Pilih Pasangan Ikut Syariat


ISLAM agama yang menjamin kesejahteraan kepada manusia dunia dan akhirat.

Dalam memilih pasangan, Islam turut memberikan garis panduan supaya rumah tangga yang dibina memberikan kerahmatan, ketenangan dan keharmonian.

Justeru, Islam menasihati umatnya memilih pasangan yang sesuai supaya kebahagiaan dan ketenangan diidamkan men jadi kenyataan di alam rumah tangga.

Antaranya, memilih calon pasangan berdasarkan agama, taat dan berakhlak dengan keperibadian Islam.

Bagi orang yang kefahaman agamanya kurang, perbezaan pendapat menjadi melarat, bertambah kusut, dihambur ka ta-kata kesat dan diungkit segalanya, sehingga kemanisan menjadi pudar, berganti dengan kebencian.

Nabi Muhammad s.a.w ada memberikan penekanan kepada sesiapa yang ingin berkahwin agar memilih pasangan yang beragama.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
“Perempuan dikahwini atas empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, ke cantikannya dan agamanya. Pilihlah perempuan yang ber agama, nescaya kamu akan diberkati Allah.”
(Riwayat Bu khari, Muslim dan lain-lain)

Rasulullah s.a.w menasihati keluarga anak gadis supaya menyegerakan perkahwinan apabila dilamar calon suami daripada kalangan yang beragama dan berakhlak, malah berkemampuan memenuhi hak isteri dan anak.

Sabda baginda bermaksud:
“Apabila kamu didatangi sesiapa yang kamu boleh menerima agamanya dan akhlaknya, kamu mesti membenarkannya mengahwini anak perempuan kamu. Jika kamu tidak berbuat demikian, nescaya satu fitnah besar akan berlaku di bumi serta menjadi keburukan dan kerosakan yang berleluasa.”

Fitnah akan menimpa maruah agama dan umat Islam, jika seorang pemudi beriman terperangkap dengan suami yang tidak beriman, tiada pegangan akidah, tidak bertakwa dan tiada kesedaran.

Pasangan suami isteri yang ideal juga bermula dengan keturunan yang baik-baik dan kerana itu Islam menasihati umatnya memberikan keutamaan kepada keturunan yang baik.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Jangan dekati tumbuhan hijau di tempat kotor. Lalu bertanyalah kalangan pendengar kepada Rasulullah. Apa dia tumbuhan hijau di tempat kotor wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Perempuan cantik yang membesar di rumah yang penuh kejahatan serta keburukan.”
(Riwayat ad-Dar al-Qutni, al-As kari dan Ibnu ‘Adi)

Bagi lelaki, jangan kerana senyuman seorang gadis yang menawan, rupa yang cantik dan bentuk badan yang menarik membuatkan seseorang tidak berfikir panjang, malah terus melupakan kriteria ditegaskan Rasulullah secara berkias itu.

Calon pasangan suami isteri juga seeloknya bukan daripada kaum kerabat keluarga bagi memelihara kecerdikan zuriat dan menghindari penyakit atau kecacatan disebabkan ke turunan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Janganlah menikah dengan kaum kerabat, kerana anak daripada pernikahan itu akan membesar kurus, lemah tubuh badannya dan tidak cerdik.”

Sabda Baginda lagi:
“Berkahwinlah dengan orang asing (tidak mempunyai tali persaudaraan) dan janganlah mengahwini kaum kerabat sendiri supaya boleh mengelak kelahiran anak yang lemah dan tidak sihat.”

Bagi lelaki, Islam juga menasihati supaya mengutamakan wanita yang masih dara.

Bagi wanita yang pernah berkahwin kemungkinan ada penilaian lain pada suaminya, seperti membuat perbandingan antara suami dan bekas suaminya yang dulu.

Dalam hadis diriwayatkan Ibnu Majah dan al-Baihaqi, maksudnya:
“Kahwinlah anak dara sesungguhnya mereka ini selalu berkata dengan baik, lemah lembut, kemungkinan kesuburan mereka amat besar (mendapat anak), kurang tipu helah mereka (jujur) dan mudah reda dengan yang sedikit.”

Aspek kesuburan juga elok diberikan keutamaan dalam memilih pasangan.

Tanda kesuburan ini boleh juga diperhatikan keadaan ibu dan adik-beradiknya yang sudah berkahwin. Jika keluarganya besar, ramai ahli keluarga, besar kemungkinan dia begitu juga.

Dalam hubungan ini ada seorang lelaki bertanya Rasulullah s.a.w bermaksud:
“Wahai Rasulullah saya jatuh cinta dengan seorang perempuan yang berketurunan baik, berkedudukan dan kaya, cuma dia tidak boleh beranak. Adakah boleh saya berkahwin dengannya?"
Terus Rasulullah s.a.w melarangnya.

Kemudian lelaki itu datang dan bertanya kepada Rasulullah kali kedua. Rasulullah menjawabnya sama dengan pertama.

Lelaki itu datang dan bertanya kali ketiga. Lalu Rasulullah menjawab dengan sabdanya yang diriwayatkan Abu Daud, an-Nasai dan al-Hakim:
“Berkahwinlah dengan perempuan yang boleh beranak ramai dan bersifat lemah lembut serta bermesra, sesungguhnya aku akan bermegah dengan kamu terhadap umat yang ramai.”

src : http://serikasih.blogspot.com/2008/07/pilih-pasangan-ikut-syariat.html

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT