Kewajipan Berbakti Kepada Kedua Ibu Bapa

Kewajipan Berbakti Kepada Kedua Ibu Bapa
Kategori : jumaat (13-Jun-2008)

09hb Jamadilakhir 1429H

KEWAJIPAN BERBAKTI KEPADA KEDUA IBU BAPA

Muslimin yang dirahmati Allah,

MARILAH kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat rahmat Allah Subhanahu Wata'ala di dunia mahupun di akhirat.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Suran An Nisaa' ayat 36 tafsirnya :

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan suatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong, takbur dan membangga diri".

Berbuat baik terhadap kedua orang tua hukumnya adalah wajib kerana ia merupakan perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Jika kita tidak berbuat baik terhadap keduanya maka kita melakukan dosa besar kerana melanggar perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Ahqaaf ayat 15 tafsirnya :

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah".

Sesungguhnya terdapat banyak cara kita berbuat baik terhadap orang tua, contohnya kita wajib berlaku sopan dan hormat terhadap mereka, kita tidak dibolehkan bercakap kasar terhadap mereka, kita hendaklah memanggil mereka dengan suara yang lemah lembut dan panggilan yang menyenangkan, apabila mereka memanggil hendaklah kita mendatanginya serta menjawab pertanyaannya, apabila mereka meminta makanan atau pakaian, kita wajib menunaikannya, apabila mereka menyuruh berbuat sesuatu kita hendaklah melaksanakannya kecuali perkara yang dilarang oleh agama dan jangan sekali-kali lupa mendoakan mereka supaya Allah Subhanahu Wata'ala mengampunkan dosa-dosa mereka. Sebenarnya begitu tinggi keutamaan berbuat baik kepada kedua orang tua menurut ajaran agama Islam, sebagaimana Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah ditanyakan berkenaan hak kedua orang tua terhadap anaknya. Baginda menjawab :�'Humma�Jannatuka Wannaruka'�yang maksudnya : Kedua mereka adalah yang menyebabkan engkau masuk Syurga iaitu jika engkau mentaati mereka atau menyebabkan engkau masuk Neraka iaitu jika engkau derhaka kepada mereka. (Riwayat Al-Imam Ibnu Majaah).

Sebagai anak adalah wajib ke atas mereka menjaga ibu bapa mereka, lebih-lebih lagi ibu bapa yang telah tua dan uzur yang tidak berupaya mengurus diri mereka sendiri. Dalam menghadapi situasi sedemikian sebagai seorang anak hendaklah bersabar melayani karenah mereka, jangan mudah hilang sabar, melenting dan marah kerana perbuatan demikian akan mengguris dan menyakiti hati mereka. Jika hati mereka terguris, itu bererti anak telah derhaka kepada mereka.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Salah satu tanda seorang anak tergolong sebagai orang yang derhaka kepada ibu bapanya ialah anak yang mengakibatkan kedua ibu bapa mereka menangis disebabkan perbuatan anak yang melukakan hati mereka. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibnu Omar Radiallahuanhuma, beliau berkata maksudnya :

"Menyebabkan kedua ibu bapa menangis termasuk di antara perkara derhaka dan dosa-dosa besar". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Muslimin yang dirahmati Allah,

Tuntutan berbuat baik, bukan terhad kepada ibu bapa sahaja bahkan termasuk juga warga tua, baik yang ada hubungan kekeluargaan ataupun tidak. Sesungguhnya warga tua juga mempunyai hak untuk mendapat kasih sayang dan penghormatan. Maka dalam hal ini Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memerintahkan umatnya untuk menghormati orang tua dan menganjurkan untuk menjaga hak mereka.

Inilah sepatutnya yang kita lakukan terhadap ibu bapa dan orang-orang tua iaitu dengan memberikan kasih sayang dan perhatian, memeduli keperluan dan kebajikan mereka serta menggembirakan hati mereka. Jangan sampai terjadi pengabaian ibu bapa dengan membiarkan mereka tinggal bersendirian dalam keadaan uzur dan memerlukan pemedulian dengan alasan-alasan sibuk, tidak ada masa, tidak ada sesiapa yang boleh diharapkan untuk mengurus dan sebagainya. Perlu diingat bahawa pengabaian itu adalah perbuatan derhaka yang boleh menyebabkan seorang itu masuk neraka.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat menyatakan bahawa di antara punca berlakunya pengabaian terhadap warga tua yang sudah tidak berupaya di negara ini ialah kerana malu untuk menjaga mereka yang menghadapi masalah fizikal dan mental dan terdapat juga yang tidak mahu menjaga mereka kerana membalas dendam terhadap kelakuan, peristiwa atau kisah lampau warga tua tersebut. Ada juga terdapat keluarga terdekat atau adik-beradik yang tidak mahu menjaga ibu bapa apatah lagi untuk menjaga saudara mereka yang tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak, ada juga yang tidak mahu dengan alasan ada tanggungan sendiri dan sumber kewangan yang tidak mencukupi untuk membiayai mereka. Ada pula anak-anak yang beririh-irihan untuk menjaga mereka, keadaan ini menyebabkan mereka jauh hati dan merelakan diri mereka tinggal keseorangan.

Apa yang lebih menyedihkan terdapat anak-anak yang mengambil kesempatan, meminta wang atau mengambil wang ibu bapa mereka sedangkan wang itulah sahaja yang mereka harapkan untuk belanja seharian dan kebanyakan ibu bapa berdiam diri demi mengelakkan pertengkaran dan mengelakkan dari tidak dipedulikan. Ada juga ibu bapa yang disuruh menjaga cucu padahal mereka sendiri tidak berupaya untuk menjaga diri mereka sendiri. Mereka sendiri sebenarnya memerlukan penjagaan dan perhatian, namun disebabkan terlalu kasihkan anak, beban ditanggung juga tetapi dengan memendam rasa.

Muslimin yang berbahagia,

Menurut statistik dari Jabatan Pembangunan Masyarakat, sejak tahun 2000 hingga sekarang, jumlah warga emas yang dilaporkan tinggal sendirian ialah seramai�sembilan orang manakala yang menghadapi masalah penjagaan ialah seramai 21 orang. Walaupun jumlah tersebut masih kecil, pengabaian ibu bapa dan warga tua sepatutnya tidak berlaku. Perbuatan anak-anak seumpama ini sangat memalukan dan dikesali.

Kita jangan lupa bahawa kita tidak selama-lamanya muda. Tetapi tetap akan melalui zaman tua. Maka pada ketika itulah kita akan merasakan apa yang orang tua pada masa ini rasakan. Inilah hasil dari tingkah laku yang kita lakukan kepada mereka. Jika kita tidak menghormati mereka, maka kita juga tidak akan dihormati begitulah seterusnya.

Saudara-saudara sekalian, bayangkanlah kalau ibu bapa sanggup menjaga anak-anaknya yang ramai, kenapa pula kita tidak sanggup menjaga mereka, lebih-lebih lagi mereka yang sudah tua dan tidak berupaya menyara hidupnya sendiri.

Sebenarnya apa-apa pun yang kita lakukan atau korbankan belumlah cukup untuk membalas jasa ibu dan bapa. Masa mereka masih hidup inilah kesempatan untuk kita berbakti kepada mereka dengan sebaik-baiknya seperti memberi perhatian, pemedulian dan kasih sayang, menghulurkan wang ringgit dan begitu juga kita hendaklah selalu menziarahi ibu bapa yang tinggal berasingan dengan kita. Dan jika mereka sudah tiada, ziarahilah tanah perkuburan mereka dengan mendoakan keampunan dan kesejahteraan untuk mereka. Dan buatlah sebarang kebajikan seperti sedekah dan diniatkan pahalanya untuk arwah ibu dan bapa.

Akhirnya, sama-samalah kita menghormati dan menjaga kebajikan kedua ibu bapa dan warga tua dengan memberikan kasih sayang dan memastikan kesempurnaan hidup mereka terjamin. Janganlah kita mengabaikan dan mensia-siakan hidup mereka. Marilah kita sama-sama mendoakan kesejahteraan mereka dan semoga mereka akan sentiasa mendapat perlindungan dari Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Israa' ayat 23-24 tafsirnya :

"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan pemeliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan 'ah' dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia yang bersopan santun. Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana balas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah untuk mereka dengan berkata : Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidik semasa kecil".
src :

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT