Awal Makhluk Yang Diciptakan Oleh Allah


Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam menjawab ketika diajukan soalan mengenai bagaimanakah bermulanya alam ini dengan sabdanya yang bermaksud :
Adalah Allah Azali dan tiadalah sesuatupun selainNya (di azali), (selepas itu) Allah (menciptakan) Arasnya di atas air, dan telah dicatatkan di Lauh al-Mahfuz setiap sesuatu, kemudian (Allah) menciptakan langit-langit dan bumi”. (Riwayat al-Bukhari).

Dalam jawapan dari hadis di atas, Rasulullah menjawab dan menerangkan dahulu perkara yang lebih penting dan utama dari persoalan yang diajukan dengan menerangkan mengenai ilmu tauhid bahawa Allah wujudNya tidak ada mula iaitu Azali dan tiada yang lain Azali sepertiNya. Dalam erti kata yang lain, di Azali hanya Allah sahaja yang ada. Kemudian Allah telah menciptakan segala kejadian iaitu mengadakannya atau mewujudkannya dari tidak ada kepada ada. Allah tidak menciptakan segala alam ini sekaligus dan jika Dia kehendaki demikian Dia akan lakukan. Allah jadikan langit-langit dan bumi serta segala apa yang ada di muka bumi dalam masa enam hari. Hikmah dari perkara tersebut ialah mengajar manusia agar tidak tergopoh gapah dalam melakukan sesuatu perkara dan mesti dengan teliti dan teratur.

Awal makhluk atau kejadian adalah AIR. Rasulullah telah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban:

Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah Taala menjadikan setiap sesuatu dari air ”.

Hadis di atas bermakna sebelum Allah menjadikan cahaya dan kegelapan, bumi dan langit, Arasy dan Kursi, Lauhul Mahfuz dan sebagainya, sebelum itu Allah menciptakan air dahulu. Air, Allah jadikannya sebagai asal bagi yang lain dari segala makhluk ciptaan Allah. Dari Airlah Allah jadikan Arasy, kemudian Qalam, Lauhul Mahfuz, selepas itu segala kejadian yang lain iaitu bumi dan langit serta yang lain. Akhir kejadian dari sudut jenis ialah Nabi Adam Alaihis Salam, dari tulang rusuk kirinya dijadikan Hawa. Allah menjadikan Adam pada hari yang keenam iaitu hari Jumaat.

ARASY : Arasy ialah seperti katil yang berkaki. Ianya merupakan makhluk terbesar yang diciptakan Allah Taala dan ianya merupakan lelangit bagi Syurga. Sekarang ianya ditanggung oleh empat malaikat yang amat besar dan apabila berlakunya kiamat nanti akan ditanggung oleh lapan malaikat. Malaikat tersebut antara cuping telinganya sahaja ke bahu mengambil masa tujuh ratus tahun perjalanan dengan burung yang terbang laju. Rasulullah pernah bersabda dalam satu hadis:

Maksudnya: “Tiadalah tujuh petala langit (bandingannya) disamping Kursi melainkan seperti sebentuk cincin di dataran yang luas, dan kebesaran Arasy dibandingkan dengan Kursi seperti besarnya dataran luas tersebut dibandingkan dengan sebentuk cincin”.

Maksud hadis ini ialah langit yang kita lihat amat luas terbentang serta dipenuhi oleh cakerawala ini jika hendak dibandingkan dengan Kursi yang Allah jadikan hanyalah seperti sebentuk cincin sahaja di dataran yang luas dan besarnya Arasy dari Kursi pula begitulah juga. Ini menunjukkan kepada kita betapa besarnya keluasan Arasy yang Allah ciptakan. Jika makhluk yang sebegini besar Allah dapat ciptakan, menjaga serta mentadbirnya yang menunjukkan Allah Maha Berkuasa, Maha Gagah Perkasa lagi Maha Kaya, apatah lagi kita sebagai manusia yang amat kerdil dan lemah lebih-lebih lagi perlu taat dan patuh kepada segala syariat Allah dan jangan menderhakaiNya.

Arasy dikelilingi oleh para malaikat dan bukannya tempat bagi Allah berada atau menetap kerana Allah bukanlah berjisim yang perlukan ruang untuk berada.

src : http://salafytobat.wordpress.com/

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT