Budaya Menegur Kesalahan


Percayalah dan bersedialah… pasti akan berlaku dalam hidup kita pelbagai silap faham dan tidak sama pendapat. Kenapa? Sebabnya kita semua tidak sama tahap kefahamannya terhadap sesuatu perkara.

Namun percaya lah juga bahawa kita semua yang berselisih dan silap faham tadi akan saling tegur, mengenai kesalahan atau idea yang kurang bernas dalam perbincangan dan mencari solusi sesuatu letak perkara yang dibincangkan.

Tujuan Menegur

“Kau tegur aku atau kau marah aku?”

“Engkau mahu nasihatkan aku atau engkau mahu tohmah caci aku?!”

Dialog di atas cukup menjengkelkan dan ia sering berlaku kepada kita bahkan.

Si penegur atau tukang beri nasihat perlu jelas bahawa perbuatannya hanya satu, tawasau bil Haq wa tawasau bis Sabr. Membetulkan kesilapan dengan memahamkan kebenaran dan mendamaikan dengan kesabaran.

Tua dan Muda


Dalam soal tegur-menegur ini, biasanya golongan muda akan lebih banyak diam, sementara golongan tua atau senior akan lebih superior atau lantang memberikan nasihat. Dalam masyarakat Nusantara ini, sebahagian besar orang muda lebih memberikan autoriti kepada golongan senior untuk menegur dahulu. Walaupun ianya berlaku silap faham dalam kalangan muda.

Jangan patuh buta pada senior. Tegur pada membetulkan kesilapan yang dilakukan.

Kepatuhan mutlak hanya buat Rabbul Jalil, Allah Penguasa Manusia, Raja Alam ini. Pada manusia kita hanya menurut pada perkara yang disepakati Islam.

Hakikatnya, dalam perihal tegur-menegur ini, tidak mengira umur atau pangkat, tegurlah selagi mana benar dan kena pada caranya.

Masa Menegur & Ilmu

“Engkau takkan tak nasihatkan dia semasa dia buat benda tak elok tu!?”, kata si kawan apabila mendengar cerita kawannya yang membuat kesilapan.

Kawan yang seorang ini dengan muka malasnya menjawab balas, “Alahai, biarlah ayah dia yang tegur dia, ayah dia lagi berhak.”

Jika kita mengharap dan memberikan autoriti menegur lebih dahulu kepada golongan senior, maka tujuan menegur itu sukar dicapai. Tambahan kehangatan peristiwa sukar dirasai jika penegur lambat atau tidak kena pada situasi berlakunya perselisihan atau kemunkaran.

Kebenaran, walaupun pahit kadangnya, perlu disampaikan segera, sebab setengah keadaan itu memerlukan kebenaran pada waktu itu juga untuk menatijahkan kebaikan pada semua.

Firman Allah Maha Bijaksana yang dapat kita fahami:

Ajaklah (wahai Muhammad) mereka ke arah jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang elok dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik…..”

(Surah An-Nahl: 125)

Jika merujuk kepada tafsiran Imam al-Qurtubi, beliau menyebut bahawa ayat ini menyuruh para daie supaya menyebarkan dakwah dan memberikan nasihat kepada ‘orang-orang Islam’ secara khususnya dengan cara yang penuh bijaksana, lemah lembut dan penuh strategi. Para daie mestilah menjauhi sifat kasar dan keras ketika menegur dan memberikan nasihat agar orang yang ditegur tidak merasa malu dan melarikan diri sekaligus matlamat dakwah menjadi realiti dan terlaksana.

Al-Qurtubi menambah lagi bahawa hukum menasihati dan menegur sesama muslim secara lemah-lembut dan bijaksana ini kekal sehingga hari kiamat.

Namun pada sejarah Islam, terlihat contoh psikologi persuasif baginda Ar Rasul Muhammad didatangi oleh seorang lelaki yang meminta izin dari baginda untuk berzina. Lalu apakah respon baginda? Adakah Rasulullah mencerca atau memukul atau memaki-hamun lelaki tersebut? Bahkan Rasulullah bertanya lelaki itu kembali,
“Adakah engkau suka lelaki lain berzina dengan ibumu atau kakakmu atau adik perempuanmu?” Jawab lelaki itu: “Aku tidak suka ya Rasulullah,”
Lantas baginda berkata dengan lembut:
“Begitu juga dengan orang lain, mereka jua tidak suka jika engkau berzina dengan mana-mana wanita di kalangan kerabat mereka.”

Itulah dia antara uslub atau kaedah Rasulullah menegur dan berdakwah kepada orang lain. Lalu mengapa kita sering ketepikan tips-tips yang diajarkan oleh Rasulullah SAW Kenapa kita sering ‘berkasar’ ketika menegur saudara-saudari kita sesama muslim? Gunakan budaya menegur sebagai perantaraan untuk menambah kawan dan taulan bukan untuk mencari musuh dan pergaduhan.

Spesifik atau Khusus pada yang Haq


“Jika engkau dah membohong, pastinya yang mengajarnya cikgu engkau di sekolah usang itu.”

“Awak ini tak patut babitkan sekolah kami, yang bersalah hanya dia seorang, jangan kamu buat fitnah terhadap cikgunya pula.”, seorang yang lain meredakan.

Berhati-hati dan berwaspada di waktu menegur atau mengeluarkan kenyataan. Ia bakal mengundang pergaduhan antara kumpulan dan juga bangsa. Ya Allah minta dijauhkan.

‘Holier than thou’ / ‘Gua’ lagi mulia dari ‘lu’

Bukan diajar oleh cikgu di sekolah, juga bukan Perdana Menteri yang memerintah, dan yang sewaktu dengannya. “Inna akramakum indaLlahi at qakum..”dari surah Al Hujurat ayat 13 yang diajar. Sayugia diingatkan di sini agar kita buat usaha kita sebagai manusia & tinggalkan urusan Allah SWT kepada Allah. Mana kita tahu amalan siapa yang lebih tinggi darjatnya? Mana kita tahu amalan siapa pula yang diterimaNya.
Teguran : Oleh itu, sila berhenti dari mempunyai unsur & sifat sebegini dalam jiwa kita apabila menulis & menjalani kehidupan seharian. Laksanakan haq kita & tinggalkan hak Allah untuk Allah SWT.

Teguran & Jiwa Besar, Sabar & Husnudzan yang Tinggi.

“Jika engkau mahu nasihatkan anak engkau, mestilah engkau rendahkan suara, tidak mestinya dengan suara kasar teriak, utamanya tegur nasihat engkau itu, hadirkan ia dari jiwa hati engkau yang bersih agar mudah anak mendengar terima. Anak engkau itu bukannya bebal dan pekak telinganya, cumanya nasihat kita mesti ada baik sangka bunyinya pada telinga anak kita itu, tidak terasa di hatinya sedikitpun buruk sangka dari nasihat yang kita sampaikan. Anak kita masih lagi boleh ditegur, bukan Firaun yang mengaku Tuhan sombong.” pesan sahabat yang lebih berpengalaman dalam mendidik anak pada sahabatnya yang seorang ini.

Ya, teguran itu ada kaitannya dengan penerimaan hati dan jiwa. Manusia berhubungan dengan perasaan. Perlu tulus dan ikhlas.

Lainnya, perlu banyak sabar dan bersangka baik terhadap orang yang ditegur. Jelas dahulu dengan kekusutannya, baharu disusun kata dalam nasihat.

Memulakan Teguran

Panggillah dengan apa-apa gelaran yang sesuai, berhentilah merendah-rendahkan orang lain, teruskan berkongsi kerana ia sangat penting buat kita.

Panggillah Abang, Pakcik, Makcik, atau apa jua panggilan sekalipun yang melembutkan hati kepada mereka yang lebih tua. Juga panggillah Anakku, cahaya mataku, Ibuku, ayahku, atau jua kesukaan yang mententeramkan jiwa kepada jiwa pemuda-pemudi kita. Agar keduanya tidak terabai dari menerima kebaikan dari manfaat ditegur.

Menyampaikan Idea dalam Teguran


“Pakcik, saya fikir pakcik sepatutnya….” hingga akhir teguran.

“Bernas atau tidak teguran engkau ini? Atau memandai sahaja?”

Jangan takut orang cabar idea kita.. Kita kena berani menyuarakan pendapat dan pandangan.. otherwise.. kita orang muda ni hilang peranan jika terlalu mengharap hebat dari golongan tua atau senior.

Peluang dan Dendam dalam Teguran

Janganlah kita menggunakan ‘teguran’ atau ‘nasihat’ itu sebagai jalan untuk membalas dendam kepada seseorang.

Di bawah ini saya sertakan beberapa daripada Al Quran yang mana Allah telah lama mengingatkan manusia agar sentiasa memohon kepadaNya dan kembali kepadaNya jika berlaku perselisihan pendapat dan silap faham.

Doa Agar Difasihkan Lidah & Dilapangkan Dada untuk Berkomunikasi



Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku. Dan mudahkanlah bagiku, tugasku. Dan bukakanlah simpulan dari lidahku supaya mereka faham perkataanku.
(Surah Taha ayat 25-28)

Amalkan ayat ini di permulaan ucapan untuk mendapat kekuatan menyampaikan hasrat hati kepada sesiapa sahaja terutamanya jika dipilih menjadi pemimpin yang bertanggungjawab menyampaikan ucapan dan peringatan kepada masyarakat atau pekerja. Keterangan ayat ini boleh dirujuk daripada kisah Nabi Musa Alaihissalam.

Doa Memohon Ditambah Ilmu



Wahai Tuhanku! Tambahkan ilmuku.
(Surah Taha ayat 114)

Ayat ini tidak terbatas untuk orang yang menuntut ilmu secara formal (menuntut ilmu sebenarnya selagi hidup bernafas takkan berakhir) malahan untuk orang yang sedang berkomunikasi dan berinteraksi. Sebab apa? Sebab mereka terkadang sukar menyampaikan idea dalam perkataan yang mudah, maka eloklah ayat ini dibaca untuk memohon dipermudahkan penyampaian maklumat. Doa ini juga disarankan untuk mengelakkan silap dan salah faham dalam hubungan suami isteri, kawan-kawan dan jug adalam perdebatan. Menurut At Tibi, ayat ini diturunkan agar Ar Rasul SAW fokus terhadap makna sebenar dari ayat-ayat Allah diturunkan kepada baginda dalam penurunan Al Quran sesuai dengan keadaan semasa. Wallahualam, Allah jua yang lebih mengetahui.

Doa Memohon Dijauhkan Angkara Kezaliman


Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah bagi kaum yang zalim. Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu daripada angkara kaum yang kafir. (Surah Yunus ayat 85-86)

src : http://kmelaka.wordpress.com/2008/07/10/budaya-menegur-kesalahan/

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

THE MEANING OF SUCCESS AND FAILURE

Soal Jawab : Ghibah