Belenggu Keduniaan Membentuk Mentaliti Materialistik


“Ibadah itu terbina oleh syarak dan oleh sikap ittiba’ (berpegang kepada dalil kitab dan sunnah) dan bukannya dibina ibadah itu oleh hawa nafsu dan perkara yang diada-adakan (melalui kecerdikan atau sangkaan) sesungguhnya Islam itu terbina di atas dua usul utama iaitu :

Pertamanya ialah Hanya menyembah Allah yang Esa dan tidak Mensyirikkan-Nya dengan Sesuatu pun dan yang kedua pula ialah menyembah Allah dengan apa yang disyariatkan melalui lisan rasulullah salalallahualaihiwasalam dan bukanlah menyembah-Nya dengan kerana mengikut hawa nafsu dan menyembah-Nya dengan jalan yang di ada-adakan.”- Al-Imam Ibnu Taimiyyah, Majmuk Fatawa, Jilid 1,ms 63.

Pada kali ini marilah kita berbicara berkenaan mentaliti masyarakat yang rosak dan kefahaman Islam di sekeliling kita yang sedang tenat diselaputi fitnah dunia.

Semakin dunia menyelaputi kita semua, semakin tersesat kita daripada agama sehinggakan terbit daripada mulut mereka-mereka yang beragama untuk sampai hati mengatakan kita seharusnya menilai agama berdasarkan tuntutan dunia dan material.

Bukan untuk berfantasi mengatakan agama ini untuk akhirat semata-mata dan kita mesti mengabaikan apa yang ditangan semata-mata untuk mengejar akhirat. Sama sekali bukan itu yang dikehendaki oleh Islam.

Islam menyuruh umat-Nya memburu kekayaan, berkemampuan dan berkebolehan tetapi Islam menetapkan umat-Nya harus terlebih dahulu mendirikan Islam dan memastikan kekayaan dan kemewahan itu terbina setelah keutamaan dan hak terhadap agama sudah dipenuhi di jalan Allah swt.

Islam belum pun tertegak dan terbina di sekeliling kita, umat Islam masih kebuntuan aqidah dan sebahagian umat ini masih lagi meringkuk menderita dan dihantui kebuluran dan dicabuli maruah dan dibunuh oleh musuh serta bangsa kufar yang didalangi zionis namun kebanyakkan ustaz-ustaz dan ahli agama bersikap tidak kesah dan mengambil langkah wasatiyah kononnya dengan mengalakkan umat Islam membina ekonomi, membina gelangang di dalam masjid dan mengabaikan perkara yang lebih besar seperti tuntutan tauhid uluhiyah yang begitu terdesak.

Apakah tuntutan tauhid uluhiyah ?

Iaitu mengajak masyarakat kembali beribadah kepada Allah dan menjadikan ibadah mereka baik ibadah umum dan khusus itu HANYA untuk Allah dan bukan untuk selain-Nya termasuk diri mereka dan jauh sekali untuk kepentingan peribadi mereka.

Contoh-nya,

Ramai hari ini melakukan sesuatu ibadah kerana kegemaran, kerana ianya mudah dan kerana ianya memberikan manfaat dan kebaikan kepada mereka tetapi mereka lupa akan perkara yang asasi iaitu untuk menyedari kita semua ini ialah hamba Allah yang dijadikan oleh Allah (tauhid rububiyah) dan kita dijadikan hanya untuk beribadah kepada Allah dan ibadah kita pula haruslah hanya untuk Allah (tauhid uluhiyah).

Seorang ahli agama popular pernah berkata, kalau kita boleh memakai kereta Mercedes dan BMW maka kita hendaklah berusaha memakainya kerana Islam itu hebat dan kita mesti menunjukkan kehebatan umat Islam.

Saya terkejut dan terpinga-pinga.

Saya teringat pesan Umar radiallahuanhu : “Kita adalah suatu kaum yang telah dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Jika sekiranya kita mencari kemuliaan (dan ketinggian di sisi manusia) selain daripada Islam, maka kita akan dihinakan oleh Allah.” (Hayyatus Sahabah dan Usud ul Ghabah)

Apakah pada kemewahan kita itu ? banyaknya buku-buku yang sudah ditulis oleh kita ? jumlah pengunjung yang banyak mengunjungi website dan laman-laman tulisan kita ? ataukah pada pekerjaan ? pada pangkat ? pada ketinggian sijil dan ijazah yang kita miliki ? ataukah kepada jenis kereta yang kita miliki ? atau mungkin jumlah wang yang kita sumbangkan itulah yang dilihat oleh Allah swt dan menjadi ukuran bahawa kita sudah menunaikan tuntutan ubudiyah (pengabdian) diri kita kepada Allah ?

Firman Allah swt yang bermaksud : “Tidaklah sekali-kali akan sampai kepada Allah akan daging-daging unta dan darahnya itu akan tetapi yang akan sampai kepada-Nya ialah ketakwaan dari kamu. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.“ (Surah Al-Hajj : 37)

Seandainya umat Islam memahami, bahawa saudaranya yang berada di sekeliling rumah dan persekitarannya masih diselaputi kemiskinan, kebuluran dan umat Islam di luar sana menghidapi penyakit penderitaan yang tiada berkesudahan lantaran tiada kerajaan Islam dan kekuasaan yang dapat memelihara mereka daripada kejahatan musuh dan kaum kufar nescaya kita yang beriman dan bertaqwa tidak akan sanggup menghabiskan wang hanya untuk bersuka-suka dan berseronok dengan memakai kereta BMW dan Mercedes sedangkan sudah cukup bagi kita untuk memakai kereta Savvy atau proton dan selainnya yang lebih murah dan mencukupi sedang wang yang baki boleh dimanfaatkan untuk kegunaan mereka yang lebih berhak.

Sejak bila umat Islam mula mementingkan diri sendiri? apakah semenjak dakwah salafiyah atau seruan kepada sunnah ini tersebar? Allahumusta’an dan semoga dibersihkan dakwah salaf soleh yang menyeru umat kepada generasi terbaik ini terpelihara daripada fitnah dunia dan seruan yang menyeleweng.

Firman Allah swt yang bermaksud : “Ketahuilah, bahwa Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani namun kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu Lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Al-Hadid : 20)

Sejak bilakah pula perasaan seorang wanita itu menjadi penting dan Maha besar sehingga agama dan Islam terpaksa dikesamping? Menghairankan ramai wanita Islam hari ini yang membesar di dalam suasana yang rosak dan kemudiannya menjadi rosak tanpa menyedari diri mereka sebenarnya telah rosak yang dimaksudkan rosak ialah rosaknya mentaliti dan aqidah apabila mereka lebih mengutamakan perasaan daripada apa yang terdapat dan disebut oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

Firman Allah yang bermaksud : “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.” (Al-Ahzab : 36)

Pemilihan jodoh tidak dilakukan kerana agama atau untuk memenuhi tuntutan ibadah kepada Allah sebaliknya kepada mana yang lebih disukai oleh hati dan perasaan.

Hampir pupus sudah generasi wanita Islam di atas muka bumi ini yang berkahwin dengan lelaki adalah disebabkan untuk beribadah kepada Allah dan dia pula memilih lelaki bakal suaminya itu kerana lelaki itu dapat membantu dirinya untuk menunaikan tuntutan ibadah kepada Allah swt.

Kepupusan ini berpunca daripada sikap materialistik dan keduniaan, budaya barat yang merosakkan aqidah dan pemikiran, ibubapa yang tidak mendirikan usrah islamiyah (rumahtangga Islam) di dalam keluarga mereka menjadikan tarbiyah (didikan) anak-anak tidak berlangsung di atas jalan syariat Islam dan kerana itulah kita ketandusan peribadi-peribadi yang hidup dan mati mereka untuk Allah swt.

Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya, "Pada suatu hari Rasullah melewati pasar melalui bahagian atas. Orang banyak mengikuti beliau di kiri dan kanan. Beliau bertemu dengan bangkai seekor anak kambing yang kecil kedua telinganya(cacat). Lalu dihampiri dan diambilnya bangkai anak kambing yang kecil kedua telinganya. Seraya berkata,"Siapakah di antara kamu yang suka membeli bangkai ini dengan satu dirham?". Jawab mereka,"Kami tidak suka sedikit pun. Untuk apa bagi kami." Tanya beliau,"Sukakah kamu diberi dengan percuma?" Jawab mereka,"Sekalipun dia hidup kami tidak mahu kerana anak kambing itu cacat dan Kedua telinganya kecil. Apalagi dia sudah menjadi bangkai." Sabda Rasulullah Salalallahualaihiwasalam : "Demi Allah, sesungguhnya dunia lebih hina di sisi Allah Taala daripada tanggapanmu terhadap bangkai ini." (Hadis Sahih Muslim)

Dunia yang lebih hina daripada bangkai itu mustahil akan menjadi simbol kemegahan umat Islam sebaliknya aqidah dan kekuatan umat Islam itu terpancar melalui perjuangan menegakkan agama Allah swt dan usaha mereka menunaikan tuntutan ubudiyah terhadap Allah swt.

Wanita berkahwin kerana mereka inginkan bahagia! bukan agama! bukan Allah! tetapi bahagia…kebahagiaan untuk siapa? untuk dirinya….self centered (pemikirannya hanya berpusat kepada dirinya) dan segala kelangsungan perkahwinan dan rumahtangga itu hanya dilihat olehnya sebagai apakah perkara yang membahagiakannya dan apakah pula perkara yang tidak membahagiakannya.

Pernahkah seorang ibu? pernahkah seorang isteri? pernahkah seorang wanita terfikir? apakah perkahwinan yang ingin di dirikan atau yang sudah di dirikan itu pula mampu membawa sesuatu kepada Islam? mampu menunaikan tanggungjawab dan peranannya sebagai hamba Allah?

Jawapannya ialah sangat kurang sekali mereka yang berfikir, sangat sedikit sekali mereka yang menyedari dan mengetahui.

Sangat sedikit sekali manusia itu yang memahami bahawa hidup dan matinya harus untuk Allah.

Bukankah Allah menyebut, Yang Bermaksud : “Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.”
(Al-An’am : 162)

Rasulullah salalallahualaihiwasalam diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah beriman seseorang daripada kamu sehingga dia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (ajaran Islam).” (Hadis riwayat Hakim)

Permasalahan yang menimpa umat Islam ialah kerana penyakit yang parah yang menimpa kita semua seperti yang disebut oleh Sebuah hadis yang diriwayatkan dari Thauban radhi allahu anhu, bahawa Rasullullah salla allahu alayhi wassallam bersabda, dengan mafhumnya:

“Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.”


Maka para sahabat r.a. pun bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?”

Sabda Baginda s.a.w.:

“Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.”


Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?”

Jawab Rasulullah s.a.w.:

“Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn.”

Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu al-Wahn?”

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Cintakan dunia dan takut akan kematian.”
(hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

src : Taman2Syurga at yahoogroups dot com

Comments

saya nak mohon share kan article ni untuk renungan kawan-kawan saya
@ayesha said…
Olie Mazlina : silakan :) jzk.

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT