4ayesha

Daripada ABU HURAIRAH r.a, RasuluLLah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang menyeru (manusia) kepada hidayah, maka baginya pahala sebanyak pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka." Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab al-'Ilm (2674), Imam Malik dalam Muattha'(2674), Ahmad (9171), Abu Dawud (4609), Turmudzi (2674), ad-Darimi (513), ibnu Majah (206), ibnu Hibban (112), al-Bagahwi (109)

Followers


Baru-baru ini seorang duda datang mengadu. Dengan nada kecewa beliau menjelaskan bahawa pinangannya baru sahaja ditolak. Menurutnya, wanita yang ingin dijadikan pasangan hidupnya itu agak berusia tetapi masih lagi cantik, berpendidikan agama dan masih lagi dalam kategori `anak dara'.

Walau bagaimanapun perangainya agak sedikit pelik. Sebelum ini, bukannya tidak ada rombongan yang cuba untuk meminangnya, tetapi kesemuanya ditolak.

Alasannya mudah sahaja, tidak mendapat petunjuk Allah katanya. Beliau sudah mengerjakan solat istikharah, namun tidak mendapat alamat dalam mimpinya itu.

Persoalan yang ingin diperbincangkan di sini, apakah mimpi manusia biasa boleh dijadikan sandaran atau boleh menjadi isyarat kepada jawapan yang dicari? Benarkah solat sunat istikharah boleh menjadi medium atau pengantara untuk menentukan sesuatu keputusan seperti menentukan jodoh seseorang atau baik buruk takdirnya?

Istikharah sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud meminta pilihan yang baik. Biasanya solat istikharah dilakukan apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu perkara tetapi dia tidak pasti apakah perbuatan atau tindakannya itu membawa kebaikan ataupun tidak kepada dirinya.

Maka untuk itu, dituntut baginya supaya melakukan solat sunat istikharah. Pelaksanaannya sama dengan solat-solat sunat yang lain. Dalam sebuah hadis daripada Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah s.a.w. pernah mengajar kami cara untuk meminta petunjuk Allah Taala dalam beberapa urusan yang penting.

Baginda bersabda, Apabila salah seorang di antara kamu menghendaki pekerjaan, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian ia berdoa: Ya Allah, sesungguhnya aku minta petunjuk yang baik dengan pengetahuan-Mu, dan aku minta diberi kekuatan dengan kekuatan-Mu. Aku minta kemurahan-Mu yang luas, kerana sesungguhnya Engkau yang Maha Kuasa sedang aku tiada berkuasa. Engkau mengetahui sedang aku tidak tahu, dan Engkau Maha Mengetahui yang ghaib.

Sesungguhnya manusia diciptakan oleh Allah Taala dalam keadaan lemah. Kelemahan yang ada pada manusia itu menyebabkan apa jua rancangan dan tindakan yang kita lakukan kadang-kadang sudah diyakini baiknya, tetapi belum tentu baik bagi Allah Taala. Begitu juga apa yang kita rancang dan kita lakukan sudah diyakini kesan buruknya, tetapi belum tentu buruk menurut penilaian Allah. Dalam hal ini kita harus mengakui bahawa daya fikir dan akal manusia sangat terbatas. Untuk itu kita dianjurkan beristikharah.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Kamu diwajibkan berperang, sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi (pula) kamu suka kepada sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Allah jualah yang mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al-Baqarah: 216)

Sebenarnya amal ibadah yang mengandungi unsur-unsur tilikan dan bergantung kepada mimpi semata-mata bukanlah daripada ajaran Islam. Malah Nabi s.a.w. tidak pernah mengajar umatnya agar mencerap petunjuk Allah menerusi mimpi. Fenomena menilik nasib atau jodoh melalui mimpi di kalangan masyarakat kita, lebih-lebih lagi bagi sesetengah wanita perlu diperbetulkan semula. Amalan ini dikhuatiri boleh menyebabkan berlakunya dosa syirik kepada Allah s.w.t.

Hal ini kerana manusia bukanlah tuhan yang boleh meramal apa yang berlaku. Perbuatan meramal atau menilik mimpi adalah amalan dan budaya jahiliah yang sangat ditegah oleh Islam. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Wahai orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib adalah semata-mata amalan kotor daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Al-Maidah: 90)

Perlu dijelaskan di sini bahawa tidak semua mimpi manusia itu benar. Mimpi manusia biasa pada kebiasaannya adalah mainan tidur yang berpunca daripada pengaruh iblis dan syaitan yang datang mengganggu.

Kita tidak boleh menyamakan antara mimpi manusia biasa dengan mimpi para nabi dan rasul-rasul. Mimpi bagi nabi dan para rasul adalah wahyu dari Allah Taala. Kisah Nabi Ibrahim a.s. sebagai contoh, telah diperintah oleh Allah untuk menyembelih anaknya, Ismail a.s. yang datang melalui mimpi baginda. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Maka apabila anak itu sampai (kepada peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi, bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah ayah akan mendapatiku daripada orang-orang yang sabar. (Al-Soffat: 102)

Kesimpulannya mimpi kita itu tidak mengandungi kebenaran mutlak. Kemungkinan kebenaran yang terlihat itu lebih berdasarkan kepada kebetulan sahaja atau unsur-unsur daripada mainan syaitan yang bertujuan untuk menyesatkan manusia. Itulah sebabnya, jangan menyandarkan segala keputusan kepada mimpi. Sebaliknya berfikirlah dengan lebih rasional.

Dalam kes di atas, seandainya pertimbangan akal diletakkan pada tempat yang sewajarnya, maka memadai dengan sedikit soal selidik dan mengkaji latar belakangnya sudah dapat menentukan ciri-ciri pasangan yang menepati kehendak Islam. Maka ketika itu, dia tidak perlu lagi beristikharah dan terus menerus menunggu mimpi. Atau sekiranya beliau berada dalam situasi antara dua pilihan, yang satu berakhlak mulia sedang yang kedua kurang baik agama dan akhlaknya, maka pilihannya ketika itu sewajarnya kepada yang pertama. Kaedah pertimbangan dan penilaian seperti itu tidak perlu melalui solat sunat istikharah.

Mimpi itu bukanlah satu-satunya jalan yang memimpin manusia kepada petunjuk Allah s.w.t. Kadang-kadang petunjuk Allah Taala datang melalui buah-buah iman yang masuk menyerap ke dalam hati sehingga menerbitkan keyakinan dan rasa hati yang kuat melalui keyakinan untuk memilih salah satu di antara beberapa pilihan.

Jika kita mempunyai kecenderungan untuk memilih salah satunya, maka itu merupakan isyarat kuat daripada Allah. Pilihlah dulu terimalah seadanya, kemudian solatlah istikharah dan ketika itu pohonlah kepada Allah Taala moga pilihan kita tersebut tepat dan terbaik yang boleh membawa kebaikan dunia dan akhirat. Hal ini diperjelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam sebuah doa yang bermaksud:

Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa pekerjaan ini, baik bagi agama dan kehidupanku dan hari kemudianku, maka berikanlah ia kepadaku, dan mudahkanlah ia bagiku, dan berkatilah ia kepadaku. Jika Engkau mengetahui bahawa pekerjaan ini buruk bagiku, buruk bagi agamaku, penghidupanku dan hari kemudianku, maka jauhkanlah aku daripadanya, dan berikanlah bagiku kebaikan di mana pun juga adanya, kemudian jadikanlah aku orang yang redha dengan pemberian itu. - (Riwayat Bukhari)

src : http://www.pengantin.com.my/v1/index.php/component/content/article/2-perkahwinan-mengikut-islam/12-solat-istikharah-mengapa-tunggu-mimpi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Contributors

 **Note:

For those who wants to use or spread contents in this blog, please proceed without my permission. Shukran Jazilan.

Blog Archive

geocounter

Doa Qunut Nazilah

“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

BlogTopSites