4ayesha

Daripada ABU HURAIRAH r.a, RasuluLLah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang menyeru (manusia) kepada hidayah, maka baginya pahala sebanyak pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka." Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab al-'Ilm (2674), Imam Malik dalam Muattha'(2674), Ahmad (9171), Abu Dawud (4609), Turmudzi (2674), ad-Darimi (513), ibnu Majah (206), ibnu Hibban (112), al-Bagahwi (109)

Followers


ALHAMDULILLAH, kita sudah merayakan Aidilfitri yang mulia dengan penuh gembira dalam suasana harmonis dan aman.

Segalanya baru, baju baru, pakaian baru rumah baru tetapi harus diingat yang baru bukan sekadar baju, pakaian dan makanan tetapi amat penting ialah jiwa baru selepas ditarbiyah dan ditempa oleh madrasah Ramadan.

Semoga puasa kita dan Tarawih kita diterima, bacaan al-Quran kita berjaya menggugah hati yang degil dan keras ini, manakala sedekah kita menjadi perisai daripada bahaya dan musibah.

Sebagai muhasabah, dalam kita merayakan lebaran, jangan lupa sesungguhnya ukuran kejayaan kita bukannya diukur ketika dalam puasa.

Walaupun banyak kita baca al-Quran, itu belum tanda kita sudah berjaya. Bulan Ramadan memang kita kerap ke masjid untuk solat Tarawih, itu bukan tanda kita sudah berjaya, sedekah banyak pada bulan Ramadan, itu bukan tandanya kita sudah jadi pemurah.

Kenapa saya kata begitu? Pembaca pun boleh agak jawapan saya. Malah, kerap kali kita dengar jawapan yang akan saya utarakan ini dalam tazkirah dan ceramah serta khutbah alim ulama.

Sebabnya ialah kerana Ramadan adalah bulan “latihan.” Kejayaan sesuatu kursus bukannya di tempat kursus tetapi ukurannya ialah selepas selesai kursus.

Pertarungan sebenar kita bukannya pada bulan puasa malah “The Real Battle” ialah 11 bulan selepas Ramadan.

Ada orang sepanjang Ramadan ke surau dan masjid setiap malam tetapi selesai Ramadan, dia tidak ke masjid dan surau, itu namanya “hamba Ramadan” bukannya hamba Allah.

Jika Ramadan membaca al-Quran tidak henti-henti tetapi bila saja habis Ramadan, tidak baca-baca lagi al-Quran, itu namanya “hamba Ramadan” bukannya hamba Allah.

Bulan Ramadan bukan main lagi suka bertahajud tetapi selepas bulan Ramadan terus tidak terkejut-kejut lagi, itu namanya “hamba Ramadan” bukannya hamba Allah.

Maaf kerana saya guna perkataan agak kasar sedikit. Tetapi bila difikirkan mengenai kemunafikan kita beribadat rasanya sekali-sekala terpaksa berkasar sedikit. Ini bukan apa, cuma hendak menggugah hati yang tidak terikat dengan roh Ramadan.

Ungkapan mengenai hamba Ramadan sebenarnya nasihat daripada ulama semasa dan amat kontemporari iaitu Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi yang menyatakan, jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan.

“Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan” maksudnya berbuat baik bukan hanya bermusim. Pergi masjid dan surau bukan ikut selera kita atau tengok ramai orang pergi kita pun pergi tetapi bila orang mula tidak pergi lagi ke masjid kita hilang semangat.

Kenapa bersemangat hanya pada bulan Ramadan? Sama juga dengan semangat membantu anak-anak yatim dan fakir miskin, kenapa pada satu bulan sahaja kita bantu dan gemukkan mereka, sedangkan kita tahu anak yatim dan fakir miskin tidak hanya hidup 30 hari setahun?

Mereka sama juga macam kita hidup selama 365 hari setahun. Bulan Ramadan montel mereka tetapi bulan-bulan lain jadi kurus pula.

Marilah kita jadikan kerajinan dan semangat serta kesungguhan di bulan ini sebagai “spark” untuk meneruskan kerajinan di sebelas bulan yang mendatang.

src : http://www.hmetro.com.my/ (adDin)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Contributors

 **Note:

For those who wants to use or spread contents in this blog, please proceed without my permission. Shukran Jazilan.

Blog Archive

geocounter

Doa Qunut Nazilah

“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

BlogTopSites