanya menjawabnya dengan amal soleh. Kerana itu Luqman, manfaatkan waktumu sebaik-baiknya.

"Jawablah 3 panggilan Allah dengan hatimu dan sikap yang Husnul Khotimah. Insya Allah syurga adalah balasannya..."

Mata saya basah di dalam Masjid Nabawi, saya sujud bertaubat pada Allah kerana kelalaian saya dalam menjawab panggilanNya.

Kala itu hati saya makin yakin akan kebesaranNya, kasih sayangNya dan dengan semangat menyala-nyala, saya mengenakan kain Ihram dan berniat. Aku menjawab panggilan UmrahMu, ya Allah, Tuhan Semesta Alam.

src : Taman2Syurga at yahoogroups dot com



BIODATA RASULULLAH SAW
1· Nama: Muhammad bin 'Abdullah bin 'Abdul Muttalib bin Hashim
2· Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai
tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Ka'abah)
3· Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
4· Nama bapa: 'Abdullah bin 'Abdul Muttalib bin Hashim
5· Nama ibu: Aminah binti Wahab bin 'Abdul Manaf
6· Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)
7· Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
8· Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa'diah (lebih dikenali Halimah As-Sa'diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

USIA 5 TAHUN
1· Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalamnya.

USIA 6 TAHUN

1· Ibunya Aminah
binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa' (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah)
2· Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya 'Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN
1· Datuknya, 'Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
2· Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
1· Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
2· Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira
(Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang
pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN
1· Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab 'Sirah' ,
jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada
ketika itu usia Muhammad SAW ialah14 atau 15 tahun. Baginda menyertai
peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
2· Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul'; perjanjian damai untuk memberi
pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah..

USIA 25 TAHUN
1· Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
2· Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah..
3· Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
4· Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN

1· Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka'abah.
2· Pembinaan semula Ka'abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah.
3· Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan 'Hajarul-Aswad' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN

1· Menerima wahyu di gua Hira' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN
1· Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
2· Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN
1· Kewafatan Rasulullah
SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW.
1. Khadijah Binti Khuwailid
2. Saudah Binti Zam'ah
3. 'Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
4. Hafsah binti 'Umar (anak Saidina 'Umar bin Al-Khattab)
5. Ummi Habibah Binti Abu Sufyan
6. Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)
7. Zainab Binti Jahsy
8. Maimunah Binti Harith
9. Safiyah Binti Huyai bin Akhtab
10. Zainab Binti Khuzaimah (digelar 'Ummu Al-Masakin'; Ibu Orang Miskin)

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW
1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra'

ANAK TIRI RASULULLAH SAW
Halah bin Hind bin Habbasy bin
Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy.
Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW

IBU SUSUAN

SAUDARA SUSUAN


1. Thuwaibah
1. Hamzah
2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad
1. Halimah Al-Saidiyyah
1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
2. Abdullah bin Harith bin Abdul 'Uzza
3. Syaima' binti Harith bin Abdul 'Uzza
4. 'Aisyah binti Harith bin abdul 'Uzza

BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW (ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)
1. Al-Harith
2. Muqawwam
3. Zubair
4. Hamzah ***
5. Al-'Abbas ***
6. Abu Talib
7. Abu Lahab (nama asalnya 'Abdul 'Uzza)
8.. Abdul Ka'bah
9. Hijl
10. Dhirar
11. Umaimah
12. Al-Bidha (Ummu Hakim)
13.. 'Atiqah ##
14. Arwa ##
15. Umaimah
16. Barrah
17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-'Awwam) *** *** Sempat masuk Islam.
## Ulama' berselisih pendapat tentang Islamnya.

Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai
aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga."
(Riwayat Al-Sajary daripada Anas)

src : Taman2Syurga at yahoogroups dot com


http://fiqh-sunnah.blogspot.com/

Mewujudkan sebuah perkahwinan adalah merupakan satu langkah yang sangat murni dan sangat-sangat dituntut oleh agama yang fitrah. Perkahwinan atau ikatan pernikahan adalah sebuah sunnah yang mulia yang telah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul serta generasi awal dan akhir yang mengikuti petunjuk mereka.

Perkahwinan adalah sebuah fitrah yang telah sedia ditanamkan ke dalam jiwa-jiwa manusia seluruhnya. Oleh sebab itu, Islam sangat-sangat menggalakkan umatnya untuk berkahwin. Ini tidaklah seperti mana yang berlaku kepada sebahagian agama seperti Kristian yang menggalakkan kerahiban, dan pertapaan para sami dari agama budha dan seumpamanya yang melarang perkahwinan. Malahan sebenarnya sebuah perkahwinan merupakan asas pembentukan sesebuah masyarakat yang harmoni. Dengan perkahwinan, jiwa-jiwa menjadi tenang, hati menjadi tenteram, populasi manusia semakin bertambah disebabkan oleh sebuah ikatan percintaan yang halal lagi sistematik. Sekaligus, ikatan perkahwinan dapat mengawal dari berlakunya pelbagai bentuk gejala yang tidak sihat seperti perzinaan, perbuatan homoseksual dan juga pelacuran sebagaimana yang berlaku di era zaman jahiliyyah sebelum datangnya Islam ke tanah Arab dan kini banyak berlaku di negara-negara barat pula.

Dengan izin dari Allah Subhanhu wa Ta’ala, tulisan ini cuba mengupas sebahagian daripada juzuk perkahwinan yang dimaksudkan. Tulisan ini bakal difokuskan kepada skop perlaksanaan majlis perkahwinan atau disebut sebagai walimatul urus.

Penulis terlintas untuk menulis berkenaan dengan topik ini adalah disebabkan melihat fenomena yang banyak berlaku pada akhir-akhir ini di mana majlis-majlis perkahwinan rata-ratanya semakin meriah tetapi pelik yang dilengkapi dengan kepelbagaian acara. Malah, ia dijadikan sebagai sebuah kebanggan bagi sesebuah pasangan pengantin baru sekiranya mereka berupaya mengadakan majlis perkahwinan mereka secara besar-besaran dengan disertai pelbagai juadah makanan dan acara tertentu yang menarik perhatian.

Ini termasuklah pelbagai bentuk makanan yang dihias dengan pelbagai rupa dan dimeriahkan lagi dengan upacara persandingan, muzik, tari-tarian dan nyanyi-nyanyian, upacara potong kek, adat menyarung cincin, dan seumpamanya. Bentuk upacara seperti ini kelihatannya begitu menyukarkan dan memerlukan perbelanjaan yang sangat besar. Apakah ia merupakan sebuah tuntutan di dalam agama atau sebaliknya, atau bagaimana.

Maka di sini timbullah sebuah persoalan, iaitu sejauh manakah sebenarnya majlis perkahiwnan yang benar-benar dianjurkan oleh Syari’at sebagaimana yang ditunjukkan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih? Adakah majlis perkahwinan itu perlu diadakan dengan pelbagai aturcara seperti upacara sarung cincin, persandingan, iringan muzik, dan sesi mengambil gambar? Selanjutnya, adakah bentuk-bentuk aturcara walimah seperti ini benar-benar menepati kehendak syari’at dan merupakan suatu yang dibenarkan atau sebaliknya?

Dengan itu, maka tulisan ini pun disiapkan dan insyaAllah tulisan ini akan cuba menyampaikan dan menggariskan bentuk majlis perkahwinan (walimatul urus) yang bertepatan dengan agama kita yang suci lagi murni. Sekaligus melihat sejauh manakah majlis perkahwinan masyarakat kita ini yang sebenarnya telah banyak ditokok tambah dengan pelbagai bentuk perbuatan yang mungkar lagi bercanggah dengan syari’at. Lebih parah, ia turut menyusahkan kebanyakan pasangan yang ingin membina mahligai rumahtangga mereka masing-masing kerana diikat dengan perkara-perkara seperti itu.

Dengan mengetahui yang mana yang realiti lagi sahih daripada sunnah, maka seterusnya tiada masalah untuk kita membezakan di mana sebenarnya yang mungkar, yang ditokok tambah dan seterusnya kita berupaya menjadikan sebuah majlis perkahwinan itu adalah sebuah majlis yang berhak mendapat keberkahan dan redha dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan memisahkannya dari apa yang tidak disyari’atkan (serta yang terlarang).

Definisi Walimatul urus

Menurut Imam ash-Shan’ani:

Kata walimah (وَلِيْمَة) diambil dari kata asal (ولم) yang bererti perhimpunan, kerana pasangan suami isteri (pada ketika itu) berkumpul sebagai mana yang dikatakan oleh imam az-Zuhri dan yang lainnya. Bentuk kata kerjanya adalah awlama yang bermakna setiap makanan yang dihidangkan untuk menterjemahkan kegembiraan. Dan walimatul urus adalah walimah untuk pernikahan yang menghalalkan hubungan suami isteri dan perpindahan status kepemilikan. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 724, Darus Sunnah)

Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim:

Al-Walimah ertinya adalah makanan yang biasa disajikan (dihidangkan) pada pesta (majlis) pernikahan secara khusus. (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 310, Pustaka Ibnu Katsir)

Dari dua penjelasan ini dapat kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan walimatul urus itu adalah jamuan makan yang diadakan disebabkan berlangsungnya ikatan perkahwinan (pernikahan).

Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas radhiyallahu ‘anhu, di mana beliau berkata:

“Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjadi seorang pengantin dengan Zainab bin Jahsy, beliau mengundang orang-orang, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1428)

Juga perkataan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf apabila Nabi mengetahui ‘Abdurrahman baru sahaja bernikah:

“Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menikahi seorang perempuan, beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3219)

Hukum Mengadakan Walimatul Urus

Imam ash-Shan’ani rahimahullah menjelaskan:

“Imam Ahmad berkata, “Walimah itu hukumnya sunnah”. Menurut jumhur, walimah itu disunnahkan (mandub). Ibnu Baththal berpendapat, “Aku tidak tahu apabila ada ulama yang mewajibkan, mungkin dia tidak tahu perbezaan ulama tentang hukum tersebut”.

Jumhur mengatakan hukumnya sunnah berdasarkan pendapat asy-Syafi’i rahimahullah.” (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 726, Darus Sunnah)

Manakala sebahagian pendapat mengatakannya sebagai wajib seperti pendapat mazhab Zahiri sebagaimana yang dijelaskan di dalam Subulus Salam, asy-Syafi’i di dalam al-Umm, dan juga pendapat Syaikh al-Albani di dalam Adabuz Zifaf.

Ada pun pendapat yang terpilih adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu Qudamah rahimahullah:

“Tiada perbezaan pendapat di antara ahli ilmu, bahawasanya hukum walimah di dalam majlis perkahwinan adalah sunnah dan disyari’atkan (sangat dituntut), bukan wajib.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil 7, m/s. 2)

Siapa Yang Mengadakan Walimah

Walimah dilaksanakan dan diselenggarakan oleh Suami. Ini adalah sebagaimana perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri dan turut dicontohi oleh para sahabat-sahabatnya yang lain.

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menikahi seorang perempuan, beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang untuk makan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, at-Tirmidzi, no. 3219)

Juga dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau menjelaskan:

“‘Abdurrahaman berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru sahaja bernikah dengan seorang wanita dengan mahar satu nawat emas (emas sebesar biji kurma)”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Semoga Allah memberkahimu, adakanlah walimah walau pun hanya dengan menyembelih seekor kambing”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah telah memerintahkan ‘Abdurrahman bin ‘Auf supaya mengadakan walimah.

Walau pun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing tetapi ia dilakukan bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini adalah kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah melaksanakan walimah untuk Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur dengan keju dan tepung di atas sumbangan para sahabat yang hadir. (Rujuk Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2048)

Waktu Walimah

Imam al-Mawardi dari mazhab asy-Syafi’i menjelaskan bahawa waktunya adalah setelah selesai akad pernikahan dan setelah kedua pasangan bersama.

Ibnu as-Subki berkata:

“Yang diriwayatkan dari perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa walimah itu diselenggarakan setelah berhubungan (pasangan bersama), berdasarkan hadis pernikahan di antara Nabi dengan Zainab binti Jahsy iaitu berpandukan perkataan Anas “di pagi harinya” (rujuk hadis di atas), iaitu ketika Nabi menjadi pengantin dengan Zainab, beliau mengundang kaum muslimin, perbuatan Nabi ini dijadikan bab oleh al-Baihaqi sebagai “Bab Waktu Walimah”. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 727, Darus Sunnah)

Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, walimah tidak diadakan ketika perjalanan akad nikah berlangsung atau sebaik akad nikah, tetapi adalah setelah pasangan bersama (bersetubuh). (Rujuk: Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 311, Pustaka Ibnu Katsir)

Begitu juga sebagaimana yang dijelaskan oleh Amru Abdul Mun’im Salim:

“Seseorang hendaklah menyelenggarakan walimah setelah ia berkumpul dengan isterinya.” (Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah Menuju Keluarga Sakinah, m/s. 177, Dar an-Naba’)

Hukum Menghadiri Undangan Walimah

Hukum menghadiri undangan walimah adalah wajib. Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Apabila seseorang di antara kamu diundang ke majlis walimah, hendaklah dia menghadirinya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5173)

Pendapat yang menjelaskan wajibnya menghadiri undangan walimah juga turut dijelaskan oleh Ibnu ‘Abdil Barr, imam asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Ibnu Hazm, Imam an-Nawawi, dan pendapat inilah yang telah menjadi kesepakatan para ulama.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Dan barangsiapa yang meninggalkan undangan, maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177)

Walau pun begitu, undangan ke majlis walimah boleh ditinggalkan sekiranya memiliki uzur. Ini adalah sebagaimana penjelasan berikut:

1 – Apabila di dalam walimah tersebut mengandungi perkara-perkara maksiat seperti jamuan khamar (arak), gambar-gambar makhluk bernyawa, dan permainan alat-alat muzik dan nyanyian. Sekiranya ini berlaku, maka seseorang tidak perlu menghadirinya melainkan dengan tujuan untuk mencegah kemungkaran tersebut. Sekiranya dia berjaya mencegahnya, maka itu adalah satu kebajikan, dan sekiranya tidak berjaya, hendaklah dia segera beredar.

Ini adalah sebagaimana hadis ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Aku membuat makanan, lalu aku mengundang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kemudian beliau tiba, lalu beliau pun segera pulang. Aku pun segera bertanya, “Wahai Rasulullah, Ibu dan Bapaku sebagai tebusan, apakah yang membuatkan engkau pulang?”

Beliau menjawab:

“Sesungguhnya di dalam rumah ada kain penutup yang bergambar, dan sesungguhnya para malaikat tidak akan memasuki ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya mengandungi gambar-gambar.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 3359. Dinyatakan sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibnu Majah dan Adabuz Zifaf)

Juga hadis dari ‘Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari Akhir, maka janganlah duduk di meja makan yang di sana dihidangkan minuman keras (khamar).” (Hadis Riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 152, Media Hidayah)

2 – Apabila terdapat pengkhususan undangan di mana orang yang mengundang membeza-bezakan di antara yang kaya dengan yang miskin atau fakir, makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat, dan seumpamanya. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam ash-Shan’ani di mana diizinkan untuk tidak memenuhi undangan walimah “apabila adanya uzur di antaranya, apabila makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat (tidak jelas kehalalannya), atau diperuntukkan kepada orang-orang kaya sahaja, atau ada orang yang tidak senang dengannya...” (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 729, Darus Sunnah)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177)

Di antara uzur lain yang dibenarkan untuk tidak hadir ke undangan walimah adalah seperti uzur yang dengannya seseorang boleh meninggalkan solat Juma’at, seperti terjadinya hujan yang sangat lebat, jalan yang bermasalah, kerana takutkan musuh, takut hilangnya harta, dan yang lain yang seumpama. (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 314, Pustaka Ibnu Katsir)

Digalakkan Mengundang Orang Bertaqwa (Soleh)

Ini adalah sebagaimana hadis berikut:

“Janganlah kamu bersahabat kecuali dengan orang yang beriman, dan janganlah makanan kamu dimakan melainkan oleh orang-orang yang bertaqwa.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4811. Hadis ini hasan menurut penilaian al-Albani)

Daripada Anas radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdoa kepada Sa’ad bin ‘Ubaidah yang menghidangkan kismis untuknya:

“Semoga orang-orang yang baik memakan makananmu, para malaikat mendoakanmu, dan orang-orang yang puasa berbuka di tempatmu.” (Hadis Riwayat Ahmad. Lihat: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 157, Media Hidayah)

Dan jangan sekali-kali hanya mengundang orang-orang yang kaya lalu melupakan orang-orang yang memerlukan.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177)

Bolehkah Orang Yang Berpusa Menghadiri Walimah?

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Apabila seseorang di antara kamu diundang, hendaklah dia memenuhi undangan tersebut, jika dia sedang berpuasa hendaklah dia mendoakan, dan jika dia tidak berpuasa, hendaklah dia makan.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1431)

Menurut Imam ash-Shan’ani, hadis ini menunjukkan wajibnya memenuhi undangan walaupun dia sedang berpuasa. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 732, Darus Sunnah)

Dan sebenarnya tidak ada perbezaan akan kewajiban untuk memenuhi undangan walimah sama ada dia sedang berpuasa atau pun tidak. Akan tetapi dibolehkan bagi mereka yang berpuasa untuk menghadirinya sahaja tanpa menyantap hidangan dan dianjurkan mendoakan orang yang mengundangnya.

Namun, jika dia mahu, dia boleh untuk memakannya, atau tidak memakannya. Dan jika dia membatalkan puasanya, puasa sunat yang ditinggalkannya tidak wajib diganti.

Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Jika salah seorang dari kamu diundang makan, maka hendaklah dia menghadirinya. Jika mahu, dia dibolehkan makan, jika tidak mahu dia boleh untuk meninggalkannya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1430)

Anjuran Supaya Mendoakan Pasangan Pengantin

Di antara keindahan di dalam Sunnah adalah mendoakan kebaikan, keberkahan, dan memohonkan keampunan buat pasangan pengantin serta mendoakan untuk orang yang mengundang ke majlis makan (walimah).

Di antara doa-doa yang disunnahkan kepada kita untuk berdoa dengannya adalah sebagaimana berikut:

Doa untuk pasangan pengantin:

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam jika memberikan ucapan doa kepada seseorang yang berkahwin, beliau akan berkata:

بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ

“Semoga Allah memberikan keberkahan kepadamu, memberikan keberkahan atasmu, dan menyatukan kamu berdua di dalam kebaikan.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2130. Hadis ini dinilai sahih oleh at-Tirmidzi dan ath-Thusi sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Albani di dalam Adabuz Zifaz)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf:

بَارَكَ اللهُ لَكَ

“Semoga Allah memberkahimu...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Doa ketika Rasulullah menikahkan ‘Ali dengan Fatimah:

اَلَّهُمَّ بَارِكْ فِيْهِمَا، وَبَارَكَ لَهُمَا فِيْهِمَا فِيْ بِنَائِهِمَا

“Ya Allah, berkahilah mereka berdua dan berkahilah perkahwinan mereka berdua.” (Diriwayatkan oleh ath-Thabrani di dalam al-Kabir. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 160, Media Hidayah)

Doa untuk orang yang mengundang makan:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendoakan untuk Abdullah bin Busr radhiyallahu ‘anhu dan keluarganya (ayahnya) di ketika dia selesai dijamu makanan:

اَلَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِي مَا رَزَقْتَهُمْ، وَاغْفِر لَهُمْ، وَارْحَمْهُمْ

“Ya Allah, berkahilah mereka pada rezeki yang telah Engkau berikan kepada mereka dan ampunilah mereka serta rahmatilah mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1615)

Dan dianjurkan bagi mereka yang diundang untuk mengucapkan terima kasih di atas undangan yang diberikan.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Tidak bersyukur kepada Allah, orang yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4811)

Mengucapkan Ucapan Yang Tidak Disyari’atkan

Adalah tidak dibenarkan meninggalkan ucapan-ucapan (doa) yang telah sedia dicontohkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam seperti yang disebutkan di atas, lalu diganti dengan ucapan-ucapan yang tidak sewajarnya.

Sebagai contoh, pada masa ini begitu ramai yang mempopularkan bentuk-bentuk ucapan seperti:

“Selamat pengantin baru.”

“Semoga bahagia dan mendapat ramai anak.”

Ada pun sebenarnya, ucapan-ucapan seperti ini telah pun disentuh oleh para ulama sejak awal lagi.

Di antaranya al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menjelaskan:

“Perkataan ini biasa diucapkan oleh orang-orang jahiliyyah sehingga ucapan ini dilarang.” (Fathul Bari, jil. 9, m/s. 222. Rujuk: Abu Hafsh Usamah, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 232, Pustaka Ibnu Katsir)

Ini adalah kerana, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah melarang perbuatan seperti itu sebagaimana yang dijelaskan oleh ‘Uqail bin Abu Thalib.

Ini berlaku di ketika ‘Uqail berkahwin dengan seorang wanita dari suku Jasyam. Lalu orang-orang yang mengunjunginya mengucapkan:

“Semoga bahagia dan mendapat ramai anak.”

‘Uqail pun berkata, “Janganlah kamu mengucapkan seperti itu (kerana Rasulullah telah melarangnya).” Mereka pun bertanya, “jadi, apa yang harus kami ucapkan, wahai Abu Zaid?”

‘Uqail berkata,

“Ucapkanlah: Semoga Allah memberkahimu di dalam kesenangan atau pun kesusahan”. Begitulah kita diperintahkan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, ‘Abdurrazzaq, Ahmad. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 162, Media Hidayah)

Disunnahkan Memberi Hadiah dan Membantu Melaksanakan Walimah

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Setelah Nabi Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam menikahi Shafiyah, pada pagi harinya Nabi pun berkata: “Sesiapa yang memiliki sesuatu untuk disumbangkan, hendaklah disumbangkan”. Beliau pun menghamparkan lembaran kulit yang disamak (sebagai bekas). Ada orang yang menyumbang keju, ada yang menyumbang kurma, dan ada yang memberikan minyak samin. Mereka pun membuat hais (campuran kurma tanpa biji, keju, tepung dan minyak).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2048)

Berdasarkan hadis ini, Syaikh al-Albani rahimahullah menyatakan:

“Orang-orang kaya dan yang memiliki kelebihan (bekalan) dianjurkan untuk memberikan sumbangan di dalam majlis walimah saudaranya.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 139, Media Hidayah)

Demikianlah sesebuah majlis walimah (walimatul urus) yang ditunjukkan oleh Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan diamalkan oleh para sahabat dan generasi awal umat Islam lainnya. Ianya begitu mudah dan ringkas.

Di bahagian seterusnya, tulisan akan difokuskan kepada beberapa contoh amalan di dalam masyarakat Melayu ketika majlis-majlis walimah mereka pasa masa kini. Sekaligus kita akan melihat sama ada ianya harus, sunnah, atau sebaliknya yang membawa kepada larangan syari’at mahu pun bid’ah.

Kemungkaran dan Tokok Tambah (Bid’ah) Di Dalam Majlis Walimah

Bahagian ini ditulis adalah berdasarkan pemerhatian terhadap majlis walimah (walimatul urus) tertentu di sekitar masyarakat Melayu Semenanjung Malaysia.

Yang dimaksudkan sebagai kemungkaran di sini adalah apa jua perkara yang dilarang dan diharamkan di dalam agama.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nuur, 24: 21)

“Waai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang diwajibkan (oleh Allah).” (Surah Luqman, 31: 17)

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah.” (Surah al-Hasyr, 59: 7)

Manakala tokok tambah (bid’ah) yang dimaksudkan di sini adalah apa jua tokok tambah yang dikhususkan di dalam majlis walimah yang pada asalnya menurut timbangan agama tidak disyari’atkan. Aturcara walimah (majlis perkahwinan) adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh agama melalui Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di mana di dalam sebuah hadis disebutkan:

“Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam agama, setiap perkara baru yang diada-adakan di dalam agama adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 1097)

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Dengan lebih tepat, “bid’ah adalah sebuah cara baru di dalam agama yang dibuat menyerupai seakan-akan syari’at dengan tujuan untuk berlebih-lebihan di dalam beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.” (Imam asy-Syatibi, di dalam al-I’tisyam. Rujuk: Yazid Abdul Qadir Jawas, Syarah ‘Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah, m/s. 78-79, Pustaka Imam asy-Syafi’i. Juga Alawy Abdul Qadir as-Saqqaf, Mukhtashar al-I’tisham, m/s. 32, Media Hidayah)

Maka dengan ini, sesuatu yang asalnya tidak dikhususkan atau tidak disyari’atkan oleh agama melalui dalil-dalil yang benar di dalam walimatul urus, maka sekiranya ia berlaku dan dilakukan ini adalah termasuk ke dalam bentuk-bentuk tokok tambah terhadap agama yang jelas bertentangan dan mengajak kepada perbuatan bid’ah.

Perbahasan di dalam bahagian ini akan dibawakan dengan seringkas mungkin dan padat.

1 – Membuka Aurat

Perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai (para hadirin) oleh wanita pada masa ini semakin banyak dilakukan di dalam majlis-majlis walimah. Malah ianya sudah menjadi satu trend (gaya) dalam kalangan umat Islam setiap kali pasangan pengantin melangsungkan majlis perkahwinan mereka. Terdapat sebagahagian wanita yang asalnya bertudung, tetapi apabila tiba hari perkahwinannya, dia dengan relanya membuka tudung dan menededahkan bahagian-bahagian aurat tertentu. Termasuk perbuatan mendedahkan aurat adalah dengan memakai pakaian yang ketat sehingga menggambarkan bentuk tubuh badan, mengenakan pakaian dengan kain yang jarang, dan mengenakan kain yang tipis.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (aurat) kecuali kepada... (mahram mereka)...” (Surah an-Nuur, 24: 31)

Untuk lebih lanjut berkenaan perbahasan aurat wanita, bolehlah merujuk tulisan bertajuk: “Pakaian Seorang Wanita Beriman (Muslimah) Menurut al-Qur’an & as-Sunnah” di blog fiqh penulis. Atau boleh juga merujuk sebuah buku yang baik karya Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani bertajuk, “Jilbab al-Mar’atil Muslimah”, dan buku ini telah pun diterjemahkan oleh Media Hidayah dan Pustaka at-Tibyan dengan tajuk “Jilbab Wanita Muslimah”.

2 – Bersolek dan memakai wangi-wangian bagi wanita

Dari Abu Musa al-Asy’ary radhiyallahu ‘anhu, dia berkata:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:

“Wanita yang memakai wangi-wangian, dan kemudian dia melintasi suatu kaum supaya mereka mencium bau wanginya, maka wanita tersebut adalah wanita penzina.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4172, at-Tirmidzi, no. 2786)

“Alasan dari larangan tersebut dapat dilihat dengan jelas iaitu menggerakkan panggilan syahwat (kaum lelaki). Sebahagian ulama telah mengaitkan perkara lain dengannya, seperti memakai pakaian yang cantik (melawa), perhiasan yang ditampakkan, dan bercampur baur dengan kaum lelaki.” (Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, 2/279. Rujuk: Abu Malik Kamal, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 151, Pustaka Ibnu Katsir)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“... Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyyah yang dahulu.” (Surah al-Ahzab, 33: 33)

3 – Mencukur Kening dan Memakai Rambut Palsu

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Allah melaknat orang yang membuat tatu dan wanita yang minta ditatu, wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu), yang mencukur alis (bulu kening), dan yang minta dicukur, dan wanita yang merenggangkan giginya untuk kecantikan sehingga mengubah ciptaan Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 4886)

4 – Memanjangkan Kuku dan Mewarnakannya Dengan Pewarna

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Termasuk fitrah bagi manusia itu ada lima: Khitan, mencukur bulu kemaluan, merapikan misai, memotong kuku, dan mencabut bulu ketiak.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5889)

Berkenaan permasalahan trend mewarnakan kuku ini, Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:

“Ini adalah merupakan kebiasaan buruk yang dilakukan oleh wanita-wanita Eropah kepada wanita-wanita Islam, iaitu memanjangkan kuku dan mewarnakannya dengan warna merah atau selainnya dengan kuteks (pewarna/pengecat kuku). Kebiasaan ini juga turut dilakukan oleh sebahagian pemuda. Perbuatan ini selain mengubah ciptaan Allah, ia juga menjadikan pelakunya terlaknat dan perbuatan ini termasuk meniru-niru (tasyabbuh) perbuatan wanita-wanita kafir.

“Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 184, Media Hidayah)

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga dijelaskan di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)

5 – Mencukur Janggut

Sebahagian kaum lelaki muslim pada masa ini tidak lagi berminat memelihara janggut dan membenci memelihara janggut. Malah, ada pula di antara mereka yang mencukur janggutnya semata-mata untuk nampak bergaya di majlis perkahwinannya. Sedangkan, perbuatan memelihara janggut adalah sebuah sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan di dalam banyak hadis-hadisnya berkenaan janggut ia menunjukkan sebuah perintah yang perlu diikuti.

Daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Selisihilah kaum majusi, rapikanlah misai, dan peliharalah janggut.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5893)

Untuk perbahasan lanjut berkenaan hukum dan sunnah memelihara janggut ini, anda bolehlah merujuk sebuah tulisan yang ditulis oleh Ustaz Rasul Dahri yang telah saya letakkan di dalam blog fiqh saya bertajuk “Pandangan Syari’at Berkenaan Pemeliharaan Janggut”.

6 – Mengkhususkan Adanya Cincin Perkahwinan

Perbuatan bertukar cincin atau menetapkan adanya cincin perkahwinan, pertunangan, atau pun pernikahan, ianya sama sekali bukan berasal daripada ajaran Islam.

Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah:

“Tindakan ini (menyarung cincin) selain meniru tradisi orang-orang kafir sehingga menjadi sebuah larangan, ia juga mengandungi pelanggaran terhadap dalil-dalil hadis yang melarang lelaki mengenakan cincin emas...” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 191, Media Hidayah)

Asal perbuatan (adat) menyarung cincin perkahwinan ini adalah berasal dari adat kepercayaan kuno kaum Nasrani (kristian). Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani di dalam kitabnya, Adabuz Zifaf.

Syaikh Ibnu Bazz rahimahullah (Mufti Saudi Arabia) menjelaskan: “Kami tidak mengetahui dasar amalan ini (sarung cincin) di dalam syari’at.” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/129. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

7 – Adat Bersanding dan Pelamin

Perbuatan mengadakan pelamin dan adat bersanding bukanlah sebuah amalan yang berasal dari ajaran Islam. Malah, ia mungkin ditiru dan berasal dari ajaran Hindu atau pun Kristian. Ini adalah kerana amalan tersebut sangat mirip dengan adat upacara perkahwinan mereka.

Menurut Syaikh Abdullah bin ‘Abdurrahman al-Jibrin hafizahullah:

“Perbuatan ini (bersanding) adalah tidak dibenarkan. Sebab ini adalah bukti atas tercabutnya rasa malu dan taqlid (mengikuti) kepada kaum yang suka kepada keburukan. Perkaranya adalah jelas. Pengantin wanita sepatutnya merasa malu menampakkan diri di hadapan manusia, lalu bagaimana dengan perbuatan tersebut yang sengaja dilakukan di hadapan orang-orang yang sengaja menyaksikannya?” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/188. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah berkata:

“Di antara perkara mungkar, bahawa rasa malu sebahagian manusia telah tercabut dari mereka. (Adalah) seorang suami datang di tengah kaum wanita dan naik pelamin bersama isterinya di hadapan kaum wanita, iaitu pada awal pertemuannya dengan isterinya untuk bersanding dengannya, bersalaman tangan dengannya, mungkin menciumnya, dan mungkin memberikan hadiah kepadanya berserta coklat dan selainnya yang dapat menggerakkan syahwat dan mengakibatkan fitnah.” (Min Munkaratil Afraah, m/s. 7, 10. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 231, Pustaka Ibnu Katsir)

8 – Menabur Gula-gula, Coklat, dan Bunga

Perbuatan ini tidak terdapat di dalam syari’at atau pun majlis walimah sebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Ada pun sebenarnya, perbuatan ini termasuk meniru-niru perbuatan kaum kafir yang diambil dari perbuatan kaum kristian yang menabur bunga di acara-acara perkahwinan mereka.

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)

Imam Ibnu Katsir menjelaskan di bawah penafsiran Surah al-Baqarah, 2: 104:

“Allah Ta’ala melarang hamba-hamba-Nya yang beriman menyerupai (syi’ar) orang-orang kafir, sama ada dalam ucapan mahu pun perbuatan mereka.” (Ibnu Katsir, Shahih Tafsir Ibnu Katsir (Judul asal: al-Mishbaahul Muniir fii Tahdziibi Tafsiiri Ibni Katsir, Selenggaraan Syaikh Syafiurrahman al-Mubarakfuri), jil. 1, m/s. 364, Pustaka Ibnu Katsir)

Sekiranya amalan tersebut disandarkan kepada agama, maka perbuatan tersebut termasuk meletakkan perbuatan yang tiada asalnya di dalam agama, maka ia adalah bid’ah lagi sesat. Ini adalah kerana walimatul urus adalah sebuah aturcara agama sebagaimana yang diperintahkan (ditekankan) berdasarkan sunnah yang jelas.

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam agama kami ini, maka ianya tertolak.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2697)

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

9 – Adat Merenjis Air Mawar

Adat ini juga bukan berasal dari Islam. Mungkin ia diambil dari amalan masyarakat Hindu. Selain merupakan perbuatan yang ditokok tambah (bid’ah) di dalam walimatul urus, malah ianya juga boleh menjurus kepada perbuatan syirik sekiranya dengan perbuatan merenjis tersebut disertakan dengan i’tiqad (keyakinan-keyakinan) tertentu seperti mempercayai pasangan pengantin yang direnjis akan mendapat kebahagiaan dan seumpamanya.

10 – Mewajibkan Adanya Duit dan Barang Hantaran

Adat ini ditetapkan oleh kebanyakan masyarakat Melayu secara umumnya iaitu dengan mewajibkan pihak lelaki (atau bakal/calon suami) supaya membayar sejumlah wang yang dinamakan sebagai wang hantaran kepada keluarga pihak perempuan. Kebiasaannya (pada masa ini) sehingga RM10 000 atau lebih dari itu bergantung kepada status pendidikan atau pun permintaan wanita yang hendak dinikahi. Nilai wang hantaran ini akan ditetapkan oleh sama ada bakal isteri atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali imbas, perbuatan ini adalah seakan-akan sebuah perbuatan jual beli wanita. Dan wang ini akan diserahkan kepada keluarga si isteri.

Dan kemudiannya, kedua-dua pihak akan saling bertukar barang hantaran tertentu sesama mereka. Di mana mereka mengkhususkan dengan jumlah bilangan tertentu, seperti 5 dulang dari lelaki berbalas 7 dulang barangan tertentu dari pihak perempuan, atau 7 dulang dari pihak lelaki berbalas 9 dulang dari pihak perempuan, atau 9 dulang dari pihak lelaki berbalas 11 dulang dari pihak perempuan, dan seterusnya.

Ada pun sebenarnya perbuatan ini langsung tidak pernah ditetapkan oleh Islam, dan perbuatan ini merupakan perbuatan bid’ah iaitu amalan yang ditokok tambah ke dalam majlis walimah umat Islam. Adalah menjadi suatu yang sunnah di dalam agama supaya memudahkan urusan pernikahan (juga urusan yang lain), tetapi, dengan ditambahnya amalan-amalan seperti ini, ia hanya akan menyusahkan (memberatkan) pasangan yang hendak berkahwin dan ia sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya perkahwinan ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan perkara yang karut ini.

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Namun, apa yang diwajibkan atau pun disunnahkan di dalam syari’at hanyalah memberikan mahar (maskahwin) oleh lelaki kepada wanita yang dinikahi, sama ada berdasarkan apa yang diminta oleh wanita tersebut atau pun tanpa diminta. Dan maskahwin ini tidaklah semestinya di dalam bentuk wang ringgit atau barang-barang tertentu. Ianya sama ada tertakluk berdasarkan apa yang diminta oleh wanita, atau pun bebas dengan apa yang hendak diberikan oleh si lelaki jika si wanita tidak menetapkannya. Dan mahar adalah merupakan salah satu rukun dan syarat sahnya nikah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan...” (Surah an-Nisaa’, 4: 4)

“... Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban...” (Surah an-Nisaa’, 4: 24)

Dan mahar yang paling baik adalah mahar yang paling mudah, ringan atau tidak mahal (tidak menyusahkan dan memberatkan si suami).

Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Pernikahan yang paling besar keberkahannya adalah yang paling mudah maharnya.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 24595)

Perbuatan meninggikan atau memahalkan penetapan nilai mahar adalah satu perbuatan yang dibenci oleh agama sebagaimana disebutkan di dalam beberapa hadis.

Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Ingatlah, janganlah meninggikan nilai mahar wanita. Jika itu merupakan kemuliaan di dunia atau taqwa di sisi Allah, sudah tentu yang paling utama melakukannya adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2106) (Rujuk: Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 76, Dar an-Naba’)

Sahih di dalam beberapa riwayat bahawa Rasulullah dan beberapa sahabat berkahwin dengan mengeluarkan mahar yang sangat kecil. Malah di sebahagian keadaan, ada yang memberikan mahar dalam bentuk cincin besi, baju besi, memerdekakan hamba, dengan hafazan al-Qur’an, dengan mengajarkan surah-surah tertentu dari al-Qur’an, dengan segenggam kurma, dengan mengislamkan seseorang, dengan sebiji emas sebesar biji kurma, dan selainnya.

11 – Bersalaman Dengan Bukan Mahram

Di dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa:

“Seseorang yang ditusuk kepalanya dengan jarum besi adalah lebih baik daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” (al-Albani, Silsilah Hadis ash-Shahihah, no: 225)

Dan para ulama juga menetapkan serta menjelaskan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tidak pernah menyentuh wanita yang tidak halal baginya walau pun di dalam peristiwa bai’ah.

Berkenaan perkara ini juga, telah jelas di dalam al-Qur’an bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan supaya kaum lelaki dan wanita yang beriman supaya tunduk dari memandang kaum berlainan jantina mereka, maka apatah lagi jika perbuatan bersalaman atau bersentuhan, sedangkan perbuatan pandang memandang sahaja pun sudah ditegah.

12 – Tahlilan dan Kenduri Bacaan Doa Selamat

Amalan ini adalah merupakan bid’ah yang merupakan tokok tambah di dalam agama yang kini sangat banyak dilakukan oleh masyarakat Melayu. Untuk penjelasan lanjut berkenaan amalan ini, silakan merujuk buku kecil bertajuk “Yasinan dan Tahlilan Menurut Mazhab Syafi’e”, tulisan Abu Farouq Ustaz Rasul Dahri, terbitan Jahabersa.

13 – Sesi Nanyian-nyanyian, Muzik dan Kugiran

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Akan muncul dari umatku beberapa kaum yang menghalalkan zina, sutera, khamar (minuman keras), dan alat-alat muzik...” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5590)

Di dalam Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu menjelaskan dengan tegas bahawa muzik dan nyanyian adalah termasuk perkara yang tidak berguna.

Untuk perbahasan lebih lanjut berkenaan persoalan muzik dan nyanyi-nyanyian ini, dipersilakan merujuk kitab karya Imam Ibnul Qayyim, bertajuk Ighaatsatul Lahfan atau Syaikh al-Albani, bertajuk Tahriim Alath ath-Tharb, dan kitab syaikh al-Albani ini telah ada terjemahannya.

14 – Permainan Kuda Kepang

Permainan kuda kepang adalah merupakan amalan yang bermula dari masyarakat kaum Jawa. Ia kini agak popular di beberapa kawasan seperti di di Johor dan Selangor.

Ada pun sebenarnya, sebahagian amalan yang dilakukan di dalam permainan kuda kepang ini adalah perbuatan yang boleh membawa kepada syirik. Ini adalah disebabkan di dalamnya mengandungi perbuatan berhubungan atau berunding (mengadakan perjanjian) dengan jin dan syaitan, selain pemujaan menggunakan ayam jantan dan asap kemenyan.

Imam Abil ‘Izz al-Hanafi rahimahullah berkata:

“Cara manusia dalam mengambil kesenangan dari golongan jin adalah dengan meminta dipenuhi keperluan-keperluannya, dipenuhi kemahuannya, atau menerima berita-berita ghaib dari mereka, serta yang seumpamanya. Sedangkan cara jin mengambil kesempatan dari manusia adalah dengan pengagungan manusia terhadapnya, dengan permintaan tolong, dan permohonan keselamatan, serta ketundukan manusia kepadanya.” (Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 98, Pustaka at-Tibyan)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki dari kalangan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” (Surah al-Jin, 72: 6)

Selain itu, permainan kuda kepang ini di dalamnya juga disertai dengan pelbagai bunyi-bunyian tertentu yang menjurus kepada muzik terlarang.

15 – Bomoh Tolak Hujan

Terdapat beberapa kelompok dari kalangan masyarakat Melayu yang begitu gemar mengambil atau mengupah bomoh-bomoh tertentu supaya menjampi bagi tujuan menahan hujan dari turun. Selain itu, khidmat bomoh juga turut digunakan bagi mengesan (meramal dengan ilmu ghaib) sama ada pada tarikh atau hari-hari tertentu yang tidak akan turun hujan. Ini dilakukan dengan harapan supaya tempat diadakan majlis walimah sentiasa cerah (tidak hujan), sekaligus menjadikan majlis berjalan lancar.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri...” (Surah al-An’am, 6: 59)

Rasulullah Slallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)

Imam ath-Thahawi rahimahullah berkata di dalam Kitab aqidahnya:

“Kita tidak mempercayai (ucapan) dukun mahu pun tukang ramal (bomoh), demikian juga setiap mereka yang mengakui sesuatu yang menyelisihi al-Kitab dan as-Sunnah serta ijma’ kaum muslimin.” (Imam ath-Thahawi, Aqidah ath-Thahawiyah. Rujuk: Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 90, Pustaka at-Tibyan)

Berkenaan turunnya hujan, banyak hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyarankan kita supaya bersyukur di atas sebab turunnya hujan. Ini adalah sebagaimana di dalam doa yang dicontohkan oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat (untuk manusia, tanaman, dan binatang).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1032)

Dan penjelasan Rasulullah sendiri sebagaimana berikut:

“Kita diberi hujan adalah kerana kurnia dan rahmat Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1038)

Dan sekiranya kita memiliki rasa bimbang dan takut hujan tersebut memberikan gangguan atau sebarang kerosakan kepada kita, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah mengajarkan kepada kita bagaimanakah doa yang harus kita praktikkan.

Dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau menjelaskan doa tersebut sebagaimana berikut:

اَللَّهُمّ حَوَاليَنْاَ وَلاَعَليَنْاَ، اَللَّهُمَّ عَلىَ اْلآكاَمِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُوْنِ اْلأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami (di luar kawasan kami), bukan untuk merosakkan kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran tinggi, beberapa anak bukit, perut lembah dan beberapa tanah yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1013)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, 2: 186)

Malah, berkenaan dengan hukum berjumpa dengan bomoh, pawang, atau pun dukun yang dikatakan mampu menolak hujan dan memiliki kelebihan ilmu ghaib tertentu ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjelaskan kepada kita melalui sabdanya:

“Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)

16 – Mengambil, Melukis, dan Menggantung Gambar

Daripada Said bin Abu al-Hasan, “Ketika aku bersama Ibnu ‘Abbas, seorang lelaki datang dan berkata, “Wahai Ibnu Abbas, pendapatan (periuk nasi) aku adalah dari hasil kerja tanganku dan kerjaku adalah membuat gambar-gambar ini”. Ibnu ‘Abbas berkata, “Aku sekadar memberi tahu apa yang aku dengar dari Rasulullah. Aku mendengar beliau bersabda, “Sesiapa membuat gambar dia akan di-azab oleh Allah sehingga dia mampu menghidupkannya dan sesungguhnya dia tidak akan berupaya untuk menghidupkannya”. Mendengarkan hal ini, lelaki itu menarik nafas panjang (mengeluh) dan mukanya menjadi pucat. Ibnu ‘Abbas berkata padanya, “Jika kamu masih tetap mahu untuk membuat gambar-gambar, aku nasihatkan agar kamu membuat gambar-gambar pokok (tumbuh-tumbuhan) dan sebarang gambar yang bukan berupa dari makhluk bernyawa”.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2110)

Daripada Ibnu ‘Abbas, “Abu Talha, seorang sahabat Rasulullah dan seorang sahabat yang pernah bersama dalam peperangan badar memberitahu kepadaku bahawa Rasulullah berkata, “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar.” Yang dia maksudkan adalah gambar yang menyerupai makhluk bernyawa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Secara ringkasnya:

1 – Dilarang melukis, menggantung, dan membuat gambar berupa makhluk bernyawa seperti manusia atau haiwan, atau apa sahaja yang menunjukkan ia sebagai makhluk bernyawa.

2 – Dibolehkan melukis atau membuat gambar selain makhluk bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, air terjun, bangunan dan kenderaan.

3 – Pengambilan gambar hanya diizinkan untuk perkara yang benar-benar mendesak lagi memerlukan seperti untuk tujuan passport.

4 – Tidak dibenarkan untuk mengambil gambar bagi tujuan kenang-kenangan sebagaimana yang difatwakan oleh Syaikh Ibnu Bazz.

Untuk perbahasan lebih lanjut berkenaan dengan hukum mengambil, melukis, menggantung, atau membuat gambar ini, dipersilakan merujuk tulisan bertajuk, “Lukisan/Gambar: Larangan Membuat dan Menggantungnya”.

17 – Upacara Memotong Kek Perkahwinan

Perbuatan ini juga bukan berasal dari syari’at Islam, bahkan berasal dari budaya orang kafir dari masyarakat Kristian. Malah ia juga menyerupai atau mengambil syi’ar kaum Majusi (penyembah api) sekiranya kek tersebut disertai dengan nyalaan lilin.

18 – Berbelanja Besar Untuk Set Pakaian

Di dalam Islam, kita dituntut untuk bersederhana di dalam segala perkara yang kita laksanakan. Kita juga tidak digalakkan untuk membazir dan berlebih-lebihan.

Suatu yang kini semakin menjadi trend di dalam masyarakat Melayu saat ini adalah menetapkan bahawa pasangan pengantin di ketika majlis perkahwinan mereka mestilah memakai pakaian yang sedondon seperti memakai pakaian yang sama warnanya dengan pasangan, memakai pakaian yang mesti dilengkapi dengan tanjak, keris, dan bunga-bungaan. Jika keadaan tersebut berlaku sebaliknya, di mana pasangan pengantin tidak mengenakan set pakaian seperti itu, maka mereka pun akan dilihat sebagai janggal dan diejek sebagai tidak mengenal atau tidak menghormati adat.

Ada pun sebenarnya penetapan seperti ini adalah termasuk ke dalam perbuatan berlebih-lebihan dan boleh menjurus kepada larangan agama. Cukuplah sekadar berpakaian dengan pakaian yang melambangkan akhlak, imej, dan nilai-nilai Islam yang murni. Dan Islam itu bukanlah suatu agama yang memberat-beratkan umatnya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah al-A’raaf, 7: 26)

“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raaf, 7: 31)

Demikianlah beberapa contoh perkara-perkara mungkar dan tokok tambah yang pada masa ini begitu popular dilakukan (dipraktikkan) di dalam masyarakat umat Islam Melayu di kebanyakkan majlis-majlis perkahwinan mereka. Walau bagaimana ia berlaku dan dipopularkan sekali pun, ia tetap tidak dibenarkan menandingi apa yang telah disyari’atkan dan dicontohkan oleh Nabi kita, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan sesungguhnya agama ini telah pun sempurna tanpa perlu ditokok tambah dengan pelbagai bentuk kehendak citarasa serta nafsu manusia.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagimu.” (Surah al-Ma’idah, 5: 3)

Dan suatu yang paling penting di dalam beragama ini, bukanlah kata-kata dan perbuatan manusia yang menjadi ukuran, tetapi yang perlu kita tekankan adalah sejauh mana kita teguh di dalam sebuah pendirian di atas sebuah kebenaran yang ditegakkan di atas dalil-dalil dari perkataan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (al-Qur’an) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah kalimat-kalimat-Nya dan Dia lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Surah al-An’am, 6: 115-116)

Sebagai penutup, sekali lagi penulis jelaskan bahawa sebenar-benar perkataan adalah perkataan Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)

Dan,

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingat Allah.” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)

Bersama-samalah kita mencari redha dari Allah sebagaimana cara yang telah Dia tunjukkan melalui Kitab-Nya dan Rasul-Nya. Mulakanlah alam rumahtangga kita di atas keredhaan-Nya dan hindarilah dari kemurkaan-Nya.

Wallahu a’lam...


@Nawawi Subandi,
YM: nawie83@yahoo.com
http://an-nawawi.blogspot.com
http://galeriniaga.blogspot.com

src : Taman2Syurga at yahoogroups dot com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Contributors

 **Note:

For those who wants to use or spread contents in this blog, please proceed without my permission. Shukran Jazilan.

geocounter

Doa Qunut Nazilah

“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

BlogTopSites