4ayesha

Daripada ABU HURAIRAH r.a, RasuluLLah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang menyeru (manusia) kepada hidayah, maka baginya pahala sebanyak pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka." Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab al-'Ilm (2674), Imam Malik dalam Muattha'(2674), Ahmad (9171), Abu Dawud (4609), Turmudzi (2674), ad-Darimi (513), ibnu Majah (206), ibnu Hibban (112), al-Bagahwi (109)

Followers


Minggu lalu kuliah yang disampaikan oleh Ustaz Habiburrahman Ibramsa bermula pada Bab Taubat di dalam kitab hadith Riadussolihin, susulan al-Imam an-Nawawi. Untuk mendownload sila layari audiosunnah (http://audiosunnah.blogspot.com/). Untuk mendownload kitab Riadussolihin di dalam B.Melayu/Indon, sila klik di sini (http://www.4shared.com/file/38015188/21e47a7e/annawawi.html).

Di dalam Riadussolihin, dituliskan bahawa para alim ulama' menerangkan bahawa taubat itu terlaksana dengan melalui 3 syarat iaitu:

Sekiranya dosa itu ialah antara seorang hamba dengan Allah, maka 3 syarat itu ialah:
1) Menghentikan perbuatan maksiat itu
2) Menyesal dengan maksiat yang telah dilakukan
3) Berazam untuk tidak menguulangi maksiat tersebut.
Akan tetapi sekiranya dosa tersebut dilakukan antara hamba dengan hamba atau dengan insan yang lain, maka ditambah syarat yang keempat iaitu:
4) Mengembalikan hak itu kepada tuannya.
Ia bermaksud jika ia melibatkan manusia lain, maka perlu dikembalikan hak itu kepada pemiliknya, sekiranya mencuri, wajib memulangkan barang curian kepada pemiliknya, jika mengumpat wajib meminta maaf kepada yang diumpat, jika memfitnah wajib meminta maaf dan membersihkan nama yang difitnah.

Disebutkan jua bahawa jika seseorang itu bertaubat dari sebahagian dosa, dan bukan keseluruhan dosa, maka sah taubatnya, contoh seorang perompak, dia nak bertaubat dari dosa merompak sahaja, bukan dosa-dosa lain seperti merokok dan lain-lain.
Berdasarkan dalil-dalil jelas yang ada di dalam Kitabullah, Sunnah Rasulullah s.a.w. serta ijma' seluruh ummat, jelas akan perihal wajibnya mengerjakan taubat itu.

Allah Ta'ala berfirman:
"Dan bertaubatlah engkau semua kepada Allah, hai sekalian orang Mu'min, supaya engkau semua memperoleh kebahagiaan. " (an-Nur: 31)

Allah Ta'ala berfirman lagi: "Mohon ampunlah kepada Tuhanmu semua dan bertaubatlah kepadaNya." (Hud: 3)

Dan lagi firmanNya:
"Hai sekalian orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang nashuha - yakni yang sebenar-benarnya. " (at-Tahrim: 8)

13. Dari Abu Hurairah r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Demi Allah, sesungguhnya aku memohon pengampunan daripada Allah serta bertaubat kepadaNya dalam sehari lebih daripada tujuh puluh kali." (Riwayat al-Bukhari)

14. Dari Aghar bin Yasar al-Muzani r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Hai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah pengampunan daripadaNya, sesungguhnya saya ini bertaubat dalam sehari sebanyak seratus kali."(Riwayat Muslim)

15. Dari Abu Hamzah yaitu Anas bin Malik al-Anshari r.a., pelayan Rasulullah s.a.w.,
katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: " Allah itu lebih gembira dengan taubat hambaNya daripada gembiranya seseorang dari engkau semua yang jatuh dari atas untanya dan dia disesatkan oleh Allah di suatu tanah yang luas." (Muttafaq 'alaih)

Dalam riwayat Muslim disebutkan:
"Allah itu lebih gembira dengan taubat hambaNya ketika dia bertaubat kepadaNya daripada gembiranya seseorang dari engkau semua yang berada di atas kenderaannya - yang dimaksudkan ialah untanya - dan berada di suatu tanah yang luas, kemudian kenderaannya itu menghilangkan diri daripada dirinya, sedangkan di atasnya (kenderaan tunggangan itu)ada makanan dan minumannya. Orang tadi lalu berputus-asa. Kemudian dia sampai ke sebatang pokok lalu terus tidur berbaring di bawah naungannya, sedang hatinya sudah berputus asa sama sekali dari kenderaannya (yang hilang) tersebut. Tiba-tiba di kala dia berkeadaan sebagaimana di atas itu, kenderaannya itu kelihatan berdiri di sisinya, lalu dia mengambil ikatnya. Oleh kerana terlalu gembira maka dia berkata: "Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan aku adalah TuhanMu". Dia tersilap (di dalam ucapannya) kerana terlalu gembira.

Dari hadith 13-15, dapat kita simpulkan bahawa,
1) Rasulullah SAW amat menyuruh kita untuk bertaubat dan beristighfar memohon keampunan daripada Allah SWT.
2) Rasulullah SAW banyak beristighfar setiap hari walaupun beliau seorang yang maksum.
3) Allah bergembira dengan orang yang bertaubat kepadanya, melebihi gembiranya seorang insan yang menemui haiwan tunggangannya yang hilang di mana dia berada di padang pasir.

Ustaz Habib bertanyakan satu isu iaitu kenapakah Rasulullah SAW perlu bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT sedangkan beliau adalah insan yang terpelihara dan maksum. Jawapannya ialah Rasulullah SAW itu menjadi contoh satu sifat tawadhu' dan rendah diri seorang hamba kepada Allah walaupun sudah diketahui bahawa baginda seorang yang terpelihara. Ini juga sebagaimana Aisyah RA pernah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW kenapa baginda begitu beria-ria solat malam sehingga bengkak-bengkak kaki baginda SAW.

Pada hadith yang ke 15 terdapat satu isu aqidah yang membezakan Ahlus Sunnah Wa al-Jamaah, atau Manhaj As-Salaf as-Shalih dari sebahagian aliran lain seperti aliran al-Asyairah dan al-Maturidi iaitu menetapkan sifat GEMBIRA kepada Allah SWT.
Manhaj atau method yang benar di dalam isu sebegini ialah:
1) Menafikan atau menyucikan daripada persamaan dengan makhluk, iaitu itu kita beriman bahawa Allah SWT Gembira bukan seperti gembira manusia.
2) Tidak mengubah maksudnya iaitu tidak mengubah maksud Gembira kepada maksud yang lain.
3) Tidak bertanyakan bagaimana kaifiat atau caranya Gembira Allah itu.
Kesimpulannya kita beriman bahawa Allah Gembira, Gembiranya Allah tidak sama dengan gembira makhluk, dan kita sebagain insan tidak mengetahui bagaimanakah caranya Alah berGembira dan adalah satu bid'ah bagi kita bertanya-tanya bagaimanakah sifat Gembira Allah itu.

Ini adalah satu method yang wajib diaplikasi pada setiap sifat Allah seperti sifat Mendengar, Melihat, Berkata, Ketawa, Berada di atas Arsy, Turun, Kaki, Tangan, Mata, Murka, Redha dan lain-lain. Tidak boleh mengubah-ubah maksud sifat Allah kepada sifat yang lain. Wajib kita beriman dengan apa yang disampaikan di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang sahih.

Ustaz Habib memetik ulasan al-Imam Ibn Taimiyyah kepada hadith 15 ini:
Faedah yang disebutkan oleh Ibn Taimiyyah ialah:
a) Kalimah Kufur yang diucapkan dengan tidak sengaja, maka dia diampunkan dan tak boleh dihukum kafir
b) Kalimah Kufur yang diucapkan kerana jahil atau tidak tahu, maka dia diampunkan dan tak boleh dihukum kafir.
c) Kalimah kufur yang diucapkan untuk bermain-main atau bergurau maka jatuh hukum kufur.
d) Mereka yang ucap kalimah kufur dengan sengaja, atau dalam keadaan siuman, atau dalam keadaan pilihan (bukan dipaksa), maka boleh jatuh murtad.
e) Sesiapa yang mencaci Allah dan Rasul seperti di dalam kategori C-D di atas, maka jatuh hukum kufur.
f) Jika sesiapa yang dipaksa, contoh dibunuh jika tak lafaz kalimah kufur, maka ada perincian, iaitu:
- jika dilafazkan kalimah kufur sedangkan hati tidak tenang atau redha dengan kalimah kufur itu, maka tidak dikira kufur. Contoh kisah Ammar Bin Yasir RA.
- jika dilafazkan kalimah kufur dan hati tenang dengan kalimah itu, maka jatuh hukum kufur.
g) Sifat Allah terbahagi kepada dua iaitu:
-sifat Fi'liyyah- Mendengar, Melihat, Gembira, Ketawa, Turun dan lain-lain
-sifat Zatiyyah- Kaki, Tangan, Mata dan lain-lain.

Di dalam sesi soal jawab antara soalan yang diajukan ialah tentang seorang yang bertaubat, dia benar-benar berusaha di dalam taubatnya, tetapi di atas kelemahannya setelah cuba sedaya upada, dia kadang kala terjebak jua dengan dosa itu lebih-lebih lagi yang melibatkan ketagihan.

Jawab Ustaz, Insya-Allah, moga taubatnya diterima Allah kerana dia sudah berusaha sedaya upaya, dan dia perlu bertaubat lagi untuk dosa yang diulanginya itu.

Pada hari ini, sambungan kuliah telah disambung, masih bab taubat dan isinya masih seperti minggu lalu, maka saya hanya akan tuliskan hadith-hadithnya sahaja di sini:

16. Dari Abu Musa Abdullah bin Qais al-Asy'ari r.a., daripada Nabi s.a.w., sabdanya:
"Sesungguhnya Allah Ta'ala itu menghamparkan TanganNya di waktu malam untuk menerima taubatnya orang yang berbuat kesalahan di waktu siang dan juga menghamparkan TanganNya di waktu siang untuk menerima taubatnya orang yang berbuat kesalahan di waktu malam. Demikian ini terus menerus sampai terbitnya matahari dari arah barat – (yakni di saat hampir tibanya hari kiamat) (Riwayat Muslim)

17. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa bertaubat sebelum matahari terbit dari arah barat, maka Allah menerima taubatnya orang itu." (Riwayat Muslim)

18. Dari Abu Abdur Rahman yaitu Abdullah bin Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anhuma dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesungguhnya Allah 'Azzawajalla itu menerima taubatnya seseorang hamba selama ruhnya belum sampai di kerongkongannya – (yakni ketika akan meninggal dunia)."
Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

19. Dari Zir bin Hubaisy, katanya: "Saya mendatangi Shafwan bin 'Assal r.a. untuk bertanya tentang mengusap di atas dua buah kasut. Shafwan berkata: "Apakah yang menyebabkan engkau datang ini, hai Zir?" Saya menjawab: "Kerana ingin mencari ilmu pengetahuan. " Dia berkata lagi: "Sesungguhnya para malaikat itu mengembangkan sayap-sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu, kerana redha dengan apa yang dicarinya." Saya berkata: "Sebenarnya ada keraguan pada hatiku tentang mengusap di atas dua buah kasut selepas selesai buang air besar atau kecil. Engkau adalah termasuk salah seorang sahabat Nabi s.a.w., maka kerana itu saya datang ini untuk bertanya kepadamu. Apakah engkau pernah mendengar beliau s.a.w. menyebutkan persoalan itu (menyapu di atas dua kasut)? Shafwan menjawab: "Ya, Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh kami jikalau kami sedang dalam keadaan musafir, supaya kita jangan membuka kasut kita selama tiga hari dengan malamnya sekali, kecuali jikalau kita terkena janabah, tetapi kalau hanya kerana membuang air besar atau kecil atau kerana tidur, bolehlah tidak dibuka." Saya berkata lagi: "Apakah engkau pernah mendengar beliau s.a.w. menyebutkan persoalan cinta?" Dia menjawab: "Ya pernah. Pada suatu ketika kita bersama dengan Rasulullah s.a.w. dalam bermusafir. Di kala kita berada di sisinya itu, tiba-tiba ada seorang a'rab (orang Arab dari pegunungan) memanggil beliau itu dengan suara yang keras sekali, katanya: "Hai Muhammad." Rasulullah s.a.w. menjawabnya dengan suara yang sekeras suaranya itu pula: "Mari kemari". Saya berkata pada orang a'rab tadi: "Celaka engkau ini, perlahankanlah suaramu, sebab engkau ini benar-benar ada di sisi Nabi s.a.w., sedangkan aku dilarang semacam ini – (yakni bersuara keras-keras di hadapannya-) ."Orang a'rab itu berkata: "Demi Allah, saya tidak akan memperlahankan suaraku." Kemudian dia berkata kepada Nabi s.a.w.: " Ada orang mencintai sesuatu golongan, tetapi dia tidak dapat menyamai mereka (-dalam hal amal perbuatannya serta cara mencari kesempurnaan kehidupan dunia dan akhiratnya.) Nabi s.a.w. menjawab: "Seseorang itu dapat menyertai orang yang dicintai olehnya pada hari kiamat." Tidak henti-hentinya baginda SAW memberitahukan apa saja kepada kami, sehingga akhirnya menyebutkan bahawa di arah barat itu ada sebuah pintu yang perjalanan luasnya yakni sekiranya seseorang yang menaiki kenderaan berjalan hendak menempuh jarak luasnya itu, maka jarak antara dua hujung pintu tadi adalah sejauh empat puluh atau tujuh puluh tahun."
Salah seorang yang meriwayatkan Hadis ini yaitu Sufyan mengatakan: "Di arah Syam pintu itu dijadikan oleh Allah Ta'ala sejak hari Dia menciptakan semua langit dan bumi, senantiasa terbuka untuk taubat, tidak pernah ditutup sehingga terbitlah matahari dari sebelah barat yakni dari dalam pintu tadi."

Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dan lain-lainnya dan Imamat- Tirmidzi mengatakan bahawa Hadis ini adalah hasan shahih.
Dari hadith yang di atas ini, dapat diketahui bahawa:
1) Taubat itu sentiasa boleh dilakukan sehinggalah sebelum nyawa ditarik, ataupun sehingga sebelum tibanya hari Kiamat di mana antara tandanya ialah matahari timbul dari Barat.
2) Tangan merupakan salah satu sifat Allah, maka wajib beriman Allah mempunyai Tangan, dan Tangan Allah tidak sama dengan tangan makhluk. Tidak boleh ditukarkan perkataan tangan kepada perkataan lain.
Di dalam sesi soal jawab terdapat satu soalan yang menarik dari seorang Muslimah di mana beliau bertanyakan apakah taubat orang yang belum berkahwin tidak sempurna seperti taubat orang yang sudah berkahwin. Jawapan Ustaz ialah tiada beza bahkan saya sendiri tidak pernah menemui dalil yang menyatakan taubat orang berkahwin lebih sempurna daripada orang bujang. Ini samalah seperti hadith-hadith yang tidak sahih mahupun hasan yang tersebar yang menyatakan kelebihan solat seorang isteri atau suami lebih baik daripada orang bujang, kesemuanya tidak benar sama sekali.

src : abumeow at yahoogroups.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Contributors

 **Note:

For those who wants to use or spread contents in this blog, please proceed without my permission. Shukran Jazilan.

Blog Archive

geocounter

Doa Qunut Nazilah

“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

BlogTopSites