4ayesha

Daripada ABU HURAIRAH r.a, RasuluLLah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang menyeru (manusia) kepada hidayah, maka baginya pahala sebanyak pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka." Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab al-'Ilm (2674), Imam Malik dalam Muattha'(2674), Ahmad (9171), Abu Dawud (4609), Turmudzi (2674), ad-Darimi (513), ibnu Majah (206), ibnu Hibban (112), al-Bagahwi (109)

Followers


Sebagai roh, begitulah kedudukan niat dalam sesuatu amalan atau tindakan seseorang. Inilah yang dinyatakan fuqaha' agung mazhab Maliki, Imam Abu Ishaq al-Shatibi dalam kitabnya Al-Muwafaqat.

Disebabkan kepentingannya itu, maka niat menjadi syarat bagi penerimaan sesuatu amalan atau ibadat yang dilaksanakan seseorang hamba. Ia dapat dilihat seperti firman Allah yang menggesa hamba-Nya supaya menyucikan dan mengikhlaskan niat dalam menyembah serta beribadah kepada-Nya.

Malah, hadis daripada Umar menjelaskan persoalan niat berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya setiap amal disertai niat dan sesungguhnya bagi setiap insan apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu ialah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehnya atau untuk seorang wanita yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya kepada sesuatu yang dimaksudkan dalam hijrahnya itu." (Hadis Muttafaq `Alaih)

Kepentingan niat dalam menentukan kedudukan amalan atau perbuatan seseorang amat jelas. Pada peristiwa hijrah yang berlaku September 622 Masihi, ada seorang sahabat yang turut menyertainya semata-mata kerana keinginannya mengahwini seorang wanita, iaitu Ummu Qais.


Baginda SAW mengetahui maksud lelaki berkenaan (yang kemudian digelar 'Muhajir Ummi Qais') lalu memberikan peringatan seperti dijelaskan dalam hadis. Teguran dan peringatan diberikan Rasulullah SAW itu disebabkan suasana yang menyelubungi Baginda dan sahabat ketika itu.

Pada saat genting itu, Nabi SAW dan sahabat yang lain menyandarkan tujuan penghijrahan mereka dari kampung halaman tercinta ke Madinah, kota yang terletak kira-kira 280 batu (320 kilometer) ke utara Makkah itu semata-mata hanya kerana Allah. Dengan kata lain, penghijrahan bagi kepentingan, penyebaran dan kedaulatan agama Islam.

Oleh sebab niatnya itu, tiadalah yang diperoleh oleh lelaki berkenaan kecuali apa yang dihajatinya. Berbeza dengan sahabat lain, yang sanggup menempuh segala kesulitan dengan penuh ketulusan hati demi menyelamatkan iktiqad mereka yang suci, bagi mereka pahala serta ganjaran yang besar.

Hijrah yang disempurnakan oleh mereka semata-mata demi mengharapkan keredaan Allah serta Rasul-Nya. Berasaskan hadis yang menekankan kedudukan penting niat inilah juga ulama usul fiqh membentuk satu daripada kaedah fiqh asas, 'Setiap urusan (perkara) bergantung pada niatnya.' Kaedah fiqh ini memberikan maksud bahawa hukum sesuatu perkara, iaitu perkataan atau perbuatan ditentukan berdasarkan niat atau maksud individu yang melaksanakannya.

Dalam kehidupan hari ini, niat kelihatan tidak begitu dipentingkan dan yang lebih diutamakan hanyalah matlamat atau hasil daripada usaha dilaksanakan. Sedangkan, pada hakikatnya yang diterima dan dinilai di sisi Allah ialah apa yang diniatkan dalam hati.

Oleh itu, kita dapat melihat sebahagian kita sanggup melakukan apa saja walaupun melanggar batasan syarak, demi memperoleh keuntungan duniawi. Misalnya, pemerolehan sumber pendapatan atau kekayaan tidak dihadkan hanya semata-mata menerusi cara yang digariskan syarak dan diredai Allah.

Begitu juga dengan pangkat atau kedudukan, kuasa, pengaruh dan sebagainya. Apa juga cara yang membolehkan ia diraih, akan diusahakan sehabis daya, walaupun menerusi penipuan, penindasan, kezaliman dan penganiayaan terhadap orang lain.

Malah, tanpa segan-silu diisytiharkan pula bahawa segala usaha yang digembleng dengan penuh kesungguhan itu hanya dengan tujuan serta niat yang besar; demi agama, bangsa dan negara. Sedangkan jauh di sudut hati, diketahui tujuan dan matlamat sebenar yang dicita-citakan, iaitu semata-mata demi kepentingan diri, kemasyhuran atau untuk meraih pujian.

Disebabkan niat buruk itu menjadi paksi bagi segala tindakan kita, maka tidak menghairankan jika kita dapat melihat bagaimana kesan atau akibatnya juga sedemikian sifatnya. Contohnya, jika sumber pendapatan datangnya menerusi usaha berasaskan niat yang terpesong daripada landasan kebenaran, maka ia akan menyebabkan hilang keberkatan pada rezeki yang diperoleh.

Kehilangan keberkatan itu pula seterusnya akan menyebabkan jiwa diselubungi sifat keji dan akhirnya ia mempengaruhi pula keperibadian dan tingkah laku.

Ada juga keadaan, iaitu niat atau matlamat dipergunakan bagi menghalalkan cara atau kaedah untuk mencapai sesuatu. Contohnya, seseorang mengatakan pembabitannya dalam pekerjaan yang tidak halal atau diragui kedudukannya disebabkan percampuran antara unsur halal dengan haram, adalah semata-mata dengan niat yang suci, iaitu bagi menyara keluarga.

Atau, seseorang menggunakan wang daripada hasil rompakan untuk menunaikan ibadat haji atau tujuan mulia lain dengan niatnya melaksanakan kewajipan terhadap Allah. Jelas di sini, niat tidak sama sekali dapat menghalalkan cara atau kaedah yang digunakan bagi melaksanakan tujuan berkenaan dan inilah yang dapat dilihat dalam kaedah shar`iyah yang menetapkan 'matlamat tidak menghalalkan cara.'

Tidak dinafikan wujud sebilangan anggota masyarakat yang benar-benar tulus dalam usaha dan perjuangan mereka. Apa yang menjadi sandaran harapan mereka ialah keredaan Allah dan kejayaan dalam memakmurkan kehidupan masyarakat serta ummah.

Malah, mereka berasa bimbang jika nikmat yang dikecapi merosakkan diri serta mencemarkan niat atau keikhlasan mereka dalam berusaha. Selain itu, perjuangan kumpulan kecil insan seperti ini juga menghasilkan kesan berbeza dengan apa dikecapi oleh golongan yang mendasarkan usaha mereka atas niat serta matlamat tertumpu pada kepentingan diri, untuk mendapatkan kemasyhuran atau demi keuntungan duniawi semata-mata.

Usaha mereka yang ikhlas itu dilimpahi keberkatan, contohnya menerusi kemajuan perniagaan serta pelaburan yang dijalankan dan sentiasa memperoleh jalan keluar bagi setiap kesulitan ditempuh.

Selain itu, kegigihan mereka demi membawa kesejahteraan dalam kehidupan masyarakat pasti dipermudah, sesuai dengan niat dan matlamat yang diharapkan.

Ternyata, kejayaan dan lebih penting lagi, kelangsungan usaha serta perjuangan mereka ini hanyalah disebabkan asasnya yang teguh lagi utuh, iaitu ketulusan niat dan kesucian matlamat yang disasarkan.

Sesuai dengan kedudukan niat sebagai satu daripada tiga bahagian Islam, seperti dikatakan oleh Imam Shafie, maka ia perlu diberi perhatian sebaiknya dalam setiap amal, perbuatan dan tindakan yang dilaksanakan.

Ia penting bagi memastikan setiap usaha dan amalan yang dilaksanakan bukan sia-sia saja, yakni tidak dinilai di sisi Allah serta hanya menepati apa yang diingini atau diniatkan saja. Begitu besarnya peranan niat, ia turut digandingkan dengan jihad.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada lagi hijrah sesudah pembebasan (Makkah) tetapi yang ada ialah jihad serta niat dan apabila diperintahkan supaya kamu keluar, maka keluarlah." (Hadis Muttafaq `Alaih)

Menjelaskan maksud hadis ini, Imam Nawawi mengatakan, "Keburukan yang tamat dengan terhapusnya hukum hijrah dapat dihasilkan dengan jihad dan niat yang baik. Apabila kamu diperintahkan oleh pemimpin kamu supaya keluar untuk berjihad dan melaksanakan amal yang baik, maka hendaklah kamu keluar."

Oleh Wan Roslili Abd Majid

Penulis ialah Pegawai Penyelidik di Institut Kefahaman Islam Malaysia

src : http://serikasih.blogspot.com/2009/02/niat-buruk-hidup-tak-berkat.html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Contributors

 **Note:

For those who wants to use or spread contents in this blog, please proceed without my permission. Shukran Jazilan.

Blog Archive

geocounter

Doa Qunut Nazilah

“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

BlogTopSites