Qada Dan Qadar Membina Kegemilangan


"Saya ada satu persoalan yang berkaitan dengan isi usrah kita malam ini iaitu Qada dan Qadar. Mungkin boleh menghangatkan perbincangan usrah kita." Hafiz Bai memulakan bicara.

Semua mata tertumpu pada Hafiz Bai. Malam ini merupakan malam bagi usrah kedua kami bersama naqib baru, Dr. Sani Izan, pensyarah bidang kejuruteraan.

Hafiz Bai menyambung, "Semasa kecil saya selalu berfikir-fikir tentang Qada dan Qadar. Bagaimana Allah menetapkan segala sesuatu tetapi dalam masa yang sama juga kita diberi untuk membuat pilihan."

"Satu persoalan yang menarik untuk usrah kita hari ini. Ada sesiapa punya jawapan untuk persoalan ini?" ujar abang Sani.

Saya baru teringat permintaan seorang pengunjung blog terhadap persoalan Qada dan Qadar. Masih belum saya beri jawapan yang sesuai. Mungkin perbincangan dalam usrah pada malam ini memberikan saya jawapan dalam bentuk yang paling mudah difahami.

"Biar saya sambung lagi ..." Hafiz Bai mencelah apabila yang lain sekadar berdiam sahaja.

Allah Maha Mengetahui setiap suatu kejadian


"Saya terfikir-fikir adakah apabila manusia itu berdepan dengan keadaan untuknya membuat pilihan, Allah sudah menetapkan jika ‘A' pilihannya maka jalannya begini dan begini. Jika ‘B' maka jalannya begini dan begini. Dan antara ‘A' dan ‘B' itu juga sudah ada rantaian pilihan-pilihan lain dalam hidupnya."

"Maksud kamu?"

"Maksudnya ia umpama seperti sebuah peta minda. Setiap cabang, ada cabang yang lain. Dan pada cabang yang lain itu ada lagi cabang-cabangnya sampai akhir hayat manusia tersebut." Ujar Hafiz Bai.

Saya terpaku sejenak. Nampaknya perbincangan semakin rumit.

Abang Sani cuba menjawab, "Pertama sekali yang perlu kita tahu adalah Allah itu Maha Mengetahui. Pengetahuan Allah tersangat luas. Dalam beberapa teori sains berkaitan masa, jika kita dapat menghentikan masa maka kita dapat berjalan ke zaman lampau dan juga ke masa hadapan."

"Wah, ini sudah masuk teori sains pula!" sampuk Mujahid diselangi gelak tawa ahli yang lain.

"Bukan apa, cuma mahu menerangkan tentang pengetahuan Allah. Maksudnya andai masa itu dapat dihentikan, kita dapat berjalan dan melihat apa perkara atau pilihan yang akan kita buat pada masa akan datang. Begitulah juga dengan pengetahuan Allah. Allah sebenarnya memang tahu apa yang akan kita buat dan apa pilihan yang kita akan pilih.

Jadi perbincangan kita tentang Qada dan Qadar mesti berlandaskan ini iaitu pengetahuan Allah sangat luas. Tiada batasan. Jika kita buat andaian setiap perkara itu Allah sudah sediakan cabang-cabang yang lain, maka kita seakan menyamakan sifat Allah dengan sifat manusia. Seakan Allah tidak tahu apa yang kita akan buat pada masa akan datang." Sambung Abang Sani.

Takdir bukan bererti hanya berserah sahaja


"Menurut apa yang saya faham, kita berhak membuat pilihan sendiri tetapi Allah yang akan menentukan hasil pilihan tersebut baik atau tidak." Balas Thanie pula dengan wajahnya tersenyum-senyum.

"Sebenarnya apa yang saya risaukan sangat kerana pada zaman sekolah dulu ada seorang rakan yang merokok mengatakan, ‘Jika Allah sudah menetapkan aku mati disebabkan aku merokok, jadi apa perlunya aku berhenti merokok sekarang sedangkan kalau aku berhenti pun memang akan mati akibat merokok.'" Celah Hafiz Bai yang memang gemar menghangat-hangatkan sesuatu topik.

"Kalau macam itu, cakap pada dia suruh dia duduk diam sahaja, tak perlu makan minum dan tunggu sampai mati. Tengok sama ada dia mati akibat merokok atau mati kelaparan kalau itulah yang dia yakin tentang Qada dan Qadar." Sampuk seorang ahli usrah yang lain.

Saya cuba mengingat-ingat hasil bacaan daripada buku ‘Minda Muslim Super' karangan Dr Danial Zainal Abidin. Syed Sabiq menyatakan di dalam kitab al-Aqaid al-Islamiyah, "Imam al-Khatabi berkata,
"Ramai orang berpendapat Qada dan Qadar sebagai pemaksaan Allah ke atas hambanya dan manusia mengikut apa yang ditetapkan Allah ke atas dirinya.

Sebenarnya pandangan seperti ini adalah salah kerana takdir adalah ketetapan Allah berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui berkaitan dengan kejadian yang berlaku berhubung semua perkara." Pengetahuan Allah berkenaan sesuatu perkara tidak akan mempengaruhi kehendak hamba itu."

Maksudnya Allah memang sudah tahu setiap perkara yang akan kita lakukan. Tetapi setiap tindak-tanduk atau pilihan itu kita sendiri yang tetapkan. Tiada unsur pengaruh daripada Allah kerana itu kita tidak tahu apa yang akan berlaku ke atas diri kita pada masa akan datang.

Dalam surah Fussilat ayat 46 juga menyebut:

"Sesiapa yang beramal soleh maka pahalanya bagi dirinya sendiri dan sesiapa yang mengerjakan perbuatan yang buruk maka dosanya menimpa ke atas dirinya. Dan Tuhan kamu tidak menzalimi hamba-hambanya sedikit pun."

Qada Mubram dan Qada Muallaq

"Mungkin perbincangan kita ini boleh diteruskan dengan pemahaman kita tentang Qada Mubram dan Qada Muallaq." Saya cuba mencelah pula. Dalam ingat tidak ingat tentang mata pelajaran Quran Sunnah semasa di sekolah dahulu.

Qada Mubram adalah takdir yang pasti. Sebagai contoh, lahirnya seorang anak Adam itu, lambat laun pasti akan mati juga. Atau pun, manusia memerlukan oksigen, makan dan minum yang mencukupi untuk hidup. Itu adalah satu ketetapan yang pasti. Tiada siapa boleh membantah.

Qada Muallaq pula adalah ketetapan yang boleh berubah. Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata, "Mengikut pendapat yang hak, Luh Mahfuz menerima penghapusan dan penetapan."

"Ada satu hadis Nabi Muhammad,
‘Tiada apa yang dapat menolak takdir selain doa dan tiada yang dapat memanjangkan umur kecuali perbuatan yang baik.'"
kata Mujahid.

Berkenaan dengan hal ini kita boleh mencontohi sikap para sahabat Nabi Muhammad. Walaupun sudah dijanjikan syurga namun mereka masih lagi berusaha meningkatkan amal dan berbuat baik.

Bisik saya dalam hati. Para sahabat memang insan terpilih untuk mengetahui akan keputusan amalan mereka di hari Akhirat. Andai kata kitalah yang diberitahu akan masuk syurga, mahukah kita meneruskan amalan kebajikan?

Kesimpulan

Kita tidak tahu apa akan berlaku kepada diri kita pada masa hadapan, jadi buatlah apa yang termampu dengan segala keupayaan yang kita ada. Cuba kita lihat bagaimana usaha dakwah Nabi Muhammad kepada bapa saudaranya sendiri, Abu Talib. Sehinggalah Abu Talib meninggal dunia tanpa masih belum memeluk agama Islam.

Andai kata dari awal Nabi Muhammad sudah tahu yang bapa saudaranya itu memang akan mati dalam keadaan kafir walaupun ajakan demi ajakan dilakukan secara berterusan. Adakah Nabi Muhammad akan meneruskan usahanya itu?

Kerana itu kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada diri kita masa akan datang. Usaha yang berterusan yang akan membuahkan hasil yang baik. Tanpa berusaha dan bersenang-senang sahaja, kehidupan tidak akan ke mana-mana malah akan mendatangkan keburukan.

src : http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1285

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT