Dedah rahsia qari muda
More AIDILFITRI graphics
PUTRAJAYA: Johan kategori bacaan terbaik pada majlis Anugerah Al-Quran Antarabangsa Dubai (Dihqa) ke-12, di Dubai, Muhammad Ahmad Zahid, 13, dibawa ke masjid sejak berusia empat tahun untuk menenangkan jiwanya sebelum didedahkan dengan hafazan Al-Quran.
Bapanya, Ahmad Zahid Zainal Abidin, 41, berkata dia dan isterinya, Dr Siti Khadijah Fadzil, 42, berbuat demikian bagi memastikan mereka mampu memberi sumbangan berguna kepada umat Islam dengan melahirkan seorang hafiz al-Quran.
“Melihat kepada kekurangan dan kelemahan diri sendiri, saya dan isteri bertekad membesarkan anak sebagai seorang hafiz yang boleh memberi sumbangan ilmu dan berdakwah kepada umat Islam lain.
“Berikutan itu, saya mula buat kajian menerusi pembacaan dan bertanyakan pakar pendidikan, sebelum mendapati anak perlu dididik dengan al-Quran dan dibudayakan dengan persekitaran masjid.
“Itulah yang saya lakukan terhadap anak sulung saya, Muhammad serta empat adiknya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.
Pada majlis sama, Wan Mohamad ketika berucap turut mengumumkan pengambilan Muhammad sebagai anak angkat Jakim di atas kejayaannya mengharumkan nama umat Islam Malaysia.
Ahmad Zahid bekerja sebagai penasihat undang-undang di KLCC Properties Holding Berhad berkata, pendekatan itu sangat penting dalam membentuk jiwa kanak-kanak terutama menjadikan mereka seorang hafiz, sambil merujuk kepada Muhammad.
“Ini disebabkan seorang kanak-kanak mempunyai minda yang suci daripada perkara memudaratkan dan apabila menjaganya dengan baik, akan mendapat hasil yang baik juga,” katanya.
Muhammad, pelajar tingkatan satu Sekolah Darul Hikmah Ampang, Selangor itu, mengharumkan nama dengan apabila menjadi johan dalam pertandingan itu yang berakhir Sabtu lalu.
Sementara itu, Muhammad berkata, dia berlatih menghafal al-Quran ketika berusia tujuh tahun dan menjadi hafiz pada usia 10 tahun.
src : http://www.hmetro.com.my/
Comments