An-Nur: Contohi Umar


KITA sering menyebut kehebatan Khalifah Umar Abd Aziz dalam pentadbirannya sebagai pemerintah sehingga masyarakat bukan Islam turut mengetahuinya serba sedikit lalu menjadikannya ‘role model’ dalam ucapan yang disampaikan.

Saya berharap supaya ia bukan terhenti setakat di dalam ucapan, tetapi ia perlu diterjemah dalam tindakan. Tidak dinafikan usaha ke arah itu dapat dilihat sedikit demi sedikit, tahniah.

Selain Umar Abd Aziz, kita adakala membaca kehebatan pentadbiran Islam di bawah khalifah kedua Islam iaitu Umar Al-Khattab r.a.

Dalam tulisan ringkas ini, saya ingin berkongsi beberapa petikan kisah ketegasan Umar Al-Khattab ra ketika pemerintahannya, termasuk sewaktu menerima laporan daripada rakyat terhadap perilaku gabenor dilantiknya.

Ia sangat baik dijadikan panduan dan ingatan bagi pimpinan pentadbiran korporat, kerajaan negeri dan pusat serta sesiapa saja yang ingin mengambil pengajaran.

KISAH 1: Khalifah Umar Al-Khattab dan Sa’ad Abi Waqqas

Umar Al-Khattab melantik Sa’ad Abi Waqqas, sahabat besar Nabi Muhammad SAW, sebagai gabenor di Kufah, Iraq. Namun beberapa kumpulan munafik yang bencikan Sa’ad membuat aduan palsu kononnya beliau tidak adil dalam pembahagian selain tidak memimpin ketika peperangan, sedangkan ketika itu kerajaan Islam sibuk membuat persiapan untuk menuju ke Nahawand.

Amat difahami, kumpulan itu ingin mengganggu kelancaran perancangan kerajaan Islam. Walaupun aduan terbabit sememangnya diketahui palsu oleh Umar Al-Khattab, beliau masih meraikannya secara serta-merta dengan menghantar wakil penyiasat iaitu Muhammad Ibn Maslamah.

Umar Al-Khattab sangat sensitif dan serius dengan segala laporan terhadap gabenor lantikannya. Tatkala proses siasatan terbuka dijalankan, semua wakil ketua di Kufah tidak tahu menahu berkenaan laporan ketidakadilan Sa’ad lalu semuanya mengkhabarkan kebaikan Sa’ad.

Tiba-tiba muncul Usamah Bin Qatadah mendakwa Sa’ad tidak adil dan tidak memimpin perang. Sa’ad menafikan dengan sumpah serta mendoakan buta mata, kurang zuriat dan terdedah kepada fitnah dunia bagi sesiapa yang menipu dan melontarkan fitnah ke atasnya.

Hasil doa individu soleh seperti Sa’ad, semua kumpulan yang menipu itu mati. Usamah pula menjadi buta, kurang zuriat dan ditimpa nafsu syahwat yang luar biasa.

Walaupun Sa’ad terbukti selepas itu tidak bersalah, demi mengelak perpecahan dan menjaga status beliau, Umar al-Khattab meminta Sa’ad menamakan penggantinya, lalu dilantik ‘Abdullah bin Abdullah Bin ‘Utban yang juga timbalan Sa’ad sebelum ini. Sa’ad kemudian dibawa ke Madinah bagi menyertai ahli Majlis Syura Khalifah.

KISAH 2: Khalifah Umar Al-Khattab dan denda anaknya


Abd Rahman bin Umar Al-Khattab, seorang daripada anak Umar al-Khattab yang ada di Mesir, dilaporkan melakukan kesalahan meminum arak. Umar al-Khattab meminta Amru bin Al-‘As melaksanakan hukuman ke atas anaknya.

Namun Amru al-‘as serba salah kerana Abd Rahman anak khalifah lalu menjatuhkan hukuman secara sedikit berbeza, iaitu mencukur kepalanya dan disebat secara tertutup di dalam rumahnya. Sepatutnya, prosedur ketika itu membabitkan hukuman minum arak adalah dicukur dan disebat pada waktu sama di khalayak ramai.

Peristiwa itu sampai kepada pengetahuan Umar al-Khattab lalu beliau menghantar surat yang antara lainnya menyebut: “Engkau menyebat dan mencukur Abd Rahman di dalam rumahmu dan kamu tahu ia bertentangan dengan apa yang aku harapkan (hukuman seperti orang lain).”

“Abd Rahman seorang daripada warga di bawah tanggungjawabku (di akhirat) dan kamu beralasan dengan mengatakannya anak Khalifah, sedangkan kamu tahu aku tidak sesekali berkompromi dengan sesiapapun dalam melaksanakan amanah terhadap Allah SWT.”

BERSAMBUNG...

src : http://www.hmetro.com.my/ (adDin)

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT