Jangan Jadikan Allah Taala Keperluan Bermusim
Allah Taala adalah segala-galanya. Kalau bukan kerana Allah Taala, segala-galanya tidak akan ada. Segala-galanya ada kerana Allah Taala mengadakan. Kalau Dia tidak mengadakan, segala-galanya termasuk kita pasti tiada.
Allah Taala mengadakan sesuatu sama ada di dunia mahupun di Akhirat, nikmat dunia mahupun nikmat Akhirat, menjadikan alam ghaib mahupun alam nyata, menjadikan manusia,
malaikat, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain semuanya ada maksud, ada hikmah, bukan suka-suka lebih-lebih lagi bukan sia-sia.
Setiap makhluk yang dicipta-Nya ada peraturannya, ada cara kehidupannya yang tersendiri, mempunyai sistem yang tersendiri. Malaikat ada sistem yang tersendiri, jin ada sistemnya yang tersendiri, haiwan ada sistemnya yang tersendiri, manusia ada
sistemnya yang tersendiri, tumbuh-tumbuhan ada sistem yang tersendiri. Begitulah setiap makhluk sama ada sebesar-besar makhluk hinggalah sekecil-kecil makhluk, yang bernyawa mahupun yang tidak bernyawa, semuanya ada peraturan dan sistemnya yang tersendiri. Setiap makhluk itu adalah berjalan mengikut peraturan atau sistemnya masing-masing.
Siapa sahaja yang tidak mengikut peraturan yang Allah Taala sediakan, dia pasti binasa. Sama ada jangka pendek mahupun jangka panjang. Bahkan dunia nanti binasa (Qiamat) setelah setiap planet-planetnya tidak mengikut peraturan dan sistemnya
lagi.
Seterusnya, setiap makhluk ciptaan Tuhan itu dengan peraturan serta sistemnya, setiap gerak-geri dan gerak-lakunya tidak terlepas daripada ilmu-Nya, penglihatan-Nya, kuasa-Nya, kehendak-Nya, pendengaran-Nya, walaupun sebesar habuk tidak terlepas daripada Tuhan hinggakan manusia walaupun dia sudah berusaha, usaha manusia itu pun tidak terlepas daripada kuasa dan kehendak Allah Taala. Kemudian ke mana makhluk ini akan pergi, ke mana kesudahannya, ke mana destinasi akhirnya, apa nasibnya, semuanya tidak terlepas daripada ketentuan Tuhan yang telah disebut sifat-sifat-Nya di atas.
Kalau begitu, siapa Tuhan? Tentu Tuhan Maha Agung, Maha Hebat, Maha Gagah, Maha Kuasa, Maha Berilmu, Maha Berkehendak, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Sempurna,
entahkan Maha, Maha apa lagi yang tidak dapat dicapai oleh akal untuk mengetahui dan memikirkannya, yang tidak ada makhluk dapat menyukat maha-maha-Nya Tuhan itu.
Sifat Maha Kuasa Allah Taala sahaja sudah cukup menggerunkan kita. Kerana jika Allah berkata: Jadilah, terus terjadi.
Jika Allah Taala berkata: Binasalah, maka binasalah benda atau makhluk itu. Kehendak dan kuasa-Nya tiada makhluk yang dapat menolaknya. Kalau Allah Taala berkata senang, pasti senang. Kalau Allah Taala berkata susah, pasti susah. Kalau Allah Taala berkata hidup, pasti hidup. Kalau Allah Taala berkata mati, pasti mati. Kalau Allah Taala berkata pandailah, pasti pandai. Kalau Allah Taala berkata bodohlah, pasti bodoh. Kalau Allah Taala mengatakan sakitlah, pasti sakit. Kalau Allah Taala berkata
sembuhlah, pasti sembuh. Begitulah seterusnya apa sahaja Allah Taala katakan pasti terjadi.
Begitulah agungnya Tuhan yang mempunyai sifat-sifat yang Maha Sempurna. Apakah Tuhan itu kita tidak perlu kepada- Nya? Tidak mahu meminta kepada-Nya? Tidak mahu ingatkan-
Nya? Tidak mahu mengagungkan-Nya? Tidak cinta kepada Nya? Tidak takut? Tidak mengharap? Tidak memerlukan? Tidak mematuhi-Nya. Tidak mensyukuri-Nya?
Apakah kita boleh terlepas dari-Nya? Boleh lari dari-Nya? Boleh hidup tanpa-Nya? Boleh selamat tanpa-Nya? Tuhan sehebat itukah yang kita hendak lawan? Hendak tidak ambil tahu? Hendak tidak peduli? Hendak sombong dengan-Nya? Kita perlu kepada Tuhan di waktu senang, di waktu susah, di waktu miskin, di waktu kaya, di waktu aman, di waktu darurat, di waktu sakit, di waktu sihat, di waktu sempit, di waktu lapang, di waktu bodoh, di waktu pandai, di waktu di rumah, di waktu di luar rumah, di waktu takut, di waktu tenang, di waktu seorang, di waktu ramai, di waktu aman, di waktu huruhara. Sepatutnya kita perlu kepada Tuhan di dalam sebarang waktu dan situasi, di setiap tempat dan keadaan. Jangan anggap kita boleh bersendiri.
Tapi malangnya kebanyakan umat Islam kerana sombongnya, perlukan Tuhan di waktu-waktu tertentu sahaja. Tidak setiap waktu dan situasi. Yakni di waktu kemarau, waktu sakit, waktu miskin, waktu bala menimpa, waktu musuh menyerang. Itu pun tidak semua orang berbuat sedemikian. Ada yang lebih sombong dan angkuh lagi, di waktu kemarau, di waktu sakit, di waktu bala menimpa pun tidak juga memerlukan Tuhan. Seolah-olah
memerlukan Tuhan itu rasa terhina, rasa jatuh martabat, rasa malu, rasa jatuh wibawa.
Sepatutnya Tuhan itu adalah segala-galanya, dapat Tuhan dapatlah segala-galanya. Kehilangan Tuhan, kehilangan segala galanya. Tuhan adalah hidup mati kita. Tuhan adalah dunia Akhirat kita. Dia adalah tempat rujuk, tempat mengadu, tempat
bermanja-manja, tempat berhibur, tempat lari, tempat menyerah diri. Dialah harapan kita, Dialah kebahagiaan kita yang sejati.
Minda Mujaddid
src : http://abihaiqal.blogspot.com/
Comments