Tujuan Hidup Adalah Bersedia Untuk Mati!



Tujuan hidup adalah untuk mati.. Tiada ertinya kehidupan tanpa kematian! Demikianlah dalam Surah Al-Mulk, ayat kedua, Allah mengisytiharkan bahawa “Dia yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.”

Maka dari firman Allah ini, jelas menunjukkan bahawa tujuan mati dan hidup itu diciptakan adalah untuk menguji siapakah di antara kita yang lebih baik amalnya. Untuk memudahkan pemahaman kita, bolehlah dikatakan bahawa yang terbaik di antara sekalian manusia ialah yang paling baik aktiviti dan kegiatan hidupnya. Seterusnya, bagi membolehkan kita mempunyai aktiviti, kegiatan dan amal yang terbaik, maka kita perlu menjadi Muslim yang sejati dan Mukmin yang unggul. Untuk menjadi seorang Muslim yang sejati pula, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengenal diri. Masalah utama umat Islam kini ialah kerana ramai di kalangan kita tidak kenal akan asal penciptaan kita sehingga akhirnya ramai di kalangan kita menjadi lupa diri. Lebih malang lagi, disebabkan kita tidak mengenal diri dan asal-usul kejadian kita akhirnya kita gagal mengenal keindahan Islam dan keutuhan keimanan yang sewajarnya sebati dalam diri kita. Benarlah kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta!

Allahlah Yang Maha Bijaksana dan telah menjadikan sesuatu itu dari tiada (Al-‘Adam) kepada ada (Al-Wujud). Hakikat seluruh kejadian dicipta ini, semuanya bertujuan untuk memainkan peranan ‘ubudiyyah yakni memainkan peranan kehambaan dengan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah dan sentiasa beribadah dengan penuh keihklasan. Semuanya ini diisyaratkan dengan jelas dalam lafaz firman Allah yang berbunyi “Wamaa Kholaqtul Jinna Wal Insa Illaa Liya’buduun” (Tidak Aku jadikan jinn dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu”). Prinsip ‘ubudiyyah ini telah diwartakan dalam Kitab-Kitab besar yang telah diturunkan dari langit sejak zaman berzaman, dan dengan kemasnya disempurnakan secara muktamad dengan Al-Quran seperti yang kita petik dari ayat di atas.

Islam seterusnya menetapkan pembalasan di Akhirat yang dilambangkan melalui kewujudan nikmat Syurga dan azab Neraka sebagai satu lagi asas keimanan. Maka menjadi keperluan untuk kita memaknakan kehidupan ini dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup kita, sesuai dengan makna Islam itu sendiri iaitu menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Seandainya kita tidak serah diri, kita akan buat haluan sendiri yang akhirnya menyebabkan kita gagal dalam kehidupan duniawi dan Ukhrawi. Na’udzubillahi min dzalik.

Selain itu, seorang Muslim sejati tidak hanya mementingkan dirinya sendiri. Dengan memahami prinsip ‘ubudiyyah dan adanya Syurga dan Neraka, maka dia akan berusaha dengan sehabis daya untuk melakukan yang terbaik untuk dirinya dan masyarakatnya. Untuk dirinya ialah memperbaiki hubungannya dengan Allah dan untuk masyarakatnya yang kita sebut sebagai tanggungjawab sosial korporat, dia akan membantu dengan apa jua cara sama ada dengan tenaga, masa, harta, kepakaran, perkhidmatan dan lain-lain untuk memastikan Islam terus terbela dan memerintah dunia. Ini sekaligus akan melahirkan satu umat yang mana perasaan, percakapan dan tindakan mereka telah dikuasai oleh kesanggupan untuk hidup dan mati semata-mata kerana Allah SWT. Perjuangan dan pengorbanannya demi redha Allah!

Tanggungjawab sosial yakni peranan bermasyarakat yang merangkumi peranan dakwah dan islah ini amat wajar dihidupkan dan disemai dengan sesuburnya sebagaimana firman Allah SWT:

“Kalian adalah umat terbaik yang diutus untuk manusia. Kalian menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 110).

“Dan hendaklah ada di antara kamu, segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyeru yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 104).

Selain itu, tanggungjawab sosial seorang Muslim ini juga dapat kita fahami melalui hadith Nabi SAW berikut:

“Perumpamaan orang Mukmin dalam kasih sayang, ramah mesra dan hubungan baik mereka adalah seperti satu jasad, apabila satu anggota padanya sakit akan menyebabkan semua anggota berjaga malam menahan sakit.” (Hadith Riwayat Muslim).

Malah, Rasulullah SAW menyifatkan orang Mukmin dengan Mukmin yang lain sama seperti satu bangunan yang saling kukuh-mengukuhi antara satu sama lain seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Musa Assyaari. Rasulullah telah menyifatkan orang Mukmin dengan Mukmin lain seperti satu bangunan menunjukkan perlunya peranan tanggungjawab sosial ini dipikul oleh kita semua!

Sebagai kesimpulannya, marilah kita sama-sama berusaha memperbaiki diri dan sama-sama mengajak orang lain untuk memperjuangkan Islam. Aslih nafsak, wad’u ghairak! Dirikanlah dahulu Daulah Islamiyyah dalam jiwa setiap Muslim, insya Allah Islam akan ditegakkan. Sesungguhnya, kecemerlangan Akhirat adalah melalui prestasi hidup yang hebat di dunia! Fahamilah…

Wallahu a’la wa a’lam.

http://www.muhtarsuhaili.com/

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT