Banjir di Pakistan: Tarbiyyah Ramadhan untuk kita



Dalam kesibukan kita mengerjakan amal ibadah di bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan ini, janganlah kita lupakan isu-isu umat yang sedang berlaku luar sana. Seharusnya kehadiran Ramadhan kali ini juga dapat meningkatkan sensitiviti kita terhadap kesusahan dan penderitaan saudara-saudara seakidah, seterusnya mendorong kita untuk menghulurkan bantuan semampu yang mungkin buat mereka.

Beberapa minggu kebelakangan ini, kita digemparkan dengan bencana banjir besar yang melanda Pakistan di mana dianggarkan satu perlima daripada kawasan tanah negara itu mengalami impaknya. Banyak kerosakan dan kemusnahan yang mereka alami.

Lebih 2,000 orang terkorban setakat ini dengan hampir sejuta tempat tinggal musnah atau rosak teruk. PBB menaksirkan lebih 20 juta penduduk dan lebih 160,000 kilometer persegi kawasan yang terkesan akibat daripada musibah ini, melebihi jumlah mangsa tsunami pada tahun 2004 di Lautan Hindi, gempa bumi di Kashmir pada tahun 2010 dan gempa bumi di Haiti tahun ini.

WHO melaporkan bahawa kira-kira 10 juta orang penduduk Pakistan terpaksa meminum air yang tidak bersih. Ekonomi negara tersebut juga terjejas teruk akibat kerosakan yang melanda infrastruktur dan kawasan pertanian, apatah lagi kehidupan rakyat Pakistan yang hampir sepenuhnya bergantung kepada pertanian.

Menurut Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon, sejumlah $460 juta dana bantuan diperlukan untuk meringankan penderitaan penduduk Pakistan di peringkat awal ini namun sehingga awal minggu ini hanya 20% daripada bantuan yang diperlukan tersebut diterima.

Musibah yang melanda saudara-saudara seakidah kita ini, lebih-lebih lagi dalam menghadapi suasana Ramadhan, seharusnya menginsafkan dan mendidik jiwa kita supaya sentiasa bersyukur dengan kelebihan dan kesempurnaan hidup yang kita miliki.

Jika kita menahan diri berpuasa sehingga ke waktu mahgrib, maka cabaran mereka lebih besar daripada itu. Jika kita dapat menikmati pelbagai hidangan yang lazat ketika berbuka dan sahur, namun begitu sukarnya untuk mereka sekadar mendapatkan air bersih. Jika kita berpeluang menjalani ibadah di masjid, surau dan rumah yang selesa, namun sulitnya untuk mereka sekadar mencari tempat untuk melelapkan mata.

Justeru itu, jadikanlah peristiwa bencana banjir besar di Pakistan ini sebagai satu tarbiyyah kepada diri kita dalam bulan Ramadhan ini terutamanya bagi menyuburkan kepedulian kita terhadap isu-isu umat Islam yang berlaku di sekitar kita.

Ini juga sebenarnya merupakan satu peluang yang terhidang bagi kita menyumbang sebanyak yang termampu untuk meringankan sedikit beban penderitaan mereka di Pakistan. Semoga semangat Ramadhan kali ini memberikan sinar harapan buat mereka yang menderita di sana.

src : http://www.ismaweb.net/v4/banjir-di-pakistan-tarbiyyah-ramadhan-untuk-kita/

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

THE MEANING OF SUCCESS AND FAILURE

Soal Jawab : Ghibah