Kenapa Mereka Memusuhi Hijab?
Email Oleh : Abu Usamah Mohd Masri Mohd Ramli
Oleh: Mohd Masri bin Mohd Ramli
(Semoga Allah menempatkan Marwa alSharbini di kalangan Syuhada')
Kematian Marwah Al-Sharbini di tangan pemuda Rusia yang amat membenci Islam bukanlah sesuatu yang baru. Beliau dibunuh hanya kerana beliau seorang Muslimah yang tegar memakai pakaian yang menutup aurat. Ini hanyalah satu ulangan kepada rentetan peristiwa anti hijab yang berlaku di seluruh dunia. Selepas kejatuhan empayar Uthmaniyah, di antara satu penyebabnya ialah konspirasi Mustafa Kamal at-Tartuk, antara perubahan yang dibawa bagi menghapuskan nilai hidup Islam di kalangan masyarakat Islam Turki ialah pengharaman tudung.
Kenapa mereka terlalu takut dengan sehelai kain yang menutupi rambut wanita Islam? Ia adalah satu perkara yang menghairankan. Akan tetapi seandainya kita menyelusuri sejarah penutupan aurat, nescaya kita akan menemui jawapannya. Aisyah radiallahu `anha berkata: "Semoga Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama. Tatkala turunnya perintah Allah (di dalam surah an-Nur:31 yang bermaksud: Dan hendaklah mereka melabuhkan tudung mereka hingga menutupi dada..), maka mereka terus mengoyak kain-kain mereka dan bertudung dengannya". (Sahih al-Bukhari)
Berdasarkan penjelasan Aisyah radiallahu `anha, kita mendapati bahawa ketika turunnya ayat menyuruh wanita Islam menutup aurat, tanpa banyak alasan dan soalan, terus para sahabat menuruti arahan tersebut. Ini menunjukkan kekuatan iman mereka. Kekuatan iman inilah yang menjadi punca kejayaan para sahabat radiallahu `anhum. Mereka patuh dan taat kepada segala suruhan dan larangan Allah Tabaraka Wa Taala. Kekuatan inilah yang dicemburui oleh para musuh-musuh Islam. Mereka tahu bahawa kekuatan umat Islam ada pada keimanan mereka, lalu untuk memusnahkan umat Islam mestilah dimulai dengan memusnahkan keimanan mereka.
Umat Islam sering lupa bahawa segala aspek kehidupan mereka di dunia ini, tidak kiralah di dalam ibadah khusus kepada Allah seperti solat, puasa, zikir mahupun kehidupan dunia seperti belajar, berniaga dan lain-lain. Kesemuanya berpaksikan kepada dua kalimah syahadah yang sering kita baca yang bermaksud "Aku bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi Nabi Muhammad pesuruh Allah". Oleh kerana itu, pemakaian menutup aurat juga tidak terlepas daripada kaitannya dengan syahadah kita kepada Allah.
Pakaian yang menutup aurat merupakan lambang ketaatan kita kepada Allah dan Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wassalam. Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wassalam bersabda: "Apa yang aku larang hendaklah kamu hindarinya dan apa yang aku perintahkan maka hendaklah kamu laksanakan semampu kalian" (Muttafaq `Alaih). Arahan menutup aurat telah jelas termaktub di dalam al-Quran dan hadis yang sahih. Memakainya adalah satu bentuk ketaatan, manakala menanggalkannya pula adalah satu bentuk maksiat kepada Allah dan derhaka kepada rasulNya.
Allah Tabaraka Wa Taala berfirman: Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali,oleh kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Ahzab:59) "
Di dalam ayat di atas, Allah Tabaraka Wa Taala secara jelas menerangkan di antara objektif pensyariatan hukum menutup aurat adalah supaya orang beriman lebih mudah dikenali. Dengan memakai pakaian menutup aurat, kita dapat membezakan antara individu yang beriman dengan individu yang tidak beriman. Membezakan diri daripada orang bukan Islam adalah salah satu tuntutan aqidah Islam. Ia termaktub di dalam konsep al-Wala' (kesetiaan) dan al-Bara' (berlepas diri). Konsep al-Bara' yang menuntut agar kita berlepas diri daripada segala bentuk kekufuran, membenci orang-orang yang kufur serta menjauhi daripada menyerupai identiti mereka.
Umat Islam seolah-olah melupai tuntutan ini. Pemakaian menutup aurat hanya dilihat sebagai satu hukum hakam feqh yang kecil. Ia dilihat sebagai salah satu perkara cabang yang hanya dipandang enteng. Akan tetapi kita melihat sebaliknya berlaku di kalangan musuh-musuh Islam. Mereka seolah-olah memahami betapa pentingnya konsep al-Wala' dan al-Bara' di dalam Islam, lalu mereka cuba melemahkan benteng yang utuh ini. Mereka mahu umat Islam tidak lagi berbeza dengan mereka. Apabila berada di jalanan, kita tidak lagi dapat membezakan siapakah yang Islam, dan siapakah yang bukan Islam.
Salah satu perkara yang mereka serang bagi melemahkan al-Wala' dan al-Bara' ialah melalui pakaian. Serangan ini dilakukan dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui perundangan yang menyekat hak-hak wanita Islam yang menutup aurat, mahupun melalui propaganda media massa. Serangan kedua inilah yang paling merbahaya. Ia merebak hatta di negara kita. Kempen-kempen kebebasan ditonjolkan di kaca televisyen sama ada melalui drama, telenovela mahupun iklan-iklan syampu yang cuba menonjolkan keayuan perempuan yang membuka aurat. Pemakaian menutup aurat digambarkan sebagai satu undang-undang yang kolot dan menyekat hak asasi manusia. Mereka lupa bahawa tindakan mereka menghalang wanita Islam menutup aurat juga bertentangan dengan hak asasi manusia.
Musuh Islam tidak pernah berputus asa. Tidak semua umat Islam dapat mereka pengaruhi untuk membuka aurat dan membenci hukum menutup aurat. Bagi mereka yang menutup aurat pula, mereka dikelirukan di dalam isu purdah. Kekeliruan yang muncul ini hingga menyebabkan segelintir umat Islam memandang wanita Islam yang memilih menutup wajah mereka daripada pandangan bukan mahram sebagai sekelompok manusia yang ekstrim dan melampau di dalam mengamalkan ajaran Islam.
Umat Islam seolah-olah lupa itulah pakaian isteri Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wassalam. Para sarjana Islam berbeza pendapat di dalam isu wajah aurat atau tidak. Ia telah dijelaskan secara terperinci oleh Shaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di dalam kitab beliau Jilbab al-Mar'ah al-Muslimah. Beliau berpegang bahawa wajah bukan aurat. Manakala untuk membaca hujah sarjana yang mewajibkan pula, bole dilihat di dalam kitab Risalah Al-Hijab susunan Shaikh Muhammad bin Shalih al-Uthaimin. Tidak kiralah sama ada kita berpegang wajah aurat atau tidak, wajib atau tidak menutup wajah. Kita hendaklah menerima hakikat bahawa pemakaian purdah menutup wajah adalah antara salah satu perkara yang disyariatkan di dalam Islam.
Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin menyatakan: "Wanita yang memakai purdah berpegang dengan pendapat golongan ulama yang mewajibkannya. Ini adalah hak mereka. Selagi mereka berkeyakinan pendapat yang menyatakan ianya wajib itu kuat, maka mereka wajib memakainya. Ini kerana seseorang itu berpegang kepada apa yang dia yakin. Seseorang individu tidak wajib mengikut mazhab orang ramai, tetapi hendaklah mengikuti apa yang dia faham dan yakin yang berpandukan perbahasan-perbahas an para imam ahli sunnah wal jama`ah." (http://drmaza. com/home/ ?p=68)
Umat Islam hendaklah sedar, serangan yang ditujukan kepada tudung dan purdah adalah salah satu cara untuk menghancurkan identiti Islam. Adalah amat malang apabila segelintir wanita Islam masih degil daripada menutup aurat walaupun tiada siapa yang akan membunuhnya seandainya dia menutup aurat di Malaysia. Mendukacitakan lagi, apabila pemakaian purdah di Malaysia masih dipandang sebagai sesuatu yang taboo dan di sesetengah tempat, pemakai purdah dinafikan hak untuk bekerja dan belajar. Semoga darah yang mengalir dari tubuh Marwa al-Sharbini akan membangkitkan umat Islam daripada tidurnya.
***Penulis adalah pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak. Beliau aktif di dalam bidang kefasilitatoran bersama INTIS Consultant. Tulisan beliau boleh dibaca di http://lobaitampin.blogspot.com/
src : Taman2 Syurga at yahoogroups dot com
Comments