MUQADDIMAH SURAH AL-FURQAAN


Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 77 ayat. Dinamakan surah "Al-Furqaan" (Al-Quran) kerana Allah Taala menerangkan tujuan diturunkan Al-Quran kepada hambanya Nabi Muhammad (s.a.w.) untuk menjadi peringatan dan amaran bagi penduduk seluruh alam, sebagaimana yang tersebut pada ayat yang pertama.

Intisari kandungannya: Menerangkan dalil-dalil tauhid yang membuktikan keesaan Allah Taala dan kekuasaanNya. Menerangkan kebenaran RasulNya dan kesesatan kaum kafir musyrik. Menegaskan bahawa orang yang bertuankan hawa nafsu, akan melakukan apa sahaja yang dikehendakinya dengan tidak tersekat-sekat lagi, dan tidak pula mahu mendengar nasihat pengajaran.

Kemudian Allah (s.w.t.) menujukan firmanNya kepada Nabi (s.a.w.), dengan menegaskan bahawa kalau la mahu mengutuskan kepada: penduduk tiap-tiap sebuah negeri seorang Rasul, tentulah la akan melakukannya dan akan ringanlah tugas Nabi Muhammad (s.a.w), tetapi la telah mengutus Baginda kepada seluruh penduduk dunia, lalu diperintahkan supaya Baginda berusaha dengan bersungguh-sungguh serta bersabar dalam perjuangannya menyiarkan Islam.

Diperintahkan lagi, bahawa dalam masa Baginda menegakkan kebenaran Islam, janganlah ia bertolak ansur dengan orang-orang kafir, tetapi hendaklah ia menentang mereka dengan bersungguh-sungguh, berdasarkan hujah-hujah dan keterangan Al-Quran.

Kemudian Allah Taala menerangkan bahawa hamba-hambaNya yang diredhaiNya, yang merupakan orang- orang Islam sejati, ialah mereka yang berakhlak mulia yang tekun mengerjakan ibadat kepada Allah pada malam hari yang berdoa semoga Allah Taala menjauhkan mereka dari azab neraka yang membelanjakan hartanya pada jalan kebajikan, serta tidak pula berlaku boros atau bakhil kedekut yang tidak melakukan syirik dan tidak melakukan jenayah membunuh orang, dan tidak pula melakukan zina dan yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya dan yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhannya tidaklah mereka duduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta, bahkan mereka akan mendengar dan melihatnya dengan bersungguh-sungguh dengan pendengaran dan penglihatan yang terang dan jelas nyata dan yang berdoa semoga mereka beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan mereka perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan berharap semoga mereka dijadikan imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa. Mereka itu semuanya akan ditempatkan di dalam Syurga yang tidak terperi nikmat kesenangannya.

Sebaliknya orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang di haramkan, buruklah balasannya, kecuali mereka yang bertaubat dan beriman serta beramal salih, maka Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan, kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

src : http://www.pmo.gov.my/

Notes : This post is related to previous entry.

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT