Penyakit Cinta Dunia


Cintakan dunia dan takutkan mati antara penyakit yang menimpa umat Islam dewasa ini berdasarkan peringatan Rasulullah SAW kepada umatnya pada akhir zaman. Penyakit itu berbahaya kerana boleh memberi kesan buruk kepada keutuhan dan kesatuan ummah.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
"Seluruh umat manusia hampir mengelilingi kamu seperti mereka (yang kebuluran) mengelilingi hidangan makanan, lalu seorang sahabat bertanya: Adakah kerana bilangan kami pada waktu itu sedikit, wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Tidak, bahkan bilangan kamu amat ramai tetapi kamu adalah laksana buih di lautan. Allah akan mencabut daripada hati seteru atau musuh kehebatan kamu dan menyematkan dalam hati kamu perasaan al wahn. Lantas sahabat bertanya lagi: Ya Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan al wahn itu? Ujar Baginda: Iaitu cintakan dunia dan takutkan mati."
(Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Berdasarkan maksud hadis itu, kita dapat merenung senario berlaku kepada umat Islam kini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW. Biarpun, jumlah umat Islam di seluruh dunia melebihi satu bilion, mereka tidak memiliki kekuatan dan kekuasaan mentadbir alam ini.

Pada era dunia tanpa sempadan kuasa besar yang menjadi raja dunia kini berpihak kepada Amerika dan Eropah, bukan negara Islam. Malah, mereka menguasai pelbagai lapangan hidup dari aspek ekonomi, politik, sosial serta pendidikan. Akibatnya, umat Islam begitu lemah dan ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan serta begitu mudah ditindas kuasa Barat. Tidak hairan negara umat Islam dengan mudah dijajah musuh dan mereka tidak mempunyai kekuatan mempertahankan tanah air apatah lagi menangkis serangan bertubi-tubi yang dilancarkan terhadap mereka.

Lebih pelik, umat Islam yang ditindas meminta bantuan ketenteraan daripada Barat yang sememangnya bersekongkol dengan musuh untuk menghancurkan Islam dan umatnya.

Justeru, apakah punca atau sebab umat Islam kini berkeadaan seperti itu? Rasulullah SAW menjawab persoalan itu melalui sabda bahawa penyakit cintakan dunia dan takutkan mati membarah dan menular dalam jiwa umat Islam.

Cintakan dunia dapat ditakrifkan keadaan manusia yang hanya menumpukan seluruh detik dan kehidupannya kepada dunia semata-mata, dunia adalah kehidupan awal dan akhir mencari keseronokan dunia tanpa noktah dengan tidak mengambil kira batas agama yang digariskan Allah.

Sedangkan, dunia menurut kaca mata Islam bukan perkara terlarang kepada umatnya mencari dan merebutnya kerana cintakan dunia adalah sifat semula jadi yang memang ada pada semua manusia.

Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud:
"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda yang diingini nafsu iaitu perempuan dan anak pinak, harta benda yang berpikul daripada emas dan perak, kuda peliharaan bertanda lagi terlatih, binatang ternakan serta kebun tanaman. Semuanya itu kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)."
(Surah ali-Imran, ayat 14)

Perlu ditegaskan, cinta dunia dilarang Islam ialah yang keterlaluan sehingga meminggirkan ajaran Islam. Islam adalah agama yang seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi.

Barangkali inilah amaran Allah kepada umat Islam mengenai hakikat dunia seperti firman-Nya yang bermaksud:
"Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu tidak lain hanya permainan dan hiburan serta perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak."
(Surah al-Hadid, ayat 20)

Di samping itu, orang yang cintakan dunia digambarkan sebagai yang tidak mempunyai matlamat dan hala tuju kehidupan sebenarnya. Oleh itu, Rasulullah SAW membuat perumpamaan orang cintakan dunia seperti buih di lautan yang begitu mudah dibawa arus ke mana saja tanpa arah tujuan dan matlamat untuk menghempas di tepian pantai. Justeru, apa guna seseorang memiliki tubuh badan gempal dan sasa seandainya iman serta takwa di jiwanya kosong, mudah rapuh apabila dihempas badai cubaan dan cabaran mendatang.

Penyakit takutkan mati adalah natijah secara langsung berpunca daripada cinta keterlaluan kepada dunia. Kerana sayangkan yang ada dalam genggamannya, harta bertimbun, anak pinak, pangkat dan keturunan membanggakan membuatkan seseorang itu menghidap penyakit takutkan mati.

Kebiasaannya, manusia yang takutkan mati lemah iman dan kurang takwa. Malah, dia juga lupa asal usul kejadiannya daripada tanah dan diciptakan Allah untuk beribadat kepada-Nya di dunia yang bersifat sementara ini.

Sedangkan kematian adalah peringkat yang pasti ditempuhi setiap insan bernyawa. Firman Allah yang bermaksud:
"Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian."
(Surah ali-Imran, ayat 185)

Mereka yang sentiasa mengingati mati menyediakan bekalan amalan salih sebanyak mungkin semasa hidup di dunia sebagai persiapan mengadap Allah adalah orang paling bijaksana di kalangan orang mukmin. Ini berdasarkan hadis diriwayatkan Ibnu Majah apabila ada seorang Ansar bertanya kepada Rasulullah SAW:

"Wahai Rasulullah! Siapakah daripada kalangan kami yang paling bijaksana dan teguh imannya? Ujar baginda SAW: Iaitu orang yang paling banyak ingatkan mati dan juga paling banyak membuat persiapan dengan amal salih untuk menghadapi kematian. Mereka itulah kalangan orang mukmin terhormat yang datang mengadapku dengan kehormatan dunia dan kemuliaan akhirat."
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Begitulah cintakan dunia dan takutkan mati yang dianggap sebagai penyakit ummah menimpa umat Islam kini. Tidak cukup sekadar itu, Islam menyediakan jawapannya atau jalan penyelesaiannya bagi mengubati penyakit berkenaan. Umat Islam dituntut berpegang teguh dengan Islam serta ajarannya yang suci dan menterjemahkannya dalam seluruh ruang lingkup kehidupan sejagat. Inilah formula dan rahsia bagaimana generasi Rasulullah SAW dan sahabat mencapai kemuncak kegemilangan pada ketika itu.

Mereka berpegang teguh dengan Islam, seterusnya mempraktikkan Islam dalam realiti kehidupan. Mereka berjaya menunaikan amanah Allah menyampaikan dakwah Islam dan berupaya melebarkan sayap Islam ke seluruh pelusuk bumi. Sewajarnya umat Islam hari ini menjadikan Islam sebagai panduan dalam semua aspek kehidupan serta sentiasa menetapkan matlamat mencari keredaan supaya mampu berjaya dan cemerlang bukan saja di dunia, juga akhirat.

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

src : http://serikasih.blogspot.com/2009/02/penyakit-cinta-dunia.html

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT