4ayesha

Daripada ABU HURAIRAH r.a, RasuluLLah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang menyeru (manusia) kepada hidayah, maka baginya pahala sebanyak pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka." Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab al-'Ilm (2674), Imam Malik dalam Muattha'(2674), Ahmad (9171), Abu Dawud (4609), Turmudzi (2674), ad-Darimi (513), ibnu Majah (206), ibnu Hibban (112), al-Bagahwi (109)

Followers



Oleh : Prof. Madya Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin

Panel Penulis JAKIM

Pada awal abad yang ketujuh Masehi, masyarakat dunia berada di pintu kehancuran. Kuasa dunia pada abad tersebut yang terdiri dari Kerajaan Empayar Rom (509SM-453M) dan Kerajaan Empayar Farsi (700SM-641M) telah menjunam jatuh akibat rebutan kuasa dan perpecahan di sana sini. Masyarakat Arab yang menghuni Semenanjung Tanah Arab lebih teruk menghadapi keruntuhan akibat daripada keruntuhan moral dan sifat taksub kepada kabilah dan puak. Dunia dalam bahaya kerana keadaan masyarakatnya tidak stabil lantaran kehilangan tonggak pegangan dan moral.

Allah Maha Adil dan Maha Penyayang kerana tidak membiarkan masyarakat manusia terus hancur dan musnah. Allah s.w.t mengutuskan seorang rasul-Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam mengimbau kembali peristiwa tersebut, Allah s.w.t menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

'Dan berpegang teguhlah kepada Tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan antara hati kamu (hingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (melalui Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya'

(Ali ‘Imran:103)

Ayat tersebut antara lain menjelaskan bahawa keadaan manusia yang hampir-hampir rosak binasa dan akan menerima akibat yang lebih buruk di akhirat telah diselamatkan menerusi pengutusan rasul untuk memandu mereka ke jalan yang benar dan akhirnya mereka terselamat.

Bagi mengubah masyarakat supaya berada dalam keadaan selamat, Rasulullah s.a.w telah berhempas pulas mengorbankan segala apa yang ada dan ini diikuti pula oleh sahabat-sahabat baginda yang setia. Dalam tempoh 23 tahun, usaha tersebut dicurahkan oleh baginda dan akhirnya mencapai matlamat iaitu berjaya mengubah dan menyelamatkan masyarakat dunia dari kehancuran dan kerosakan.

Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w membuat perbandingan tentang usahanya itu yang bermaksud:

'Antara aku dan kamu diumpamakan seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Maka datanglah segala unggas dan binatang-binatang kecil yang berterbangan lalu jatuh ke dalamnya, sedangkan lelaki itu berusaha untuk menahan benda-benda tersebut dari jatuh ke dalamnya. Aku memegang dengan kuat ikatan pinggang kamu supaya tidak jatuh ke dalam api, sedangkan kamu terlepas dari peganganku.'

Hadith ini menggambarkan keadaan manusia yang menuju kepada kebinasaan sedangkan mereka tidak mengetahuinya. Manakala Rasulullah s.a.w pula berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka agar terlepas dari kebinasaan itu. Akhirnya masyarakat Islam di Semenanjung Tanah Arab telah dapat mencabar kuasa dunia iaitu Rom dan Farsi seterusnya muncul selepas itu sebagai sebuah masyarakat yang mengambil alih kuasa dunia.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a berjaya mengubah masyarakat dari sudut kepercayaan, sikap, moral, cara berfikir dan segala-galanya, termasuk perubahan pengorbanan daripada tertumpu kepada sesama manusia kepada tertumpu kepada Allah. Masyarakat manusia berjaya dipindahkan dari dua keadaan yang perbezaannya sangat jauh.

Dalam menyusuri perkembangan sejarah, selepas kejayaan kali pertama maka masyarakat Islam mengharungi jatuh bangun dalam pentas pergolakan dunia dan ia berkait rapat dengan komitmen mereka terhadap agama Islam yang suci. Era kemalapan umat Islam kali terakhir berlaku pada awal abad ke-20. Sejak kejatuhan Khalifah Uthmaniah di Turki pada tahun 1924, masyarakat Islam semakin terumbang-ambing di gelanggang dunia. Kini masyarakat Islam masuk ke era kelemahan dan keruntuhan yang menyeluruh. Masyarakat Islam yang berpecah-pecah berdasarkan kawasan dan negara, menjadi sebuah masyarakat yang sentiasa dicabar dan dihina di mana-mana. Menjelang abad ke-21, masyarakat Islam diganyang di merata-rata seperti di Yugoslavia, Iraq, Palestin, Kosovo dan di seluruh pelosok dunia. Apa yang berlaku sekarang jelas sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud:

'Hampir-hampir seluruh umat mengeliling kamu sepertimana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka.' Ada yang bertanya, 'Apakah itu disebabkan bilangan kita kurang?' Nabi s.a.w menjawab: 'Bilangan kamu pada ketika itu ramai tetapi seperti buih. Allah mencabut dalam hati seteru kamu perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-wahn dalam hati kamu.' Ada yang bertanya: 'Apa al-wahn itu wahai Rasulullah?' Jawab Baginda: 'Cintakan dunia dan bencikan mati.'

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa sampai suatu masa orang-orang Islam samalah seperti satu hidangan yang dikelilingi oleh sekumpulan orang yang lapar lagi gelojoh makan. Tiada sedikitpun perasaan bimbang dalam hati orang bukan Islam untuk melakukan apa sahaja yang disukai terhadap orang-orang Islam kerana mereka sangat lemah.

Ada bermacam-macam jawapan apabila ditanya sebab kelemahan masyarakat Islam sekarang. Ada yang berpendapat ia berpunca dari kelemahan politik dan perpecahan di kalangan masyarakat Islam. Ada yang berpendapat kerana kelemahan ekonomi, kelemahan pendidikan dan pencapaian ilmu ataupun kerana kelemahan dalam pencapaian sains dan teknologi. Ada yang memberikan alasan kerana kelemahan iman atau kerana tidak mengikut arahan agama dan bermacam-macam lagi.

Namun berdasarkan hadith itu tadi, jelas menunjukkan bahawa sebab kelemahan masyarakat Islam ialah hilangnya semangat berkorban dari dalam diri mereka. Umat Islam sudah tidak sanggup berkorban untuk tidak cintakan dunia atau berkorban untuk tidak takut mati. Mereka cintakan dunia sehingga sanggup memilihnya dengan membelakangkan kepentingan agama. Mereka juga takutkan mati apabila dituntut oleh agama bangun memperjuangkan sesuatu kebenaran. Inilah sifat-sifat negatif yang menjangkiti umat Islam.

Roh Ma’al Hijrah memerlukan setiap umat Islam berkorban untuk berpindah daripada bentuk negatif yang ada dalam diri mereka kepada bentuk-bentuk positif yang selaras dengan Islam. Berkorban ataupun jihad perlu tersemai di dalam jiwa masyarakat Islam sama ada dari sudut pengertian mahupun sikap.

Masyarakat Islam kini agak jauh terpesong dari landasan agamanya. Sebagai contoh, sungguhpun agama menuntut agar umatnya menuntut ilmu, tetapi kenyataan yang ada, sehingga kini sebahagian besar masyarakat Islam adalah buta huruf. Islam juga menuntut umatnya bersatu padu. Namun realiti masa kini umat Islamlah yang paling ramai berpecah belah. Demikianlah juga, Islam menuntut umatnya supaya rajin, berdisiplin dan menjaga masa tetapi orang Islamlah yang kurang berusaha, tidak berperaturan dan suka membuang masa.

Jika dilihat kepada dasar-dasar ajaran Islam itu sendiri, peluang orang Islam untuk maju dan mulia dalam dunia masa kini amatlah cerah. Ini kerana orang Islam mempunyai aset yang mencukupi dalam rangka untuk menempah kemajuan iaitu dorongan dari ajaran Islam dan aset material.

Aset galakan dan dorongan agama ini dapat dilihat dengan jelas di mana Islam sangat mementingkan ilmu dan mewajibkan ke atas setiap umatnya menuntut ilmu. Agama juga menuntut orang Islam sentiasa membina kekuatan dan kemuliaan. Kewajipan ini mendorong kuat umat Islam berusaha mencapai kekuatan dan kemuliaan pada setiap masa dan ketika. Ajaran Islam juga sangat mementingkan pegangan hidup yang mantap dan akhlak mulia. Islam juga mewajipkan umatnya menjalankan aktiviti kehidupan dengan bersih, ikhlas dan amanah.

Oleh itu, galakan-galakan seperti ini sangat penting dan menjadi modal yang besar kepada masyarakat Islam dalam mengembalikan keagungan dan kegemilangan zaman emas umat Islam.

Di samping itu, umat Islam memiliki aset material yang besar dan utama yang tidak dimiliki oleh kuasa kuffar. Petroleum, gas asli, bahan galian, sumber air, hasil hutan, bahan makanan, bilangan penganut dan banyak lagi adalah sumber kekuatan umat yang sentiasa menjadi bahan rebutan dan eksploitasi oleh golongan kuffar. Dengan adanya aset-aset tersebut dan manfaat secukupnya maka tidak mustahil masyarakat Islam menjadi satu masyarakat yang kuat dan maju sebagaimana yang pernah ditempa pada suatu ketika dahulu.

Perpindahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a dari kota Mekah ke Madinah dan sebelumnya perpindahan sesetengah sahabat dari Mekah ke Habsyah, merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing dalam Islam dan ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri.

Untuk terus maju dan mencapai kemuliaan, masyarakat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dan hanya menyerah kepada takdir. Umat Islam dahulu telah berjihad secara habis-habisan, maka sebab itulah mereka berjaya meletakkan Islam di tempat yang mulia dan sepatutnya. Kini giliran kita memberi sumbangan kepada agama yang suci ini agar ia terus berkembang dan dihormati. Sesungguhnya bumi ini dan segala apa yang ada padanya adalah hak kepunyaan umat Islam. Di tangan orang Islamlah selayaknya ia harus ditadbirkan. Firman Allah s.w.t yang maksudnya:

'Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz, bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh'

(al-Anbiya’:105)

Ayat tersebut menjelaskan kepada orang Islam tentang hak mereka mewarisi pentadbiran bumi ini, tetapi dengan syarat bahawa mereka terdiri dari golongan orang-orang yang soleh. Jika syarat tersebut luput, maka mereka tidak berhak apatah lagi layak mendapatkannya.

Bagi melepaskan diri dari kongkongan kelemahan dan kehinaan, maka umat Islam perlu melihat hijrah dalam pengertiannya yang luas iaitu perubahan diri menuju kepada kegemilangan di dunia dan di akhirat. Untuk itu maka langkah yang perlu diatur mestilah mengandungi kefahaman yang jelas dan gerak kerja yang teratur dan betul.

Perubahan ke arah kemajuan dan kemuliaan ummah bermula dengan pengisian kefahaman bahawa Islam adalah agama yang agung dan mulia maka umatnya juga jelas adalah umat yang agung dan mulia. Namun ia hanya dapat dicapai menerusi kekuatan spiritual, moral, fizikal, dan daya cipta serta kesatuan umat itu sendiri. Masyarakat Islam juga wajib memahami bahawa segala ilmu yang baik dan berfaedah kepada manusia adalah termasuk ke dalam ilmu yang disukai dan dituntut oleh Islam. Oleh itu, menuntut ilmu yang bermanfaat adalah satu kewajipan dan dikira berdosa mereka yang mengabaikannya. Masyarakat juga perlu memahami bahawa mereka merupakan pewaris yang sah kepada kepimpinan bumi ini. Tanpa pertunjuk dan panduan hidup dari Allah Tuhan semesta alam, mustahil kaum lain yang mensyirikkan Allah s.w.t layak mentadbir bumi yang diciptakan-Nya.

Di samping kefahaman, beberapa gerak kerja juga harus diatur oleh masyarakat Islam untuk tujuan kemajuan dan kemuliaan Islam iaitu menceburkan diri dalam pelbagai kajian dan penemuan dengan lebih kuat daripada masyarakat lain, asalkan ianya berfaedah dan tidak bercanggah dengan batas-batas syarak. Masyarakat Islam juga perlu bergerak dan bekerja secara terbuka tanpa terikat dengan kongkongan pemikiran yang sempit dan merugikan. Dan juga perlu menghidupkan dan menghayati semangat jihad iaitu bersungguh-sungguh dan berkorban dalam mencapai cita-cita murni yang bertepatan dengan Islam. Umat Islam tidak dapat tidak mesti memperkukuhkan tonggak kekuatan yang terdiri dari kekuatan akidah, fizikal dan material. Mereka juga perlu mempertingkatkan usaha melahirkan masyarakat yang soleh dan seimbang dari segi rohani dan jasmani kerana ia menjadi syarat mewarisi teraju kepimpinan bumi ini.

Masyarakat Islam yang kian pudar dan kian hilang kekuatan tidak boleh dibiarkan terus berada dalam keadaan seperti ini. Masyarakat Islam pada hakikatnya mempunyai aset dan sumber kekuatan yang perlu digerakkan dan dimanfaatkan demi kemajuan dan kemuliaan umat. Kita mampu berbuat demikian jika kita mahu kerana bekalan sudah tersedia. Jika generasi awal umat Islam boleh melakukannya maka mengapa kita tidak boleh. Sesungguhnya Ma’al Hijrah merupakan titik tolak yang paling sesuai ke arah itu.

src : http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=493



Segala puji bagi-MU, YA ALLAH..
yang pertama..tanpa ada yang mengawalnya...
yang terakhir..tanpa ada yang mengakhiri...
yang tak terlihat oleh pandangan orang yg memandang...
yang tak tergambarkan oleh bayang..orang yang membayangkan..

ENGKAU ciptakan makhluk dengan kekuasaan-MU
ENGKAU ciptakan segala sesuatu dengan kehendak-MU
Segala puji YA ALLAH...
yang memberi kami kemampuan utk mensyukuri nikmat-MU
yang membuka bagaikan pintu-pintu ilmu ke-ilahi-an-MU

Segala puji YA ALLAH..
dengan segenap pujian..yang dikumandangkan..
para malaikat,dan para makhluk yang dimuliakan....

Segala puji bagi-MU...
atas nikmat yang KAU berikan..
kepada kami,hamba-hamba yang telah mendahului...maupun yang akan datang kemudian...
pujian kami aturkan kepada-MU..sebagai penghubung utk mentaati-MU..
dan meminta ampunan..sebagai penyebab memperolehi redho penghantar jalan menuju syurga...

Segala puji bagi-MU YA ALLAH...
KAU ciptakan kami sebagai hamba-MU...
dan sebagai ummat NABI MUHAMMAD S.A.W. , kekasih-MU.....

credit: Dr. Ary Ginanjar Agustian

src : http://gbmiu.blogspot.com/2009/04/segala-puji-bagi-mu.html



Kembali pada Mu…
Alangkah susahnya mendidik hati...
Sedangkan ia adalah pandangan Tuhan...
Menjadi wadah rebutan malaikat & syaitan...
Alangkah susahnya mendidik hati...
Bila dipuji sombong mengisi diri...
Bila diuji pencaci dibenci...
Hingga berdendam sampai mati...
Didiklah hati...
Menuju jalan kebenaran...
Demi mencari redha Ilahi...

Allahu ma'i,
Allahu nazirun ilayya,
Allahu syahidi...

Manusia adalah insan kerdil yg cenderung melakukan kesilapan,
Berdampinglah kamu dgn insan-insan yang mampu menasihatimu apabila kamu melakukan kesalahan,
Serta insan yang mampu menerima teguran apabila dia melakukan kesilapan,
Kerana manusia itu diciptakan saling memerlukan antara satu sama lain..

Sahabat...
Jika hari ini aku terlalu gembira..
Sedarkanlah aku dengan amaran-amaran Allah..
Jikaku bersedih tanpa kata...
Pujuklah aku dengan tarbiyah Pencipta..
Jikaku lemah tak berdaya..
Ingatkanlah aku dengan kehebatan Syurga..
Jika antara kita ada tembok yang memisah...
Ajaklah aku meleraikannya segera..
Jika pernah hatimu terluka disebabkan daku...
Luahkanlah agar aku mengubah diriku..
Dan jika esok kulena tanpa terjaga..
Iringilah lenaku dengan kalungan doa..
Semoga ukhwah sentiasa dipeliharaNya...

Ingatlah,
Dalam kita melangkah...
Terkadang di uji dgn ujian yg terasa berat hingga kita terduduk & menangis...
Peritnya terasa...
Tapi ketahuilah & renungilah kembali ke dalam diri kerana mungkin air mata ketika itu hadir kerana DIA mahu kita menjahit kembali...
sejarah iman yg kian terkoyak
Lantaran ada langkah-langkah yg tersasar dari keikhlasan...
Semoga kita tabah & ditetapkan iman...

Ya Allah,
Sesungguhnya kerana Mu lah kami di sini,
dan sesungguhnya, kepada Mu lah kami Kembali,
Maka,
Bila tiba saatnya nanti,
Sehingga tiba detik itu,
Ku mohon agar Kau pelihara lah diri kami ini...

Ameen~

src : http://theunutterablebeautyofphrases.wordpress.com/



" Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya. ( Taubat Nasuha) mudah-mudahan Tuhan akan menghapuskan dosa-dosa kamu dan akan memasukkan kamu didalam syurga yang mengalir sungai dibawahnya…"
AT-Tahrim ayat 8.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah Azawajala membuka lebar tangan untuk menerima taubat orang-orang yang melakukan kejahatan di waktu malam hingga kesiang hari, dan menerima taubat orang yang berbuat jahat waktu siang hingga malamnya, sehingga sampai terbit matahari di sebelah barat (yakni apabila pintu taubat telah tertutup).

1. Taubat ialah kembali daripada keburukan kepada kebaikan dengan beberapa syarat yang tertentu.

2. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

” Dan mohonlah ampun kepada Allah , sesungguhnya ia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani ”.
( Surah Al – Muzammil - Ayat 20 )

3. Syarat-syarat taubat adalah seperti berikut :

Meninggalkan maksiat atau perkara dosa tersebut. Menyesal atas maksiat atau dosa yang telah dilakukan. Bercita-cita tidak akan mengulanginya lagi. Mengembalikan hak-hak makhluk yang dizalimi. Mengerjakan perkara-perkara fardhu yang telah luput.

4. Setiap manusia tidak dapat mengelakkan dirinya daripada tersalah dan terlupa, melainkan manusia yang Ma’asum ( terpelihara daripada dosa ) seperti rasul-rasul dan nabi-nabi.

5. Seseorang itu hendaklah bersungguh-sungguh memelihara diri daripada dosa iaitu dengan memelihara seluruh anggota daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama.

6. Beberapa faedah dan hikmah taubat iaitu:

Menghidupkan jiwa yang resah kerana dosa. Mendekatkan diri kepada Allah S.W.T .
Meningkatkan ketaqwaan diri. Membenteras tipu-daya syaitan yang selama ini memerangkap manusia dengan berbuat dosa dan maksiat. Memperolehi kemuliaan dan anugerah Allah S.W.T. dalam hidup di dunia dan akhirat.
Dipetik daripada - Hidup Bertaqwa Oleh Dato’ Hj. Ismail bin Hj. Kamus M/S 269 - 273)

src : http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/tasawwuf/taubat.htm



1. Syarrut ta‘am (banyak makan)

Iaitu terlampau banyak makan atau minum ataupun gelojoh ketika makan atau minum.

Makan dan minum yang berlebih-lebihan itu menyebabkan seseorang itu malas dan lemah serta membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan kita lalai daripada menunaikan ibadah dan zikrullah.

Makan dan minum yang berlebih-lebihan adalah ditegah walaupun tidak membawa kepada lali daripada menunaikan ibadah kerana termasuk di dalam amalan membazir.

2. Syarrul kalam (banyak bercakap)

Iaitu banyak berkata-kata atau banyak bercakap.

Banyak berkata-kata itu boleh membawa kepada banyak salah, dan banyak salah itu membawa kepada banyak dosa serta menyebabkan orang yang mendengar itu mudah merasa jemu.

3. Ghadhab (pemarah)

Ia bererti sifat pemarah, iaitu marah yang bukan pada menyeru kebaikan atau menegah daripada kejahatan.

Sifat pemarah adalah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Oleh kerana itu, seseorang yang tidak mempunyai sifat pemarah akan dizalimi dan akan dicerobohi hak-haknya.

Sifat pemarah yang dicela ialah marah yang bukan pada tempatnya dan tidak dengan sesuatu sebab yang benar.

4. Hasad (dengki)

Iaitu menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.

Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah subhanahu wata‘ala kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.

Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.

5. Bakhil (kedekut)

Iaitu menahan haknya daripada dibelanjakan atau digunakan kepada jalan yang dituntut oleh agama.

Nikmat yang dikurniakan oleh Allah subhanahu wata‘ala kepada seseorang itu merupakan sebagai alat untuk membantu dirinya dan juga membantu orang lain. Oleh yang demikian, nikmat dan pemberian Allah menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan dan dibelanjakan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah subhanahu wata‘ala.

Lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang menyempurnakan agama seperti zakat, mengerjakan haji dan memberi nafkah kepada tanggungan, maka menahan hak atau harta tersebut adalah suatu kesalahan besar di sisi agama.

6. Hubbul jah (kasihkan kemegahan)

Iaitu kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat.

Perasaan inginkan kemegahan dan pangkat kebesaran menjadikan perbuatan seseorang itu tidak ikhlas kerana Allah.

Akibat daripada sifat tersebut boleh membawa kepada tipu helah sesama manusia dan boleh menyebabkan seseorang itu membelakangkan kebenaran kerana menjaga pangkat dan kebesaran.

7. Hubbud dunya (kasihkan dunia)

Ia bermaksud kasihkan dunia, iaitu mencintai perkara-perkara yang berbentuk keduniaan yang tidak membawa sebarang kebajikan di akhirat.

Banyak perkara yang diingini oleh manusia yang terdiri daripada kesenangan dan kemewahan. Di antara perkara-perkara tersebut ada perkara-perkara yang tidak dituntut oleh agama dan tidak menjadi kebajikan di akhirat.

Oleh yang demikian, kasihkan dunia itu adalah mengutamakan perkara-perkara tersebut sehingga membawa kepada lalai hatinya daripada menunaikan kewajipan-kewajipan kepada Allah.

Namun begitu, menjadikan dunia sebagai jalan untuk menuju keredhaan Allah bukanlah suatu kesalahan.

8. Takabbur (sombong)

Iaitu membesarkan diri atau berkelakuan sombong dan bongkak.

Orang yang takabbur itu memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan rendah pangkat.

Sifat takabbur ini tiada sebarang faedah malah membawa kepada kebencian Allah dan juga manusia dan kadangkala membawa kepada keluar daripada agama kerana enggan tunduk kepada kebenaran.

9. ‘Ujub (bangga diri)

Iaitu merasai atau menyangkakan dirinya lebih sempurna.

Orang yang bersifat ‘ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan.

Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.

10. Riya’ (menunjuk-nunjuk)

Iaitu memperlihatkan dan menunjuk-nunjuk amalan kepada orang lain.

Setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk akan hilanglah keikhlasan dan menyimpang dari tujuan asal untuk beribadah kepada Allah semata-mata.

Orang yang riya’ adalah sia-sia segala amalannya kerana niatnya telah menyimpang disebabkan inginkan pujian daripada manusia.

src : http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/tasawwuf/mazmumah.htm



Mengumpat adalah perbuatan yang tercemar, semua manusia ada celanya. Seperti diri kita sendiri tidak suka diumpat dibelakang. Peliharalah lidah dari membicara keaiban orang lain samada dikenali atau tidak. Juga jauhi perkara yang sebangsa dengannya iaitu menfitnah, membusukan orang lain. Jangan mengotori diri dengan perbuatan begini. Dan usahlah merasa iri hati terhadap teman yang mendapat kurnia dari ALLAH yang telah dilimpahkan ALLAH terhadapnya.

Tidak ada faedah terhadap diri kita, apa yang dapat hanya terasa jiwa yang resah, hati dibaluti selimut kekotoran. Merupakan lambang betapa jeleknya seseorang itu. Kenikmatan orang lain tidak akan berpindah pada kepada kita. Kedengkian itu dapat merosakkan iman, bagaikan badam merosak madu. Begitu juga dengan bersikap sombong selalu menyakiti orang yang paling dicintai iaitu diri sendiri.

Firman ALLAH yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.- Al-Hujurat:12

src : Taman2 Syurga at yahoogroups dot com



Dari Ali RA meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda; Doa adalah senjata bagi orang mukmin, tiang bagi agama dan nur bagi langit dan bumi.

[Hadis Riwayat Hakim]

Sebaik-baik doa yang perlu engkau panjatkan kepada Allah, adalah apa yang Allah perintahkan kepadamu.
(Ibnu Athaillah)

Doa yang perlu dipohonkan pada Allah adalah supaya minta di- kuatkan iman, diberi ketaatan pada semua perintah dan larangan, serta istigamah dalam pengabdian.

Dan juga untuk meminta rahmat dan redha Allah. Inilah cita-cita tertinggi yang perlu dimiliki seorang Muslim. Nikmat yang Allah kurniakan kepada kita sebenarnya jauh
lebih besar daripada nikmat yang kita minta. Saat kita meminta rezeki, pada saat bersama rezeki yang Allah curahkan kepada kita jauh lebih melimpah. Saat kita meminta kebaikan, pada saat bersama kebaikan yang Allah berikan jauh lebih banyak dari yang kita duga. Cuma kerana, keterbatasan ilmu dan ketertutupan mata hati, membuat kita jarang menyadari besarnya kurnia tersebut.

Saat kita meminta redha Allah, maka saat itu kita telah meminta hal paling berharga dalam hidup. Sebab, tidak ada gunanya harta, pangkat, kedudukan, ketampanan, atau apa pun, bila Allah tidak redha kepada kita. Bila Allah sudah redha, maka semuanya akan jadi mudah. Dunia dan akhirat insya-Allah akan kita dapat nikmat dari ALLAH.

src : Taman2 Syurga at yahoogroups dot com



Allah SWT mencela orang yang mengumpat bagaikan memakan bangkai:
Janganlah setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati (bangkai)?
(Quran surah al-Hujurat, ayat 12)

RasulAllah SAW bersabda;
Setiap muslim haram darah, harta dan harga dirinya atas muslim yang lain.

Baginda SAW juga bersabda;
Takutlah mengumpat. Ia lebih buruk daripada zina. Lelaki berzina lalu bertaubat, maka Allah menerima taubatnya. Sedangkan Allah SWT tidak mengampuni orang yang mengumpat sebelum orang yang diumpatnya memaafkannya.

Mereka berkata, “Orang yang mengumpat manusia ibarat melepaskan peluru kekanan dan kekiri. Seperti itu dia melemparkan akan kebaikannya (hilanglah segala kebaikannya).

Telah bersabda Rasulullah SAW yang maksudnya;
Sesiapa yang mengumpat, bermaksud menghinakan saudaranya, Allah SWT meletakkannya dijambatan neraka pada hari kiamat. Hingga bebas dari apa yang dikatakannya.

Juga Baginda SAW bersabda yang maksudnya;
Mengumpat itu menuturkan keburukan kepada saudaramu samada badan, nasab, perbuatan, ucapan, agama, dunia, bahkan baju, selendang atau tunggangannya.

Hingga sesetengah orang yang terdahulu berkata, “Jika kau katakan pakaian; Pakaian sifulan kebesaran atau kekecilan (pakaiannya kecil atau besar), itupun termasuk mengumpat. Apa lagi jika kau sebut sesuatu yang menyakitkannya”.

Dirawikan bahawa seorang perempuan yang pendek telah datang kepada RasulAllah SAW untuk sesuatu keperluan. Setelah dia beredar, Aisyah r.ha berkata, “Wah, pendeknya dia!” Segera RasulAllah SAW berkata, “Engkau telah mengumpat wahai Aisyah!” Telah bersabda RasulAllah SAW;
Jangan kalian mengumpat. Didalamnya terdapat tiga keburukan; Doanya tidak dimakbulkan, kebaikannya tidak diterima, dan akan ditimpakan kepadanya keburukan orang yang diumpat.

Baginda RasulAllah SAW bersabda dalam mencela tukang fitnah;
Manusia terburuk dihari kiamat ialah bermuka dua. Iaitu tukang fitnah. Dia datang pada mereka dengan suatu muka, dan datang pada yang lain dengan muka yang lain pula. Sesiapa yang bermuka dua didunia, (maka) dihari kiamat (dia akan) berlidah dua dari api.

Diceritakan dari Amr bin Dinar, dia berkata, “Seorang lelaki Madinah ada saudara perempuan disuatu kampung sedang sakit. Lelaki itu menziarahi dan menunggunya sampai meninggal dunia. Dia mengucapkan takziah dan menghantarnya sampai kekubur. Setelah selesai, dia kembali kepada keluarganya. Kemudian dia teringat akan dompetnya tertinggal dalam kubur. Dia meminta tolong dari temannya. Temannya itu bersegera berangkat menggali kubur dan menemukan dompetnya. Lelaki itu tadi berkata, “Bagaimana keadaan saudaraku?” Lalu temannya itu membuka sebahagian lubang. Tiba-tiba api menyala-nyala. Segera lelaki itu kembali kepada ibunya dan bertanya, “Ceritakan padaku apa cela saudaraku?” Ibunya berkata, “Saudaramu suka pergi kerumah jiran menceritakan keburukan orang untuk menyebarkan fitnah”. Jelaslah bahawa hal itulah yang menyebabkan akan seksa kubur. Siapa ingin selamat, hendaklah tinggalkan mengumpat dan memfitnah”.

Abu Hafsh al-Kabir berkata, “Aku tidak berpuasa Ramadhan lebih kusukai daripada daku mengumpat orang”, lalu dia berkata, “Sesiapa yang mengumpat seorang faqih, dihari kiamat dia datang dan tertulis dimukanya – Orang ini terputus daripada rahmat Allah”.

Telah berkata Ka’ab ra., “Kubaca sebahagian kitab – Barangsiapa yang mati bertaubat dari mengumpat, (maka) dia orang terakhir yang akan masuk syurga. Barangsiapa yang mati (dalam keadaan) membiasakan mengumpat, (maka) dia orang yang pertama masuk neraka”.

Allah SWT berfirman;
Celakalah untuk tiap-tiap orang pengumpat dan pencela.
(Quran Surah Al-Humazah, ayat 1)

Wajiblah bagi orang yang mengumpat menyesal dan bertaubat agar keluar dari hak Allah. Kemudian meminta halal atas kezalimannya terhadap orang yang diumpat.

Telah bersabda RasulAllah SAW;
Sesiapa yang mengumpat saudara muslimnya, Allah SWT akan memindahkan muka keduburnya pada hari kiamat.

Rujukan:
Terjemahan Kitab Mukashafah Al-Qulub, karangan Imam Al-Ghazali.

src : Taman2 Syurga at yahoogroups dot com


HADIS QUDSI
Allah 'Azza Wa Jalla berfirman:

1. Wahai anak Adam, berkhidmatlah kepada Ku, kerana sesungguhnya Aku kasih kepada orang yang berkhidmat kepada Ku dan Aku menjadikan para hambaKu akan berkhidmat (pula) kepadanya.
2. Maka sesungguhnya engkau tidaklah mengetahui kedudukan maksiat yang telah engkau lakukan terhadapKu dalam perhitungan telah berlalunya umur engkau, dan engkau tidaklah mengetahui kedudukan maksiat terhadapKu yang engkau akan lakukan dalam tempoh baki umur engkau.
3. Sesungguhnya Aku adalah Maha Melakukan apa yang Aku kehendaki.
4. Sembahlah Aku, kerana sesungguhnya engkau adalah seorang hamba yang hina dina, sedangkan Aku adalah Tuhan Yang Maha Besar.
5. Seandainya bahawa saudara saudara engkau dan kekasih kekasih engkau di kalangan anak anak Adam terhidu bau dosa dosa engkau dan mereka ternampak akan engkau akan apa Aku lebih mengetahui daripadanya (bau tersebut), pasti tidaklah mereka duduk bersama engkau dan tidak lah mendekati engkau.
6. Maka betapakah keadaannya, sedangkan dosa itu bertambah pada setiap hari, padahal pada setiap hari umur engkau makin berkurangan sejak engkau dilahirkan oleh ibu engkau.

src : Taman2 Syurga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Contributors

 **Note:

For those who wants to use or spread contents in this blog, please proceed without my permission. Shukran Jazilan.

geocounter

Doa Qunut Nazilah

“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

BlogTopSites