Taubat
" Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya. ( Taubat Nasuha) mudah-mudahan Tuhan akan menghapuskan dosa-dosa kamu dan akan memasukkan kamu didalam syurga yang mengalir sungai dibawahnya…"
AT-Tahrim ayat 8.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah Azawajala membuka lebar tangan untuk menerima taubat orang-orang yang melakukan kejahatan di waktu malam hingga kesiang hari, dan menerima taubat orang yang berbuat jahat waktu siang hingga malamnya, sehingga sampai terbit matahari di sebelah barat (yakni apabila pintu taubat telah tertutup).
1. Taubat ialah kembali daripada keburukan kepada kebaikan dengan beberapa syarat yang tertentu.
2. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
” Dan mohonlah ampun kepada Allah , sesungguhnya ia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani ”.
( Surah Al – Muzammil - Ayat 20 )
3. Syarat-syarat taubat adalah seperti berikut :
Meninggalkan maksiat atau perkara dosa tersebut. Menyesal atas maksiat atau dosa yang telah dilakukan. Bercita-cita tidak akan mengulanginya lagi. Mengembalikan hak-hak makhluk yang dizalimi. Mengerjakan perkara-perkara fardhu yang telah luput.
4. Setiap manusia tidak dapat mengelakkan dirinya daripada tersalah dan terlupa, melainkan manusia yang Ma’asum ( terpelihara daripada dosa ) seperti rasul-rasul dan nabi-nabi.
5. Seseorang itu hendaklah bersungguh-sungguh memelihara diri daripada dosa iaitu dengan memelihara seluruh anggota daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama.
6. Beberapa faedah dan hikmah taubat iaitu:
Menghidupkan jiwa yang resah kerana dosa. Mendekatkan diri kepada Allah S.W.T .
Meningkatkan ketaqwaan diri. Membenteras tipu-daya syaitan yang selama ini memerangkap manusia dengan berbuat dosa dan maksiat. Memperolehi kemuliaan dan anugerah Allah S.W.T. dalam hidup di dunia dan akhirat.
Dipetik daripada - Hidup Bertaqwa Oleh Dato’ Hj. Ismail bin Hj. Kamus M/S 269 - 273)
src : http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/tasawwuf/taubat.htm
Comments