4ayesha

Daripada ABU HURAIRAH r.a, RasuluLLah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang menyeru (manusia) kepada hidayah, maka baginya pahala sebanyak pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka." Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab al-'Ilm (2674), Imam Malik dalam Muattha'(2674), Ahmad (9171), Abu Dawud (4609), Turmudzi (2674), ad-Darimi (513), ibnu Majah (206), ibnu Hibban (112), al-Bagahwi (109)

Followers


Bersama Mohd Zawawi Yusoh

SOLAT atau sembahyang itu Tuhan yang menetapkan rukunnya. la bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk manusia.

Jika difahami dan dihayati, solat itu hebat. Kita akan dapat rasa yang Tuhan itu hebat. Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya.

Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya, tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan macam mana wujudnya, tetapi terasa wujud-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya, tetapi terasa kuasa-Nya.

Terasa kita kesempurnaan Tuhan. Kita boleh minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayannya.

Solat itu satu modul Iengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung.

Boleh timbul pelbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya dan faham, bahkan solat itu benar-benar dijiwai dan dihayati.

Berikut beberapa contoh bagaimana solat dapat membina sifat positif:

i.Rajin - Sifat yang berlawanan dengan rajin ialah pemalas. Pemalas sangat dibenci Tuhan. Untuk menjadi bangsa yang kuat, kita kena rajin. Sifat rajin tidak boleh dilakon-lakon atau dibuat-buat. Mesti ada pemangkin atau pendorong yang bersifat rohaniah.

Dalam solat kita memuja dan memuji Tuhan. Kita kata, Tuhan Maha Besar. Kita akui, Tuhan Maha Suci. Kita akui, Tuhan pentadbir dunia dan akhirat.

Hati kita rasa bertuhan, rasa Tuhan itu besar. Kita rasa, Tuhan Maha Melihat, Tuhan itu ada dan Tuhan sentiasa berperanan dalam hidup kita.

Kita juga membuat janji dan ikrar yang semua solat, ibadat, hidup dan mati kita hanya untuk Tuhan.

Solat dan ibadat dipisahkan walhal solat pun ibadat juga. Itu tandanya solat itu ibadat penting, utama dan pertama dari ibadat lain, sama ada yang wajib atau sunat.

Kita bertungkus-lumus melakukan semua ibadat. Hidup dan mati itu pula merangkumi aktiviti yang tidak ditentukan.

Boleh jadi ia perkara ibadat, boleh jadi tidak. Makan, rehat dan tidur boleh dijadikan ibadat ataupun tidak.

Tetapi kita berikrar, perbuatan yang harus pun hendak kita menjadikannya ibadat. Jadi mana boleh rehat-rehat.

Kita kena aktif, sentiasa bertenaga dan bergerak. Ini dia perkara dalam solat yang membuatkan kita cergas dan aktif, rajin dan sentiasa bergerak.

Segala macam perkara yang menjadi ibadat kita lakukan. Perkara yang harus pun kita jadikan ibadat. Maknanya solat itu membunuh kemalasan.

Orang yang kuat hubungannya dengan Tuhan, dia mesti banyak berhubung dengan manusia. Orang yang banyak berkhidmat dengan Tuhan mesti banyak berkhidmat dengan manusia.

Jika betul takut dan cinta Tuhan, akan bertambah cinta kepada manusia. Itu sepatutnya natijah atau hasil dari solat.

ii. Berjiwa besar - Hasil dari solat ialah rasa beriman dan bertakwa. Kalau itu yang kita rasa, akan timbul rasa berjiwa besar.

Sebab orang yang beriman dan bertaqwa itu, Tuhan kata (maksudnya): “Dia orang Aku.” Kalau seseorang itu sudah menjadi orang Tuhan, Tuhan janjikan untuknya berbagai-bagai perkara dan Tuhan tidak mungkir janji. Janji Tuhan pasti Tuhan tepati.

Apa janji Tuhan kepada orang mukmin, orang bertaqwa dan orang yang sudah menjadi orang Tuhan? Tuhan janjikan kepadanya:

a. Keselamatannya.

b. Kewangannya.

c. Kehidupannya.

d. Kepandaian.

e. Kemenangan.

f. Tuhan bertanggungjawab dan akan mengalahkan musuh-musuhnya.

Tuhan mempunyai ramai rijal yang ghaib. Angin, air dan bermacam-macam lagi adalah tentera Tuhan. Tuhan boleh arah mereka bertindak. Kalau begitu keyakinan kita hasil dari solat, dari solat itu kita akan beroleh jiwa yang besar.

Orang yang sudah menjadi orang Tuhan, ada sesuatu yang paling besar pada dirinya yang tidak ada pada ciptaan lain.

Orang tengok gunung, tidak ada yang masuk Islam. Orang tengok laut, tidak ada yang menangis kerana berasa insaf dengan kebesaran Tuhan.

Tetapi dengan melihat orang Tuhan dan orang yang bertakwa, manusia boleh masuk Islam tanpa banyak hujah. Bila tengok sahaja orang bertakwa, tergerak hati mereka hendak bertaubat kepada Allah.

Orang bertakwa itu adalah ciptaan Tuhan yang paling hebat. Orang boleh terpukau dengannya. Dia pemaaf, berkasih sayang, suka mengutamakan orang lain, belas kasihan dan kalau ada orang buat jahat padanya, dibalasnya dengan kebaikan.

Dia tidak boleh tengok orang susah. Bila tengok orang pasti dibantunya kerana dia simpati dengan kesusahan itu.

Orang yang berjiwa besar sentiasa mahu melahirkan tanda kebesaran Tuhan pada dirinya. Tuhan Maha Pemurah, dia pun mahu jadi pemurah. Tuhan buat baik pada orang yang buat jahat pada-Nya, dia pun mahu buat baik pada orang yang buat jahat padanya.

Betapa tidak, orang sekutukan Tuhan, maki Dia, mengata Dia, tolak suruhan-Nya, tidak solat, berjudi, minum arak, tetapi Tuhan tetap layan mereka. Tuhan tetap bagi makan minum, anak dan isteri kepada mereka.

Maha Besar Tuhan yang menghadiahkan solat. Siapa yang menghayatinya, dia akan berjiwa besar. Bangsa yang menghayatinya akan menjadi bangsa yang berjiwa besar.

src : http://www.hmetro.com.my/ (adDin)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Contributors

 **Note:

For those who wants to use or spread contents in this blog, please proceed without my permission. Shukran Jazilan.

Blog Archive

geocounter

Doa Qunut Nazilah

“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

BlogTopSites