Ditipu ilmu dan amal sendiri

"Engkau ingin mengenal Allah?"

Aku mengangguk.

"Perbanyakkan membuat ihsan!"

Aku tidak mengerti kata-kata itu sepenuhnya. Menurut pengertianku, kata-kata itu dimaksudkan untuk banyak membantu sesama makhluk.

Sekian lama aku mencarimu ya Rabb, namun tidak aku temui.

Aku sangka aku telah menemuiMu di puncak gunung Stong.

Aku sangka aku telah menemuiMu di sisi amal-amal kebajikan yang telah aku kerjakan terhadap manusia.

Aku sangka aku telah menemuiMu dalam ilmu yang aku pelajari.

Namun jiwa ini tetap belum mencapai martabat muthmainnah yang telah Engkau khabarkan di dalam Kalam-Mu. Jiwa ini gelap. Jiwa ini kosong.

Mengapa?

Ternyata ada kesilapanku dalam mentafsirkan kata-kata yang menggalakkan jiwa ini berbuat ihsan!

Wahai jiwa!

Engkau sangka dirimu banyak membuat kebajikan demi mencari keredhaan Allah! Engkau sibuk dalam aktiviti-aktiviti Persatuan Islam. Engkau sibuk memberi pertolongan kepada pelajar-pelajar madrasah. Engkau sibuk memberi pertolongan kepada rakan-rakan yang mengharapkan bantuan. Engkau sibuk membasahkan lidahmu dengan selawat dan zikrullah. Engkau sibuk membaca Al-Quran setiap hari.

Tetapi sebenarnya engkau buat ini semua demi kehormatan! Engkau buat ini semua demi pujian manusia! Engkau buat ini semua agar engkau dimuliakan! Zikir, selawat, bacaan Al-Quranmu, ternyata tiada memberi kesan terhadap hatimu yang gelap dengan najis dan maksiat hati!

Engkau sibuk memberikan bantuan kepada orang di luar keluargamu, meskipun engkau tahu bahawa keluargamu lebih layak untuk mendapat bantuanmu! Engkau sibuk membuat kebajikan kepada orang di luar keluargamu, sedangkan ibumu lebih memerlukan kebajikan dan ihsanmu di rumah, dan ayahmu yang sakit lebih memerlukan sifat tanggungjawab sebagai pewaris keluarga! Engkau sibuk memberikan tuisyen kepada orang di luar keluargamu, sedangkan adik-adikmu lebih memerlukan tunjuk ajar darimu! Engkau bicara mengenai kepimpinan dan memimpin orang lain ke jalan siratul mustaqim, tetapi ternyata dirimu yang hina inilah yang wajar dipimpin!

Celakalah engkau wahai jiwa! Ternyata amalmu bukan untuk mencapai keredhaan Allah, tetapi sebaliknya hanya mendapat kemurkaan-Nya! Celakalah engkau yang tertipu oleh amalmu!

Kau inginkan syurga, tetapi sebaliknya riya'mu, 'ujubmu, sum'ahmu, pakaian yang tidak layak buat dirimu yang hina, akan lebih melayakkan dirimu kepada neraka jahannam!

Manusia memandang engkau sebagai insan yang kamil, insan yang beriman, yang kuat ibadahnya, yang halus bahasa dan adabnya, yang tinggi ilmunya. Insan yang cemerlang dalam kedua-dua ilmu duniawi dan ukhrawi, insan yang menyibukkan dirinya dalam mencari ilmu Allah. Insan yang sempurna sebagai calon suami seorang Muslimah yang solehah.

Sebenarnya engkau lebih layak dihinakan, sebab engkaulah yang paling hina di hadapan Allah! Ramai yang tidak tahu bahawa engkau ini sebenarnya manusia yang jahat, yang tidak menjaga lidahnya, yang senang tertipu nafsu syahwatnya, yang kurang sifat sabarnya, yang suka memaki hamun apabila ditimpa ujian! Engkau sombong! Engkau munafiq! Celakalah engkau!

Kau bicara mengenai ilmu fiqh, ilmu usul fiqh, ilmu tasauf dan falsafah, ilmu tarekat. Engkau berbahas mengenai ilmu-ilmu agama. Engkau berura-ura untuk menghafal dan mendalami ilmu Al-Quran dan Sunnah.

Tetapi ternyata semua itu hanya sia-sia belaka! Ilmu yang tanpa amal! Ilmu yang dicari untuk pujian makhluk! Ilmu yang dicari agar mendapat pangkat dan kemuliaan di mata manusia! Ilmu yang bukan menerangkan hati, sebaliknya menggelapkan hati dan menjauhkan dirimu dari rahmat Allah!

Celakalah engkau wahai jiwa! Celakalah engkau atas usiamu yang terbuang dalam perkara-perkara yang sia-sia! Celakalah engkau yang tertipu oleh ilmumu!

Aku merenung diriku yang malang ini.

Apa salahku?

Bagaimana aku akan mengenalmu ya Rabb? Adakah aku akan mati dalam keadaan hati yang buta, yang tidak mengenali diriMu?

"Engkau ingin mengenal Allah?"

Aku mengangguk.

"Perbanyakkan membuat ihsan terhadap ibu bapamu dan saudara-saudaramu yang terdekat!"

Wahai jiwa, sekian lama engkau ditipu ilmu dan amalmu! Bodoh! Sedangkan perkara ini sudahpun engkau tahu. Engkau tahu bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibumu! Engkau telahpun membaca kisah-kisah para sufi tentang bagaimana mereka mencapai ma'rifat dan keredhaan Allah s.w.t.

Bukan melalui amal yang dibuat demi pujian.

Bukan melalui ilmu yang dicari demi pujian.

Tetapi melalui ketaatan yang tiada berbelah bagi kepada ibu bapa!

"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, dikala sedang memberinya nasihat, (katanya) : Hai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, kerana sesungguhnya syirik itu adalah suatu penganiayaan yang besar.Dan kami wajibkan manusia (taat) kepada ibubapa, ibunya yang telah mengandungnya (dengan menderita) lemah bertambah lemah dan berhenti menyusukannya dalam masa dua tahun (kami perintahkan): "Hendaklah engkau bersyukur kepada ku dan kepada ibubapa mu, kepada kulah tempat kembali. Dan jika keduanya memaksamu supaya engkau mempersekutukan aku (dengan sesuatu) tanpa ada pengetahuanmu padanya, tapi gantilah keduanya dengan baik dalam (urusan) dunia, turutlah jalan orang yang kembalimu, maka aku akan mengabarkan kepadamu segala apa yang telah kamu kerjakan. Hai anakku! "Sesungguhnya jika ada (amal-amal) itu sebesar biji sawi (sekalipun), biar adanya didalam batu, atau dilangit, ataupun dibumi, nescaya Allah akan tunjukkan (memperlihatkannya).Sesungguhnya Allah maha halus lagi maha mengetahui". Hai anakku! "Dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat kebajikan dan laranglah dari perbuatan yang mungkar dan sabarlah atas sesuatu (musibah) yang menimpamu.Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari urusan-urusan yang dipastikan (allah). Dan janganlah engkau memalingkan pipimu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan dimuka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri. (Surah Luqman: 13-19)

Berbakti kepada ibu bapamu itu adalah jalan yang terpantas untuk mengenali Allah!


Aku mengangguk.

Kini, baru aku mengerti.

src : http://hasanularifin.blogspot.com/

Comments

Popular posts from this blog

Doa Haikal dan khasiatnya

Kalau nak senang bangun malam...

JENIS-JENIS SOLAT