Cinta di dalam Islam


Di dalam Islam, cinta yang sejati itu adalah cinta yang diserahkan kepada Allah s.w.t dan lelaki atau suami hanyalah jalan untuk isteri memperolehi redha Allah. Cinta suci hanya lahir daripada iman dan taQwa. Hati orang yang bertaQwa adalah untuk Allah dan RasulNya. Hati yang demikian akan melihat akhirat lebih utama daripada dunia. Maka orang yang sedemikian akan mengorbankan dunianya untuk akhirat.

Ditegaskan oleh suatu hadis bahawa orang lelaki jika ada kemampuan, digesa supaya cepat berkahwin. Ini dinyatakan hadis yang diriwayatkan oleh Jama'ah dan Ibnu Mas'ud,bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Wahai pemuda! Jika di antara kamu ada yang mampu kahwin hendaklah ia berkahwin, kerana nanti matanya akan lebih terjaga dan kemaluannya akan lebih terpelihara. Dan apabila ia belum mampu kahwin. Hendaklah ia berpuasa, kerana puasa itu ibarat pengebiri (penahan)."

Mengapa mereka disuruh berkahwin? Kerana dalam al-Quran juga Allah menyebut, manusia secara normal memang Allah jadikan ada nafsu seks terhadap wanita. Fitrahnya memang begitu. Jadi bagaimana kita ingin menafikan hakikat tersebut?"

Firman Allah surah An Nur: 30 yang bermaksud,
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka."

Sementara ayat dari surah An-Nur: 31, seterusnya menegaskan,
"Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka,atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dan orang-orang lelaki yang telah tua dan tiada keinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat wanita dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka."

Bagi para remaja, adalah terlalu bahaya bergaul bebas sesama sendiri antara lelaki dan wanita. Walaupun mereka mengatakan mereka tidak bercinta tetapi mereka juga tertakluk kepada hukum. Seperti seorang perempuan mendakwa,'Orang perempuan memakai tudung kerana dia cantik ingin menutup kecantikannya'. Walau apa pun alasannya, dia tetap termasuk dalam undang-undang kena menutup aurat.

Kemungkinan-kemungkinan hubungan ini akan menjadi sebab fitnah dan menghampiri zina, tidak dinafikan. Mukaddimah zina adalah hubungan akrab antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram. Walaupun pada dasarnya ia tidak mempunyai kecenderungan seks tetapi ia boleh menimbulkan fitnah apabila ada hubungan antara lelaki dan perempuan. Apatah lagi nafsu memang tidak bermata, tidak kenal sifat, usia atau apa pun.

Walaupun kerap dinyatakan di mulut, bahawa hubungan itu tidak ada kecenderungan seks, tetapi Allah lebih mengetahui, bahawa dalam hati manusia memang ada kecenderungan seperti itu.

Walau bagaimanapun, Islam tidaklah begitu keras sehingga menghalang lelaki dan perempuan daripada bersahabat.
"Tidak salah menjadi kawan baik tetapi ada batasannya. Pertama, dari segi aurat harus dijaga. Selain itu, percakapan juga harus dipelihara agar perbualan tidak menjurus ke arah seks. Komunikasi dianggap penting, sebab itu Islam mengingatkan wanita agar merendahkan suara ketika bercakap kerana bimbang perkara sebegini akan terjadi. Juga elakkan jangan sampai ada sentuhan fizikal. Serapat mana pun hubungan tersebut dengan beranggapan lelaki atau perempuan sebagai saudara angkat atau sahabat karib, Islam masih meletakkan batas bahawa mereka tidak boleh bersentuh kulit dan sebagainya tanpa keadaan darurat tertentu.

Wallahu A'lam...

src : http://shidayah.multiply.com/journal/item/62

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT