Memilih Suami, Isteri Menurut Ajaran Islam
BAGI lelaki yang hendak berumah tangga, gadis cantik sering menjadi pilihan sebagai isteri, manakala bagi isteri yang menunggu kehadiran suami dalam hidupnya, lelaki yang kacak dan berpendapatan lumayan dijadikan ukuran sebagai pilihan hatinya.
Itulah pilihan lelaki dan wanita zaman sekarang untuk memilih pasangan masing-masing tanpa memikirkan matlamat membina mahligai bahagia perlu dikekalkan sepanjang hayat, bukan tersekat atau terdampar di tengah jalan.
Dalam Islam, ada banyak faktor memilih isteri, berasaskan sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Wanita itu dinikahi kerana empat sifat: kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana kebaikan akhlaknya dan kerana agamanya. Kahwinilah wanita yang baik penghayatan agamanya, sudah tentu engkau akan mendapat ketenteraman."
Apa yang dimaksudkan dengan beragama? Sudah tentulah ia bukan sekadar beragama Islam, kerana Islam adalah syarat mutlak sahnya sesuatu perkahwinan itu. Perkahwinan dengan seseorang yang tidak beragama Islam adalah tidak sah.
Oleh itu yang dimaksudkan dengan beragama dalam konteks ini ialah orang yang mempunyai pengetahuan mengenai agama Islam dan pada masa sama menghayatinya.
Suami atau isteri yang bersifat demikian akan melahirkan keluarga yang bahagia, keluarga yang dipupuk dan dicurahkan dengan kasih sayang, seperti yang dimaksudkan oleh al-Quran surah al-Rum: ayat 21.
"Dan di antara tanda kekuasaan Allah ialah Allah menciptakan isteri-isteri bagi kamu dan dari jenis kamu sendiri, agar kamu dapat hidup tenang bersama mereka. Kemudian Allah menciptakan kasih sayang di antara kamu."
Matlamat ini hanya akan tercapai jika suami dan isteri berjaya memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing seperti yang ditentukan oleh Islam.
Hal ini berkait rapat pula dengan penerimaan mereka terhadap Islam sebagai panduan dan cara hidup mereka.
Apabila ini dapat direalisasikan, banyak masalah yang dapat diselesaikan. Islam antara lain mengajar mengenai batas-batas pergaulan di antara lelaki dan wanita, apatah lagi jika masing-masing sudah bersuami atau beristeri.
Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang sentiasa dirujuk menjelaskan mengenai sifat isteri yang baik (termasuk suami):
"Seseorang lelaki itu tidak akan mendapat apa-apa kebaikan selepas bertakwa kepada Allah selain daripada isteri yang salihah; jika disuruh oleh suami ia taat, jika suami melihat kepadanya ia menyenangkan; jika dicumbuinya ia dapat membuktikan kesucian dirinya dan jika ditinggalkan pergi oleh suaminya ia akan menjaga diri dan harta suaminya."
Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Ibnu Majah Rasulullah bersabda:
"Janganlah kamu berkahwin dengan seorang wanita kerana kecantikannya semata-mata, kerana kecantikan akan memusnahkan dirinya; janganlah kamu berkahwin dengan wanita kerana hartanya, kerana kekayaan itu akan membuatnya derhaka. Kahwinilah seorang wanita kerana agamanya kerana sesungguhnya seorang hamba perempuan berkulit hitam dan cuping telinga berlubang besar yang baik penghayatan agamanya lebih baik dikahwini."
Ini selaras dengan gagasan al-Quran surah al-Baqarah ayat 221, bermaksud:
"Janganlah kamu berkahwin dengan wanita-wanita musyrik sehinggalah mereka beriman. Dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman adalah lebih baik daripada wanita musyrik sekalipun ia menarik hati kamu."
Demikianlah betapa pentingnya penghayatan agama dijadikan kriteria yang utama dalam pemilihan pasangan yang akan menentukan kelangsungan perkahwinan. Sifat inilah lahirnya ciri positif lain seperti jujur, amanah dan bertanggungjawab.
src : http://blogsagasama.blogspot.com/
Comments