Bagaimana Cara Untuk Melahirkan Rasa Kesyukuran Terhadap Allah


Di sepanjang sebulan bulan Ramadhan yang sudah, kita telah dapat menjalani latihan pembangunan insaniah. Seperti yang kita tahu bahawa terbangunnya insaniah seseorang itu melalui tiga faktor penting iaitu faktor akal (mental), faktor jiwa dan faktor fizikal.

Melalui faktor akal, kita telah bangunkan atau tajamkan akal kita melalui ilmu pengetahuan Al Quran yang kita pelajari dan baca sepanjang Ramadhan.

Melalui faktor jiwa, insaniah kita telah kita bangunkan dengan menanamkan iman. Untuk tujuan meningkatkan iman ini, kita telah memperbanyakkan sembahyang sunat yang bermacam-macam jenisnya, antaranya solat Terawih, Tahajud, Witir, Dhuha dan lain-lain, membaca Al Quran sebanyak-banyak mungkin, juga memperbanyakkan zikir-zikir. Sekaligus dalam waktu yang sama, kita telah tanamkan dalam hati kita rasa cinta serta hebat kepada ALLAH melalui apa yang digambarkan oleh ALLAH SWT dalam firmanNya
Terjemahannya: " (laitu) orang-orang yang mengingati ALLAH sambil berdiri, duduk, dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab seksa api Neraka."(Ali Imran: 191)

ALLAH maksudkan dalam firman-Nya ini, bahawa untuk mendapatkan rasa cinta dan hebat padaNya, mestilah dibuat setiap detik dan waktu. Tidak kira waktu berdiri, duduk atau berbaring. Jadi kita telah cuba sedaya upaya sepanjang bulan Ramadhan yang lepas untuk mendapat rasa cinta dan hebat pada ALLAH SWT itu.

Mujahadatun nafsi juga telah kita lakukan melalui menahan diri dari melakukan maksiat. Yakni bersabar dari melakukan punca-punca atau sumber-sumber maksiat melalui mata, mulut, telinga, tangan, faraj, kaki dan maksiat yang paling halus iaitu maksiat hati. Mujahadatunnafsi itu telah kita lakukan semata-mata untuk tingkatkan iman atau untuk bangunkan jiwa kita.

Latihan fizikal juga telah kita lakukan yang mana walaupun dalam keadaan letih lesu dan kurang tenaga sebab lapar berpuasa di siang hari tapi kita masih tetap dapat melaksanakan tugas-tugas atau kerja-kerja seharian seperti berniaga, bertani, kerja-kerja pejabat, mengajar, berdakwah dan lain-lain. Walaupun kita kurang tenaga dari biasa tetapi masih tetap bertenaga untuk melaksanakan tugas-tugas tersebut demi kemajuan Islam. Ertinya fizikal kita juga terbangun hasil latihan di bulan puasa ini.

Jadi setelah kita dapat bangunkan insaniah kita melalui latihan-latihan fizikal, mental dan jiwa di bulan Ramadhan yang lalu, marilah kita meneruskan usaha-usaha itu. Walaupun di hari-hari atau di bulan-bulan yang lain itu ada bezanya dengan bulan Ramadhan, kerana bulan Ramadhan yang mubarakah, yang mana kalau kebajikan yang dibuat akan berganda pahalanya dan sebaliknya kalau kejahatan yang dibuat pula lebih besar dosanya, namun marilah sama-sama kita teruskan amaran dan usaha-usaha baik kita itu kerana ALLAH SWT tetap menulis atau merekodkan setiap yang baik itu mengikut perkiraan biasa yang telah ALLAH tentukan seperti firmanNya:
Terjemahannya: " Barang siapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarrah pun nescaya dia akan melihatnya (menilai)."(Al Zalzalah: 7)

Di samping itu ada juga amaran daripada-Nya iaitu:
Terjemahannya: " Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarrah pun nescaya dia akan melihatnya (menilai) pula."(Al Zalzalah: 8)

Oleh itu marilah kita terus membangunkan akal (mental) kita dengan ilmu pengetahuan Al Quran dan sebagainya. Marilah kita membangunkan jiwa dengan iman melalui ibadah-ibadah solat, mengaji Al Quran serta merasakan kehebatan dan kecintaan kepada ALLAH melalui pembacaan Al Quran serta lain-lain saluran.Seterusnya marilah kita meneruskan membuat latihan fizikal iaitu sentiasa aktif dan cergas serta tangkas membuat kerja-kerja kebajikan yang lahir seperti mengajar, belajar, berdakwah, ziarah, melakukan sebanyak-banyaknya khidmat masyarakat serta lain-lain bentuk kebajikan.

Untuk sentiasa kita dapat kekalkan jiwa kita yang sikit sebanyak telah kita bangunkan iman melalui proses membersihkan sifat-sifat mazmumah,dengan latihan-latihan rohaniah yang dibuat selama sebulan di bulan Ramadhan yang lalu, maka jangan kita kotorkan semula hati itu. Yakni jangan dikotorkan dengan sifat-sifat mazmumah (sifat-sifat terkeji) seperti sombong, riyak, gila pangkat dan gila dunia, pemarah, hasad dengki dan dendam.

Bila kita kotori ianya dengan sifat-sifat keji itu, ertinya kita telah berdosa yang mana boleh menghapuskan kebaikan-kebaikan atau kebajikan-kebajikan yang pernah kita buat. Kalau begitu, latihan-latihan rohaniah, mental dan fizikal di bulan Ramadhan itu, sepatutnya kita terus pertajamkan. Jangan ianya kita biarkan surut ke belakang dengan cara kita tidak melakukan latihan-latihan itu lagi.

Sudah sepatutnya sikap kita ini bertambah baik dari sebelumnya. Sebab semakin kita bertambah umur, menunjukkan semakin hampir kita ke kubur. Maka sepatutnya semakin lebat, halus dan tajam amalan kita. Atau dalam ertikata yang lain, semakin bertambahnya umur, makin kita pertajamkan akal dengan ilmu pengetahuan, bangunkan jiwa dengan iman serta fizikal dengan aktif dan cergas membuat kebajikan-kebajikan dan khidmat masyarakat. Kerana sudah sepatutnya, semakin dekat kita ke Akhirat, negara tempat tinggal kita yang kekal abadi, makin banyak bekalan-bekalan Akhirat yang akan kita bawa.

Dalam hal ini, ALLAH mengajar kepada kita dengan firmanNya: Terjemahannya: " Hendaklah kamu menambah bekal. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah sifat taqwa."(Al Baqarah: 197)

Kalau begitu, kita membuat kebaikan ini biarlah macam madu. Sifat madu itu, makin lama makin kental dan pekat manisnya. Ertinya biarlah makin berumur kita, semakin banyak bekalan yang dibawa. Kerana penentuannya ialah di akhir umur kita itu sepertimana hal-hal dunia, penentuannya adalah waktu final. Orang berlari contohnya, penentuannya di hujung. Waktu sampai ke border (Alam Barzakh), sempadan antara dunia dan Akhirat, itulah penutup atau finalnya. Kalau berjaya di situ maka baru dikira berjaya yang sebenar.Maksudnya makin ke hujung umur kita, makin tajam amal ibadah kita. Makin ke hujung makin kuat berjuang, makin kuat mengamalkan Islam, makin kuat mengabdikan diri pada ALLAH dan makin banyak berkorban.

Bukan jadi macam tebu. Tebu itu makin ke hujung makin tawar, hujungnya langsung sudah tidak ada rasa atau hilang terus manisnya atau terus tawar. Ertinya sembahyang sudah tidak berjiwa, berkorban, berjuang, berukhuwah semuanya sudah tidak ada roh. Ukhuwah hanya fizikal saja, sekadar sentuhan-sentuhan tangan dan badan saja tapi tidak sentuhan hati. Sepatutnya tidak begitu.

Jadi di saat-saat final lah yang penting. Yakni makin kencang dan laju amalan kebajikan kita.

Moga-moga ingatan-ingatan ini kita dapat jadikan pengajaran dan panduan bersama. Kita mengharapkan agar ALLAH sentiasa memimpin kita ke jalan yang Iurus hingga kita ditutup dengan husnul khatimah. Sebab itulah ajaran Islam menyuruh kita berdoa:
Terjemahannya: " Ya ALLAH, tutuplah kami dengan sebaik-baik penutup (mati). Dan jangan Engkau (ALLAH) tutup kami dengan sejahat-jahat penutup."

src : http://kawansejati.ee.itb.ac.id/bagaimana-cara-untuk-melahirkan-rasa-kesyukuran-terhadap-allah

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT