4ayesha

Daripada ABU HURAIRAH r.a, RasuluLLah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang menyeru (manusia) kepada hidayah, maka baginya pahala sebanyak pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka." Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab al-'Ilm (2674), Imam Malik dalam Muattha'(2674), Ahmad (9171), Abu Dawud (4609), Turmudzi (2674), ad-Darimi (513), ibnu Majah (206), ibnu Hibban (112), al-Bagahwi (109)

Followers


PADA suatu Subuh, Saidina Bilal melihat Rasulullah s.a.w menangis teresak-esak. Apabila Bilal bertanya mengapakah baginda menangis, lalu Rasulullah s.a.w menjawab baginda baru saja menerima wahyu (ayat 191 hingga 195 surah Ali-Imran).

Apakah kandungan ayat berkenaan yang menyebabkan Rasulullah s.a.w menangis? Dalam ayat pertama, Allah menerangkan mengenai sifat orang yang mengingati-Nya pada waktu berdiri, duduk dan berbaring.

Menurut Abdullah Yusuf Ali dalam tafsirnya, semua keadaan itu (berdiri, duduk dan berbaring) adalah simbolik untuk semua keadaan termasuk peribadi, kemasyarakatan, ekonomi dan lain-lain.

Maknanya dalam seluruh hidup kita sama ada belajar, bekerja, bergaul, berumahtangga malah apa saja, adalah dalam keadaan sentiasa mengingati Allah.

Apakah yang dimaksudkan dengan sentiasa mengingati Allah? Adakah ini bermakna kita menyebut perkataan Allah, Allah, Allah, pada setiap masa?

Sebenarnya apa yang dituntut Allah ialah supaya kita menentukan setiap perkara yang kita lakukan mestilah:

# Untuk mencari matlamat Allah;

# Dilaksanakan mengikut syariat Allah; dan

# Meletakkan pengharapan kepada Allah, bukan kepada usaha kita semata-mata.

Ini bermakna kita perlu sentiasa memikirkan adakah kehidupan kita seluruhnya berada dalam keadaan seperti di atas. Adakah kita telah menjadikan seluruh hidup kita sebagai perhambaan kepada Allah dalam pengertian di atas?

Dalam ayat seterusnya Allah menyebutkan sifat mereka yang berfikir mengenai keajaiban kejadian langit dan bumi.

Mereka berfikir sehingga dapat membuat kesimpulan bahawa semuanya dijadikan Allah bukan sia-sia. Kemudian mereka berdoa supaya ‘selamatkanlah’ diri mereka daripada api neraka.

Abdullah Yusuf Ali menafsirkan api adalah simbolik kepada hukuman yang pedih. Apa yang penting di sini ialah hubungan antara berfikir dengan selamat daripada api neraka.

Marilah kita bertanya diri sendiri adakah kita sudah berfikir dengan bersungguh-sungguh sehingga kita merasai akan kehebatan ciptaan Allah?

Banyak perkara yang boleh kita fikirkan, misalnya penciptaan manusia sendiri dan penciptaan unsur utama alam iaitu udara, air, tumbuhan dan haiwan.

Kehebatan ciptaan Allah sepatutnya menjadikan hati kita tunduk pada kebesaran Allah. Apabila kita tunduk pada kebesaran Allah, kita akan mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Kita sedar kejayaan yang sebenar ialah apabila kita selamat daripada api neraka. Allah menyebutkan dalam ayat di atas, sesiapa yang dimasukkan ke dalam api neraka sebenarnya mendapat kehinaan.

Cuba kita fikirkan mengenai kegagalan yang dialami di dunia ini. Sekiranya kita gagal peperiksaan pun kita berasa malu dan terhina.

Begitu juga dengan orang yang gagal dalam temuduga pekerjaan, berasa malu dan hina. Apa lagi orang yang didapati bersalah dan dihukum masuk penjara, mereka akan berasa kehinaan yang lebih besar lagi.

Jadi satu ciri azab akhirat ialah kehinaan. Kita terhina di hadapan seluruh manusia, di hadapan Allah dan para malaikat-Nya. Bukankah ini merupakan sumber motivasi yang terbesar untuk manusia mengabdikan diri kepada Allah dalam pengertian sebenarnya?

Dalam ayat di atas juga disebutkan, mereka berdoa sekali lagi supaya Allah tidak menghinakan mereka di akhirat. Ini menunjukkan betapa beratnya seksaan menanggung kehinaan di akhirat nanti. Lebih berat daripada segala bentuk kehinaan di dunia.

Akhirnya Allah memperkenankan permohonan mereka dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya.

Sekali lagi, Abdullah Yusuf Ali mengatakan sungai-sungai yang mengalir di bawahnya ialah simbol kebahagiaan dan kemewahan yang tidak terhingga yang sesuai dengan keadaan masyarakat Arab pada masa itu (ketika wahyu diturunkan).

Ini kerana sungai satu nikmat yang tidak terhingga bagi masyarakat yang hidup di tengah padang pasir yang kering kontang.

Oleh itu, sudah tentu kita boleh membayangkan bentuk kemewahan dan kenikmatan yang tidak terhingga itu. Malah Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa nikmat di syurga Allah adalah sesuatu yang tidak pernah dipandang, tidak pernah didengar dan tidak pernah terlintas di hati manusia. Itulah nikmat dan kejayaan sebenar.

Apakah yang perlu kita fikirkan? Sebenarnya perkara yang disebutkan di dalam ayat di atas itulah perkara pertama yang perlu kita fikirkan. Selain itu, ada perkara lain lagi yang perlu kita fikirkan.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w pernah menceritakan mengikut apa yang tersebut di dalam kitab Nabi Ibrahim a.s yang bermaksud: “Sewajarnya setiap yang berakal, selagi akal fikirannya tidak hilang, membahagikan masanya kepada empat waktu iaitu:

# Waktu untuk dia bermunajat (berzikir dan berdoa) kepada Allah.

# Waktu untuk dia bermuhasabah terhadap dirinya.

# Waktu untuk dia berfikir mengenai ciptaan Allah.

# Waktu untuk dia menumpukan kepada keperluannya seperti mencari makanan dan minuman.

Adakah kita sudah memikirkan mengenai empat perkara di atas ataupun kita menumpukan pemikiran kepada aspek tertentu sahaja? Dunia di sekeliling kita hanya memikirkan mengenai perkara yang keempat.

Sekiranya kita tidak berhati-hati, suasana yang ada di sekeliling kita boleh mempengaruhi kita sama ada kita sedar atau tidak. Mungkin secara tidak disedari kita hanya memikirkan persoalan yang keempat sahaja. Rugilah dan malanglah kita.

src : http://www.hmetro.com.my/ (AdDin)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Contributors

 **Note:

For those who wants to use or spread contents in this blog, please proceed without my permission. Shukran Jazilan.

Blog Archive

geocounter

Doa Qunut Nazilah

“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

BlogTopSites