Pengajaran dari peristiwa Isra’ Mikraj

By Hashim Bin Othman in Aqidah & Akhlaq
Published: Saturday, 11 August 07 - 12:12 AM (GMT +08:00)

Khutbah Jumaat hari ini 10 Ogos 2007 bersamaan 26hb Rejab 1427 yang disampaikan oleh YBhg Ustaz Shamsul yang juga penceramah tetap mingguan Surau Al-Furqan mengajak para makmum Masjid Al-Firdaus, Bandar Baru Selayang mengenang peristiwa bersejarah Isra’ dan Mikraj yang berlaku pada tahun ke-11, selepas Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul, dan 2 tahun sebelum berlakunya hijrah Rasulullah SAW ke Madinah al-Munawwarah. Malah perkara ini telah dirakam oleh Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat yang pertama :

Maksudnya: "Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."



Sesungguhnya peristiwa ini merupakan salah satu bukti mengenai kebesaran dan kekuasaan Allah Taala yang telah memperjalankan diri Rasulullah SAW, dari Masjidil Haram di Mekah al-Mukarramah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palastin, kemudian Nabi SAW diangkat ke langit untuk bertemu dengan Allah SWT lalu menerima perintah ibadah solat, di mana semua ini berlaku hanya pada satu malam sahaja.

Para ulama telah menyimpulkan beberapa sebab Baginda diundang untuk bertemu dengan Allah SWT, iaitu :-

* Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas Nabi diuji dengan kewafatan dua orang yang paling rapat dan banyak berkorban membantu Baginda dalam usaha menyebarkan Dakwah Islamiah, iaitu isteri baginda yang tercinta, Saidatina Khadijah RA dan bapa saudara kesayangan Baginda Abu talib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah, apabila umat Islam yang minoriti dipulaukan oleh kaum musyirikin Quraisy. Maka undangan Allah ini ialah untuk menghiburkan hati Baginda yang sedang berdukacita.

* Baginda diundang untuk menerima kefardhuan solat lima waktu. Ya! memang itulah yang nyata di dalam pertemuan Baginda SAW dengan Allah SWT, di mana ibadah solat menjadi tunjang kepada amal ibadah yang lain. Ini sebagaimana dijelaskan hadis Rasulullah SAW:

" أَنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الصَّلاَةُ "

Maksudnya: "Bahawasanya pertama sekali yang dihisab pada seseorang hamba di hari kiamat ialah solatnya (sembahyangnya)."

(Hadis riwayat At-Tirmizi)

* Manakala Imam Fakhrurrazi di dalam kitabnya (Tafsir al-Kabir) menyatakan apa yang difirmankan oleh Allah SWT dalam potongan ayat yang pertama dari surah al-Isra’ :

لِنُرِيَهُ مِنْ ءَايَاتِنَا

maknanya "untuk kami memperlihatkan dari tanda-tanda (kebesaran dan kekuasaan) kami "memberi pengertian, bahawa Allah SWT mahu memperlihatkan apa yang telah disediakan sebagai balasan kepada hamba-hambanya di akhirat, tentang keindahan syurga dan kecelakaan neraka, Baginda diperjalankan dengan mahkluk Allah yang bernama Buraq َ menjelajah bumi dan angkasa lepas yang begitu luas, dapat menyaksikan petala langit, diperlihatkan Kursi, Arasy, kekuasaan dan kebesaran Allah, maka dengan ini telah menambahkan keimanan dan keyakinan di dalam jiwa Baginda, sehingga Baginda dapat terus berusaha dengan lebih sempurna dalam menyampaikan risalah tauhid.

Sesungguhnya peristiwa Isra’ dan Mikraj, merupakan salah satu daripada mukjizat Rasulullah SAW. Peristiwa besar ini, telah menapis dan menyaring keimanan serta keyakinan umat manusia terhadap kekuasaan Allah dan kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW. Orang-orang kafir sendiri, menjadikan peristiwa Isra’ dan Mikraj ini, sebagai suatu peluang antuk mereka melakukan pembohongan yang menambahkan lagi keingkaran mereka terhadap dakwah Nabi Muhammad SAW. Manakala keadaan umat Islam sendiri pada ketika itu, terbahagi kepada beberapa peringkat, di mana ada yang tidak berbelah bahagi membenarkan Nabi seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA, ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji nabi melalui beberapa pertanyaan, seperti berapa bilangan pintu dan tiang dalam masjid al-Aqsa bagi membuktikan kebenaran cerita tersebut, dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita nabi dan kembali murtad daripada Islam.

Berita-berita yang disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada kita tentang apa yang disaksikan dan dialami pada malam Isra’ dan Mikraj itu, wajarlah dijadikan suatu ukuran bagi kita umat Islam, kerana ia mempunyai hubung kait dengan kehidupan ini. Beberapa gambaran dalam peristiwa Isra’ misalnya, sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepala mereka, itulah balasan bagi orang yang berat untuk sujud (solat). Sekumpulan manusia yang dihalau seperti binatang ternakan, mereka itu memakan bara api dan batu dari api neraka jahanam, itulah balasan bagi orang yang tidak mengeluarkan zakat. Sekumpulan manusia lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah dan busuk, sedangkan di sisi mereka ada daging yang elok, itulah balasan bagi orang mempunyai isteri atau suami yang sah, tetapi masih mencari pasangan lain untuk melakukan zina. Sekumpulan manusia yang meminum arak, memakan riba, memakan harta anak yatim, menabur fitnah, mengadu domba, amanah yang dipertanggungkan dikhianati dan lain-lain lagi dalam setiap peristiwa itu, semuanya ditunjukkan balasan yang bakal menunggu mereka di akhirat kelak. Sebaliknya, orang-orang yang berbuat baik, berjuang "Fi Sabilillah" berjuang menahan nafsu, membantu orang yang susah, orang yang suka bersedekah dan lain-lain lagi, semuanya akan diberi balasan pahala dan syurga sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Zaman ini ialah zaman yang penuh cabaran dan ujian. Sesiapa sahaja boleh terpengaruh dan terjerumus melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah. Seandainya kita membiarkan maksiat dan kemungkaran berleluasa, suami-suami atau isteri-isteri mengabaikan tanggungjawab, anak-anak dibiarkan tidak dididik dengan ajaran Islam yang sempurna, membiarkan diri dibelenggu kejahilan, akidah yang longgar, tidak tahu membezakan yang mana satu halal dan yang mana satu haram, sukakan perkara-perkara yang sia-sia dan bermacam-macam lagi. Apa yang lebih malang lagi sehingga ada yang sanggup menggadaikan akidah demi untuk mengejar kemewahan dan kesenangan dunia yang sementara. Kita yang hidup di akhir sisa umur ini seharusnya menginsafi, bahawa kesempatan waktu yang Allah Taala berikan kepada kita, dipergunakan dengan sebaik-baiknya. Jika amal ibadah kita masih sedikit, maka berusahalah untuk meningkatkannya. Jika ada salah dan silap kita, mohonlah keampunan serta bertaubatlah kepada Allah SWT.

Di antara pengajaran yang boleh kita renungkan bersama berdasarkan peristiwa Isra’ dan Mikraj yang sedang kita raikan ini ialah :-

* Orang yang benar-benar mendalam imannya ialah meyakini akan kisah-kisah dan perkhabaran yang dialami oleh Baginda Rasulullah SAW dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj.

* Solat adalah ibadah pertama sekali yang akan dipersoalkan di hari kiamat oleh Allah Taala. Jika baik solat yang ditunaikan, maka baiklah amal ibadah lainnya.

* Sekiranya peristiwa Isra’ dan Mikraj ini benar-benar dihayati, manusia mampu menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara keji dan maksiat serta menjadi orang yang benar-benar sabar, cemerlang dan berjaya.

* Kehidupan ini penuh dengan pancaroba. Umat Islam hendaklah merancang dengan penuh strategik serta mempunyai sifat sabar yang tinggi kerana menyedari hakikat Rasulullah SAW yang dijanjikan oleh Allah dengan pertolongannya masih berjuang dan berusaha bertungkus lumus untuk mencapai kejayaan. Yang bulat tidak datang bergolek yang pipih tidak datang melayang.

* Allah Taala menjadikan syurga dan neraka adalah bagi menguji sejauhmana iman hamba-hambanya di dalam mencari keredhaanya demi kehidupan yang kekal abadi, ataupun sebaliknya, terpedaya dengan tipu daya kehidupan dunia yang sementara.

* Orang-orang yang telah diberi peringatan melalui dalil Al-Quran, Hadis, nasihat-nasihat para ulama dan sebagainya, tetapi tidak mengambil iktibar serta pengajaran daripadanya, mereka adalah tergolong daripada manusia-manusia yang rugi dan tunggulah pembalasan daripada Allah SWT yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana.

Maksudnya: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya." ( Surah al-Baqarah ayat : 45 -46 )

Begitulah sebahagian daripada khutbah yang disampaikan dan diharapkan ia menjadi pemangkin ketaqwaan kita.

src : http://abuyusoef.terapad.com

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT