4ayesha

Daripada ABU HURAIRAH r.a, RasuluLLah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang menyeru (manusia) kepada hidayah, maka baginya pahala sebanyak pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka." Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab al-'Ilm (2674), Imam Malik dalam Muattha'(2674), Ahmad (9171), Abu Dawud (4609), Turmudzi (2674), ad-Darimi (513), ibnu Majah (206), ibnu Hibban (112), al-Bagahwi (109)

Followers


Berita Minggu : Agama
Susunan HABSAH DININ

BUKAN mudah untuk berhijrah jika tidak dengan keizinan dan rahmat Allah. Penghijrahan paling besar ialah penghijrahan rohani dari dunia yang penuh kegelapan kepada cahaya iman dan takwa.Sejajar dengan bulan Muharam yang menjadi pintu tahun baru kepada seluruh umat Islam, ikuti pengakuan seorang pemuda Australia yang memilih nama Abdul Azim selepas memeluk Islam pada 1992. Dia tidak mahu menyebut nama asalnya, menceritakan bagaimana nur Islam mula menyerap ke dalam hatinya hingga mendorong beliau memilih Islam sebagai agamanya.

KEDUA-DUA ibu bapa saya beragama Katholik. Bagaimanapun mereka berdua bukanlah jenis orang yang prihatin dengan hal-hal keagamaan. Agama hanya dicatat pada kad pengenalan dan tidak lebih daripada itu.

Bagaimanapun, ibu memang pernah bercerita mengenai Islam. Katanya, Islam agama yang terhebat di dunia kerana ia mempunyai kehebatan yang tersendiri. Dia tidak melarang saya jika suatu hari nanti, saya memilih Islam sebagai agama cuma menasihatkan sekiranya saya sudah memilih agama itu, janganlah cuma hangat-hangat tahi ayam. Ibu tidak mahu saya menjadi penganut sekadar suka-suka dan kemudian meninggalkannya. “Perbuatanmu nanti akan mengecewakan dan melukai hati ibu,” katanya.

Saya pernah bertanya pada ibu mengenai agama Hindu, tetapi memeranjatkan saya apabila ibu memberi amaran kerasnya kepada saya, “Jika awak memilih agama itu, saya sendiri akan membunuh awak!” Nampaknya marah benar dia ketika mengeluarkan kata-katanya itu.

Dan, sebagai anak, saya arif benar, memang ibu bermaksud dengan kata-katanya itu.

Sewaktu dalam persekolahan peringkat rendah, sudah menjadi kebiasaan murid-murid akan berdoa kepada Tuhan sebelum menjamah makanan tengah hari.

Ketika dalam Gred Lima (usia dalam lingkungan 10 tahun), saya mula terasa sesuatu. Apabila saya melihat ada sebahagian rakan-rakan ketika berdoa akan meletakkan tangannya pada dada, ada yang mengangkat kedua-dua tangan ke atas kepala, tetapi bagi saya semua itu karut belaka. Mana ada Tuhan.

Pada umur 10 tahun, saya menolak semuanya sekali. Saya menolak agama Kristian, tentang Nabi Isa dan cerita yang berkaitan dengannya dan tentang ketuhanan. Bagi saya semuanya mengarut dan sengaja diada-adakan.

Saya tidak langsung memikirkan tentang Tuhan dengan serius hinggalah saya berusia 19 tahun dan belajar di tahun kedua di universiti. Saya memang seorang pelajar yang cemerlang dan mengambil jurusan Perniagaan Cina. Pada tahun pertama, saya sudah ditawarkan biasiswa untuk berkursus tiga bulan di Beijing, China pada 1990/91.

Berada di China mencatat sejarah dalam hidup saya apabila buat kali pertama saya bertemu dan akhirnya berkawan baik dengan seorang pemuda Islam dari Syria.

Bagaimanapun, sepanjang tiga bulan bersama dengannya, amat jarang kami berbincang mengenai agama. Cuma daripada ceritanya, saya baru mendapat tahu orang Islam juga percaya kepada Nabi Isa dan Nabi Noh dan bahteranya.

Saya pernah bertanya padanya, “Adakah orang Arab membenci orang Yahudi?” Dia tidak menjawab persoalan saya itu sebaliknya mengemukakan soalan lain. “Mengapa mesti saya bencikan orang Yahudi?”

Sebenarnya, memang saya terfikir agama orang Yahudi dan orang Islam itu sama. Rakan saya itu menafikannya dengan keras. Tetapi saya tetap mengatakan ia adalah sama. Perkenalan kami membuatkan saya begitu berminat dengan dunia Arab dan bahasa Arab dan saya berusaha mempelajarinya.

Selepas tamat kursus jangka pendek itu, hubungan kami tidak terputus setakat itu. Kami terus menghubungi antara satu sama lain, meskipun saya di Australia dan dia di Syria. Keakraban kami berdua menimbulkan bukan sedikit kehairanan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan sekuliah saya yang lain. Namun mereka masih menganggap ini hanyalah perkara yang normal.

Beberapa bulan selepas itu, saya menerima buku berjudul The Life And Times of Muhammad, karangan Pansha Gubb, seorang orientalis British yang berkhidmat dengan angkatan tentera Jordan. Biarpun buku itu tidak begitu baik keadaannya, tetapi mendapat pengetahuan yang tidak ternilai sekali dalam hayat saya selama ini iaitu saya mula mengenali seorang lelaki yang bernama Muhammad.

Sejak itu, Muhammad sentiasa bermain-main di dalam fikiran saya. Setiap rangkap cerita mengenainya, saya membayangkan seperti sebuah filem di hadapan mata saya. Hingga saya begitu tertarik dengan perjuangan dan pengorbanannya, kesetiaan dan keikhlasannya dan ini membuatkan saya amat yakin bahawa Muhammad itu memang benar seorang Rasul Allah.

Suatu hari di perpustakaan universiti, saya menjumpai sesuatu yang sudah lama saya cari. Ia buku kecil, pada bahagian kulit luarnya ada banyak gambar masjid dari seluruh dunia. Isinya kelihatan padat dan ringkas. Itulah naskhah terjemahan al-Quran pertama yang saya peroleh, terjemahan N J Dawood, seorang Iraq berbangsa Yahudi. Terjemahan itu saya baca dan menghayati setiap kata-kata yang disampaikannya.

Saya ingatkan cuma ada satu saja terjemahan al-Quran di situ, tetapi rupa-rupanya 50 semuanya di situ.

Saya membaca, membaca dan terus membacanya hingga selesai. Ketika hendak tidur, saya baca, ketika dalam kereta api hendak pergi ke universiti dan pulang ke rumah, saya membaca, hingga di dalam kelas kuliah pun sekiranya bahan yang disampaikan oleh pensyarah pada hari itu membosankan, saya mengeluarkan naskhah terjemahan al-Quran lalu membacanya.

Saya juga pernah membawa bersama terjemahan al-Quran itu ketika saya bermalam di rumah rakan sekuliah saya dan dia juga turut bersama saya membacanya. Segala cerita dalam al-Quran sungguh mengagumkan saya. Lebih-lebih lagi cerita mengenai hari akhirat dan pembalasan di neraka. Apa yang saya baca membuatkan hati saya bergetar.

Ketika sedang menghayatinya, hatinya saya terdetik, saya mahukan Islam. Saya sudah yakin dengan Muhammad dan sudah pun mempercayai al-Quran, dan langkah seterusnya ialah mengenal Tuhan. Saya mendapat banyak maklumat mengenai Islam, Muhammad dan bahasa Arab, kini saya ingin bertanya lebih lanjut mengenainya kepada seorang Muslim dengan berterus-terang. Tetapi kepada siapa?

Di bandar tempat saya tinggal memang ada banyak masjid, tetapi saya langsung tidak terfikir kenapa saya tidak saja ke sana mencari seseorang untuk bertanya mengenai Islam.

Namun, Tuhan Maha Kaya, dalam pencarian saya itu, Allah mempertemukan saya dengan seorang rakan sekuliah, seorang gadis Muslim yang memakai tudung, berasal dari Afrika Selatan.

Dalam peluang melakukan tuga-san dengannya, saya rapatinya dan bertanya biarpun ketika itu saya amat malu sekali. “Sudikan awak menjawab beberapa persoalan mengenai Islam untuk saya?”

Dia dengan pantas menjawab: “Sudah pasti. Apa yang awak hendak tahu mengenainya?” Jawapannya benar-benar mengejutkan saya. Saya tidak menyangka orang Islam begitu peramah apabila ditanya mengenai agamanya.

Kemudian saya diperkenalkan dengan masyarakat Islam di kampus universiti itu. Mereka menerangkan kepada saya mengenai Allah, agama dan bagaimana Rasulullah dan sahabatnya berhijrah keluar dari Makkah kerana mahu menyelamatkan syiar Allah dan agama Islam, memberi pengaruh yang amat besar kepada hati saya.

Hinggakan suatu hari saya bermimpi mengenai sesuatu. Apabila saya terjaga, hati dan perasaan saya berasakannya dengan jelas dan pasti, lalu bibir saya mengungkapkan kata-kata itu. “Tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah.”

Saya menerima Islam dalam kehidupan saya pada 21 Januari 1992 dan saya mengambil nama Abdul Azim sebagai nama Islam saya. Abdul Azim membawa maksud, “Hamba Tuan Kepada Segala Yang Berkuasa”.

Kini saya bersyukur menerima nikmat nur Allah ini dan sangat merasa begitu bahagia dan damai sekali. – Islamic Herald/2002

src : http://www.bicaramuslim.com/bicara7/viewtopic.php?f=1&t=2292&sid=149f6deb40d0e3ccc0f4fc834862bfae&p=48758

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Contributors

 **Note:

For those who wants to use or spread contents in this blog, please proceed without my permission. Shukran Jazilan.

Blog Archive

geocounter

Doa Qunut Nazilah

“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

BlogTopSites