Layakkah Manusia Menghukum?
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...
Allah Ta'ala itu sifatnya Maha Sempurna. Berbanding hamba yang sifatnya serba kekurangan dari segenap sudut. Namun adakalanya manusia sering lupa bahawa dia hanyalah makhluk yang dicipta. Oleh itu pasti wujudnya pencipta baginya. Dalam kepesatan dunia masakini. Kesibukan manusia mengejar teknologi, manusia sering lalai dan alpa akan kemampuan dan kehendak dirinya. Sehingga membuat kita terlupa adanya pencipta dikalangan diri yang hina ini.
" Karim tu baru keluar pusat serenti kan?? Buat baik plak rajin ke surau! Sekejap aje tu, tak lama lagi balik ke lorong gelap tu! "
"Dia tu penah mencuri kan dulu. Dah kantoi haritu dengan ahli rumah die. Sekarang ni macam nak buat baik pulak dengan kita. Baik jauhkan diri la, nanti entah ape pula barang kita yang hilang nanti."
"Johan tu, macam la aku tak kenal perangai buruk die dulu. Sekarang ni nampak macam baik pulak. Nak cover perangai buruk die dulu la tu. Ingat aku boleh lupe ke? tak payah belakon la,hipokrit betul... "
Dari Muaz bin Jabal r.a. Dari Rasulullah s.a.w bersabda :
" Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja. Dan ikutilah kejahatan dengan kebaikan,nescaya menghapuskannya. Dan beperangailah sesama manusia dengan perangai ynag baik "
Layakkah manusia menghukum?
Kadangkala perbualan di atas seperti biasa didengari bahkan mungkin kita sendiri yang mengucapkannya. Tanpa disedari, diri yang lemah telah menghukum sesama hamba. Sedangkan manusia itu sama tarafnya. Ada masanya melakukan kebaikan, ada masanya pasti ada dosa yang tercalit di hati. Kerana manusia itu bukan sifatnya ma'sum seperti para malaikat yang sentiasa bertasbih. Bezanya tahap manusia itu ada peringkatnya. Jika hari ini kita tertawa akan dosa dan kesilapan orang lain. Tidak siapa tahu kita akan diuji lebih berat dari apa yang dilalui oleh mereka. Adakalanya ego manusia itu membuatkan diri angkuh hingga terlupa dirinya juga akan diuji. Ego itu berjalan seiring pula dengan nafsu. Jika nafsu tidak di kawal, musuhlah akan mengawalnya sehingga menyebabkan perpecahan dan persengketaan dalam hidup manusia.
Selain al-Quran, hadith s.aw sebenarnya sudah memberikan jalan dan panduan buat kita dalam menjalani kehidupan seharian,kehidupan bermasyarakat dan sebagainya. Seperti halnya kali ini, Rasulullah s.a.w berpesan disebalik kata-katanya, agar berikan peluang buat manusia yang pernah melakukan dosa atau kesilapan. Hamba kepada Tuhannya sudah tentulah taubat yang selayaknya. Namun hadith Nabi s.a.w menyentuh perihal sesama manusia. Bagaimana pula menghadapinya.
Allah itu Maha Penyayang. Taubat seorang hamba itu pasti akan diterimanya selagi mana si hamba memohon ampun. Tetapi mengapa kadangkala wujud hamba yang menghukum sesama saudaranya sendiri? Muliakah kita dari Pencipta yang Maha Pengampun. Justeru, Rasulullah s.a.w memberikan panduan agar setiap kesilapan yang dilakukan manusia itu akan dapat dihapuskan dengan kebaikan. Berikan peluang manusia perbaiki diri. Kerana itulah ujian buat dirinya. Itulah dugaan buatnya, agar menuju setapak lagi hampir kepada Ilahi.
Firman Allah Ta'ala :
" Dan dirikanlah solat pada 2 siang (pagi dan petang) dan pada bahagian pemulaan malam.Dan sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan perbuatan buruk(dosa). itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.
Dan bersabarlah, kerana sesungguhnya Allah tiada mensiakan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan " ( Hud : 114-115)
Allah Ta'ala juga menyebutkan sedemikian buat manusia. Dalil ini menunjukkan agungnya sifat sayang Allah kepada manusia. Kita sedar dengan taubat Allah akan mengampunkan dosa. Namun dengan sifat Rahman padaNya, ditambah lagi bagaimana untuk memperbaiki diri dari kesilapan dan dosa-dosa lalu. Jadi, tidak layaklah bagi manusia menjatuhkan hukuman bagi manusia sendiri. Bantulah sesama hamba dan berikan peluang. semoga ia akan meringankan jalan kita melalui ujian Allah.
Ujian Dan Dugaan Pasti Hadir
Allah dan para Rasul-Nya tidak pernah mengajar manusia bersikap bongkak dan lupa diri. Kerana itu bukanlah sifat yang selayaknya bagi hamba. Manusia itu sendiri saat lahirnya keluar dari tempat yang hina. Sukar melahirkan membuktikan satu ujian buat si anak dan ibunya yang bersusah payah melahirkan. Sehingga matinya manusia, tidak akan terlepas dari ujian dan dugaan Allah.
Firman Allah Ta'ala :
" Adakah manusia itu menyangka mereka akan dibiar sahaja mengatakan "aku telah beriman" sedangkan mereka tidak diuji? " ( al-Ankabut : 2 )
Apabila bibir mengucapkan iman kepada Allah dan rasul-Nya, itulah tiket dan jalan yang dipilih untuk menjadi laluan ke akhirat. Oleh itu, semestinya jalan yang dipilih itu Allah janjikan dengan ujian dan dugaan. Tiada jalan mudah untuk mendapat kemenangan. Kerana bukan mudah mendapatkan sesuatu yang berharga.
Manusia diuji dengan kemampuannya. Allah juga tidak pernah menzalimi hambanya sedemikian. Tatkala diuji, manusia hanya ada 2 pilihan. Melaluinya dengan sabar hingga meningkat imannya, atau melaluinya dengan putus asa dan akhirnya kecewa dengan rahmat tuhan. Semestinya akan wujud 2 jenis golongan dikalangan hamba Allah di dunia. Ia membezakan antara 2 jalan, sukar atau mudah menggapai cinta Ilahi. Oleh itu, jika hari ini kita senang tanpa diuji, bersyukur dan bersiap sedialah. Jangan pula tertawakan hamba yang diuji dalam hidupnya. Ujian Allah buat kita belum tentu bagaimana, mungkin ringan dan tidak mustahil lebih berat dari apa yang dilalui orang lain.
Semaikan Sayang Sesama Makhluk
Cinta dan sayang Allah itu bersabit juga dengan apa-apa yang diciptakan di dunia. Segala penciptaan di bumi bukanlah sia-sia tanpa manfaat padanya. Sematkan rasa cinta dan sayang sesama manusia yang merupakan sebaik-baik ciptaan Allah. Anggaplah kesilapan dan dosanya sebagai peringatan buat diri kita yang mungkin terleka tanpa sedar. Mana mungkin kita membiarkan seorang sahabat jatuh ke dalam gaung, selagi ada rasa sayang dan cinta kepadanya kerana Allah ta'ala. Mudah-mudahan rasa sesama manusia itu menyampaikan kita kepada pencipta.
Sifat bersangka baik sesama manusia akan membuatkan hati lebih lapang dan tenang. Kesempitan fikiran dan desakan nafsu akan terhindar dalam diri. Dengan itu, amal ibadah juga mudah untuk dilaksanakan. Jika amal ibadah sempurna tiadalah persengketaan dan perpecahan berlaku sesama manusia.
Semoga Allah menjadikan kita hamba yang sabar dan syukur di atas segala nikmat dan ujian dari-Nya.
src : http://ibnshams.blogspot.com/2009/04/layakkah-manusia-menghukum.html
Comments