Mendahulukan Sifat Maaf Dan Sabar Di Atas Kekhilafan Dan Ketidaktahuan

Dalam meniti dan mengharungi sebuah jalan kebenaran, tidak hairan jika kita menghadapi begitu banyak kritikan dan hinaan. Tidak kering juga cacian dan celaan. Malah mungkin sehingga dipinggirkan dan dikatakan sebagai pelik lagi aneh.

“Katakanlah, “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (Surah az-Zumar, 39: 9)

Walaupun demikian keadaannya, kita sewajarnya terus bermuhasabah diri dengan melazimi sifat sabar dan beristiqomah dengan kebenaran di atas prinsip ilmu. Lebih wajar lagi, jika kita imbas dan melihat kembali uswah (contoh) dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri ketika bagaimana beliau menghadapi kepelbagaian bentuk penolakan demi penolakan dalam dakwahnya. Pelbagai bentuk penolakan yang dilakukan dengan bersertakan tindakan-tindakan yang amat kasar dan berat untuk ditanggung.

Ketika mana di dalam awal fasa penyampaian beliau, hari-hari demi hari silih berganti, beliau tetap melazimi segala hal yang dihadapi dengan tenang, kebaikan, memohon keselamatan bagi dirinya dan manusia lainnya. Tidak terdetik sedikit pun di dalam lubuk hati dan perasaannya berniat memuaskan emosi sendiri dengan menyimpan perasaan dendam terhadap mereka yang bersikap membara menentang beliau.

Baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam antaranya diutuskan untuk memilih jalan damai, memaafkan kesalahan golongan yang masih jahil, dan mengajak mereka dengan hikmah kembali kepada jalan yang benar. Ini antara lain adalah bertujuan supaya kelak nantinya akan lahir insan-insan yang menuruti beliau atas dasar yang penuh ikhlas dan tulus hatinya berserah diri di atas jalan kebenaran. Ia juga bakal menjadikan mereka yang gemar bersikap keras menjadi lembut hati dan lentur jiwanya dengan kebenaran yang dibawa. Kebenaran yang dibawa dengan personaliti akhlak yang baik bersesuaian di atas tempatnya lebih mudah diterima berbanding dengan sikap keras yang dihamburkan membabi buta. Realitinya, apa jua yang dibawa bersama pakej lemah lembut dan akhlak pekerti yang baik ianya akan menjadi lebih mesra serta mudah dihadam oleh golongan sasaran.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),

“Jadilah engkau pema’af dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh. Dan jika kamu ditimpa suatu bentuk godaan dari syaitan maka berlindunglah kepada Allah” (al-A’raaf, 7: 199-200)

Ketika Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan pada Nabi-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ayat tersebut, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bertanya, “Apakah ini wahai Jibrail?” Ia menyatakan, “Sesungguhnya Allah memerintahkan kepadamu supaya mema’afkan orang-orang yang berbuat zalim kepadamu, memberi kepada orang yang tidak memberimu, dan menyambung orang-orang yang memutuskan perhubungan denganmu.” (Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Cet. Pustaka Ibnu Katsir (Bogor), 3/768)

Dan hendaklah kita sentiasa memohon perlindungan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dari segala bentuk gangguan Syaitan yang memungkinkan akan menyemarakkan/ membangkitkan sifat marah di dalam hati kita kepada golongan yang masih jahil dan tidak memahami tersebut.

Allah Subahanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),

“Tolaklah perbuatan buruk mereka dengan yang lebih baik. Kami lebih mengetahui apa yang mereka sifatkan. Dan katakanlah: “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku”.” (Surah al-Mukminuun, 23: 96-98)

Menzahirkan sifat pema’af bukanlah suatu yang menunjukkan kehinaan dan ketidakmampuan atau pun cepat mengalah. Malahan, jika kita mampu mengamati dengan baik, ia adalah sebenarnya menunjukkan ketabahan hati, kebesaran jiwa, kekuatan mental serta perasaan kita dalam melawan sikap cepat marah dan mengelakkan dari timbulnya susana yang tegang. Dalam konteks yang lain, ia mampu menumbuhkan dan memupuk sikap tenang, tenteram, kemuliaan, dan juga kegagahan jiwa dalam menghadapi tekanan dan cabaran. Malah, sifat ma’af juga mampu mengawal diri dari memiliki sifat dendam dan benci. Sekaligus, ia mampu melahirkan sikap lemah lembut dan mudah mesra.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Dan tidaklah Allah menambah seorang hamba dengan kemudahan untuk mema’afkan kecuali Allah akan memberinya ‘izzah (kemuliaan).” (Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam suatu riwayat, disebutkan betapa sifat pema’af Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sangat menakjubkan terserlah ketika mana beliau menghadapi hari yang lebih mencabar daripada peperangan Uhud iaitu ketika peristiwa beliau dihina dan dicemuh di Thaif tatkala mahu menyampaikan dakwahnya. Penduduk Thaif pada masa itu bukan sahaja menolak dakwahnya malahan sampai membalingnya dengan batu dan objek-objek tertentu yang menjadikan beliau berlumuran darah. Sehinggakan kasutnya turut dipenuhi darah. Kita selaku insan biasa, sudah tentu mampu membayangkan betapa beratnya ujian yang beliau terima pada ketika itu.

Pada saat itu juga, malaikat yang bertugas menjaga gunung telah bersiap sedia menantikan perintah dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Malaikat tersebut memanggil dan mengucapkan salam kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan berkata, “Wahai Muhammad! Sesungguhnya Allah telah mendengar penolakan kaummu. Dan aku penjaga gunung mendapat titah untuk menerima perintahmu bersesuaian dengan kehendakmu. Jika engkau mahu, maka aku akan hempapkan dua gunung ini ke atas mereka.”

Apabila mendengarkan seruan malaikat tersebut, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam justeru menidakkan (menolak tawaran tersebut) dan berkata,

“Sesungguhnya aku berharap agar Allah akan mengeluarkan dari sulbi-sulbi mereka keturunan yang beribadah kepada Allah dengan sepenuh keikhlasan tanpa menyekutukan- Nya dengan sesuatu apa pun.” (Hadis Riwayat Muslim)

Maha Suci Allah, sungguh menakjubkan akhlak dan kesabaran yang beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tunjukkan kepada kita. Walaupun beliau mendapat tekanan, tentangan dan hinaan yang begitu berat, ternyata akhlak dan peribadi beliau yang mulia dengan membuka pintu ma’af lebih mendahului yang lain.

Kita sebagai insan yang mengaku mengikuti beliau sebagai ikutan dan contoh terbaik, sewajarnya tidak melupakan akhlak dan kesabaran beliau yang begitu tinggi tersebut. Dan bagi diri kitalah selaku umat yang beriman yang memahaminya dengan baik, perlu berlumba-lumba untuk mencontohi peribadi beliau agar sentiasa melazimi sifat sabar dan pema’af. Dengan mengikutinya, di sanalah rahmat Allah bakal menyusuli kita.

“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan yang besar. Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Fushilat, 41: 34-36)

Nawawi Subandi,
17:31, 04/07/2008
Bandaraya Anggerik (Shah Alam).

src : AbuMeow@yahoogroups.com & http://an-nawawi. blogspot. com

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT