Marathon Muhammad Ahmad Zahid



JIKA selama ini kanak-kanak sering ditegur kerana berbuat bising ketika berada di dalam atau pekarangan masjid, surau, musolla dan mana-mana rumah ibadat, kehadiran adik Muhammad Ahmad Zahid, 13, sebaliknya disambut bagaikan menatang minyak yang penuh.

Bukan saja orang dewasa, sebaliknya kanak-kanak juga tersenyum lebar tatkala melihat kelibatnya dan berdebar-debar saat menunggu beliau berdiri di depan mikrofon. Almaklumlah, suara anak muda berkulit putih gebu ini kini lunak berkumandang di saluran TV9 setiap kali masuk waktu Zohor dan Asar. Muhammad juga dapat ditemui dalam program Mari Bertarannum di saluran yang sama pada setiap Isnin hingga Rabu mulai pukul 6.30 petang.

"Bacaannya amat mempesonakan," begitu lapor sebuah akhbar tempatan di Dubai ketika Muhammad menyertai musabaqah hafazan al-Quran 30 juzuk di Anugerah Al-Quran Antarabangsa Dubai (DIHQA) ke-12 yang berakhir pada 20 September 2008. Muhammad menjuarai kategori bacaan terbaik pada acara itu.

Malah, sebelum mewakili Malaysia ke sana, Muhammad merakam 'resume' yang cukup membanggakan apabila berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran ketika berumur 10 tahun.

Setahun sebelum itu, Muhammad terlebih dulu menghafaz kitab hadis Matan Al-Arbain himpunan Al-Imam Al-Nawawi, Matan Tuhfatul Atfal dalam bidang tajwid, 60 kaedah fiqh, syarah Matan Al-Ajrumiyah dalam nahu dan beberapa kitab saraf dalam bahasa Arab.

Tidak bersekolah di sekolah kerajaan, Muhammad sebaliknya dihantar mengikuti pengajian di sekolah agama swasta seperti Institut Al-Quran Kuala Lumpur Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Muassasah Darul Furqan Bangsar, Maahad Tahfiz Al-Azhariyyah Shah Alam dan pengajian secara intensif serta individu dengan Allahyarham Syeikh Hussain dari Myanmar di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, penswastaan pendidikan Muhammad tidak menandakan beliau terputus daripada dunia 'normal' masyarakat di sekeliling. Anak sulong daripada lima adik-beradik ini mempelajari ilmu akademik dengan menghadiri kelas tuisyen bersama Kumon. Selain itu, Muhammad juga mahir berenang, memiliki tali pinggang hitam (Dan pertama) dalam taekwon-do, menganggotai kelab ilmu astronomi dan kelab komputer.

Nah, pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana Muhammad dapat melakukan kesemuanya? Semasa ditemui di rumahnya di Taman Tun Dr. Ismail, Muhammad baru saja pulang daripada sesi rakaman program Mari Bertarannum di Shah Alam.

"Kami keluarga marathon, sentiasa berkejar ke sana ke mari. Memang tidak ada masa lapang. Tetapi kami lakukan kesemuanya bersama-sama," kongsi ibu Muhammad, Dr. Siti Khadijah Fadzil, 41, yang merupakan seorang doktor gigi di Klinik Pergigian Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Bermula dengan solat Subuh berjemaah, jika musim bersekolah, Muhammad dan tiga lagi adiknya, Siti Aminah, 12, Ismail, 8, dan Fatimah, 7, dihantar ke sekolah Darul Hikmah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

"Anak-anak ke sekolah dari 8 pagi hingga 5 petang, jadi sama seperti waktu kerja. Balik ke rumah, kami berjemaah Maghrib dan Isyak di masjid berdekatan. Kami masuk tidur awal. Paling lewat pukul 10 malam. Muhammad dan adik-adik dihantar berenang, belajar taekwon-do dan menyertai kelab-kelab lain pada hujung minggu," kata bapa Muhammad, Ahmad Zahid Zainal Abidin, 41.

Penasihat undang-undang KLCC ini juga berkata Muhammad mengamalkan mengulang hafazan sekurang-kurangnya lima juzuk setiap hari.

"Dalam masa enam hari, Muhammad dapat mengkhatam keseluruhan al-Quran. Maksudnya dalam masa sebulan, dia khatam al-Quran lima kali," tambah Ahmad Zahid.

Muhammad, akui Siti Khadijah, umpama anugerah yang tidak ternilai.

"Muhammad sudah dapat mengaji di depan khalayak dengan tenang semasa berumur enam tahun. Pendek kata setiap kali berada di depan khalayak, dia memang tidak ada masalah gugup, takut dan sebagainya. Sebaliknya, kami (ibu bapa) yang risaukan keadaan dia. Seperti dia memang dilahirkan untuk semua ini ," katanya.

Keupayaan anak sulong daripada lima adik-beradik itu berdepan dengan audien berskala besar dan para juri dengan tenang bukanlah terjadi secara spontan.

"Kami mencari peluang untuk membiasakan Muhammad dengan orang ramai. Kami hantar surat kepada jawatankuasa masjid dan surau, meminta kebenaran agar Muhammad dibolehkan mengaji al-Quran di masjid berkenaan sebelum Solat Jumaat dimulakan. Jadi kami ada strategi, membiasakan Muhammad dengan audien berskala kecil sehinggalah besar. Ia dijadikan sebagai satu bentuk latihan kepadanya," jelas Ahmad Zahid.

Siti Khadijah menambah, keputusan membentuk Muhammad sebegini sebenarnya berpunca daripada memikirkan nasib anak-anak mereka pada masa depan.

"Dulu, keadaan tidak mencabar seperti sekarang. Anak-anak boleh dibiarkan buat aktiviti apa pun. Mereka juga tidak mempunyai pilihan sebanyak sekarang. Jadi kami fikir kena kuatkan diri mereka dengan agama terlebih dulu sebelum mendedahkan mereka kepada perkara lain," katanya.

Dengan empat orang adik berada di belakang setiap langkah Muhammad, Ahmad Zahid menjelaskan empat lagi anaknya akan dibentuk menggunakan 'acuan' yang sama.

"Memanglah kosnya lebih tinggi kerana semuanya pun swasta. Tetapi niat kami bukanlah hendak melahirkan seorang ikon, yang kemudiannya lebih takut membuat silap di hadapan audien berbanding keikhlasannya sendiri membaca al-Quran," jelas Ahmad Zahid.

src : kosmo.com.my @ http://shahieda.blogspot.com/

Comments

Menarik..

Menghafaz Al-Quran merupakan salah satu langkah dalam mengembalikan kegemilangan umat Islam.

Teori mudah, sekiranya kita mamput untuk menghafal dan memahami Al-Quran dengan baik, sudah pastinya tidak menjadi masalah untuk memahami perkara2 lain juga.

Sekiranya kita terlibat dalam bidang profesional, tak kirala jurutera, arkitek, it specialist.. sudah pasti kita akan menjadi jurutera yg lebih baik, arkitek yg lebih baik dan seterusnya dari kedua2 aspek, duniawi dan ukhrawi.

Dalam zaman sekarang, contohnya seperti isu Palestin, kita tidak boleh hanya mengharapkan negara2 Arab mahupun badan2 seperti OIC, tetapi sebaliknya kita sebagai individu haruslah memikul tanggungjawab untuk menjadi individu, masyarakat yang lebih baik dari kedua2 aspek sekiranya kita mahu mengembalikan kegemilangan umat Islam.

-sekadar pandangan dari orang awam-

-tips untuk menghafal Al-Quran-

http://kelasquran.blogspot.com/2008/10/kaedah-menghafal-al-quran.html

-tips untuk khatam Al-Quran dalam masa sebulan-

http://kelasquran.blogspot.com/2009/01/khatam-al-quran-dalam-masa-sebulan.html

http://kelasquran.blogspot.com

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT