DOSA IBU BAPA MENGATASI KESALAHAN ANAK-ANAK
www.saifulislam.com
"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu berhala. Di atasnya ada malaikat yang amat kasar lagi keras perlakuannya. Mereka tidak mengengkari Allah apabila disuruh dan mereka tentu melaksanakan apa yang diperintahkan" [al-Tahrim 66 :6]
Kadang-kadang saya rasa tersinggung apabila permintaan saya tidak dihargai. Saya bukan meminta kelebihan. Apa yang saya pohonkan ialah pada beberapa kotak kosong di dalam diari bulanan saya, ia adalah masa saya untuk isteri dan anak-anak.
"Bolehlah ustaz, janganlah macam itu. Anak hari-hari boleh jumpa. Kami sudah tiada masa lain yang sesuai untuk menjemput ustaz. Harap ustaz dapat pertimbangkan permintaan kami", kata seorang pemanggil yang menelefon saya.
Dialog seperti ini meletakkan saya pada situasi yang menjadikan saya serba salah. Mengapakah masa seorang ustaz untuk anak-anaknya tidak dianggap penting? Bukankah itu sesi beliau menunaikan kewajipan nafkah kasih sayang, didikan dan perhatiannya kepada anak-anak. Semasa saya kecil, saya tinggal di sebuah kawasan perumahan dan
seawal usia 10 tahun, saya pernah membuat kesimpulan bahawa budak - budak jahat pada masa itu, sama ada anak ustaz, tak pun anak polis!
Alangkah prejudisnya saya semasa itu. Saya tidak faham bagaimana saya boleh beranggapan sedemikian rupa. Mungkin kerana geram saya apabila basikal yang ayah belikan, dibengkokkan oleh si Samseng Kampung Dusun, anak seorang ustaz. Tetapi hari ini hati saya menjadi gundah semula. Terutamanya selepas menerima maklum balas seperti dialog di atas.
Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Itulah peribahasa Melayu yang amat menusuk perasaan saya. Ketika saya menaip artikel ini, Saiful Islam dan Naurah sedang tidur nyenyak di depan saya. Memandang mereka telah meretak hibakan hati saya.
"Maafkan Abi, wahai anak-anakku, Abi berdosa mengabaikankalian", saya sukar menahan hati dari bersedih.
Saya masih ingat, semasa saya di Ireland, usaha saya mendidik dan membesarkan Saiful Islam, ternyata amat mudah. Malah saya setiap hari memanjatkan syukur kepada Allah kerana Saiful Islam amat mudah untuk diurus. Dengan tugas saya sebagai Imam, saya tidak keberatan untuk membawa anak sulung saya ke masjid, saya baringkan di kepala
sejadah dan matanya berkelip-kelip melihat saya menyampaikan khutbah Jumaat.
Semasa itu, untuk saya menegurnya ketika dia melakukan kesalahan, caranya amat mudah. Saya tunding jari, tanpa perlu membuka bicara, Saiful Islam sudah menghamburkan air mata takutkan `kemarahan' saya.
Tidak dinafikan, ketika itu mungkin usia anak saya baru setahun dua. Memang tidak susah menjaganya. Tetapi apabila saya fikirkan, hari ini saya tetap saya yang sama. Anak bertambah, usia mereka juga bertambah, tetapi mereka tetap berayahkan ayah yang sama. Tetapi kenapa hari ini, fikiran saya selalu kusut memikirkan mereka?
Ya, suasana di Ireland amat saya rindui. Saya duduk di negara Kuffar, tetapi usaha mendidik anak memang mudah dan menggembirakan. Saya tidak menyesal menjadi `suri rumah' selama beberapa tahun. Saya bertugas secara sambilan di beberapa masjid, menyambung pengajian Master secara distance learning dengan The Open University, UK, dan sambil itu saya menjaga soal makan minum, hal ehwal rumah tangga,
dan Saiful Islam membesar di depan mata.
Itu lebih baik, daripada saya bekerja sebagai kasyer di pasar raya, kemudian semua gaji dibayar kepada nursery yang mencecah harga ratusan Euro sebulan. Masakan tidak, semua nanny memegang Ijazah Early Childhood Learning malah mahir pula dengan rawatan kecemasan Paedriatrik dan first aid.
Namun saya gembira membesarkan anak dengan tangan saya sendiri. Isteri saya sibuk bekerja di wad kecemasan hospital, shifnya tidak tentu siang malam. Maka saya mengambil alih tugas di rumah. Setiap pagi saya mandikan anak, menyalin bajunya, menggoreng kentang atau pasta kosong untuk sarapan. Saya bermain bersamanya seketika,
kemudian ke dapur memasak untuk makan tengah hari. Saiful Islam tidur semula sekitar jam 11 dan saya naik ke bilik ulangkaji untuk membuat assignment. Zohor kekadang di masjid, jika cuaca baik.
Tengah hari saya qailulah seketika, solat Asar dan kemudian membawa Saiful Islam ke hospital untuk mengambil isteri saya dari tempat kerjanya, pulang bersama sambil menghirup udara petang yang segar. Ketika di Naas, kadang-kadang kami melencong ke belakang hospital bersama roti keras yang saya bawa dari rumah, untuk memberi burung
undan di tasik, makan petang bersama kami. Saya mencampak roti ke tasik, Saiful Islam dan Umminya turut sama.
Jika isteri saya oncall, saya akan ke hospital menghantar nasi dan lauk, khususnya semasa isteri saya mengandung anak kedua kami, Naurah Sabihah. Suasana ketika itu memang nyaman, fikiran saya tenang dan prolifik, kegiatan kemasyarakatan banyak dan saya sanggup mengayuh mountain bike selama 2 jam untuk memberi kuliah Tafsir
Surah Yasin kepada adik-adik yang tinggal di South Circular Road, Dublin.
Itulah suasana saya membesarkan anak ketika di Ireland. Memang hati kami sunyi tidak mendengar laungan azan dari menara masjid bertahun lamanya. Namun derita melihat laungan azan tidak diendahkan di Malaysia, lebih menghiris rasa.
Hari ini saya sudah pulang ke Malaysia. Cabaran membesarkan anak- anak semakin meruncing.
Semasa di Ireland, saya pernah berbual dengan isteri sambil merenung daun-daun perang gugur di petang musim luruh.
"Abang rasa, kita hanya boleh tinggal di Ireland sampai usia anak kita mencecah umur tadika. Apabila dia perlu bersekolah, kita harus pulang ke Malaysia", saya meluahkan pandangan tentang perancangan masa depan kami. Isteri saya mengangguk tanda setuju.
Saya berfikiran begitu kerana saya khuatir dengan Aqidah anak saya. Tentu sahaja saya patut risau. Semasa bertugas sebagai Pengetua dan guru di Belfast Islamic School, saya ada banyak pengalaman yang menakutkan. Selain kisah di Belfast Zoo dan cerita evaluation test anak-anak murid kami, saya juga tidak lupa kepada suatu insiden di sebuah pasar raya di Lisburn Road, Belfast. Seorang anak muda bekerja sebagai kasyer di situ dan tag namanya tertulis "OMER".
Wajahnya ada iras Irish dan ada sedikit iras Asia. Apabila ditanya sama ada beliau Muslim atau tidak, beliau termenung seketika dan berkata, "my father is a Moslem!"
Aduh, adakah krisis identiti itu yang mahu saya risikokan kepada anak-anak dengan menyekolahkan mereka di Ireland? Tentu sekali tidak.
Tetapi selepas pulang ke Malaysia, pandangan saya berubah sama sekali. Kadang-kadang saya menangis sambil merenung jauh dari tingkap rumah kami, "apakah selamat anakku membesar di Malaysia?"
Ya, semasa di Ireland, saya kira amat mudah untuk saya gariskan batas-batas Iman dan Kufur kepada anak-anak.
"Jangan ikut perangai Spencer itu, dia bukan orang Islam!", saya boleh menyebut begitu kepada Saiful Islam dan Naurah.
Apabila anak-anak pulang ke rumah, saya boleh berbicara dengan mudah bahawa yang jahat itu bukan Islam, bagi mereka agama mereka, dan bagi kita Islam yang satu. Garis hitam putih amat jelas.
Tetapi bagaimana di Malaysia? Spencer, Ah Meng, Ravin, Shahril, semuanya lebih kurang sama. Perangai dan akhlak tidak banyak berbeza. Grey area melebar luas. Nak dikatakan tidak Islam, dia Islam. Tetapi kelakuannya tidak mencerminkan agama di kad
pengenalannya. Habis, mudahkah saya menerangkan semua ini kepada anak-anak? Saya tabik kepada rakan yang sanggup menyekolahkan anak- anak di SRJK(C), walau pun terpaksa berulang ke sekolah menghantar bekal makanan sendiri. Semuanya kerana mereka mahu anak-anak membesar di dalam suatu suasana yang garis hitam dan putihnya jelas. Mampukah saya begitu? Entahlah...
Lebih menyedihkan, sabar saya tidak seperti sabar saya semasa di Ireland. Hari ini apabila anak-anak buat semak, ada kalanya macam mudah benar untuk darah saya tersirap. Terutamanya apabila saya pulang ke rumah selepas dua jam meredah lautan kereta. Syukurlah saya banyak berusaha membaca dan belajar tentang topik-topik yang
membina sikap pro aktif. Saya cuba menapis setiap insiden, agar saya memberikan respond yang tepat dan bukannya marah berbalas marah, geram berbalas geram, degil berbalas cubit dan sebagainya.
Saya sentiasa berasa malu apabila membaca kisah keluarga Stephen Covey. Profesyennya sama seperti saya. Kami selalu out station untuk memberikan training. Jadual kami ketat. Tetapi Stephen Covey, mempunyai 9 anak dan dia tidak pernah terlepas daripada menghadiri majlis dan peristiwa yang penting berkaitan dengan anak-anaknya.
Bukan suatu yang mudah untuk seorang American membesarkan 9 anak. Saya yang dua ini pun sudah pening kepala.
Sebab itu jugalah saya tidak suka memarahi anak-anak dengan tengking dan leteran. Lagi banyak kita menengking, lagi cepatlah bisanya hilang. Saya tidak percaya kepada pendekatan marah sebagai teknik default menegur kesalahan anak. Berapa ramai yang menjadi baik hasil siri marah di sepanjang usia membesarnya? Apa yang pasti, anak yang selalu dimarahi akan menjadi pemarah dan kemudiannya bakal memarahi anak-anaknya pula suatu hari nanti. Ingat, anak kita mungkin gagal mengikut kata-kata kita, tetapi mereka tidak akan gagal meniru perangai dan tingkah laku kita sebagai ibu dan bapa. Jika anak kita buruk kelakuan, jangan cari sebab yang jauh. Anak-anak adalah cermin wajah ibu dan bapa mereka.
Ya memang marah itu perlu, tetapi ia bukan pendekatan harian saya. Saya lebih suka bercakap dengan anak-anak dan cuba memahamkan mereka kenapa satu-satu perbuatan itu betul atau salah. Jika Saiful Islam naik angin, saya akan tangkap dia dan mandikan agar `sejuk', kemudian saya ke bawanya ke bilik dan kami berdialog.
Biar pun soalan anak-anak bertali arus dan kekadang berpusing ke belakang, saya sentiasa setia melayan. Rasa marah atau letih, rasa mengantuk atau sengal badan, semuanya diketepikan dan saya mesti mendengar isi bualan yang ingin dikongsi oleh Saiful Islam dan kini Naurah juga. Biar pun isunya hanya soal kad Grandsazer dan Kamen Rider. Itulah wasilah saya mendengar dan menunjukkan kasih kepada anak-anak.
Namun punca sebenar yang menjadikan saya tidak tergamak untuk memarahi anak saya, ialah kerana saya rasa berdosa kepada Allah terhadap mereka. Malah kesalahan anak-anak saya yang belum mumayyiz dan tidak aqil baligh ini kepada saya dan ibu mereka, tidak terbanding dengan dosa saya dan isteri terhadap mereka.
Masakan tidak. Saya telah memilih isteri yang solehah dan sebahagian cita-cita saya, agar akhlak mahmudah isteri akan tumpah kepada anak- anak suatu hari ini. Saya percaya, ramai dari kalangan kita yang melakukan perkara yang sama. Pendidikan anak-anak bermula dengan memilih ibu yang baik untuk mereka.
Tetapi tumpahkah solehah isteri kepada anak-anak? Turunkah baik saya kepada anak-anak? Sukar untuk menjawab soalan ini kerana orang sebenar yang membesarkan anak-anak hari ini, adalah guru di tadika atau pembantu rumah Indonesia. Alhamdulillah jika yang Indonesia itu orangnya baik, bersolat dan menjaga batas-batas agama. Bagaimana dengan yang berpembantu rumah seorang penyembah berhala dari Myanmar, Thailand atau Filipina.
Kita berjumpa dengan anak-anak ketika kita sudah letih. Kita sudah hilang seri di wajah dan jiwa malah bahasa. Anak-anak juga sudah mengantuk ketika saya sampai di pintu menanggalkan kasut. Bilakah masanya kita menumpahkan akhlak mahmudah kita kepada anak-anak?
Isteri solehah, tapi yang membesarkan anak-anak adalah pembantu rumah, guru nursery, dan entah siapa lagi. Ibu dan ayah di mana? Jawapannya mudah sahaja, SIBUK BEKERJA.
Janganlah disangka kita sudah menjadi ibu dan bapa yang baik hanya kerana makan pakai anak-anak sudah cukup. Itu hanya taraf lembu membesarkan anak-anaknya. Ibu bapa manusia ada tanggungjawab yang lebih besar dari itu. Soal makan, minum, pakaian, perlindungan, pendidikan, makanan emosi dan spiritual, semuanya mesti diharmonikan bersama bekalan yang tidak putus-putus. Apa yang paling utama adalah soal jumlah masa yang kita luangkan bersama mereka. Sudah cukupkah untuk meyakinkan mereka, bahawa kita benar-benar kasihkan mereka?
Tetapi zaman ini, zaman membesarkan anak-anak diswastakan kepada pihak lain. Kita sibuk bekerja dan kerja tidak pernah habis. Anak buat perangai mungkin semata-mata atas dorongannya untuk mencuri perhatian kita.
Ingatlah, dalam suasana kita hari ini, dosa ibu dan bapa terhadap anak-anak, lebih besar berbanding kesalahan mereka kepada kita. Insaflah wahai ibu dan bapa, jangan mudah melenting, sebelum cukup kasih diberi.
Seandainya saya memohon kotak kosong itu kekal dikosongkan, janganlah heret saya ke suasana yang menjadikan saya tersepit. Saya ada tanggungjawab kepada anak-anak, anda juga sama. Anak-anak dan isteri saya, adalah mad'u pertama saya.
Jika kita dalam perjalanan pulang dari KL ke Ipoh, kita singgah di Tapah untuk Solat dan makan. Kemudian kita meneruskan perjalanan ke Ipoh. Tetapi selepas 15 minit memandu, baru kita tersedar yang salah seorang anak kita tiada. Ketika itu kita kelam kabut mencari U-Turn dan mulut tidak henti-henti berdoa agar anak yang tertinggal di belakang, selamat dan tiada mudarat.
Ya, jika kita tercicir anak di perjalanan dunia, kita ada jalan untuk berpatah balik menyelamatkan keadaan. Tetapi berapa ramai ustaz, doktor, polis, jurutera, pegawai bank dan kita-kita semua yang ketika dalam perjalanan memanjat tangga kenaikan pangkat, kita tertinggal isteri dan anak-anak di belakang. Jika lebuh raya kita boleh berpatah balik. Tetapi jika mereka ditinggalkan dari Tarbiah dan didikan Islam, ketika kita tersedar yang mereka yang sudah jauh ketinggalan di belakang, apakah ada jalan pulang? Apakah ada satu lagi peluang? Jawapannya TIADA.
Jika ada lelaki atau wanita yang berjaya di dalam kerjaya, jangan lupa kepada pengorbanan anak-anak selama ini. Jangan lupa dosa kita terhadap mereka.
Saya hairan semasa membaca sabda Nabi SAW betapa tanda Kiamat itu adalah pada ibu yang melahirkan tuannya. Anak durhaka jadi kebiasaan. Mengapa suasana begitu boleh terjadi?
Akhirnya saya membuat kesimpulan, anak durhaka di akhir zaman, bermula dengan dosa ibu dan bapa yang sibuk bekerja. What you give, you get back!
Maafkan Abi dan Ummi!
src : Taman2Syurga at yahoogroups dot com
Comments