Isu Kenaikan Harga Barang

Isu Kenaikan Harga Barang
Kategori : jumaat (20-Jun-2008)

16hb Jamadilakhir 1429H

ISU KENAIKAN HARGA BARANG

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dunia sering dikejutkan dengan pelbagai malapetaka dan bencana, umpamanya bencana alam seperti gempa bumi, angin puting beliung, Tsunami dan berbagai-bagai lagi ujian dari Allah Subhanahu Wata'ala. Tetapi kita jangan terkejut, bukankah Allah Subhanahu Wata'ala telah berfirman dalam Al-Qur'an Surah Al-Baqarah ayat 155 tafsirnya :

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan merasai kelaparan dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar".

Semua ini hendaklah dihadapi dengan penuh kesabaran dan ditangani bersama oleh semua pihak dengan harapan dapat meringankan beban mereka yang menghadapinya dan memikulnya.

Sebagaimana yang kita maklumi bahawa di akhir-akhir ini, penduduk dunia diresahkan pula dengan satu fenomena yang difikirkan boleh membahayakan dan mendatangkan kesan yang lebih teruk jika dunia tidak mampu menanganinya dengan baik iaitu krisis kenaikan harga barang-barang keperluan asas harian yang mendadak.

Kenaikan harga barang keperluan asas ini berlaku adalah disebabkan oleh kesan kenaikan harga bahan bakar fosil yakni petrol dan diesel. Selain itu menurut pakar, krisis kenaikan harga makanan dunia ini juga adalah berpunca dari pelbagai faktor antaranya :

Pertama : Pertambahan penduduk dunia yang semakin pesat, manakala tanah tempat bercucuk tanam yang menjadi sumber penghasilan makanan pula semakin berkurangan.

Kedua : Perubahan cuaca yang menyebabkan kehilangan tanah-tanah pertanian, yang mana kesannya tidak dapat dipulihkan seperti kemarau, banjir, tanah susur dan ribut.

Ketiga : Bertukarnya trend tabiat makan iaitu bertambahnya permintaan terhadap produk-produk daging yang menyebabkan sebahagian tanah pertanian ditukar menjadi ladang-ladang ternakan.

Keempat : Kenaikan harga bahan bakar yang menyebabkan kos penghasilan semakin meningkat.

Kelima : Trend baru bagi penggunaan bahan bakar 'bio-fuel'. Ini menyebabkan tanam-tanaman yang dahulunya dihasilkan untuk makanan manusia ditukar menjadi bahan bakar kepada kenderaan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Jika kita perhatikan, krisis kekurangan makanan ini telah banyak berlaku dan terbukti boleh menggugat keselamatan nyawa serta kesejahteraan sesebuah negara. Bayangkan di sebuah negara yang sangat daif, sebahagian besar penduduk terpaksa memakan roti yang diadun dari tanah semata-mata untuk mengelakkan kelaparan dan kebuluran.

Lain halnya di negara kita, kita masih boleh memperolehi makanan dengan mudah dan senang dengan harga yang masih mampu kita membelinya. Contohnya, harga beras di pasaran dunia naik mendadak berlipat ganda tetapi kita di Negara Brunei Darussalam masih dapat membeli beras dengan harga biasa. Ini adalah kerana kemurahan hati kerajaan kita yang tetap memberikan subsidi ke atas harga beras, begitu juga dengan harga bahan bakar fosil yakni petrol dan diesel. Kita masih menerima subsidi kerajaan yang mencecah ratusan juta, ini mampu mengekang kenaikan harga bahan bakar berkenaan di negara ini dan kita masih boleh membelinya seperti biasa.

Sebenarnya, negara kita juga tidak terkecuali dari menerima tempias kenaikan harga barang asasi yang melambung begitu tinggi, umpamanya minyak masak, produk tenusu, tepung dan yang seumpamanya.

Walau bagaimanapun dalam apa jua keadaan yang kita hadapi baik penjual ataupun pengguna biarlah kita bekerjasama apatah lagi kita duduk di sebuah negara yang sama, bak kata pepatah 'berat sama dipikul ringan sama dijinjing', bukan mengambil kesempatan dan melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang yang boleh menggugat kestabilan negara kerana adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara negara kita terus stabil dan aman.

Dalam menghadapi krisis kenaikan harga barang ini, sebenarnya banyak perkara yang boleh kita lakukan antaranya meneliti tabiat kita berbelanja dan meneliti permakanan kita kerana kadang-kadang kita tidak sedar yang kita telah lakukan pembaziran. Sebagai contoh, apabila kita memasak nasi bahkan apa jua makanan, kita akan memasak berlebihan sehingga tidak habis dimakan dan bila membeli-belah tidak kira ianya perlu atau tidak, sepatutnya kita sebagai pengguna perlu bijak membuat pertimbangan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sebenarnya agama Islam telah mengingatkan umatnya supaya berbelanja tidak boros dan mengelakkan pembaziran. Oleh yang demikian, kita hendaklah berbelanja secara berhemah iaitu dengan memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang penting sahaja tanpa melakukan pembaziran, apatah lagi dalam keadaan kenaikan harga barang sekarang ini. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Israa' ayat 27 tafsirnya :

"Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya".

Dari ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa kita dituntut supaya bersikap sederhana di dalam apa jua perkara. Kerana sifat bersederhana dalam berbelanja, tidak bakhil dan tidak pula boros adalah sifat yang terpuji dan disukai oleh Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Furqaan ayat 67 tafsirnya :

"Dan juga mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tidak pula bakhil kedekut dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil itu)".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sememangnya kita menyedari bahawa sifat berjimat cermat dalam berbelanja amat dituntut dalam Islam kerana ianya menjadi asas bagi kesejahteraan hidup masyarakat dan kemakmuran sesebuah negara. Biasanya amalan tersebut meliputi perbelanjaan untuk keperluan kehidupan kita seharian sesuai dengan fitrah kita sebagai manusia. Oleh itu jika kita mahu ekonomi diri kita, keluarga dan masyarakat stabil dan terjamin tidak ada jalan lain selain mengamalkan cara berbelanja yang bijak dan berperancangan, dalam berbelanja hendaklah mengutamakan barang-barang yang benar-benar diperlukan, dalam mengurus kewangan amalkan budaya menabung, tidak mengamalkan gaya hidup mewah dan boros tetapi sebaliknya mengamalkan cara hidup yang sederhana, tidak melibatkan diri dalam amalan berhutang yang boleh mendatangkan kemudaratan diri dan mengancam nyawa, lebih-lebih lagi berhutang semata-mata kerana hendak memperolehi benda kemewahan yang tidak begitu perlu bagi kepentingan diri dan rumah tangga.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam menghadapi krisis kenaikan harga barang yang melanda sekarang ini, maka tidak dapat tidak kita perlulah berjimat cermat mengelakkan pembaziran, berlaku bijak mengurus kewangan kita dan bersyukurlah kepada Allah Subhanahu Wata'ala terhadap nikmat yang dikurniakan, mudah-mudahan rezeki kita bertambah, negara kita aman tenteram dan makmur dan mendapat keberkatan dari Allah Subhanahu Wata'ala, Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah An Nahl ayat 112 tafsirnya :

"Dan berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar, Allah memberikan satu misalan : Sesebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan".

src : http://www.religious-affairs.gov.bn/

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT