Perasaan Yang Membunuh Perbahasan

More RELIGIOUS & ADVICE graphics
Oleh ustaz Hasrizal
http://saifulislam.com/?p=940

“Saya memang pandai buat benda ni. Ia speciality saya”, kata seorang lelaki.

Jika yang menyebut ayat sedemikian adalah seorang warga US, ia suatu yang biasa. Tetapi jika yang menyebutnya adalah seorang orang kita, maka macam-macam tanggapan yang akan timbul.

“Hek eleh, macam bagus je dia tu”, sinis seorang dengan wajah yang sengaja disengetkan.

“Riya’ le tu. Siap ujub dengan takabbur lagi!”, balas seorang yang lain.

Mungkin kerana dalam agama kita ada banyak perkataan yang sedap dimartabatkan sebagai label penjatuh, maka kita sering menjadi pengguna paling aktif label tersebut. Faham atau tidak maksud kalimah ‘ujub, riya’, takabbur dan sebagainya itu pun, tidak begitu diendahkan.

GARIS PEMISAH

Apa yang pasti, kalimah itu mudah keluar kerana “what you see is what you get“. Kalau kita berfikiran negatif, maka kita akan suka memandang secara negatif. Apabila kita memandang secara negatif, maka yang buruk akan terserlah berbanding kebaikan.

Saya pernah memberitahu di dalam satu kursus, bahawa antara ciri seorang individu yang cemerlang, ialah dia itu memiliki harga diri yang tinggi.

Soalnya apakah itu harga diri?

“Maruah!”, jawab seorang peserta.

“Self esteem!”, balas seorang lagi.

“Pandangan seseorang terhadap dirinya sendiri, tentang keupayaannya untuk melakukan kebaikan!”, itu cadangan saya.

Orang yang mempunyai harga diri yang tinggi adalah orang yang memandang positif kepada dirinya dalam keupayaan untuk menghasilkan sesuatu yang baik. Dia memandang dirinya tinggi.

ANALOGI

Gurauannya ialah, kalau bajunya berjenama hebat untuk dipandang orang, maka singlet dan pakaian dalamnya juga hebat untuk menghargai pandangan diri terhadap dirinya sendiri. Jika tetamu di rumah dihidangkan dengan makanan dalam set mangkuk arcopal, maka tidaklah pula suami dan anak-anak dihukum makan dalam pinggan percuma beli ubat gigi saiz besar.

Dia memuliakan diri. Diri yang dimuliakan Allah dengan menciptanya secara sempurna (Al-Quran 95: 4), lagi mulia (Al-Quran 17: 70).

Tetapi tidakkah orang yang begitu, sombong dan meninggi diri? Perasan bagus!?

Orang yang mempunyai harga diri yang tinggi adalah orang yang memandang dirinya tinggi, dan memandang tinggi orang lain. Manakala orang yang tinggi diri dan takabbur ialah orang yang memandang dirinya tinggi, dengan memandang rendah orang lain. Itu sahaja bezanya.

HARGA BERKADAR TERUS DENGAN NILAI

Orang yang tinggi harga diri, ketinggian itu datang dari nilai. Harga berkadar terus dengan nilai. Tinggi nilai, tinggi harga. Apabila seseorang itu banyak berpegang dengan nilai yang baik dalam hidupnya, maka harga dirinya juga tinggi. Orang kenang dia dengan kenangan yang baik-baik. Menyebut tentangnya pun, banyak pada kebaikan yang dilakukannya. Harga tinggi kerana nilai tinggi. Tinggi harga tinggilah penghargaan.

Tetapi orang yang ego, atau takabbur lagi meninggi diri, adalah orang yang memandang dirinya tinggi dengan memandang rendah orang lain. Kalau mahu berkata tentang kelebihan diri, pastinya disertakan dengan memperlekeh dan merendah-rendahkan orang lain. Maka jika kita mahu kenal orang yang rendah harga diri, mudah sahaja. Siapa yang suka merendah-rendahkan orang lain, tidak menghargai orang lain, maka orang itulah selalunya yang rendah harga diri.

”Orang yang tidak memilik sesuatu, tidak memberi apa yang tidak dimilikinya itu”

Tiada harga diri, tiadalah kemampuan menghargai orang lain.

Saya lontarkan kisah ini kerana mahu berkongsi dengan pembaca garis-garis pemisah di antara positif dengan negatif. Antara memuliakan diri, dengan menghina peribadi. Antara memuji dengan mengeji. Antara kritikan membina, dengan kritikan membinasa.

Kesemua pasangan di atas, ada banyak daerah kabur antara keduanya jika kita menilai dengan perasaan. Apatah lagi perasaan yang disokong oleh pemikiran negatif.

MENCARI DAMAI DALAM PERBAHASAN

Semua ini harus diingatkan selalu agar kita tidak kalah dalam perbahasan. Bukan kalah hujah, tapi kalah dengan perasaan. Macam orang yang kalah lumba lari bukan kerana dipintas, sebaliknya tidak cukup nafas.

Sering saya perhatikan di mana-mana sahaja ruangan bahas online di internet, atau di sembang-sembang offline kita dengan rakan-rakan di restoran mahu pun dewan seminar, kita sering membunuh perbahasan dengan kecaman-kecaman yang penuh emosi.

Apabila seseorang bercakap dengan penuh yakin, dia akan dilabel sebagai over-confident, perasan bagus, malah bagai terbelah dada dengan kapak kasyifnya, terus dipertikaikan niat sebagai ‘rasa dia seorang sahaja yang betul’. Kita takut berdepan dengan orang yang bercakap dengan yakin. Kita malas membidas idea, sebaliknya menconteng mukanya dengan tuduhan emosi kita yang membunuh perbahasan.

Apabila seseorang bercakap dengan teragak-agak, kita labelkan pula orang itu sebagai mengaji tak habis, tak yakin dengan diri sendiri lantas bagaimana mahu menyakinkan orang lain, dan akhirnya mukanya juga menerima contengan yang sama.

Hal ini amat jarang saya temui ketika melihat bangsa lain berbicara. Mereka bercakap dengan yakin, malah kadang-kadang tidak dinafikan agak keterlaluan keyakinannya.

Sebab itulah seorang yang bersuara seperti enjin traktor tidak dapat menerima teguran panel American Idol bahawa diamnya lebih mendamaikan dari dendangan suara. Walhal sudah terang lagi bersuluh, pentas menyanyi bukan untuknya. Tetapi saya sering berfikir, mengapa orang Amerika begitu? Mengapa ratusan ribu yang datang ke uji bakat, semuanya menyanyi dengan yakin biar pun suaranya Masya Allah, Allah jua yang mengetahui hikmah suaranya begitu!

Mereka terdidik dengan keyakinan diri. Tidak segan untuk menyebut kebaikan diri. Dan tidaklah mereka itu jadi sombong kerana mereka juga menyokong kebaikan orang lain.

Tetapi orang kita ini sulit bila tiba soal perasaan. Kalau kekuatan emosinya mampu menghasilkan bahasa jiwa setinggi Rumi, saya alu-alukan. Tetapi permainan emosi kita lebih menjadikan lemah di gelanggang rasional. Asalkan ada sahaja perbahasan yang cuba mengungkaikan masalah, perbahasan itu akan diganggu oleh idea-idea yang membinasakan.

IDEA HASIL KEYAKINAN

Saya yakin, mustahil akan lahir idea-idea yang bernas di dalam seluruh sejarah manusia jika budaya kita ini menguasai perbahasan. Mustahil tokoh-tokoh Muslim seperti Tahtawi, al-Afghani, Muhammad Abduh, Rasyid Ridha, Sayyid Ahmad Khan, Maududi, al-Banna, Sayyid Qutb malah Iqbal dan Fazlur Rahman dapat berdiri dalam tradisi keilmuan kita jika kritikan mereka dipadam oleh tuduhan bahawa mereka ini perasan bagus dan sebagainya. Kritikan mereka sungguh tajam, dan kerana ketajaman kritikan itu, mereka berjaya mengemukan pelbagai idea yang kurang kelihatan di mata banyak. Mereka bukan sahaja dibenci di zaman hidup mereka, malah dilabel sesetengahnya sebagai kafir, muktazili dan pelbagai lagi. Hanya selepas batang tubuh yang dicela itu mati, barulah ideanya dapat dihargai.

Memang trend orang kita suka menghargai seseorang selepas matinya!

Maka, setiap kali saya dan kita semua masuk ke mana-mana buku, blog, jurnal, ceramah dan apa-apa sahaja ruang idea, bezakanlah seorang yang ada harga diri, dengan seorang yang meninggi diri. Jangan disama ratakan kesemuanya. Hindarkan diri dari berperasaan negatif dan kukuhkan diri untuk sentiasa melontarkan idea yang terbaik, setiap kali bersuara.

Jangan lagi kita suka dengan fikiran-fikiran sebegini:

“Dia seorang sahaja betul!”

“Kagum dengan diri sendiri”

“Orang lain semua salah”

Jika mahu bercakap, cakapkan apa yang terbaik dari fikiran. Kemudian bukakan ruang perbahasan, dan terima dengan terbuka, jika ada pihak yang berjaya menyuluh kekurangan pada pendapat. Idea perlu dikritik dengan idea, rasional perlu dibahas secara rasional.

Bagi yang suka bermain perasaan, anda boleh berkongsi emosi dengan Shah Rukh Khan.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

src : http://forum.jiwang.org/index.php?showtopic=25874

NOTES :
“Hidup ini umpama roda yang berputar. Sekejap kita di atas, sekejap lagi kita di bawah.”

“DAN hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan ja nganlah kamu sekutukan dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang sombong, takbur dan membanggakan diri.” (an-Nisa': 36)

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

THE MEANING OF SUCCESS AND FAILURE

Soal Jawab : Ghibah