4ayesha

Daripada ABU HURAIRAH r.a, RasuluLLah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang menyeru (manusia) kepada hidayah, maka baginya pahala sebanyak pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang mengikutnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka." Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab al-'Ilm (2674), Imam Malik dalam Muattha'(2674), Ahmad (9171), Abu Dawud (4609), Turmudzi (2674), ad-Darimi (513), ibnu Majah (206), ibnu Hibban (112), al-Bagahwi (109)

Followers


HIDAYAH selalu diertikan sebagai petunjuk. Dalam solat lima waktu sehari semalam, Muslimin tidak putus-putus memohon dan berdoa kepada Allah agar sentiasa diberi hidayah ke jalan benar dan lurus.

Perkataan ini juga sebenarnya sering dibaca pada majlis doa selamat dan tahlil masyarakat Melayu, cuma persoalan yang perlu diketengahkan sekarang ialah berapa ramai yang benar-benar memahami dan menghayati apa yang mereka baca.

Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud, "Tunjuklah kami jalan yang lurus" (Surah al-Fatihah : 6). Firman-Nya lagi yang bermaksud "Alif, Laam, Miim, Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), Ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa" (Surah al-Baqarah : 1-2).

Dalam ayat seterusnya Allah berfirman maksudnya: "Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya" (Surah al-Baqarah :5).

Dalam ayat di atas, Allah menjelaskan bahawa al-Quran adalah sumber utama petunjuk kehidupan manusia. Untuk mengenali Allah yang membawa kepada kedudukan takwa di sisi-Nya, manusia mesti terlebih dulu dikurniakan hidayah.

Syeikh Abu Bakr al-Jazairi dalam bukunya Akidah Mukmin membahaskan persoalan ini dengan membahagikan hidayah kepada dua bahagian iaitu hidayah akal dan agama.

Hidayah akal bermaksud petunjuk yang Allah berikan dalam bentuk kurniaan akal fikiran baik, waras dan sempurna sehingga dapat membezakan antara baik dengan buruk serta yang hak dengan batil.

Akal sempurna antara jalan yang akan membawa seseorang beriman kepada Allah dan mengetahui keesaan-Nya.

Secara logik, beberapa hukum akal berlaku di bumi. Ada hukum yang mudah diterima dan ditanggapi secara zahir dan ia secara tidak langsung adalah petanda kewujudan Allah.

Melalui konsep sebab dan musabab, apabila sesuatu sifat, jisim dan sebagainya mengalami perubahan, pasti ada sebab mengapa ia berubah dan yang pasti tidak akan berlaku secara semula jadi.

Sebagai contoh, lampu yang asalnya padam tetapi apabila ada yang memetik suisnya, secara logik lampu akan menyala dan ia menunjukkan ada sebab ia menyala. Seperti barang yang dipindahkan dari satu tempat ke tempat lain, tentu ada yang mengubah dan alasan mengapa dipindahkan.

Semua orang berakal pasti meyakini tanpa pertikaian kerana ini tidak bertentangan dengan hukum akal. Zat barang berpindah pasti ada yang mengaturnya dan orang yang memindahkan itu tentu punya alasan kuat kenapa dialihkan.

Justeru, makhluk yang mendiami alam ini pasti ada penciptanya. Ia pasti tidak berlaku secara semula jadi kerana sesuatu yang terjadi tanpa alasan adalah suatu yang tidak munasabah.

Pencipta kereta tidak akan berkata ia sengaja mereka cipta kenderaan itu tanpa sebarang sebab, maka apatah lagi apabila al-Khaliq mencipta makhluk pasti punya sebab dalam penciptaan-Nya.

Sesungguhnya fenomena penciptaan, tujuan penyusunan, penyelarasan setiap kejadian makhluk di muka bumi adalah lambang kekuatan dan kekuasaan Allah.

Selepas dijadikan, alam dan makhluk lain terikat pula kepada konsep patuh mengikut kehendak yang menciptanya. Sebagai makhluk, manusia memikul amanah dan tanggungjawab mentadbir alam mengikut peraturan-Nya.

Sebagai tamsil mudah, jika matahari enggan terbit di sebelah timur, pasti berlaku huru-hara dan bencana, apatah lagi manusia yang dikurniakan akal lebih mudah memahami suruhan dan larangan Allah kerana dianugerahkan hidayah akal.

Petunjuk akal ini memberi gambaran wujud hukum yang memang tidak berlawanan dengan konsep adanya Allah yang mempunyai Asma (nama) yang baik dan mulia, sifat-Nya yang Maha Quddus, justeru akan beriman orang Mukmin kerana anugerah akal yang bersih, waras dan sempurna.

Hidayah agama pula dianggap lebih penting dalam usaha mengenal Allah kerana nur agama dipancarkan ke dalam diri hamba-Nya adalah faktor terbesar yang membawa manusia ke arah beramal dan penyucian diri.

Agama juga boleh memandu seseorang untuk mengubati jiwanya yang resah, fikiran yang berkecamuk, malah nilai agama juga boleh menyucikan diri berbanding anugerah akal semata-mata.

Tindakan ini yang membezakan antara pendekatan Islam dan Barat kerana pendukung fahaman sekular berpandangan, berfungsi atau tidaknya seseorang manusia bergantung kepada otak atau akal, sedang Islam melihat dalam bentuk lebih luas bukan sekadar akal semata-mata tetapi hati sebagai punca hidayah yang dianugerahkan Allah menjadi sebagai raja penentu baik atau rosaknya keseluruhan diri manusia.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud "Sesungguhnya dalam jasad manusia itu ada seketul daging, jika baik daging itu itu maka baiklah keseluruhan jasad dan jika buruk, maka buruklah jasad keseluruhannya, ingatlah bahawa daging itulah hati".

Seruan beragama untuk mengenal dan melaksanakan ajaran Allah, seruan mentauhidkan-Nya, menjauhi kerosakan, membuang unsur syirik, suruhan melakukan makruf dan meninggalkan perkara mungkar adalah antara inti pati penting penyebaran dakwah yang dibawa oleh sekalian Rasul kepada kaumnya.

src : BH + http://blogsagasama.blogspot.com/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Contributors

 **Note:

For those who wants to use or spread contents in this blog, please proceed without my permission. Shukran Jazilan.

Blog Archive

geocounter

Doa Qunut Nazilah

“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

BlogTopSites