4ayesha

Daripada ABU HURAIRAH r.a, RasuluLLah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang menyeru (manusia) kepada hidayah, maka baginya pahala sebanyak pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka." Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab al-'Ilm (2674), Imam Malik dalam Muattha'(2674), Ahmad (9171), Abu Dawud (4609), Turmudzi (2674), ad-Darimi (513), ibnu Majah (206), ibnu Hibban (112), al-Bagahwi (109)

Followers

Oleh FARIDAH MOHAMED SANI
Hadis
SABDA Rasulullah s.a.w.: “Pada akhir zaman nanti akan ada satu golongan yang berbuat maksiat, kemudian mereka berkata: “Allah s.w.t. telah mentakdirkan kami melakukan perbuatan ini.” Orang yang menentang pendapat mereka (pendapat yang salah) pada zaman itu bagaikan orang yang menghunuskan pedangnya fi sabilillah.” (Riwayat Jabir).
Sejak sekolah rendah lagi kita diajar supaya beriman dan percaya kepada Rukun Iman yang enam. Di antara yang enam itu ialah percaya kepada takdir yang baik dan buruk daripada Allah s.w.t.

Sebagai Muslim kita wajib percaya bahawa segala sesuatu sama ada yang buruk atau baik, semuanya dengan pengetahuan Allah s.w.t.

Namun ia tidak bermaksud takdir itu suatu paksaan daripada Allah s.w.t. ke atas hamba-Nya yang terpaksa mengikuti apa sahaja yang telah digariskan-Nya.

“Takdir itu sebenarnya suatu pemberitahuan bahawa Allah s.w.t. mengetahui apa sahaja yang ada dalam perbuatan setiap insan. Dan ia timbul menurut takdir yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. sesuai dengan asal ciptaan-Nya, iaitu tentang baik dan buruk-Nya,” kata Imam Al-Khattabi.

Pengetahuan Allah s.w.t. Yang Maha Mengetahui ini, menurut Sayid Sabiq pula sedikit pun tidak akan memberi bekas atau kesan, dan tidak mempengaruhi kehendak seorang hamba itu. Ini kerana mengetahui itu merupakan sifat yang menyingkapkan atau menjelaskan sesuatu, bukan sifat yang memberikan kesan atau pengaruh.

Contohnya, Seorang ayah mengetahui bahawa anaknya adalah seorang yang cerdik dan pandai, tetapi pengetahuan seorang ayah tentang kecerdasan anaknya tersebut tidak akan dapat menolong anaknya lulus dalam peperiksaan yang akan ditempuhnya.

Oleh kerana itu kita tidak boleh berdiam diri dan menyerahkan semuanya kepada takdir tanpa berusaha lebih dahulu, kerana kita tidak tahu dengan pasti apakah takdir yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. untuk kita nanti. Penafsiran yang salah mengenai pengertian takdir ini pernah berlaku dalam zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab.

Seorang pencuri yang telah tertangkap dibawa ke hadapan Khalifah untuk disoal siasat

Ketika Khalifah bertanya kepada pencuri itu, “Kenapa kamu mencuri?” Dia menjawab, “Allah telah mentakdirkan perbuatan ini padaku.”

Mendengar jawapan pencuri tersebut, khalifah menjadi marah dan memerintahkan supaya hukuman segera dijatuhkan kepadanya.

“Sebatlah pencuri ini sebanyak tiga puluh kali kemudian potong tangannya,” perintah khalifah.

Orang ramai yang berada di situ terperanjat dan merasa hairan dengan hukuman yang telah ditetapkan oleh Umar. Seorang di antara mereka bertanya: “Mengapa begitu berat sekali hukumannya?”

Umar menjawab “Itulah hukuman yang paling layak untuknya. Tangannya mesti dipotong kerana dia telah mencuri. Dan dia mesti disebat kerana telah berdusta atas nama Allah (mengenai takdir).”

Sayid Sabiq menjelaskan, takdir tidak boleh dianggap sebagai jalan untuk bertawakal tanpa berusaha dan dijadikan sebab untuk melakukan kemaksiatan.

Bahkan adalah salah sama sekali, jika kita menganggapnya sebagai suatu paksaan daripada Allah kepada hamba-Nya.

Sebaliknya takdir haruslah dianggap sebagai jalan untuk mewujudkan cita-cita atau tujuan yang besar daripada sekian banyak amal perbuatan yang besar pula.

Sesuatu yang telah ditakdirkan kepada seseorang dapat ditolak dengan takdir yang lain. Contoh yang paling mudah ialah apabila kita merasa lapar, maka takdir rasa lapar ini dapat dilawan dan ditolak dengan takdir makan.

Begitu juga takdir sakit dapat ditolak dengan takdir pengubatan diri sehingga sihat kembali dan seterusnya.

Dalam hal ini Abu Ubaidah al-Jarrah pernah bertanya kepad Umar al-Khattab ketika Umar keluar dari sebuah negeri, menyelamatkan dirinya daripada penyakit taun: “Mengapa tuan lari daripada takdir Tuhan?” Umar menjawab, “betul saya memang lari daripada takdir Allah untuk pergi kepada takdir Allah pula.”

Maksudnya di sini, Umar menghindarkan dirinya daripada takdir terkena penyakit dan menuju kepada takdir yang lain, iaitu takdir tetap sihat walafiat.

Rasulullah s.a.w. juga selalu memohon kepada Allah s.w.t. dan meminta perlindungan-Nya daripada kesengsaraan, kesedihan, kemalasan dan sebagainya.

Ini kerana orang yang hanya berdiam diri tanpa usaha, dengan membuat alasan “Sudah takdir Tuhan”, sebenarnya tergolong dalam kaum yang lemah dan putus asa.

Keimanan kepada takdir merupakan suatu kekuatan yang dapat membangkitkan kegiatan bekerja dan keghairahan berusaha, malahan menjadi dorongan yang positif untuk memperoleh kehidupan yang layak dan pantas di dunia, kata Sayid Sabiq.

Dengan kepercayaan ini seorang manusia akan dapat menghadapi setiap kesukaran dengan hati yang tabah dan berani, kerana setiap takdir yang datang dapat ditolaknya dengan takdir lain pula.

Pemahaman dan pengertian mengenai takdir ini cukuplah kita fahami secara umum berdasarkan keterangan al-Quran dan sunah rasul-Nya. Sedangkan apa yang ada di sebaliknya merupakan rahsia Allah yang tidak akan dapat dicapai oleh akal fikiran manusia yang cetek.

Rasulullah s.a.w. memberi peringatan kepada kita supaya menghindarkan diri daripada membahaskan masalah yang ada di sebalik takdir, sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a.

Ketika para sahabat berkumpul membincangkan dan berselisih pendapat mengenai takdir, tiba-tiba baginda s.a.w. datang menghampiri mereka.

Sebaik sahaja baginda mengetahui pokok perbincangan yang sedang diperdebatkan ketika itu, wajahnya menjadi merah kerana terlalu marah. Nabi bersabda: “Untuk inikah aku diutuskan kepada kamu semua? Sebenarnya yang menyebabkan rosaknya keyakinan orang-orang yang sebelum kamu dulu, ialah ketika mereka memperdebatkan persoalan ini. Aku berharap sangat supaya kamu semua tidak memperdebatkan lagi hal semacam ini.”

Oleh kerana itulah setelah kejadian tersebut, Abu Hurairah selalu menghindarkan diri daripada pertanyaan-pertanyaan yang rumit dan perbahasan yang mendalam mengenai takdir.

Apabila ditanya, beliau akan menjawab “itu jalan yang gelap, jangan anda lalu di situ.” jika ada yang bertanya lagi, beliau menjawab, “itu laut yang sangat dalam, jangan anda terjun ke dalamnya”, dan jika ada juga yang memaksanya supaya menerangkannya, dia menjawab “itu adalah rahsia yang dimiliki oleh Allah Taala, oleh itu janganlah anda cuba menyingkapnya.”

src : http://rampaiseri.wordpress.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Contributors

 **Note:

For those who wants to use or spread contents in this blog, please proceed without my permission. Shukran Jazilan.

Blog Archive

geocounter

Doa Qunut Nazilah

“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

BlogTopSites