Aurat isteri tanggungjawab suami (Mohd Farid Ravi Abdullah)

SOALAN:
Adakah suami menanggung dosa isterinya yang tidak menutup aurat/mendedahkan aurat kepada yang bukan mahramnya?

JAWAPAN:
Rumah tangga yang aman damai itu terbina di antara gabungan ketegasan seorang lelaki dan kelembutan seorang wanita. Lelaki berusaha mencari nafkah sementara wanita menguruskan rumah tangga. Tentu tidak akan wujud sebuah rumah tangga yang bahagia jika suami sahaja yang gagah atau kelembutan isteri semata-mata.

Syariat Islam telah memuliakan wanita dengan memberi satu jaminan bagi kehidupan mereka. Disebabkan fitrah dan peraturan hidup itulah maka suami berperanan memimpin isteri ke arah mencari keredaan Allah s.w.t. Pada keseluruhannya, suamilah yang bertanggungjawab di atas segala masalah anak isterinya tetapi tidaklah sampai membiarkan mereka lalai daripada tanggungjawab dalam ibadah yang khusus (fardu ain). Firman Allah s.w.t bermaksud:

Wahai orang yang beriman peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada seksa api neraka. (al-Tahrim:6).

Para ulama ketika menafsirkan ayat ini berpendapat bahawa suamilah yang bertanggungjawab menyelamatkan ahli keluarganya daripada dihumban ke dalam api neraka. Suami menyelamatkan ahli keluarga dengan mendidik mereka dengan ilmu agama. Mengajar mereka ilmu fardu ain yang wajib diketahui oleh setiap orang Islam termasuklah ilmu tauhid. Setiap Muslim perlu mengetahui batasan auratnya. Seorang wanita wajib mengetahui batasan auratnya.

Sejak dibangku sekolah lagi ustaz dan ustazah telah mengajar mereka batasan auratnya, malahan di dalam silibus KBSR dan KBSM juga menjelaskan demikian. Malahan ibu bapa juga mengajar mereka had aurat. Namun, apabila dewasa, ada di kalangan wanita yang melihat kefarduan menutup aurat ini sebagai satu budaya orang Melayu dan bukan persoalan agama. Tanggung jawab dan peranan mendidik berpindah ke tangan suami apabila seseorang itu dikahwini oleh seorang lelaki. Berdasarkan kepada tanggungjawab dan peranan suami jelas bahawa suami adalah pengemudi bahtera rumah tangga terutamanya dalam mendidik keluarga. Suami wajib menasihati isterinya dengan penuh bijaksana dan hemah supaya isteri boleh menerima perintah menutup aurat dengan rela hati tunduk dan patuh pada perintah Allah.

Rasulullah s.a.w. ada berpesan agar setiap wanita itu dididik dan ditegur dengan penuh kelembutan dan dedikasi. Nabi mengingatkan kita agar mereka tidak dibiarkan dengan kesilapan dan keingkaran kerana yang demikian akan membawa padah pada si isteri. Setelah dinasihat dan diajar serta ditegur, mereka masih lagi enggan menutup aurat maka suaminya tidak berdosa. Ini kerana suami sudah berusaha menyedarkan akan perintah Allah menutup aurat, tetapi masih ingkar. Maka dosa keengganannya menurut perintah Allah akan ditanggung sendiri dan bukannya suami.

Dalam surah al-Nur, Allah berfirman yang bermaksud:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka Yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa Yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya. (al-Nur: 31).

Dalam ayat ini jelas Allah s.w.t. memerintahkan kaum perempuan menutup aurat dan perintah ini wajib. Maksudnya wajib bagi wanita Islam yang beriman menutup auratnya. Had aurat wanita ialah seluruh tubuhnya melainkan kedua telapak tangan dan wajah.

Sumber: Utusan Malaysia (7 Disember 2007)


Ulasan :

Seseorang isteri yang derhaka kepada suami dikatakan telah nusyuz, iaitu melanggar peraturan rumah tangga yang digariskan oleh suaminya. Islam datang memberi beberapa hak dan tanggung jawab kepada suami. Suami dilebihkan ke atas isteri atas beberapa hal. Mengulas kenyataan ini Syeikh Taqiuddin Al-Nabhani berkomentar,

Islam menetapkan bahawa urusan kepimpinan (qawwamah) di dalam rumah tangga, adalah diperuntukkan kepada lelaki di atas wanita, ini bermakna suami memiliki mandat untuk mengendalikan kepimpinan serta mengeluarkan perintah dan larangan dalam kehidupan rumah tangganya. Sesuai dengan perintah Allah Subhana Wa Taala. Surah Al-Nisa ayat 3, “Arrijalu Qawwamu ala Nisa”, dengan demikian Allah menjelaskan kepimpinan dalam rumah tangga adalah dalam kuasa lelaki, kerana dia meletakkan kelebihan kepada mereka dalam kaitan dengan sejumlah taklif, seperti kekuasaan dalam pemerintahan, imam dalam solat, wali dalam pernikahan dan hak menjatuhkan talak dalam penceraian. Hal ini sebagaimana diungkapkan dalam Firman Allah dalam ayat di atas “dengan kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada sebahagian yang lain”. Ehwal kepemimpinan ini juga ditunjukkan oleh adanya taklif kepada lelaki dalam bab nafkah dan mahar, sebagaimana firmanNya, “…kerana mereka telah memberikan nafkah dari harta-harta mereka”. Tambahan pula Islam memberikan hak kepada suami untuk mendidik isteri dengan cara yang baik, memisahkan tempat tidur, dan memukul tanpa mencederakan, sesuai dengan kadar penderhakaan isteri kepada suaminya. Hal semacam ini perlu dilakukan jika isteri melakukan kederhakaan, maksiat dan menentang suaminya.[Nizhamul Ijtima’ei fil Islam,ms 109]

Isteri dikatakan melakukan nusyuz kepada suami jika hal ehwal rumah tangga dilanggar. Sebagai contoh seorang isteri yang keluar rumah tanpa menutup aurat. Hal ini (aurat terbuka) sepatutnya hanya berlaku dalam lingkungan kehidupan khusus iaitu dalam rumah bersama suaminya sahaja. Namun perkara dalaman yang sepatutnya menjadi hak suami ini telah dipertontonkan untuk tatapan orang ramai. Oleh itu, perempuan ini, pertama, telah melakukan kederhakaan kepada suaminya dan yang kedua, kederhakaan kepada Allah Subhana Wa Taala.

Suaminya berhak mendidiknya sama ada secara menasihatinya di mana jika ia (isteri) ingkar dan masih lagi berjalan keluar rumah tanpa menutup aurat, dia boleh dipisahkan dari tempat tidurnya, dan boleh dipukul sebagai pengajaran. Namun dari aspek tanggungjawab negara, tindakan membuka aurat ini adalah sebahagian dari taklif ke atas Negara dalam masalah urusan awam. Pemimpin Islam wajib mengenakan takzir kepada pesalah yang membuka aurat tadi.

Dua aspek ini (tanggungjawab suami dan negara), Insya Allah akan memelihara sistem sosial yang ada dalam kehidupan Negara Islam. Namun ini menjadi sukar bila sistem sekular yang diterapkan, di mana para pemimpin itu sendiri reda dengan sikap isterinya mendedahkan aurat, malah lebih tragis lagi, sistem yang dipilih oleh pemimpin itu sendiri meredai maksiat ini.

src : http://www.mykhilafah.com/modules.php?name=News&file=article&sid=225

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

THE MEANING OF SUCCESS AND FAILURE

Soal Jawab : Ghibah