4ayesha

Daripada ABU HURAIRAH r.a, RasuluLLah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang menyeru (manusia) kepada hidayah, maka baginya pahala sebanyak pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka." Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab al-'Ilm (2674), Imam Malik dalam Muattha'(2674), Ahmad (9171), Abu Dawud (4609), Turmudzi (2674), ad-Darimi (513), ibnu Majah (206), ibnu Hibban (112), al-Bagahwi (109)

Followers


1001 Kemusykilan
Oleh DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR
(Akademi Pengajian Islam)

SOALAN: Saya seorang wanita yang sangat sukakan haiwan jinak. Saya memelihara enam ekor kucing dan mengambil berat tentang penjagaan mereka. Beberapa minggu lalu, saya terpaksa menyerahkan kucing-kucing saya kepada jiran di sebelah rumah, kerana saya ke luar negara, malangnya jiran saya tidak begitu mengambil berat tentang kucing-kucing itu, menyebabkan ia mati dilanggar kereta dan ada juga yang sakit kerana dikhianati orang yang tidak bertanggungjawab. Soalan saya ialah:

1. Adakah pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab itu akan disoal di akhirat nanti, kerana kezaliman yang dilakukan terhadap kucing-kucing peliharaan?

2. Adakah saya akan bertemu kembali dengan kucing-kucing kesayangan saya itu ketika ia menuntut bela ke atas pihak-pihak yang berlaku zalim terhadapnya.

3. Di manakah letaknya roh-roh kucing, selepas mati. - NORIFAH, Triang, Pahang.

JAWAPAN: Sebelum menjawab soalan puan, lebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas tabiat puan Norifah yang menyayangi haiwan jinak itu. Tabiat ini sangat baik dan patut dipuji, kerana Islam menyuruh umatnya agar menyayangi semua makhluk Allah, termasuk insan, haiwan dan juga alam sekitar. Bagaimanapun, menyayangi sesuatu ada batasnya, jangan keterlaluan sehingga menyayangi kucing melebihi kesayangan terhadap manusia.

Sering terjadi dalam sesetengah masyarakat di negara-negara maju, anjing dan kucing mendapat pembelaan yang lebih istimewa, dari segi makan minum, kebersihan, kesihatan, tempat tinggal dan sebagainya, sedangkan pada masa yang sama, didapati beratus-ratus kanak-kanak yang tidak berdosa terkorban setiap hari, akibat kerakusan kuasa oleh pihak-pihak yang mendakwa kononnya mereka telah maju.

Dari aspek bertentangan pula, kita dapati ada manusia yang keras tabiatnya, suka menzalimi haiwan, sanggup membunuh binatang tanpa sebarang dosa, semata-mata kerana kegemaran hidupnya memburu dan membunuh, seolah-olah haiwan dicipta Allah untuk diburu dan dibunuh. Sikap ini juga pada hemat saya suatu keterlaluan, bahkan kegembiraan memburu binatang bukan suatu budaya yang terpuji pada zaman ini.

Kembali kepada soalan yang dikemukakan di atas, saya meneliti jawapannya dari dua aspek iaitu bertanggungjawab terhadap haiwan di dunia dan nasib mereka di akhirat.

Pertama. Tanggungjawab terhadap haiwan. Manusia hendaklah bertanggungjawab terhadap kebajikan haiwan, terutama yang di bawah kawalannya. Jika haiwan itu merupakan peliharaan anda, berilah kepadanya makan minum secukupnya, jagalah kepentingan hidupnya dengan penuh tanggungjawab. Jika haiwan itu mendatangkan bahaya kepada keselamatan manusia, maka hendaklah dibunuh sebelum ia membunuh manusia, tetapi hendaklah dengan tertib dan terhormat.

Dalam hadis Bukhari bilangan 3071, Ibn Umar radiallahuanhu meriwayatkan sabda rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Seorang wanita dimasukkan ke neraka, kerana mendera seekor kucing, ia tidak memberinya makan minum sehingga mati kelaparan. Tiada sebab mengapa kucing harus didera, jika tidak kerana hati yang keras dan tidak bertimbang rasa. Memang hati yang keras tidak pernah mengenal mangsa, sama ada kucing atau manusia.

Dalam sebuah hadis yang juga riwayat Bukhari bilangan 3208, rasulullah s.a.w. bersabda: Seorang pelacur dari Bani Israel diampun dosanya oleh Allah dan dimasuknya ke syurga kerana ia bersimpati dengan seekor anjing yang kehausan air, lalu ia turun ke dalam telaga dan mengangkut air dengan kasutnya untuk diberi minum kepada anjing itu. Kita mungkin bertanya, bukankah anjing itu najis mughallazah (berat). Sentuhannya mewajibkan basuh tujuh kali menurut mazhab Syafie, salah satu daripadanya hendaklah dengan air tanah.

Masalah yang berbangkit dalam hadis di atas bukan soal najis atau tidak najisnya anjing, tetapi simpati dan sikap perikemanusiaan terhadap haiwan itu. Islam adalah agama rahmah dan kasih sayang terhadap semua makhluk, sama ada haiwan atau manusia, muslim atau kafir.

Kucing dan anjing adalah haiwan jinak, berbuat baik kepadanya menyebabkan terhapusnya karat-karat dosa yang degil, lalu ditempatkan seseorang itu di syurga. Berlaku zalim terhadapnya pula suatu dosa yang memungkinkan seseorang dimasukkan ke neraka. Syurga dan neraka bukan perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan jawapan mahu atau tidak, tetapi suatu pembalasan berdasarkan dosa dan pahala.

Dalam suatu peristiwa, tatkala seorang sahabat nabi bernama Abdul Rahman bin Sakhr menemui seekor anak kucing yang sedang mengiau kerana kehilangan ibunya. Beliau yang dalam perjalanannya menuju Masjid Nabawi, berasa kasihan kepada anak kucing itu, lalu mengambil dan meletaknya dalam baju besar beliau.

Sesampainya di masjid, baginda bertanya Abdul Rahman, apa dalam bajunya? Ia menjawab anak kucing yang kehilangan ibu, aku mengambilnya kerana kasihan padanya. Lalu baginda menggelarkan Abdul Rahman dengan Abu Hurairah (bapa kucing).

Gelaran bapa kucing tidak sedikitpun menjejaskan maruah dan reputasi Abdul Rahman, malah inilah gelaran yang paling disukai tatkala namanya disebut, kerana nabi sendiri yang memberi gelaran itu. Selain itu juga, gelaran Abu Hurairah mengingatkan beliau kepada suatu amal soleh yang pernah dilakukannya menerusi pembelaan seekor anak kucing.

Hadis-hadis ini dengan sendirinya menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya Richard Martin dari Britain yang menubuhkan Persatuan Antikezaliman Terhadap Haiwan pada tahun 1824M, merupakan yang pertama di dunia membela haiwan. Dakwaan ini tidak tepat, kerana nabi Muhammad s.a.w. sejak lebih 1422 tahun yang lalu telah membela haiwan. Jangka masa itu jauh mendahului tokoh dari Britain yang diagungkan itu.

Menyayangi binatang adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang syumul (lengkap). Justeru, kita tidak terkejut jika ada kajian mengesahkan hasil-hasil positif daripada tabiat ini. Sebagai contoh, suatu kajian pernah dilakukan di Universiti Atlanta di Amerika Syarikat terhadap pesakit-pesakit darah tinggi, didapati keluarga yang memelihara kucing dan anjing lebih rendah tekanan darahnya berbanding keluarga yang tidak membela haiwan itu. Islam menerima pemeliharaan kucing, tetapi menolak anjing kerana najis.

Perlu juga disebutkan, dalam hadis-hadis sahih menyebutkan beberapa jenis haiwan yang harus dibunuh, kerana tabiatnya mengancam kehidupan manusia, seperti anjing gila, ular berbisa, tikus, gagak dan sebagainya. Binatang-binatang liar seperti harimau, gajah dan sebagainya juga harus dibunuh, jika ada tanda-tanda mereka mengancam nyawa manusia. Jangan tunggu sehingga ia lebih dahulu membaham manusia.

Kedua. Nasib haiwan di akhirat. Tentang nasib haiwan di akhirat, sama ada akan dibangkit semula atau tidak. Ulama mempunyai dua pandangan berikut:

1. Semua haiwan akan dibangkit semula di akhirat. Tujuannya ialah untuk menyelesaikan masalah-masalah yang ada hubungan dengan manusia atau sesama haiwan, termasuk pengkhianatan yang dilakukan terhadapnya oleh pihak-pihak yang dikatakan tidak bertanggungjawab. Pendapat ini diperkukuhkan dengan beberapa ayat al-Quran, seperti firman Allah yang bermaksud: Dan ingatlah ketika binatang-binatang liar dikumpulkan (al-Takwir: 5).

Menurut pandangan ini, pengumpulan yang dimaksudkan ialah pengumpulan di akhirat bersama-sama manusia, untuk dihisab hak-haknya yang dizalimi dan diambil tindakan sewajarnya mengikut keadilan Allah. Pendapat ini diperkukuhkan lagi dengan sebuah hadis riwayat Muslim bilangan 4679 yang bermaksud:

``Sesungguhnya setiap hak akan disempurnakan pada hari kiamat, hinggakan kambing bertanduk akan diserah kepada kambing tanpa tanduk untuk dibalas tandukannya. Maksudnya, kambing tanpa tanduk selalu dizalimi oleh kambing bertanduk. Kezaliman ini akan diselesaikan di mahsyar (tempat perhimpunan) di akhirat melalui pembalasan.

Ada juga orang membuat hujah dengan haiwan korban yang dibangkit semula, lalu menjadi kenderaan kepada tuan punya korban. Dikatakan jika haiwan itu gemuk dan bertenaga lebih, nescaya mampu mengangkut tuan punya korban ke syurga. Sebaliknya jika kurus akan terhentilah haiwan dan tuan punyanya di separuh jalan.

2. Haiwan tidak akan dibangkit lagi pada hari akhirat, kerana ia bukan ahli yang memikul dosa dan pahala, tidak disediakan bagi haiwan sama ada syurga atau neraka. Pembalasan hanya berlaku apabila adanya taklif (pembebanan tanggungjawab) seperti terhadap manusia dan jin. Haiwan tidak pernah ditaklifkan dengan sebarang beban tugas. Oleh itu ia tidak dibangkit lagi selepas mati.

Saya lebih cenderung kepada pendapat kedua ini, kerana tiada dalil yang kukuh menyatakan haiwan dibangkit dan akan menerima pembalasan. Hujah yang diberi kumpulan pertama boleh dijawab berbagai-bagai jawapan, misalnya:

Ayat 5 surah al-Takwir yang menyatakan semua binatang liar dikumpul. Maksud pengumpulan ini ialah perubahan tabiat daripada hidup liar dan berlari-lari memburu mangsa dari sana-sini kepada hidup berkumpul kerana takutkan huru-hara kiamat yang sedang berlaku. Ayat-ayat pertama surah al-Takwir ini pada hakikatnya tidak membicarakan suasana pada hari kiamat, tetapi membicarakan suasana sebelum kiamat berlaku.

Hadis yang menyatakan kambing tanpa tanduk diberi peluang menanduk kambing-kambing yang pernah menanduknya di dunia, tidak juga jelas menunjukkan kebangkitan semua haiwan di akhirat, kerana ungkapan ini menurut sesetenah pengulas hadis adalah menyatakan keadilan Ilahi yang membalas semua kezaliman yang berlaku semasa di dunia, iaitu sebelum masing-masing sama ada ke syurga atau ke neraka.

Hadis yang menyatakan haiwan korban menjadi tunggangan tuan punya korban ke syurga, hendaklah difahami keterangan ini sebagai simbolik. Kenderaan di akhirat tidak boleh disamakan dengan kenderaan di dunia, tambahan pula kenderaan di duniapun tidak lagi memakai kereta lembu dan kereta kuda.

Sebagai kesimpulan, memelihara haiwan adalah suatu amal soleh yang sangat besar pahalanya di sisi Allah, setiap makanan yang diberi dan setiap tanaman yang dimakan olehnya pasti ada pahalanya. Kasihanlah kepada haiwan, jangan menzaliminya, jangan khianati pergerakan dan kehidupannya. Haiwan juga makhluk Allah yang ingin hidup bersama-sama manusia di bumi ini

src : http://www.jphpk.gov.my/Malay/Jan%202002%206.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Contributors

 **Note:

For those who wants to use or spread contents in this blog, please proceed without my permission. Shukran Jazilan.

Blog Archive

geocounter

Doa Qunut Nazilah

“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

BlogTopSites