Memang e-mel daripada saya - Azmil Mustafa

Seperti ditulis dalam kolum Jarum Emas di Metro Ahad 15 Jun lalu, dinyatakan melalui catatan e-mel itu, Azmil bersama tiga anak berusia 15, 13 dan 7 tahun berada di Damsyik dalam usaha mendalami ilmu Allah sambil mempelajari bahasa al-Quran.

Namun anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan itu mengalami masalah dek kenaikan harga minyak menyebabkan perbelanjaannya meningkat. Justeru, dia mencadangkan sesiapa yang dibukakan hatinya untuk membantu dengan menginfaqkan RM1 saja ke nombor akaun yang dicatatkan.

"Jika ingin, buatlah sumbangan berterusan selama setahun atau setakat yang mampu. Cara paling mudah melakukannya dengan memberi 'standing order' atau memberi surat kepada bank anda untuk memasukkan jumlah RM1 kepada akaun yang tercatit," katanya dalam e-mel berkenaan.

Menjelaskan perkara ini, Azmil yang ditemui di pejabat Harian Metro baru-baru ini mengakui dia ada menghantar e-mel berkenaan kepada hampir 20 rakannya dalam masa sebulan lalu, tetapi terkejut dan tidak menyangka ia cepat tersebar hingga ke Malaysia dan Qatar.

"Waktu itu memang saya 'sempit' sikit dengan keadaan harga minyak melambung tinggi dan ekonomi yang tidak menentu, malah yuran persekolahan anak dan kos sara hidup juga meningkat. Sebenarnya sudah hampir dua tahun saya berada di Syria bersama tiga anak tanpa bantuan mana-mana pihak.

"Cuma selama ini saya mendapat bantuan tidak tetap daripada kawan, adik-beradik dan masyarakat di sana termasuk guru yang mengajar di masjid. Saya memang tidak bekerja dan hanya menerima 'rezeki' daripada orang yang tidak disangka-sangka. Selama ini pun saya bertahan kerana ada bantuan daripada orang sekeliling," katanya.

Azmil berkata, dia mula menimba ilmu di bumi Timur Tengah itu sejak 2006 selepas Aidilfitri dan mengambil keputusan membawa empat anaknya.

Namun, selepas beberapa ketika, seorang anaknya mahu kembali ke Malaysia.

Sebelum ini Azmil pernah dua kali mendirikan rumah tangga, namun kedua-duanya tidak kekal lama. Melalui perkahwinan pertama, Azmil dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Syamira, 23, yang kini menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Manakala dengan isteri kedua pula, dia kurniakan empat anak iaitu Nur Azalea Arifah, 16; Nur Amalia Batrisha, 15; Muhammad Bazli, 13, dan Nur Alia Iman, tujuh tahun. Nur Azalea kini tinggal di Malaysia, manakala tiga lagi anaknya menetap bersamanya di Syria.

Katanya, ketika di Syria, dia belajar bahasa Arab, al-Quran dan ilmu agama secara tidak rasmi dengan guru di masjid di sana, manakala anak-anaknya dihantar mengikuti sistem persekolahan berbayar.

Ditanya kenapa tidak meminta bantuan menerusi media dan orang ramai, Azmil berkata, dia segan meminta tolong daripada orang yang tidak dikenali. Katanya, masalah yang dihadapinya bukan kronik seperti sakit yang memerlukan rawatan segera dan tidak sampai di peringkat perlu mendedahkannya kepada media.

Namun, hasil daripada penyebaran e-mel kawan-kawannya, Azmil menerima limpahan rezeki yang bukan sedikit sehingga menyebabkan akaun atas nama anaknya itu terpaksa ditutup pihak bank. Curiga dengan kemasukan jumlah wang terlalu banyak, bank menggantung akaun anaknya. Bagaimananpun selepas berbincang dengan bank, mereka puas hati dengan penjelasan dan Azmil menerimanya dengan hati terbuka.

Mungkin sudah tersurat rezekinya, selepas e-mel itu tersebar, Azmil menerima jemputan berceramah di Qatar dan di sana dia menerima bantuan yang tidak disangka-sangka serta bersyukur dengan kurniaan Ilahi.

"Soal orang berprasangka dan pandang serong perkara biasa dalam hidup kita, malah sewaktu bergelar artis saya sudah lalui macam-macam benda. Susah kita hendak puaskan hati semua orang. Cuma apa yang saya pegang sekarang buat perkara yang Allah suka, jangan ikut manusia," katanya yang hanya pulang seminggu lebih ke Malaysia kerana mempunyai beberapa urusan sebelum kembali ke Syria, Rabu ini.

Pada awal 'penghijrahannya' sebagai pendakwah sepenuh masa pada 1998, Azmil pernah melupakan terus bidang seni sehingga tidak mendengar radio dan tidak menonton televisyen kerana mahu komited dengan misinya. Namun siapa sangka, bidang seni yang diceburinya adalah medan tarbiah terbaik buatnya muhasabah diri.

Biarpun sudah berhenti berlakon, Azmil masih melakukan kerja belakang tabir dengan menerbitkan filem dokumentari dalam dan luar negara membawa ke London, Sepanyol dan Ireland serta kini dalam proses menubuhkan syarikat produksi.

Selain itu, Azmil juga dalam proses menerbitkan tiga buku iaitu Islam Had Hari berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 189 mengenai hari dalam Islam, Belajar Bahasa Arab Secara Bijak mengikut pendekatan masyarakat Melayu dan Titah Tertipu, buku ilmiah berkisar penjajahan Barat ke atas dunia Islam dari dulu hingga sekarang yang bertujuan membuka minda umat Nabi Muhammad s.a.w.

Menyorot latarnya, Azmil berlakon lebih 20 filem dan ratusan drama bermula dengan filem Mekanik pada 1983 diikuti Matinya Seorang Patriot (1984), Ali Setan (1985), Ali Setan 2 (1986), Suara Kekasih, Driving School (1990), XX Ray II (1995), Iman...Alone (1998), Hanya Kawan, Cheritera (gunakan suara) (2001) dan Puteri Gunung Ledang (2004).

Paling mendapat perhatian, penampilannya dalam filem Ali Setan yang menjadi fenomena ramai sehingga sekarang melayakkannya merangkul anugerah Aktor Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-6 (1986). Azmil juga pernah berlakon dalam filem luar negara Fifty Fifty (Amerika Syarikat) dan tiga filem usaha sama Malaysia dengan Indonesia iaitu Madu Dan Racun, Gadis Hitam Putih dan Dewi Cinta.

Selain berlakon, Azmil, lulusan bidang perfileman dari Universiti Indiana, Amerika Syarikat pernah mengarah filem Kepala Angin (1987). Lagu Fantasia Bulan Madu nyanyian kumpulan Search menjadi lagu tema filem ini yang turut menyaksikan Azmil sebagai Fandi berpasangan dengan Jacqueline Mitchell (Lydia).

src : Harian Metro

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT