Memikirkan Rasulullah Yang Selalu Tidak Makan...


More RAMADHAN graphics

Oleh : Dinsman

Kira-kira lima tahun lalu saya bersama Nasir Jani membuat sebuah
dokumentari video mengenai "Puasa Ramadan di Malaysia". Hari ini saya
tiba-tiba teringat - bukan kepada VCD yang sudah siap itu, tetapi
kepada satu masalah besar waktu membuat penggambaran untuk mengumpul
bahan dokumentari itu.

Apa masalahnya? Masalahnya ialah kebanyakan bahan visual yang dapat
kami kumpulkan rupa-rupanya adalah mengenai peristiwa orang makan.
Sedangkan dokumentari itu mengenai orang Malaysia menahan diri tidak
makan di siang hari sepanjang bulan Ramadhan. Dia jadi terbalik. Songsang.

Tetapi memang pun banyak peristiwa makan. Betul, orang Islam dewasa
tidak makan di siang hari. Tetapi menjelang petang terdapat satu
kesibukan orang hendak membeli makanan, yang luar biasa sibuknya, di
mana-mana, di seluruh negara. Pasar atau bazar Ramadan tiba-tiba
muncul di sana sini. Hal yang tidak pernah terjadi di luar bulan
Ramadan. Ia suatu pesta makanan yang paling besar di dunia.

Mengapa ia terjadi songsang begitu? Tentulah bukan begitu yang
diajarkan Nabi.

Itulah persoalan saya lima tahun lalu, dan masih menjadi persoalan
hingga kini. Bahkan ia berkembang lagi, apabila fikiran saya
tersangkut pada cerita-cerita Nabi Muhammad s.a.w. yang dikisahkan
selalu mengalami lapar, perut kosong kerana tidak makan, hingga ada
waktunya terpaksa perutnya diikat dengan batu.

Sukar hendak saya bayangkan bagaimana perut kosong yang perlu dibantu
supaya tidak terasa terlalu pedih kelaparan, dengan mengikatkan
ketul-ketul batu pada perut itu. Tak boleh. Saya gagal
merasionalkannya. Tidakkah perbuatan itu akan menimbulkan rasa sakit
pula di perut itu kerana adanya batu-batu yang diikat padanya?

Saya kebetulan sedang membaca beberapa buah buku yang di dalamnya
terdapat cerita-cerita berkenaan. Misaalnya buku "Muhammad s.a.w.
Insan Teladan Sepanjang Zaman" hasil karya Tok Guru Dato' Nik Abdul
Aziz Nik Mat, yang baru diterbitkan oleh Anbakri Publika.

Antara lain digambarkan sewaktu membuat persiapan Perang al-Ahzab,
Rasulullah turut bersama-sama dengan para sahabat, memerah keringat
menggali parit untuk benteng pertahanan. "Baginda turut memunggah
tanah dan batu-batu yang berat, menyebabkan seluruh fizikal merasai
sakit, terasa pedih hingga ke pangkal hati."

"Untuk mengurangkan kepedihan akibat rasa lapar, Rasulullah s.a.w.
mengambil beberapa ketul batu, kemudian dibalut dengan kain dan
mengikat ketat pada perutnya. Baginda berbuat begitu selain untuk
mengurangkan rasa lapar, juga untuk mengelakkan daripada kecederaan
akibat bekerja berat dalam keadaan perut kosong." (ms 45)

Dan bayangkanlah. Walaupun terpaksa menahan lapar, Nabi dan para
sahabat bekerja menggali parit itu dalam keadaan gembira dan
bersemangat. Kata Nik Aziz, "Ketika menggali parit, para sahabat
bersajak dan bersyair untuk membangkitkan semangat juang. Rasulullah
s.a.w. juga turut bernasyid bersama-sama mereka." (ms 34)

Kemudian ketika membaca buku Meraih Ampunan Allah (terjemahan)
karangan Jamilah al-Mashri (2004, Jakarta), terdapat pula cerita yang
diriwayatkan Imam Ahmad dan Tabrani, bahawa pada suatu hari Fatimah
(r.a) memberikan sekeping roti kepada ayahnya Muhammad s.a.w. Nabi
mengambil dan berkata: "Ini adalah makanan pertama yang dimakan ayahmu
sejak tiga hari yang lalu."

Bayangkan Rasulullah tiga hari tak makan! Kemudian ada pula riwayat
bahawa Abu Hurairah berkata, "Aku menemui Nabi s.a.w. ketika baginda
sedang solat sambil duduk, lalu aku bertanya: 'Wahai Rasulullah, aku
melihatmu solat dalam keadaan duduk. Apa yang menimpamu?' Baginda
menjawab: 'Lapar, wahai Abu Hurairah'." (ms 230)

Dan ada beberapa peristiwa lagi dari sirah Rasulullah, yang melekat
dalam fikiran saya, menyebabkan saya berfikir - alangkah berbezanya,
dan jauhnya perbezaan antara corak hidup kita hari ini dengan corak
hidup Rasulullah dan para sahabat di zaman itu.

Tentulah itu bukan cerita kedaifan. Nabi Muhammad mempunyai segala
peluang untuk menjadi orang terkaya di zaman itu, sekiranya dia
memilih untuk menjadi kaya. Dia sendiri sejak muda telah terkenal
dengan bakat berniaganya, hingga tokoh korporat zaman itu, Khadijah,
mengamanahkan perniagaan kepadanya.

Para sahabat seperti Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf adalah
orang-orang kaya yang banyak harta, dan sentiasa mahu menyumbang.
Kemudian hasil rampasan perang pun, mengikut Jamilah al-Mashri, boleh
memberikan kekayaan kepada Nabi sekiranya baginda mahu mengambil
bahagiannya.

Katanya, "Seandainya Rasul s.a.w. mau menegumpulkan harta, nescaya
baginda menjadi manusia terkaya. Seperlima harta rampasan dari Perang
Hunain saja sudah mencapai 8,000 ekor kambing, 4,800 unta, 8,000 auns
perak serta 1,200 tawanan." (ms 138)

Mengisahkan seorang sahabat yang juga mengalami lapar, Nik Aziz di
dalam bukunya mencatatkan: "Abu Hurairah r.a, berkata: Bahawa pada
suatu ketika aku rebah ke tanah kerana terlalu lapar. Orang yang
melihat aku tergeletak di tanah mengatakan aku terkena penyakit sawan.
Sebenarnya aku tidak terkena penyakit sawan, tetapi aku rebah kerana
terlalu lapar.

Tiba-tiba ada sahabat memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w. menyuruh
aku pergi ke rumahnya. Menerima jemputan itu tiba-tiba tubuh aku
menjadi segar, kerana lazimnya jika Rasulullah saw menjemput kami ke
rumahnya bererti ada makanan yang hendak dihidangkan kepada kami." (ms 35)

Membaca sirah Rasulullah dan para sahabat berulangkali dari pelbagai
sudut, saya bukan saja merasai perbezaan corak hidup mereka yang
ketara itu, tetapi juga merasai beberapa pertanyaan yang mendesak,
memerlukan pemahaman yang lebih rasional dan wajar.

Misalnya, dua tahun lalu saya pernah mengutip idea dan pemikiran Abul
Hasan Ali An-Nadwi dari bukunya Pertentangan Iman dengan Materialisma,
untuk dialog drama pentas saya yang berjudul "Tamu Dari Medan Perang".

Dalam drama tersebut watak Mufti membacakan sebuah hadis, begini:
"Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, daripada Umar
ibnul Khattab, katanya: Pada suatu hari saya masuk menemui Rasulullah
s.a.w. di rumahnya, baginda sedang berbaring di atas pasir. Baginda
tidak menggunakan sebarang alas bagi mengalaskan antara tubuhnya
dengan pasir. Kesan-kesan pasir kelihatan jelas di bahagian rusuknya.

"Begitulah Rasulullah s.a.w. Bukan baginda tidak mampu. Kalau baginda
mahu, bukan baginda tidak mampu untuk mengadakan lantai yang beralas
atau membina rumah yang besar dan mewah sekalipun. Baginda mampu
mengadakan semua itu, kalaulah itu yang baginda pilih. Tetapi baginda
tidak memilih yang itu."

Meneruskan pemikiran itu di hari-hari Ramadan al-mubarak, saya jadi
bertambah yakin bahawa corak hidup kita sudah jauh terpesong dari
landasan yang ditunjukkan Nabi. Jauh betul terpesongnya. Dan
rupa-rupanya inilah yang selalu ditekankan Tok Guru Nik Aziz dalam
kuliah-kuliah dan juga dalam kepimpinannya.

Tepat sekalilah beliau bertanya Ketua Audit Negara yang menegur
jabatan dan agensi kerajaan Kelantan "tidak menunjukkan kemajuan
ketara". Kata Nik Aziz: "Saya nak tahu apa definisi maju tu dulu.
Ukuran maju ke tak maju ni dikira dari mana." Soalan itu sebenarnya
untuk difikirkan oleh semua orang hari ini.

Sumber:
http://www.harakahd aily.net/ index.php? option=com_ content&task= view&id=017003& Itemid=60

src : abumeow at yahoogroups.com

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT