Menyingkap Tsunami Melalui Pengajaran Sifat 20



oleh:
Abdullah Zaidi Hassan

Peristiwa 26 Disember yang lalu merupakan suatu kejadian alam yang seakan memudarkan tahap kemusnahan yang berlaku pada peristiwa 11 September di New York atau akibat bom atom yang digugurkan di Jepun dulu. Sehebat manapun pekerjaan manusia, ianya tiada terbanding dengan penzahiran dari sifat Qudrat Pencipta. Kesedaran ini sepatutnya membimbing manusia supaya lebih bimbang kepada kemurkaan Pencipta daripada kemarahan kuasa-kuasa besar di dunia. Kesedaran ini membawa manusia supaya mengutamakan keredaan Pencipta daripada keredaan kuasa-kuasa besar di dunia.

Kemusnahan yang ‘partial’ ini mengingatkan kita kepada kemusnahan yang ‘absolute’ yang akan berlaku menjelang hari Qiyamat nanti. Gegaran bumi pada bacaan sembilan skala Ritcher adalah sebahagian bayangan kepada kedahsyatan yang akan berlaku pada gempa yang hebat itu. Kita sebagai muslim, menilai seluruh peristiwa yang berlaku dengan ungkapan kesedaran “ Wahai Tuhan, tiadalah Engkau jadikan perkara ini begitu sahaja, Maha Suci Engkau, maka selamatkan kami daripada siksaan neraka”. Apa sahaja peristiwa yang berlaku memungkinkan kita terjerumus kedalam neraka, seumpama apabila berlaku tsunami ini, terdapat golongan yang cuba memperdaya manusia lain agar jangan dikaitkan peristiwa ini dengan Pencipta alam dan dengan pengajaran-pengajaran agama. Mereka bersungguh-sungguh mahu manusia lain memahami peristiwa ini pada huraian peringkat fizikal semata-mata , tanpa melihat kepada pemahaman pada peringkat-peringkat yang lainnya.

Muslim dengan pegangan agama yang mencorak paradigm-nya sudah tentu melihat peristiwa dahsyat ini melalui ‘kanta’ aqidahnya. Seumpamanya melalui kanta kefahaman yang dijelaskan di dalam perbincangan aqidah mengikut huraian sifat 20. Huraian ini mengajar kita untuk melihat peristiwa tsunami ini pada tiga peringkat pemahaman.

Peringkat I: Allah tiada Tuhan selain-Nya, bersifat dengan Qudrat dan Iradat. (Perbincangan Hukum Aqal)

Allah melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Tiada yang berlaku di luar kehendak Allah, maha suci Allah daripada mengadakan atau meniadakan sesuatu kerana digagahi oleh yang lain, atau kerana lalai atau terlupa, atau memerlukan ‘illat (penyebab) atau terikat pada tabiat sesuatu itu. Allah memiliki Qudrat dan Iradat yang mutlak, kita sebagai hamba-Nya wajib beriman bahawa Allah mengadakan sesuatu atau meniadakan sesuatu dengan hikmah yang diketahui-Nya, mungkin sahaja hikmah itu diluar kemampuan kita untuk memahaminya. Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dia(Allah) tidak disoal tentang apa yang diperbuat-Nya, dan mereka (manusia) yang akan dipersoalkan tentang perbuatan-perbuatan mereka”. [al-anbiya:23].

Keyakinan sebegini akan membuatkan kita tidak perlu mempersoalkan, sebagai contoh, kenapa tsunami berlaku di kawasan yang di diami oleh penduduk Islam sedangkan kawasan-kawasan lain yang selamat pula mempunyai penduduknya melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Kita yakin bahawa Qudrat dan Iradat-Nya boleh mengadakan dan meniadakan semua yang mungkin.

Peringkat II. Kita sebagai hamba Allah

(Perbincangan Hukum syara)

Kita sebagai hamba kepada Allah dituntut oleh syara supaya melakukan amalan-amalan tertentu berdasarkan masa, tempat dan keadaan. Syara ada menentukan bentuk amalan yang perlu dilakukan apabila kita ditimpa bencana termasuklah gempa-bumi, syara juga menganjurkan kesedaran kerohanian yang perlu dibentuk ketika kita berhadapan dengan bencana. Di antara tulisan ulama yang mengupas tajuk gempa-bumi secara khusus ialah tulisan Imam Sayuti “Kasyafu al-Solsolati ‘ani wasfi al-Zilzalah”. Kita juga akan mendapat sebutan tentang gempa-bumi pada perbincangan berkenaan tanda-tanda menjelangnya Qiyamat.

Ulama menafsirkan ayat 41 Surah Rum yang bermaksud: “Telah timbul kerosakan di daratan dan di lautan kerana apa yang dikerjakan oleh tangan manusia, supaya dirasakan oleh mereka itu sebahagian daripada akibat dari apa mereka kerjakan, semoga dengan itu mereka kembali (patuh kepada Allah)” dengan antara lain bermaksud Allah membiarkan bencana, temasuk gempa bumi, berlaku apabila manusia melakukan maksiat, serta dihilangkan keberkatan pada bumi tersebut. Apabila manusia mentaati Allah, Allah akan menurunkan keberkatan seumpama yang diisyaratkan di dalam Hadith Abu Daud yang bermaksud: “Suatu hukum hudud yang didirikan di bumi lebih dikasihi (kerana manafaatnya) oleh penduduknya daripada ditimpa hujan 40 pagi”. Hal ini disebabkan apabila hukum agama dilaksana dengan sebenarnya, ia dapat mencegah kebanyakan manusia daripada perkara yang diharamkan, Apabila maksiat ditinggalkan, ianya menjadi sebab terhasilnya berkat daripada langit dan bumi (lihat Asasu fi as-Sunnah wa fiqhiha – Al ‘Aqaidu al-Islamiyyah jilid 2.m/s:1034-1036 ).

Imam Sayuti menyebut yang ulama tafsir menghikayatkan gempa-bumi yang pertama dialami manusia ialah apabila Qabil membunuh saudaranya Habil, bumi telah bergegar selama tujuh hari. Hari ini kita berkebetulan melihat daerah yang kuat dilanda tsunami adalah negeri-negeri yang bergolak dengan perang sesama sendiri seperti Acheh, Selatan Thailand, Sri Langka sehingga ke Somalia di Afrika. Imam ini juga memperingatkan kita yang peristiwa gempa bumi merupakan merupakan peringatan amaran dari Allah SWT kepada hamba-Nya ketika mereka terlibat dengan kemungkaran dan ianya juga merupakan tanda-tanda Qiyamat.

Imam ini juga mendatangkan sebuah athar yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya dan al-Hakim:

Saiyyidina Anas telah mengunjungi Saiyyidatina Aisyah , dan di dalam majlis itu telah bertanya seorang lelaki: “wahai Ummu al-Mukminin, ceritakan kepada kami tentang gempa bumi”. Beliau berkata: “apabila perempuan menanggalkan pakaiannya di tempat selain daripada rumah suaminya, terkoyaklah apa yang antaranya dan antara Allah daripada hijab (pendinding daripada azab), apabila perempuan memakai bau-bauan bukan untuk suaminya, baginya neraka dan kehinaan, dan apabila dihalalkan zina, dan meminum arak dan memukul alat muzik, maka menjadikan Allah yang di langit-Nya berfirman kepada bumi “ gegarkan mereka” sekiranya mereka tidak bertaubat dan meninggalkan maksiat, mereka akan dibinasakan dengannya oleh Allah. Maka bertanya Anas: “Apakah itu hukuman terhadap mereka (penduduk yang ditimpa gempa-bumi)?. Aisyhah menjawab: ianya rahmat, keberkatan dan peringatan kepada orang mukmin. Serta ianya siksaan, kemurkaan dan azab ke atas orang kafir”.

Imam ini juga mendatangkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi:

Apabila faie’ diambil berdasarkan golongan, dan amanah sebagai harta rampasan, zakat sebagai hutang, belajar bukan kerana agama, apabila lelaki taat kepada isterinya serta durhaka kepada ibunya, seseoarng itu akrab dengan kawan-kawannya serta berjauhan daripada ayahnya, suara ditinggikan di masjid-masjid, yang menjadi pemimpin bagi sesuatu kabilah yang paling fasiq antara mereka, menjadi pemimpin sesuatu kaum yang terhina di antara mereka, penghormatan kepada seseorang kerana takutkan kejahatannya , munculnya penyanyi-penyayi dari hamba perempuan dan alat-alat muzik, meminum arak, orang terkemudian dari ummat ini menghina yang golongan yang sebelum mereka , maka bersedialah ketika itu dengan kedatangan angin merah, dan gempa-bumi, dan bumi tenggelam (cave-in), dan manusia bertukar kepada binatang…

Imam ini juga mendatangkan perkataan ‘Ata al-Khurasani :

Apabila terdapat lima perkara berlakulah lima perkara. Apabila memakan riba, maka berlakulah bumi tenggelam dan gempa-bumi. Apabila zalimnya pemerentah, maka tertahanlah hujan, apabila meluasnya zina, maka banyaklah kematian, apabila ditahan pembayaran zakat, binasalah mata pencarian, dan apabila dikhianati ahli zimmah maka runtuhlah kerajaan.

Ketika berlakunya gerhana matahari pada hari kewafatan anak baginda, Ibrahim, Rasulullah SAW telah bersabda tentang sikap yang perlu ada pada muslim di dalam berhadapan dengan peristiwa gerhana. Sikap itu jugalah yang perlu ada ketika berlaku gempa-bumi :

Sesungguhnya matahari dan bulan tidak gerhana keduanya kerana kematian seseorang, tetapi keduanya merupakan dua ayat dari ayat-ayat Allah (dari tanda kebesaran Allah), kembali (rujuk mencari reda-Nya) dengan peristiwa keduanya (kejadian gerhana) oleh hamba-hamba-Nya. Supaya dilihat siapa yang takut kepada-Nya dan siapa yang mengingati-Nya

Untuk menghampiri kepada faham, kita umpamakan kita berada di dalam majlis raja. Walaupun raja setakat berdehem ketika kita sedang bercakap atau kita sedang melakukan sesuatu, kita akan segera bertanyakan diri kita “adakah raja berdehem itu sebagai isyarat untuk menegur kita, mungkin kerana kita tersalah cakap atau tersalah laku di dalam majlis baginda”. Raja itu mungkin berdehem kerana tengkuknya parau atau lain-lain sebab, tetapi kita sebagai orang bawahan sentiasa bersikap berhati-hati dan berwaspada terhadap setiap reaksi daripada baginda. Sudah tentu tiada bandingan kebesaran dan kekuasaan seorang raja di dunia ini apabila dikira dengan kebesaran dan kekuasaan Allah, Tuhan sekelian alam, maka adab yang dituntut daripada hamba kepada Tuhannya tentulah lebih halus dan lebih cermat .

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan tiada Kami utuskan ayat-ayat (tanda kebesaran ) melainkan untuk menakutkan (hamba-hamba Kami agar mereka kembali taat) (Isra : 59)

Allah kemudiannya mengingatkan kita dengan sikap buruk golongan yang tidak mahu belajar dan insaf dengan peringatan Allah:

Dan Kami menakutkan mereka (dengan pohon zaqqum dan lain-lain azab), tetapi tidak menambah kepada mereka kecuali pendurhakaan yang besar semata-mata (Isra:60)

Amalan yang dianjurkan ketika gempa bumi.

1-Sembahyang

Imam Sayuti juga menulis yang Imam as-Syafie’ telah mengeluarkan riwayat di dalam kitabnya al-Umm dan juga dikeluarkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam kitab sunan-nya yang Sayyidina Ali bin Abi Talib telah sembahyang sunnat gempa-bumi sebanyak 6 kali ruku dan 4 kali sujud, begitu juga athar sahih yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah yang menyatakan bahawa sesungguhnya Ibnu Abbas bersembahyang ketika belaku gempa bumi sebanyak kali 4 sujud dan 6 kali ruku. Imam Nawawi telah mengikut Imam Syafie dengan mengatakan sembahyang ini dilakukan secara perseorangan dan bukan secara berjamaah. Dan ianya dilakukan apabila berlaku gempa bumi walaupun di waktu ditegahkan sembahyang untuk sembahyang lainnya.

2-Bersegera ke masjid

Telah dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah : manusia telah kelam-kabut ketakutan ketika berlaku gerhana matahari atau bulan atau seuatu bencana, maka berkatalah Sya’bi: “hendaklah kamu ke masjid , maka sesungguh yang demikian itu daripada sunnah”

3-Membaca istighfar.

Istighfar bagi Saiyyidina Adam

“Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami,sekiranya Engkau tidak mengampuni kami dan merahmati kami, niscaya jadilah kami daripada golongan yang rugi”.

Istighfar bagi Sayyyidina Nuh :

“Dan sekiranya, Engkau tiada ampuni bagi ku dan mengasihaniku , maka aku daripada golongan yang rugi”

Istighfar bagi Sayyidina Musa:

Wahai Tuhan, aku telah menzalimi diriku, maka ampunilah aku

Istighfar Nabi Yunus:

“Tiada tuhan selain Engkau, Maha suci Engkau, sesungguhnya aku telah termasuk golongan yang zalim”.

4- Membuat kebajikan

Ketika berlakunya gempa-bumi disuruh bersedeqah sebagai qiyas kepada amalan yang disuruh ketika berlaku gerhana, membanyakkan tasbih kerana ia dapat melindung daripada azab sebagaimana ketika diserang wabak taun, membanyakkan takbir sebagaimana ketika berlaku kebakaran, membanyakkan berselawat ke atas Nabi SAW, kerana ianya pelindung daripada segala bala, yang dapat menolak segala kejahatan, ianya mendatang kebajikan bagi urusan dunia dan akhirat.

Peringkat III. Sebab-sebab fizikal berlakunya gempa-bumi & tsunami

(Perbincangan Hukum Adat)

Kita diajar untuk memahami dan menerima sebab-sebab fizikal yang mengakibatkan berlakunya sesuatu kejadian, di dalam perbincangan sifat 20, ianya disebut sebagai hukum adat..Hukum adat ditakrifkan sebagai “ketetapan yang kita terima bahawa terdapatnya hubungan di antara sesuatu perkara dengan suatu perkara lain semada dalam menentukan ada atau tiadanya perkara itu, dan penerimaan ini berdasarkan pemerhatian yang hubungan tersebut berlaku secara berulang-ulang, hukum ini diterima walaupun ada keadaannya perkara tersebut tidak semestinya memberi kesan kepada yang satu lagi”

Kenyataan hukum adat ini mempunyai wajah yang sangat saintifik, ianya meliputi menentukan kebenaran sesuatu itu kerana sesuatu fenomena itu berlaku secara berulang-ulang, contohnya air beku pada suhu 0 centigrade dan mendidih pada suhu 100 centigrade, yakni diterima hubungan suhu tertentu dengan sifat beku dan mendidihnya air. Juga diterima terdapat pengekecualian kepada ketetapan itu misalnya tabiat air itu akan sedikit berubah apabila berada di kawasan tanah tinggi yang tekanannya rendah atau ditambah garam kepadanya.

Pada peringkat perbincangan hukum adat ini, kita mengkaji dan boleh menerima kajian orang lain tentang sebab-sebab fizikal berlakunya gempa-bumi yang berpusat di pantai barat Sumatra itu. Kita dapat menerima penerangan yang menjelaskan pergerakan tectonic, kepingan India (Indian Plate) bergerak ke arah timur laut pada kadar 61mm/setahun, lebih kurang kadar pertumbuhan kuku jari tangan kita. Kepingan India ini menyelip masuk ke bawah Kepingan Burma bermula di ‘Sunda Trench’, Apabila terbentuk tekanan yang tinggi pada gerakan kepingan ini, ianya mengakibatkan berlakunya `thrust-faulting’ pada permukaan pertemuan dua kepingan ini, thrust faulting ini mengakibatkan berlaku slip faulting yang selari dengan Sunda Trench dan strike-slip faulting yang setentang (perpendicular) dengan Sunda Trench. Secara keseluruhan, sempadan kepingan tectonic sepanjang 1200km telah mengelunsur (slip), yang mengakibatkan gerakan vertikal setinggi 15 m. Ini menyebabkan permukaan laut di kawasan yang terbabit melonjak naik beberapa meter. Pergerakan permukaan dasar laut inilah pula yang menyebabkan berlakunya tsunami.

Walaupun teori gerakan tectonic banyak membantu kita memahami sebab-sebab berlakunya gempa bumi dan kegiatan gunung berapi tetapi ahli sains masih mencari mekanisma yang lain untuk menerangkan gempa-bumi yang pernah berlaku di New Madrid, Missouri pada tahun 1881-1882 dan di Charleston, South Carolina pada tahun 1886.

Akhir kalam

Kita perlu menilai bumi kita ini melalui perspektif sains conventional dan yang tidak conventional . kita perlu menimbang pendekatan yang disebut Fritjof Chapra di dalam bukunya ‘The Turning Point’ atau oleh Simon Winchester, pengarang Krakatoa:The Day the World Exploded, August 27,1883’ di dalam artikelnya The Year The Earth Fought Back yang disiarkan akhbar The New York Times pada 29 /12/2004. Alam perlu juga dilihat sebagai organisma yang elemen-elemennya berinteraksi sesama sendiri dan bumi bukannya semata-mata menerima apa sahaja yang dilakukan di atas permukaannya.

Aktiviti manusia mungkin menambah parah kesan yang dialami akibat tsunami, banyak hutan-hutan persisiran pantai, termasuk hutan bakau, telah ditebang serta dibina banyak penempatan untuk tujuan perlacongan dan rekrasi di gigi-gigi pantai. Semua ini mendedahkan lebih ramai manusia kepada ancaman tsunami. Kita perlu menimbang semula kewajaran projek yang dirancang atau yang sedang dibangunkan sekiranya ia bersifat janggal dengan susun atur alam itu sendiri seumpama pembinaan bandar di tengah-tengah sebuah sungai. Kita perlu membangunan dengan mengambil kira penyesuaiannya dengan elemen alam di situ dan bukan dengan sikap mahu menundukkan elemen-elemen alam dengan memaksa sesuatu projek di sesuatu tempat tanpa kewajaran. Kita perlu menyesuaikan diri dengan alam sekitar dan bukannya alam sekitar perlu menyesuaikan keadaannya dengan kemahuan kita.

Kita melihat bagaimana masyarakat seluruh dunia tidak dapat bertindak secara efektif tatkala berdepan dengan fenomena alam yang dahsyat ini. Kita tidak dapat membaca isyarat-isyarat awal yang menandakan kedatangan gempa ini walaupun terdapat pusat-pusat pemerhatian gempa bumi dan satelit yang sangat canggih di negara-negara maju seperti di Jepun, Australia dan Amerika.Sebuah artikel di dalam The New York Times pada 31 Disember 2004 “How Scientists and Victims Watched Helplessly” mengambarkan sebahagian keterbatasan pengetahuan dan tindakan manusia apabila berdepan dengan bencana ini.

Kita membaca berita yang melapurkan bahawa ikan-ikan telah berkelakuan ganjil di perairan pantai barat Semenanjung dua-tiga hari sebelum peristiwa ini berlaku. Manusia juga tahu binatang-binatang yang tinggal di dalam lubang bawah tanah akan keluar daripada lubang mereka sebelum berlaku gempa-bumi. Hal ini menunjukkan bahawa sebahagian binatang mempunyai deria yang tidak dimiliki oleh manusia. Inilah sebahagian daripada penzahiran kuasa Allah, dan ianya menambahkan keyakinan kita kepada kebenaran khabar-khabar tentang alam ghaib yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, umpama soalan malaikat di dalam kubur yang dikhabarkan dapat didengar oleh binatang ternakan tetapi terlindung daripada pendengaran manusia dan jin.

Akhirnya kita perlu sedar yang kita sebenarnya idak selamat daripada bala Allah walaupun di mana kita berada, ujian boleh datang di dalam bentuk yang berbeza. Allah memperingatkan kita dengan firman-Nya yang bermaksud:Adakah kamu merasa aman dari Allah yang (kekuasaan-Nya) di langit daripada menenggelamkan bumi bersama kamu, sehingga tiba-tiba bumi bergoncang atau adakah kamu merasa aman daripada Allah yang (kekuasaan-Nya) di langit menghantarkan ke atas kamu angin kencang yang mengandungi batu, maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana peringatan (Azab)-Ku” (al-Mulk 16-17).

Marilah kita kembali mengerjakan dan mendakwah amalan kebajikan yang batin serta zahirnya pada peringkat dalaman dan luaran diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Semoga kita akan kembali kepada-Nya dengan hati yang sejahtera.

Wallahu ‘alam

Abdullah Zaidi Hassan
Depan Masjid Salor
21 Dzu al-Qaidah 1425.

src : http://www.geocities.com/traditionalislam/menyingkap_tsunami_melalui_sifat20.htm

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT