Teliti dalam Memberi & Menerima Khabar


More RELIGIOUS & ADVICE graphics

(sebagai respon kepada tabloid, majalah dan mailing list yang menyebarkan cerita mistik dan tahyul)

Oleh : Ahmad Faidhi Mohd Zaini, Islamic Renaissance Front (IRF)

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, Maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

(al-Hujurat, 6)

“Sampaikan dariku walau satu ayat, dan ceritalah daripada Bani Israil tapi jangan pegang (percaya sepenuhnya). Dan barangsiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka bersedialah tempat duduknya dari api neraka.”

(al-Bukhari, No. 3227 JK)

“Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta, apabila dia bercerita akan segala perkara yang dia telah dengari”

(Muslim, No. 6 JK)

Islam, agama mempunyai rekod perkembangan lebih 1420 tahun, adalah agama yang menyeru umatnya amanah, jujur dan bertanggungjawab dalam segala amalan dan ilmu yang disampaikan. Ini penting dalam menjaga kesinambungan agama ini kepada semua insan di dunia.

Untuk itu, Ar-Rasul s.a.w menggalakkan umatnya menyampaikan kebaikan ke segenap penjuru dunia, bahkan diganjari pahala lagi. Dengan teknologi hari ini, ianya lebih mudah dan tidak mustahil. Namun, dalam keghairahan kita menyampaikan, Islam menyuruh kita cermat dan berhati-hati dalam menyebarkan khabar dakwah ini.

Kaedah Menyampaikan


Al-Quran dan Hadith di atas menyuruh kita berwaspada dalam hal ini. Ya, kita mahu ilmu Islam disebarkan, namun kita mahu yang disebarkan itu tepat lagi sahih menurut ajaran Islam, supaya orang lain tidak menerima maklumat yang salah tentang agama. Maka, nas di atas menunjukkan betapa pentingnya mana-mana individu yang menerima berita tertentu agar meneliti dan menyelidik dahulu sumbernya sebelum diamalkan dan disampaikan kepada yang lain. Kita perlu bijak menilai apa yang diterima dan bertanggungjawab dalam menyampaikan. Tanggungjawab itu lebih rumit andai kita tersilap informasi sehingga menyesatkan sebilangan yang lain. Na`uzubiLLAH.

Dalam menyampaikan intipati agama ini, sudah pasti kalam ALLAH dan Rasul-NYA menjadi rujukan utama, kerana atas kedua-dua sumber inilah agama ini kekal manjadi anutan sampai sekarang. Adapun pengalaman keruhanian orang perseorangan seperti pengalaman, mimpi dan ilham, andai benar sekalipun, cukuplah ia menjadi tarbiyah ruhani kepada diri sendiri. Jika disampaikan, tidaklah ia boleh menjadi nas atau dalil baru untuk orang lain mengamalkan hal tersebut. Jika begitu, maka huru haralah agama ini dengan pelbagai syariat baru berdasarkan cerita orang semata-mata.

Sesungguhnya Islam dibina atas nas wahyu al-Quran yang turun dan petunjuk as-Sunnah melalui Nabinya dengan jelas. Bukan dasar agama ini bersandar atas cerita pengalaman atau mimpi seseorang. Lantaran itu seruan kepada agama ini, sama ada menggalakkan orang berbuat baik (targhib) mahupun mengancam dari berbuat maksiat (tarhib) perlulah disandarkan kepada sumber al-Quran dan al-Hadith yang agung kesahihannya, bukannya momokon cerita murahan melalui tabloid atau majalah hiburan di kaki lima .

Masyarakat Malaysia telah pun lebih 50 tahun merdeka, dan makin diiktiraf kematangannya. Generasi muda (sekarang dikenali sebagai generasi Y) makin kritis pemikirannya dengan sumber informasi di lautan internet. Jika orang dulu yang melalui jalan gelap tanpa lampu boleh silap anggap kain putih sebagai pocong dan bunyi anjing sebagai suara dari kubur, namun tidak lagi di zaman ini tatkala seluruh bandar yang malamnya terang bagai siang. Jika dahulu orang hanya bergantung kepada tabloid Utusan di kedai kopi atau ceramah khatib untuk maklumat yang terhad, tapi sekarang pelbagai sumber, pandangan dan hujah dari segenap pelusuk dunia sampai ke bilik tidur hanya dengan beberapa klik.

Prinsip Sumber Agama


Kemurnian agama ini juga terletak pada fakta dan angka (facts and figure) untuk difahami dan diikuti dengan mudah dan logik. Bukannya syok sendiri mengikut rasa hati dan syak wasangka segelintir manusia, walau apapun kedudukannnya dalam institusi agama. Sesungguhnya generasi cerdik pandai dan professional hari ini akan bertanyakan bukti dan hujah sebelum beramal dengan yakin. Menerima dan mengikut membuta tuli bukanlah nature didikan mereka terutamanya bagi mereka yang berada di bidang sains. Kapasiti minda dan kemampuan intelek akan membawa mereka meneliti, menganalisis dan menyelidik pelbagai hal yang dikemukan termasuk dalil dan cerita agama.

Justeru, agama perlu dibebaskan daripada sebarang bentuk cerita dan hujah yang bersifat mistik dan tahyul. Cukuplah cerita sebegini membawa generasi terdahulu kepada kepercayaan karut marut, khurafat mahupun syirik. Kita juga tidak mahu cerita sebegini menyebabkan generasi kritis hari ini memperlekeh dan mempersenda agama kerana perkara ini. Lantas mereka akan menjauhi agama kerana menganggap agama itu lapuk atau dongengan semata, dan tidak dapat mengikuti keintelektualan mereka dan kemodenan dunia.

Apatah lagi, cerita karut ini akan memberi persepsi negatif dan menakutkan non-Muslim tanpa sebab. Nanti fikir mereka, “Aiya ! Kalu masuk Islam tak semayang, mati jadi babi ka? Kalu masuk Islam tak hormat papa mama, kena sumpah jadi monyet ke? Kalu main golf waktu azan, hantu kacau ke? Kalu manyak salah, nanti accident dan koma, terus kena bakar dalam neraka hidup-hidup. Aiyoyo, tak jadi Islam lagi baik woo!!”. Apakah Islam sebegini yang ingin kita gambarkan?

Konklusi


Oleh itu, warga media dan individu akan dipertanggungjawabk an atas segala perkara yang mereka sampaikan sama ada benar atau salah. Mereka juga bertanggungjawab jika menyesatkan, meracuni dan memandulkan fikiran orang lain. Jadi sebaik-baiknya kita hindarkan hal ini, seterusnya fikir, semak dan tanya kepada yang ahli sebelum bertindak. Jika terdapat pihak lain menyampaikannya, maka peranan kita jugalah untuk menerangkannya. Menjaga kemurnian agama daripada anasir karut adalah lebih utama daripada menyampaikan perkara yang disangka baik tapi tidak benar.

Maka, sempena Ramadhan yang mulia ini, bersama kita sucikan hati dan minda dari pemahaman melalui cerita yang kurang relevan dan rasional ini. Bersamalah kita tonjolkan Islam yang agung, penuh rahmah, syumul, ‘alamiyah dan rasional dengan bersandarkan dalil sahih al-Quran dan as-Sunnah demi kebaikan semua.

* Versi dengan matan Arab boleh didapati di http://abulharith. wordpress. com/2008/ 09/18/khabar- pelik-tapi- benar/

* JK – Software Hadith Jawami’ul Kalim

src : abumeow at yahoogroups.com

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT