Temui hidayah lewat tragedi 9/11
KISAH perjalanan mana-mana individu yang memeluk Islam, selalunya menarik dan unik untuk kita ketahui. Begitu jugalah kisah mualaf warga kulit putih dari Amerika Syarikat ini, Ibrahim Killington.
Dia pada asalnya ingin mengkaji mengenai agama pagan atau animisme. Namun lain yang dikaji lain pula jadinya. Kajian itu membuatkan Ibrahim akhirnya bertemu cahaya dan menerima hidayah Islam, sekali gus terselamat daripada menganut fahaman animisme itu.
Sebelum memeluk Islam, tabiat minum arak, dadah dan budaya hedonisme menjadi tuhan-tuhan yang disembahnya.
"Seluruh tujuan hidup hanya untuk bersenang-senang, ketawa ria dan tidak ada yang lain, selain berfoya-foya.
"Mungkin sampai mati begitulah gaya hidup yang menjadi amalan saya. Pergaulan dengan mereka yang memiliki kebiasaan yang sama, tentu sahaja tidak membuat diri ini menjadi lebih baik," katanya.
Kejadian yang menggemparkan seluruh dunia, iaitu serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC), New York pada 11 September 2001 sering memberikan pengalaman pertama kepada bukan Islam terhadap Islam.
Kejadian itu membuatkan ada di kalangan rakyat AS pertama kali mendengar mengenali Islam. Itulah juga yang terjadi kepada Ibrahim.
"Saya masih ingat ketika itu saya masih muda lagi. Saya tidak sepenuhnya menyedari apa yang sedang terjadi. Bahkan, selepas membaca laporan berita, saya menganggap bahawa pelancong (tourist) telah mengisytiharkan perang terhadap Amerika, kerana saya belum pernah mendengar mengenai istilah pengganas (terrorist) sebelum ini," katanya.
Sementara perang terhadap keganasan yang didalangi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya Britain yang selepas kejadian 9/11 terutamanya di Iraq dan Afghanistan memberikan kesan dan pengaruh yang sangat mendalam kepada Ibrahim.
"Saya mulai memahami bahawa mereka yang diburu dan diperangi ini adalah Muslim. Dalam anggapan saya, umat Islamlah yang melakukan kekejaman yang mengerikan di seluruh dunia. Melalui laporan media yang berat sebelah itu, saya mula membenci umat Islam.
"Bahkan saya cuba menyertai angkatan tentera Amerika sebanyak tiga kali dengan tujuan dapat pergi ke Afghanistan dan membunuh seramai mungkin umat Islam di sana.
"Ini sebagai sebahagian daripada usaha dan sumbangan saya untuk membela serta melindungi keluarga daripada ancaman dan keganasan umat Islam.
"Pada waktu itu, fikiran saya mengatakan bahawa penganut Islam itu telah melakukan kejahatan besar dunia," katanya.
Antara yang kuat mempengaruhi Ibrahim adalah maklumat dari sebuah stesen radio yang membicarakan teori-teori konspirasi keganasan yang mengaitkan umat Islam.
"Mereka membicarakan mengenai pentingnya menyokong kempen antikeganasan tersebut sambil dibicarakan juga corak kehidupan Nabi Muhammad yang kononnya seorang yang dahagakan darah terutama dari peperangan melawan mereka yang tidak bersalah.
"Segala maklumat tersebut menyebabkan kebencian saya terhadap Islam begitu membuak-buak. Saya benar-benar tertanya apa yang diyakini oleh umat Islam sehingga sanggup menerima dan mempertahankan agama mereka," katanya.
Mulai saat itu, Ibrahim memulakan pencarian yang boleh memberikan jawapan kepada segala macam persoalan.
Ibrahim memulakan pencarian tersebut dengan cuba mengenal fahaman Mitologi Nordik dan Paganisme.
Namun seorang temannya mencadangkan agar dia tidak sahaja menyelidik mengenai paganisme, tetapi lebih baik turut melihat ajaran-ajaran spiritual yang lain.
Nasihat daripada temannya itu membuatkan Ibrahim memilih Islam untuk dibuat kajian dan untuk dikenali, iaitu dengan cara yang agak mudah - melayari Internet.
Maklumat pertama atau lebih tepat, individu Muslim pertama yang beliau temui melalui Internet ialah Baba Ali atau pengasas bersama Mahdi Ahmad sebuah syarikat penerbit filem Islam, Ummah Filem yang menerbitkan rancangan televisyen dan laman web bersiri Reminder dan Ask Baba Ali yang bercorak humor. Ia disiarkan di Britain dan sering menjadi tetamu khas untuk pelbagai seminar dan program-program Islam.
"Saya terkejut bahawa Baba Ali (berasal dari Iran dan lahir pada 1975 dengan nama asalnya Ali Ardekani sebelum memeluk Islam pada usia 20 tahun) seorang Muslim yang lucu namun sangat santai dalam menyampaikan maklumat mengenai Islam. Saya sangat menyukai caranya itu.
"Peliknya, Baba Ali tidak menyimpan janggut lebat atau menjerit dan berteriak bunuh kafir! Bunuh kafir! Yang pasti, Baba Ali berjaya membunuh segala pandangan buruk dan negatif saya selama ini terhadap Islam," kata Ibrahim.
src : http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0524&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm
Comments