Anak Melayu pertama melukis di dasar laut


[display image only, downloaded from http://www.opendemocracy.net/arts-photography/article_2010.jsp]

Ajis Mohamad hasilkan karya mengenai keindahan alam

CITA-CITANYA menjadi seorang ahli geologi, tetapi sebaik saja menamatkan pengajian pada peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Zainurin Mohamad atau lebih dikenali sebagai Ajis Mohamad mula menukar minat menjadi seorang pelukis.

Kekecewaan apabila permohonan melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) ditolak bahkan disindir supaya pulang ke kampung menanam kacang menguatkan lagi semangatnya yang sentiasa berfikiran positif dengan menjadikan sindiran itu sebagai cabaran.
Berbekalkan keputusan STPM 3 prinsipal (1A, 1B, 1C), beliau sememangnya tidak ada masalah untuk melanjutkan pelajaran di maktab perguruan, tetapi disebabkan minatnya terlalu mendalam dalam seni lukis, Ajis mula mengembara seluruh negara mencari ilmu dan pengalaman.

Selama 15 tahun beliau melukis dengan memfokuskan kepada lukisan potret, ia sudah cukup melayakkannya memperoleh ‘ijazah universiti kaki lima’, yang dipenuhi keperitan hidup sebagai anak seni yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Namun, beliau berjaya keluar daripada kepompong kesusahan atas usaha menimba ilmu dan sentiasa belajar dengan menjadikan sikap suka membaca sebagai satu tabiat.

LUKISAN Ajis mengekalkan elemen keindahan alam.

Sinar kejayaan hidupnya bermula apabila namanya dicatatkan dalam sejarah negara pada Jun 2000 selepas muncul sebagai rakyat Malaysia pertama berjaya melukis gambar kehidupan sebenar di dasar laut di Pulau Tenggol, Terengganu.

Lukisan pertama yang dihasilkan di dasar laut ialah pada kanvas sebesar 81.3 sentimeter x 61 sentimeter dengan biru air laut sebagai latar belakang. Kini tumpuan adalah kepada lukisan mengenai apa saja kehidupan laut dalam usaha memupuk kesedaran mengekalkan khazanah alam.

Minat anak seni kelahiran Kajang, Selangor tetapi membesar di Felda Chempelak Barat, Labis, Johor ini bermula apabila timbulnya konflik dalam diri mengenai apa yang dibaca dalam bahan sastera dengan realiti sebenar.

“Secara metafora, laut sering digambarkan sebagai ganas manakala ombak kejam. Wujud konflik di situ, adakah ia benar kerana bagi saya ia cuma digambarkan secara permukaan saja. Itu yang menimbulkan minat saya untuk mengkaji apa sebenarnya di dasar laut dan berkongsi pengalaman itu melalui lukisan.

“Ia bukan sesuatu yang mudah. Saya jalankan kajian sendiri selama setahun bagaimana mahu merealisasikan impian melukis di dasar laut,” katanya yang berminat dalam lukisan marin dan hidupan laut.

Selepas memperoleh lesen menyelam pada 1997, beliau mengambil masa tiga tahun untuk mencari pembaharuan dalam diri serta hasil seninya.

Katanya, air laut diakui mempunyai kadar masin yang tinggi dianggarkan pada tahap PH8 dan ini menimbulkan kesukaran melukis kerana kanvas akan menyerap garam menyebabkan bahan warna tidak melekat.

“Selepas setahun mengkaji bagaimana nak lekatkan warna pada kanvas dalam air, saya dapat satu resolusi iaitu laut mempunyai kadar apungan air yang sangat tinggi sebab terlalu masin.

“Sebaliknya air tawar mempunyai kadar tahap bacaan pada PH7.0 ke bawah dan lebih neutral dan warna boleh dilekatkan pada kanvas. Saya fikirkan bagaimana nak buat, jika nak neutralkan air laut, ia sesuatu yang mustahil, jadi kenapa saya tidak neutralkan saja kanvas.

“Saya rendam kanvas di dalam air tawar yang mempunyai PH7 atau PH6.5 ke bawah dan masukkan ke dalam air laut. Disebabkan sifat apungan air laut tinggi, jadi air laut tidak akan masuk ke dalam kanvas, jadi saya boleh melukis tanpa masalah,” katanya.

Beliau mengakui teori apungan air laut yang dihasilkannya banyak membantu kejayaan kerjayanya apabila hasilnya mula dikenali ramai termasuk pada peringkat antarabangsa.

Dari aspek jenis bahan warna yang digunakan, Ajis menjelaskan sebagai seorang ahli badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan pemuliharaan alam sekitar, beliau terpaksa memikirkan penggunaan bahan yang tidak menjejaskan kehidupan laut.

“Saya gunakan ‘oil bar’ dalam bentuk keras seperti krayon yang digunakan kanak-kanak dan ia tidak akan pecah. Jika gunakan warna cair seperti biasa, ia akan menghasilkan serbuk halus dan akan dimakan ikan kecil. Ia mengandungi toksik dan boleh membunuh hidupan kecil.

“Apabila saya sudah selesaikan masalah itu, saya mula berminat mengkaji batu karang. Asalnya memang saya lukis saja apa yang saya nampak, tetapi sekarang saya fokus dan kaji apa yang sebenarnya saya nampak.

‘Secara spiritual, saya pernah terjun ke dalam laut pada waktu malam, keadaannya gelap gelita dan kita sendiri tak tahu mana kedudukan dan hala tuju. Pada waktu siang dan bercahaya, kawasan itu sangat cantik. Ia mengingatkan saya mengenai kehidupan, jika ada panduan dan hala tuju, ia akan berjaya,” katanya.

Dalam menghasilkan lukisan, Ajis akan memasukkan semua elemen dilihat dan baginya ia bukan setakat mempunyai nilai artistik semata-mata, tetapi berfungsi sebagai alat menyedarkan masyarakat berkongsi mengenai apa pandangannya iaitu mengekalkan dan menjaga keindahan alam.

PROFIL: Zainurin Mohamad (Ajis Mohamad)

* Dilahirkan di Kajang, Selangor pada 25 Mei 1964
* Berkahwin dengan Jasinah Jamdari (Jas) dan dikurniakan dua anak, Mohd Allif, 17, dan Nurul Shahera, 13.
* Anak kedua daripada 10 adik beradik
* Kelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)
* Menerima anugerah Duta Belia Negara 2004, anugerah pameran lukisan dasar laut sempena Festival Seni Air Terbesar Malaysia, Balai Seni Lukis Negara yang dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada April 2002, anugerah lukisan terpanjang di dasar laut berukuran 36 meter yang dicatatkan dalam MBOR, April 2004 dan menjadi pelukis pertama negara melukis di dasar laut di Pulau Tenggol, Terengganu yang dicatatkan dalam MBOR pada 2000.
* Alamat galeri No 5, Galeri Dahlia, Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

src : http://wanhayati.wordpress.com

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT