DUNIA YANG MENIPU



Manusia sanggup lakukan apa sahaja demi merebut dunia.Berapa ramai yang sanggup membunuh, berapa ramai yang menjadi mangsa rompakan dan berapa ramai yang sanggup menzalimi orang lain semata-mata mendapatkan nikmat dunia yang membutakan mata kita ini?

Untuk apa memburu dunia? Walhal dunia hanyalah sementara. Akhirat jua yang kekal abadi.Keindahan dunia acapkali menyilaukan pandangan mata manusia.Usah sesekali terpana dan terpesona dengan kenikmatan dunia yang hakikatnya hanyalah fatamorgana semata.Pandangan mata selalu menipu, pandangan nafsu selalu melulu..pandangan hati yang disuluh iman jualah yang hakiki.

Dunia hanyalah satu pentas permainan dan hiburan.Benarkah? Andai diperhalusi, ia memang benar dan itulah jua yang disebut oleh Allah di dalam firmanNya :

Ketahuilah Bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup Yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup Yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak.”
(Surah Al-Hadiid : ayat 20)

Dunia tidak lebih dari sekadar sebuah pentas permainan dan hiburan. Tempat bersukaria dan bergembira bagi hati-hati yang tidak diisi dengan iman dan taqarrub kepada Allah. Pentas hiburan bagi manusia yang lupa matlamat penciptaannya yang sebenar yang sering terleka dengan permainan dan percaturan hidup yang melalaikan mereka daripada mengingati Allah. Membuatkan mereka sering alpa untuk mengisi hati dan segenap nafas mereka dengan ingatan terhadap yang selayaknya iaitu Al-Khaliq, pencipta mereka.

Perjalanan manusia masih jauh. Dunia sekadar satu persinggahan.Bak seorang musafir yang terpaksa singgah di satu persinggahan untuk berehat setelah penat berkelana bagi melepaskan lelah dan untuk mengumpul kembali bekalan dan kekuatan semangat dan fizikal demi meneruskan lagi saki-baki perjalanan yang masih panjang menuju ke destinasi abadi.Begitulah jua hakikat kembara seorang hamba di atas muka bumi ini.Singgah seketika mengumpulkan bekalan iman dan taqwa untuk meneruskan perjalanan menghadap Allah yang Esa.

Mengapa masih berkira-kira dan teragak-agak dalam mengumpulkan amal kebajikan dan pahala sedang diri tidak pernah ralat atau menyesal dalam berbuat maksiat dan menambah beban dosa?Usah kita golongkan diri kita dalam kelompok manusia yang terus membiarkan diri diselebungi dosa tanpa bertaubat :

Sebenarnya! (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), Dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) Yang mereka kerjakan.
(Surah Al-Muthaffifin : ayat 14)

Ingatlah, dosa hanya menempah tiket untuk kita ke neraka walhal pahala memandu kita ke syurga.Allah tidak pernah sesekali menzalimi hamba-Nya melainkan kita yang menzalimi diri kita sendiri :

Dan tidaklah ada Yang lebih zalim daripada orang Yang diberi ingat Dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa Yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; Sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka Yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). dan jika Engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka Dengan keadaan Yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.
(Surah Al-Kahfi : ayat 57)

Allah tidak pernah meminta balasan atas apa yang DIA kurniakan kepada kita.DIA Maha Pengasih dan Penyayang.DIA berkuasa memberikan dan membalas kebaikan kita lebih banyak daripada apa yang kita infaqkan dengan hati yang ikhlas pada jalan-Nya.

Keindahan dunia hanyalah terlalu kecil nilaiannya untuk diburu berbanding kenikmatan akhirat yang sedia menanti buat hamba-hamba-Nya yang sentiasa taat mengerjakan kebaikan dan amal soleh kerana-Nya.Namun, bukanlah ganjaran syurga semata yang ingin ditagih tetapi redha-Nya jualah yang lebih utama untuk kita cuba peroleh.

Semoga Allah sentiasa memelihara hati-hati kita agar tidak terpesong dari landasanNya dan digolongkan dalam kalangan orang-orang yang untung di akhirat kelak serta dijauhkan dari seksa nerakaNya kerana hakikat yang harus kita yakini, bahawa akhirat adalah jauh lebih baik dan kekal berbanding dari dunia dan segala isinya :

“Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal”
(Surah Al-A’laa : ayat 17)

src : http://tazkirahsini.com/2010/03/03/dunia-yang-menipu/

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

THE MEANING OF SUCCESS AND FAILURE

Soal Jawab : Ghibah