4ayesha

Daripada ABU HURAIRAH r.a, RasuluLLah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang menyeru (manusia) kepada hidayah, maka baginya pahala sebanyak pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka." Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab al-'Ilm (2674), Imam Malik dalam Muattha'(2674), Ahmad (9171), Abu Dawud (4609), Turmudzi (2674), ad-Darimi (513), ibnu Majah (206), ibnu Hibban (112), al-Bagahwi (109)

Followers


KEMATIAN pasti dihadapi oleh setiap orang. Ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: Setiap yang bernyawa pasti akan mati.? (Surah al-Anbia, ayat 34).

Dalam ayat lain pula, Allah menjelaskan bahawa apabila tiba masa ajalnya, maka ia tidak dapat dipercepat atau diperlambatkan walaupun sesaat.

Setiap hari di sekeliling kita ada saudara, kawan dan jiran diketahui meninggal dunia. Akan tiba masanya kita pula meninggal dunia. Justeru, manusia tidak selama-lamanya akan hidup di dunia ini. Buktinya, perhatikan sekeliling kita.

Sekarang ini kita tidak dapat lagi menemui orang berumur lebih 150 tahun. Semuanya meninggal dunia sebelum mencapai umur itu.

Perlu diingatkan, saat kematian sebenarnya tidak mengira usia. Bukan hanya apabila melepasi usia tua saja, baru kematian akan berlaku.

Kematian boleh berlaku kepada sesiapa tanpa mengira usia, bayi dalam kandungan, kanak-kanak, remaja dan tambah-tambah lagi orang tua. Sebab itu setiap orang perlu sentiasa mengingati kematian.

Pesanan supaya mengingati saat kematian bukan untuk menakut-nakutkan atau menyebabkan kesan negatif. Sebaliknya untuk mengingatkan kita tujuan hidup ini yang akan berakhir.

Setiap orang perlu mengetahui tujuan sebenar hidup ini. Allah menjadikan manusia bukan sekadar untuk menikmati kehidupan dunia dan kemudian dimatikan seperti mana makhluk lain.

Manusia dicipta dan diturunkan ke muka bumi sebagai khalifah dan hamba yang ditetapkan tugas atau peraturan hidup yang perlu dilakukan. Ini dijelaskan dalam firman Allah:

“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-ku.” (Surah al-Zuriat, ayat 56).

Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia telah menyatakan persetujuan untuk taat kepada Allah. Maksud menyembah dan beribadat kepada Allah adalah luas, meliputi segala detik kehidupan manusia. Ia meliputi ibadat seperti sembahyang, menunaikan haji dan ibadat yang dinyatakan secara jelas sebagai perlu dilakukan. Sementara yang lain, dalam bentuk ibadah tidak khusus.

Manusia yang melakukan segala apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang, dikira melakukan ibadah. Panduan atau peraturan kehidupan manusia di dunia ini terkandung dalam al-Quran dan hadis. Sesiapa yang mengikut kedua-duanya pasti akan bahagia hidup di dunia dan akhirat.

Setiap perbuatan manusia akan dicatat dalam rekod yang dijaga oleh dua malaikat iaitu catatan perbuatan baik dan perbuatan buruk.

Kedua-duanya tidak akan sedikit pun tertinggal atau berlaku kesilapan. Rekod itu kemudian akan dibentangkan di hadapan Allah di akhirat nanti selepas berlaku kiamat. Setiap amalan akan dihisab dan ditimbang pahalanya, biarpun sekecil mana perbuatan yang dilakukan sepanjang hidup. Ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud:

“Sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun sebesar zarah akan tetap diberi penjelasan. Dan barang siapa yang melakukan kejahatan walaupun sebesar zarah, maka dia juga tetap akan diberi pembalasan.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8).

Sesiapa yang mendapat himpunan pahala yang lebih banyak daripada dosa, maka dimasukkan ke dalam syurga dan berbahagialah hidup di dalamnya selama-lamanya.

Sesungguhnya syurga itu tempat yang tiada tandingan nikmatnya yang disediakan kepada orang bertakwa. Perkara ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud:

“Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takut kepada Allah, di dalamnya mengalir sungai-sungai, buah-buahannya tetap dan (juga) naungannya. Itulah kesudahan orang-orang yang bertakwa kepada Allah, manakala kesudahan orang kafir (ingkar) pula ialah neraka.” (Surah ar-Raad, ayat 35).

Dengan selalu mengingati kematian, manusia akan sedar ke mana akhirnya hidupnya nanti. Dia akan mengingati hari pembalasan terhadap setiap apa yang dilakukan. Dengan itu, setiap amalannya untuk kebaikan seperti yang dikehendaki oleh ajaran agama dengan mengira-ngira sudah berapa banyak kebaikan yang dilakukan.

Insan yang mengharapkan balasan baik tidak akan berasa cukup dengan apa yang dilakukan. Sebaliknya dirasakan sentiasa masih terlalu kurang dan ingin dilipat-gandakan lagi amalan baik sebelum tiba saat kematian.

Sesungguhnya semakin banyak amalan kebaikan dilakukan, maka semakin dekat dirinya dengan Allah dan semakin takut dia kepada Allah. Perasaan takut orang beriman menyebabkan mereka sentiasa mengingati hari kematian.

Dua kemungkinan mereka fikirkan mengenai kematian. Pertama kesediaan mereka untuk menemui Allah pada bila-bila masa. Segala-galanya dirasakan begitu menggembirakan. Bagi orang beriman saat kematian amat manis ketika mana perjalanan untuk menghadap Allah semakin hampir.

Kemungkinan kedua ialah adakah amalan mereka sudah cukup untuk mendapat balasan baik daripada Allah. Justeru, mereka terus menerus tanpa jemu melakukan amal ibadat kepada Allah sambil terus menghitung saat kematian.

Jika disedari telah melakukan kesalahan atau dosa, maka terus diperbetulkan kesalahan itu. Lalu diikuti dengan taubat atau memohon keampunan daripada Allah.

Taubat bagi orang yang beriman dilakukan tanpa ditangguh-tangguh. Sesungguhnya taubat itu memberi erti atau diterima sebelum tiba saat kematian. Rasulullah mengingatkan umatnya supaya sentiasa bertaubat kerana Allah maha menerima taubat. Namun taubat itu ada batasan waktunya. Sabda Rasulullah bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya selagi nyawanya belum sampai di halkum (yakni belum sakaratulmaut)”. - (riwayat: Tarmizi).

Allah akan menerima taubat mereka yang benar-benar insaf terhadap apa yang telah dilakukan. Biarpun sebesar mana kesalahan yang dilakukan, Allah bersedia menerima taubat hamba-Nya, kecuali kesalahan syirik. Kesalahan syirik hanya “dibersihkan” dengan mengucap kalimah tauhid semula sebagai mengakui “tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya”.

Ketika peluang masih ada, bertaubatlah sebelum terlambat. Sesungguhnya tiada siapa yang tidak pernah melakukan dosa. Rebutlah rahmat yang disediakan oleh Allah Yang Maha Pengampun.

Sesungguhnya tiada penguasa melainkan Allah yang “melepaskan” kesalahan tanpa denda atau hukuman setelah pesalah mengaku salah dan memohon maaf.

Allah menjamin menerima taubat setiap hamba-Nya yang benar-benar memohon taubat. Ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud:

“Katakanlah (kepada manusia): Wahai hamba-Ku yang telah merasa berdosa atas diri mereka, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah dapat memberi ampun-Nya terhadap dosa seluruhnya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun dan Pengasih” (Surah az-Zumar, ayat 53).

Setiap dosa yang disedari telah dilakukan perlu terus dilakukan taubat. Ini kerana manusia tidak tahu mengetahui bila ajalnya akan tiba. Sebab itu jangan sekali-kali mengamalkan sikap bertangguh-tangguh kepada perbuatan baik.

Dengarlah pesan Rasulullah melalui sabdanya bermaksud: “Binasalah orang-orang yang suka bertangguh-tangguh.”

Bahkan mereka yang mengingati kematian akan sentiasa beringat-ingat melakukan taubat terhadap perbuatan yang tidak disengajakan atau tidak disedari.

Mereka ingin menghadap Allah dengan keadaan yang sebenar-benarnya bersih daripada dosa. Mereka yang sentiasa lalai mengenai saat kematian diingatkan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud yang bermaksud : “

Hingga ketika maut telah datang kepada seseorang antara mereka, maka dia pun berkata: Wahai Tuhanku (hidup semula)! Supaya dengan itu aku akan dapat mengerjakan perbuatan baik yang telah aku tinggalkan itu. Tidak. Sesungguhnya perkataan itu hanya sekadar dapat diucapkan. Di hadapan mereka ada Barzah yang dindingnya membatasi sampai hari mereka dibangkitkan.” (Surah al-Mukminun, ayat 99 - 100).

Setelah tiba kematian untuk seseorang, tidak akan dapat diubah atau dilambatkan walaupun sesaat. Maka terputuslah hubungan dan peluangnya untuk kembali hidup sehinggalah dibangkitkan di akhirat nanti untuk menerima pembalasan.

Segala amalan yang dilakukan sepanjang hidup akan menjadi bekal menentukan untung nasib di akhirat nanti. Segala hubungan dengan dunia terputus kecuali tiga perkara yang masih memberi kebaikan biarpun selepas saat kematian.

Tiga perkara itu ialah sedekah jariah yang berterus-terusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada ibu bapanya.

Biarpun Allah menyediakan pelbagai tawaran untuk memasuki syurganya, namun ia bukan perkara mudah. Sesungguhnya syaitan telah berjanji di hadapan Allah akan menyesatkan seluruh keturunan Nabi Adam sentiasa berusaha menjalankan propaganda dan hasutan supaya manusia sentiasa melakukan kejahatan supaya turut sesat dan menerima nasib sama dengannya.

Sebagai peringatan mengenai tauhid dan sikap syaitan hayati firman Allah bermaksud: “Katakanlah: Aku berlindung kepada Tuhan manusia. Raja manusia. Sembahan manusia. Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi. Yang membisikkan (kejahatan) ke dada manusia. Daripada jin dan manusia”. (Surah an-Nas, ayat satu hingga 6).

Justeru berpegang teguhlah dengan ikrar yang diucapkan seperti maksud firman Allah bermaksud “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.” (Surah al-Anam, ayat 162).

Kematian bagi setiap orang adalah saat paling pedih dan ngeri sekali, lebih-lebih lagi bagi mereka banyak melakukan dosa. Mereka benar-benar beriman dan memahami hakikat betapa pedih dan ngerinya kematian akan kecut hati dan segera memperbanyakkan amalan kebajikan dan bertaubat atas dosa yang dilakukan.

Ada riwayat mengatakan, Sufian al Thauri seorang ahli ibadat, ketika mengingati dan membicarakan saat kematian, dia tidak dapat berbuat apa-apa hingga beberapa hari seperti orang tidak sedarkan diri.

Apa-apa ditanyakan kepadanya akan dijawab tidak tahu. Begitulah betapa takutnya orang yang mengetahui seksanya menghadapi saat kematian.

Dia takut bukan kerana sayangkan kehidupan dunia yang akan ditinggalkan, tetapi kerana merasakan amalan kebaikan yang dilakukan masih kurang dan takut tergolong dalam kumpulan mereka yang rugi di akhirat nanti.

Adapun rasa pedih dan ngerinya saat kematian diumpamakan seperti pohon berduri dimasukkan ke dalam badan, yang setiap durinya berkait dengan urat, lalu ia ditarik keluar dengan kuatnya sehingga memutuskan apa yang terputus dan meninggalkan apa yang masih tertinggal.

Kesakitan ketika menghadapi saat mati dirasakan seperti tidak akan hilang-hilang. Diceritakan, Nabi Isa ketika ditanya kepada orang mati yang dihidupkan semula dengan katanya : “Berapa lama kamu telah mati? Lalu dijawab oleh yang mati itu “sejak empat ribu tahun lalu, tetapi belum hilang rasa pedihnya maut.”

Oleh Lokman Ismail

src : http://intim.wordpress.com/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Contributors

 **Note:

For those who wants to use or spread contents in this blog, please proceed without my permission. Shukran Jazilan.

Blog Archive

geocounter

Doa Qunut Nazilah

“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

BlogTopSites